Masih ingat lagi zaman kita bersekolah dahulu?
Setiap pagi, emak akan menyelitkan beberapa keping duit syiling ke dalam poket baju sekolah. Kadang-kadang hanya 50 sen. Kalau lebih sedikit, mungkin RM1. Dengan duit itulah kita beli nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang, kuih keria atau air sirap di kantin sekolah.Tidak pernah pula kita merungut.
Kita makan sambil ketawa bersama kawan-kawan di bawah pokok atau di kaki lima kelas. Kalau ada rakan yang terlupa membawa duit, kita kongsi apa yang ada. Sekeping goreng pisang dipotong dua. Sebungkus keropok dimakan beramai-ramai.
Aneh bukan?
Makanannya biasa-biasa sahaja tetapi kenangannya begitu luar biasa.
Tentu anda masih ingat lagi kasut sekolah kita dulu-dulu. Bila tapaknya tertanggal sedikit, ayah akan sapukan gam dan suruh pakai lagi, beg sekolah koyak dijahit semula oleh emak, pensel yang tinggal seinci pun masih digunakan sehingga benar-benar habis. Kita guna ranting buluh untuk menaymbungnya. Bagi yang kurang berada, baju sekolah pula diwarisi daripada abang atau kakak. Tapi yang anehnya, ketika itu, kita tidak malu. Kita juga tidak rasa kekurangan. Yang penting, kita masih boleh pergi ke sekolah, belajar dan bermain bersama kawan-kawan.
Petang pula, selepas menyiapkan kerja sekolah atau selepas usai menagji quran, kita terus berlari keluar rumah. Kadang-kadang kita main galah panjang, ada ketikanya kita main getah. Bila tiba musim main guli, kita pakat beli guli dan main bersama-sama di halaman rumah kawan. Bila azan Maghrib berkumandang, barulah kita pulang.
Ketika itu tak ada telefon pintar, tak ada permainan video, tak ada media sosial tetapi kita tidur setiap malam dengan hati yang puas.
Kenapa Dulu Mudah Bahagia, Sekarang Tidak?
Hari ini, hampir semuanya berubah. Kita ada rumah yang lebih besar. bagi sesetangah dari kita yang berada, kita ada kereta yang lebih selesa. Kita juga ada telefon pintar yang canggih, pakaian di dalam almari semakin banyak dan berjenama dan pendapatan kita juga mungkin jauh lebih tinggi daripada ibu bapa kita dahulu.
Namun mengapa hati kita semakin sukar merasa cukup? Mengapa semakin banyak yang kita miliki, semakin banyak pula yang kita rasakan belum ada?
Jawapannya mungkin kerana dahulu kita melihat kehidupan dengan mata seorang anak kecil tapi hari ini kita melihat kehidupan melalui skrin telefon. Dulu kita membandingkan diri dengan rakan sekelas yang duduk di sebelah tapi hari ini kita membandingkan diri dengan ribuan orang di Facebook, Instagram dan TikTok.
Kita melihat mereka membeli rumah baharu, kita melihat mereka memandu kereta mewah yang jauh lebih mahal dari kereta kita, kita melihat mereka pergi bercuti di Jepun, Turki dan Switzerland sedangkan kita cuma mampu bercuti di dalam negeri. Itu pun tiga empat bulan sekali.
Tanpa sedar, hati mula berkata, "Kenapa hidup aku macam tak ke mana?"
Sedangkan kita hanya melihat gambar yang dipilih untuk dipaparkan. Kita tidak melihat pinjaman bank yang perlu dibayar setiap bulan. Kita juga tidak melihat tekanan kerja yang mereka tanggung dan air mata yang mereka sembunyikan. Lalu kita mula merasakan hidup sendiri tidak cukup baik.
Kita Kehilangan Rasa Syukur, Bukan Nikmat
Mungkin hari ini Allah telah memberikan jauh lebih banyak nikmat kepada kita berbanding ketika kita masih kecil. Dulu kita menumpang motosikal ayah tapi hari ini kita sudah mampu memandu kereta sendiri. Dulu kita tidur berhimpit dengan adik-beradik dalam sebuah bilik tapi hari ini anak-anak kita punyai bilik sendiri, dulu kita menunggu Hari Raya untuk memakai baju baharu tapi hari ini, kalau mahu membeli pakaian, bila-bila masa pun kita boleh membelinya, dulu kita hanya berharap dapat makan makanan yang kita suka tapi hari ini, tekan budtang di telefon bimbit sahaja, makanan boleh sampai ke depan pintu dan dulu kita tidak pernah terfikir untuk memiliki telefon pintar tapi hari ini, hampir setiap perkara berada di hujung jari.
Kalau kita mahu melihat kehidupan kita dari sudut yang berbeza, sebenarnya banyak perkara yang dahulu kita doakan kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Tetapi mengapa hati masih gelisah?
Mengapa kita masih rasa hidup ini tidak cukup?
Mengapa kita masih melihat apa yang orang lain ada, sedangkan begitu banyak yang telah Allah berikan kepada kita?
Mungkin kerana yang hilang bukanlah nikmat tetapi yang hilang ialah rasa 'menghargai nikmat.' Kita sudah terlalu biasa dengan apa yang kita miliki sehingga kita tidak lagi melihatnya sebagai satu pemberian. Kereta yang dulunys kita impikan, hari ini kita anggap biasa, rumah yang dahulu kita doakan, hari ini kita anggap kecil kerana melihat rumah orang lain yang lebih besar, pekerjaan yang dahulu kita harapkan, hari ini kita keluhkan kerana melihat orang lain mendapat jawatan yang lebih tinggi, keluarga yang dahulu kita syukuri, hari ini mungkin kita abaikan kerana terlalu sibuk mengejar kehidupan yang kita fikir lebih baik.
Begitulah kebanyakan sifat semulajadi manusia.
Apabila sesuatu yang kita miliki sudah menjadi kebiasaan, kita mudah lupa bahawa suatu ketika dahulu kita pernah berdoa untuk mendapatkannya.
Sebab itu Allah mengingatkan kita tentang pentingnya bersyukur, Dalam surah Ibrahim ayat 7, Allah berfirman yang mafhumnya, “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu; tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangat berat.”
Perhatikan janji Allah itu. “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu.”
Bertambahnya nikmat bukan semestinya bermaksud kita akan mendapat lebih banyak harta, rumah yang lebih besar atau kehidupan yang lebih mewah tapi kadang-kadang nikmat itu bertambah dalam bentuk ketenangan hati.
Kita mungkin masih mempunyai rumah yang sama, tetapi hati lebih tenang. Kita masih memandu kereta yang sama tetapi kita lebih menghargainya dan kereta kita jarang rosak sedangkan kereta kawan-kawan yang lain, setiap bulan masuk bengkel. Kita juga masih mempunyai pekerjaan yang sama tetapi kita mula melihatnya sebagai sumber rezeki daripada Allah dan kita masih makan makanan yang sederhana tetapi hati terasa cukup.
Itulah keindahan syukur.
Syukur bukan sekadar ucapan “Alhamdulillah” di bibir. Syukur ialah apabila hati mampu melihat pemberian Allah sebagai nikmat dan menggunakannya dengan cara yang diredai-Nya.
Sebab itu, jangan terlalu cepat mengatakan hidup kita tidak cukup.
Bahagia Itu Tidak Mahal
Cuba pejamkan mata seketika. Bayangkan satu petang ketika kita masih berusia sepuluh tahun.
Ayah baru pulang dari kerja, emak sedang menyediakan minum petang, adik-beradik berkumpul di ruang tamu sambil menonton televisyen.
Ketika itu rumah kita tidak ada 'aircond', tak ada sofa mahal tak ada telefon pintar di tangan. Tetapi rumah kita sentiasa dipenuhi gelak ketawa.
Hari ini...
Mungkin rumah kita lebih cantik tetapi adakah kita masih duduk semeja menikmati secawan teh bersama keluarga? Mungkin kita memiliki telefon yang jauh lebih mahal tetapi bilakah kali terakhir kita benar-benar berbual dengan ibu tanpa terganggu oleh notifikasi?
Kadang-kadang, kita terlalu sibuk mengejar kehidupan yang lebih baik sehingga terlupa menikmati kehidupan yang sudah kita miliki sedangkan suatu hari nanti, saat-saat yang kita anggap biasa hari ini mungkin menjadi kenangan yang paling kita rindui.
Hargailah Apa Yang Sudah Ada
Kita tidak perlu memiliki rumah terbesar untuk menjadi bahagia, kita tidak perlu bergaji paling tinggi untuk hidup dengan tenang. Kita juga tidak perlu menjadi sehebat orang lain untuk berasa diri kita bernilai.
Apa yang kita perlukan ialah hati yang tahu menghargai. Hargai ibu bapa yang masih boleh kita peluk, pasangan yang sentiasa menemani, anak-anak yang masih mahu bercerita tentang hari mereka, pekerjaan yang memberi kita rezeki, kesihatan yang masih mengizinkan kita untuk bangun pada setiap pagi. Kerana kebanyakan perkara yang kita miliki hari ini akan menjadi perkara yang paling kita rindui apabila ia tiada lagi.
Dalam buku Hidup Kena Kuat, khususnya dalam bab "Hargai Apa yang Dimiliki", saya mengajak pembaca melihat semula kehidupan dengan hati yang lebih bersyukur kerana kita sering beranggapan bahawa kebahagiaan akan datang apabila kita memiliki segalanya. Rumah yang lebih besar, kereta yang lebih mahal atau pendapatan yang lebih tinggi.
Hakikatnya, jika hati tidak pernah belajar menghargai apa yang ada hari ini, kita juga tidak akan bahagia apabila memiliki semua itu nanti.
Bahagia bukan bermula apabila hidup menjadi sempurna tapi bahagia bermula apabila kita berhenti menghitung apa yang belum ada, lalu mula mensyukuri apa yang telah Allah kurniakan.
Mungkin itulah sebabnya ketika kita masih kecil, walaupun hidup serba sederhana, hati terasa begitu ringan kerana pada waktu itu, kita belum memiliki banyak harta tetapi kita memiliki sesuatu yang jauh lebih berharga....Iaitu hati yang tahu bersyukur.
.
DR.Usrynorie
No comments:
Post a Comment