Cuba pejamkan mata seketika dan ingat kembali rumah tempat kita membesar dahulu. Mungkin hanya sebuah rumah papan yang dindingnya sudah dimakan usia atau pun rumah kampung yang lantainya berkeriut setiap kali dipijak.
Bagi yang tinggal di bandar atau pekan pula, biasanya ayah akan menyewa sebuah rumah flat kecil atau rumah teres kos rendah yang hanya mempunyai dua bilik untuk dihuni oleh enam atau tujuh orang sekeluarga.
Kalau dibandingkan dengan rumah-rumah moden hari ini, rumah kita dulu tidaklah cantik. Catnya mungkin sudah pudar. Manakala bagi rumah kampung pula, kebanyakan rumah mereka tidak bercat sama sekali. Bumbungnya juga banyak yang sudah bocor kerana dimamah usia. Apabila hujan lebat, air akan menitis ke dalam rumah. Membasahkan lantai atau tikar di ruang tamu. Bagi rumah mereka yang punyai kipas angin, kebanyakan kipas silingnya sering berbunyi setiap kali ia berpusing.
Biasanya, pada ketika itu, setiap rumah, televisyen pun hanya ada satu saja. Di situlah tempat kita dan adik-beradik berkumpul menonton rancangan kegemaran ibu dan ayah walaupun kadang-kadang kita tak berapa suka rancangan tersebut.
Tetapi anehnya, apabila kita mengenang semula zaman itu, hati kita tersenyum. Mengapa?
Kerana yang kita rindukan bukanlah rumahnya tetapi suasana di dalam rumah itu.
.
Saya juga masih ingat ketika zaman kecil-kecil dulu. Setiap petang kami adik-beradik akan bermain kejar-kejar di halaman rumah. Kalau hujan turun, kami akan berlari berteduh di bawah serambi. Jika bernasib baik, kami dapat melihat arwah Mek ( Mek ialah panggilan saya untuk ibu/emak saya) menggoreng pisang atau ubi keledek.
Ayah pula baru pulang dari dari sawah. Walaupun penat, beliau tetap melayan kami bercerita. Makan malam kami cukup sederhana. Kadang-kadang hanya berlaukkan ikan masin, telur dadar dan sambal belacan. Namun entah mengapa, semuanya terasa begitu sedap. Mungkin kerana ketika itu kami makan bersama-sama.
Ketika itu belum ada lagi telefon bimbit dan media sosial seperti sekarang. Yang ada hanyalah gelak ketawa. Tapi hari ini, rumah kita semakin besar. Ruang tamu semakin luas, televisyen semakin canggih tetapi ada rumah yang sunyi walaupun dipenuhi perabot mahal. Ada keluarga yang tinggal sebumbung tetapi masing-masing sibuk dengan telefon sendiri. Ada yang makan di meja yang sama tetapi hati mereka berjauhan.
Dan di sinilah kita belajar satu kenyataan bahawa kebahagiaan itu tidak pernah diukur pada keluasan rumah tetapi pada keluasan kasih sayang yang memenuhi rumah itu.
Ramai di kalangan kita pada hari ini bekerja keras semata-mata mahu memiliki rumah yang lebih besar daripada orang lain dan ianya tidak salah, kerana Islam sendiri menggalakkan kita berusaha memperbaiki kehidupan. Tetapi jangan sampai kita terlupa bahawa rumah hanyalah bangunan. Yang menjadikannya sebuah rumah ialah kasih sayang, ketenangan dan keberkatan.
Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar rumah impian sehingga kita kehilangan orang-orang yang sepatutnya memenuhi rumah itu. Kita bekerja lebih kuat kerana mahu rumah yang lebih besar.
Kita mahu kereta yang lebih selesa, kita mahu kehidupan yang lebih baik untuk keluarga.
Semua itu tidak salah tetapi dalam perjalanan mengejar semuanya itu, pernah tak kita terfikir, adakah kita sedang membina kehidupan yang lebih baik, atau sekadar membina kehidupan yang kelihatan lebih baik?
Anak-anak membesar tanpa sempat berbual dengan ayah. Suami isteri hanya bertukar pesanan melalui telefon walaupun tinggal serumah dan usia kita yang semakin tua tetapi kita terlalu sibuk mengejar harta. Akhirnya... Rumah kita makin besar tapi hati kita makin kosong.
Saya pernah mendengar seorang pesakit saya, seorang warga emas berkata,"Dulu rumah kami kecil. Kalau ayah batuk di dapur, semua orang boleh dengar. Beliau ketawa kecil sebelum menyambung,"Sekarang anak-anak semua tinggal di rumah besar tetapi nak jumpa pun susah."
Kata-kata itu sangat menyentuh hati.
Kadang-kadang kita menyangka kebahagiaan akan datang bila kita berjaya memiliki lebih banyak. Namun hakikatnya, kebahagiaan sering datang daripada perkara-perkara kecil yang pernah kita miliki tetapi tidak pernah kita hargai, seperti pelukan kasih dari seorang ibu, gelak ketawa adik-beradik, makan bersila di ruang tamu, tidur berhimpit-himpit ketika pulang beraya dan mendengar ayah bercerita sebelum tidur.
Kita tidak memerlukan rumah yang besar. Yang kita perlukan ialah hati yang saling menyayangi.
Sebab itulah saya sangat percaya bahawa kita tidak perlu malu jika kehidupan kita sederhana. Malah jangan sesekali kita berasa rendah diri sekiranya kita hanya memiliki rumah yang kecil, kereta yang biasa-biasa atau perabot di ruang tamu kita tidak semewah orang lain.
Anak-anak tidak akan mengingati harga sofa yang kita beli tetapi mereka akan mengingati siapa yang duduk di sebelah mereka ketika mereka menangis. Mereka tidak akan mengingati saiz rumah tempat mereka membesar tapi mereka akan mengingati bagaimana rumah itu membuatkan mereka rasa selamat dan disayangi.
Dalam buku Hidup Kena Kuat, saya ada menulis satu bab yang sangat dekat di hati saya, iaitu "Hargai apa yang dimiliki."
Bab ini mengingatkan kita bahawa kita tidak perlu hidup mengikut ukuran orang lain. Kalau kita sentiasa membandingkan rumah kita dengan rumah orang lain, kita tidak akan pernah rasa cukup.
Hari ini kita mahu rumah teres, esok kita mahu banglo dan mungkin lusa kita mahu rumah yang lebih besar lagi.
Keinginan itu tidak akan pernah habis tetapi apabila kita belajar menghargai apa yang kita ada, kita mula melihat kehidupan dari sudut yang berbeza.
Justeru, jika hari ini rumah kita masih kecil, jangan bersedih, jika cat dinding rumah kita sudah pudar, jangan malu dan jika perabot kita hanya jenis sederhana, jangan rasa rendah diri. Selagi rumah itu dipenuhi dengan doa, kasih sayang, gelak ketawa dan rasa syukur, percayalah... Rumah kecil itu akan terasa lebih luas daripada istana yang kosong daripada kebahagiaan kerana pada akhirnya, bukan sebesar mana rumah yang menentukan kebahagiaan kita tetapi sebesar mana kasih sayang yang tinggal di dalamnya.
Dan apabila kita belajar menerima kehidupan seadanya serta mensyukuri apa yang Allah telah kurniakan, kita akan sedar bahawa kita sebenarnya sudah memiliki sesuatu yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit, iaitu sebuah rumah yang penuh ketenangan, dan sebuah hati yang sentiasa merasa cukup.
Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar rumah yang lebih besar, kereta yang lebih mahal, pakaian yang lebih cantik dan kehidupan yang kelihatan lebih hebat di mata orang. Sampai kita terlupa untuk melihat apa yang sebenarnya sudah ada di hadapan mata.
Kita lupa bahawa ada orang yang sedang mengimpikan kehidupan yang sedang kita jalani hari ini. Ada yang hanya mahu pulang ke rumah dan mendengar suara ibu dan ayah. Ada yang sanggup memberikan apa sahaja untuk mendengar gelak tawa anak-anak yang sudah tiada. Ada yang tidak kisah rumahnya kecil, asalkan masih ada pasangan yang setia menunggu di muka pintu.
Sedangkan kita pula, kadang-kadang terlalu sibuk melihat apa yang belum kita miliki sehingga lupa mensyukuri apa yang masih Allah titipkan.
Hidup ini bukan pertandingan untuk melihat siapa paling banyak memiliki. Kerana akhirnya, kita semua akan meninggalkan rumah, kereta, wang, pakaian dan segala benda yang pernah kita banggakan. Yang tinggal bukan berapa besar rumah yang pernah kita duduki, tetapi berapa banyak kasih sayang yang pernah kita berikan, bukan berapa mahal barang yang pernah kita miliki, tetapi berapa banyak hati yang pernah kita bahagiakan dan bukan berapa tinggi kedudukan kita di mata manusia, tetapi bagaimana kita menjalani kehidupan yang Allah amanahkan kepada kita.
Mungkin bahagia ialah apabila kita tidak lagi terlalu sibuk mengejar apa yang tiada sehingga kita lupa memeluk erat apa yang masih ada.
Rumah kecil tidak semestinya membuat hidup kita kecil. Kadang-kadang rumah yang sederhana itulah yang mengajar kita erti kasih sayang, syukur dan rasa cukup. Kerana akhirnya, bukan sebesar mana rumah yang kita miliki tetapi sebesar mana kasih sayang yang tinggal di dalamnya.
.
Kalau anda sedang melalui fasa hidup yang terasa berat, ingin belajar menerima kekurangan, mahu jalani hidup dengan lebih jujur atau sekadar mahu memahami kehidupan dengan cara yang lebih tenang, saya jemput anda membaca buku Hidup Kena Kuat.
Buku ini menghimpunkan refleksi kehidupan, motivasi dan pendekatan psikologi Islam dalam bahasa yang santai dan dekat dengan kehidupan seharian agar senang untuk anda mengurus semula emosi yang sedang bergelojak itu.
Bukan buku yang menjanjikan hidup kita akan sentiasa mudah tetapi sebuah buku yang mengingatkan kita bahawa walaupun hidup tidak selalu seperti yang kita harapkan, kita masih boleh belajar untuk kuat, sabar, ikhlas, bersyukur dan terus melangkah.
Kalau terasa tulisan-tulisan seperti ini dekat dengan hati anda, mungkin buku Hidup Kena Kuat juga sesuai untuk menemani perjalanan anda. Kerana ada masanya kita bukan perlukan jawapan yang panjang. Terkadang kita cuma perlukan seseorang untuk mengingatkan kita supaya jangan berhenti dan terus bertahan.
Jika berminat, boleh klik link di bawah untuk pembelian..
👉 Buku Hidup Kena Kuat
.
DR.Usrynorie
No comments:
Post a Comment