Thursday, 20 August 2026

Dulu Kita Bermain Sampai Lampu Jalan Menyala

 


Kalau anda termasuk dari anak-anak yang membesar pada zaman 80-an dan 90-an, bila mengimbau kembali zaman itu, mungkin anda akan tersenyum sendiri.


Dulu, kehidupan tidak secanggih hari ini. Tidak ada telefon pintar, tidak ada Wi-Fi., tidak ada TikTok atau permainan dalam talian. Tetapi kita ada basikal, kawan-kawan dan halaman kampung yang luas.

Setiap petang, selepas selesai mengaji Quran, buat kerja sekolah dan bantu mak di rumah, kita akan keluar mencari kawan. Kadang-kadang belum sempat sampai ke simpang, sudah terdengar suara kawan memanggil. “Oi! Jom main!”

Maka bermulalah pengembaraan kita.

Ada yang bermain bola di padang kampung, ada yang bermain kejar-kejar., ada yang memancing di parit atau sungai kecil dan ada yang berlumba basikal di jalan kampung. Baju yang dipakai semakin lama semakin kotor. Kaki penuh lumpur, lutut kadang-kadang luka kerana jatuh basikal tapi kita tak pedul. Kita bangkit dan sambung bermain sampai penat. Sampai lapar atau sehingga suara ibu kedengaran dari jauh. “Balik! Dah nak Maghrib!”

Itulah jam kita dahulu. Bukan jam di telefon, bukan notifikasi, bukan aplikasi. Tapi suara ibu. Kalau masih degil tidak mahu balik, biasanya suara ayah pula menyusul. “ Kalau tak nak balik.. Esok tak payah keluar!” Terus kita kayuh basikal balik.

Lepas solat Maghrib, mak akan menyediakan makanan. Ada nasi panas, ikan goreng, telur dadar, sambal belacan dan sayur kampung. Makanan yang sangat sederhana tetapi disebabkan kita sudah bermain sampai letih petang tadi, semuanya terasa begitu sedap.

Sambil makan kita akan bercerita kepada ibu tentang apa yang berlaku sepanjang petang. “Mak, tadi Ali jatuh basikal!”, “Mak, tadi kami nampak ular!”, “Mak, tadi bola masuk rumah Pak Mat!” Walaupun cerita kita mungkin tidak penting tapi mak dan ayah tetap mendengar.

Itulah kehidupan kita dahulu. Kita tidak mempunyai banyak perkara tetapi kita mempunyai banyak pengalaman. Tapi hari ini anak-anak punya dunia yang jauh lebih luas di hujung jari. Mereka boleh bermain dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia, boleh menonton ribuan video di henpone, boleh berkomunikasi tanpa perlu keluar rumah. Namun kadang-kadang kita tertanya-tanya, adakah mereka akan mempunyai kenangan yang sama seperti kita?

Adakah mereka akan teringat bagaimana rasanya pulang ke rumah dengan baju penuh lumpur? Adakah mereka akan rindu suara ibu memanggil dari pintu? Adakah mereka akan teringat kawan yang setiap petang datang mengetuk pintu rumah? Jawapannya, mungkin tidak, kerana zaman telah berubah dan kita tidak boleh memaksa zaman seperti kita dulu kembali.

Tetapi kita boleh mengambil pengajaran daripada zaman kita itu.
Kita belajar bahawa kebahagiaan tidak semestinya memerlukan banyak perkara. Kita hanya perlukan orang yang kita sayang, masa untuk bersama dan hati yang mampu menikmati perkara-perkara sederhana.

Mungkin sebab itulah kenangan zaman kanak-kanak begitu kuat melekat dalam fikiran. Kita tidak mempunyai banyak barang untuk diingati tetapi kita mempunyai banyak momen untuk dikenang. Petang bermain bola, lumba basikal, memancing di parit, mandi sungai, melastik burung, makan bersama keluarga, berkumpul di rumah jiran dan detik kita pulang bila lampu jalan mula menyala.

Hari ini kita sudah dewasa. Kita mempunyai pekerjaan, komitmen, bil dan tanggungjawab. Kita tidak lagi boleh bermain sampai senja seperti dahulu. Tetapi sesekali, mungkin kita perlu berhenti daripada mengejar kehidupan dan bertanya kepada diri sendiri, “Bilakah kali terakhir aku benar-benar menikmati hidup?”

Mungkin kita terlalu sibuk mencari kehidupan yang lebih baik sehingga terlupa menikmati kehidupan yang sedang kita jalani. Jadi, kalau masih ada ibu dan ayah, luangkan masa bersama mereka. Kalau masih ada anak-anak yang mahu bermain dengan kita, letakkan telefon dan bermainlah bersama mereka dan jika ada sahabat lama yang masih boleh dihubungi, bertanyalah khabar.

Kerana suatu hari nanti, perkara yang kita anggap biasa hari ini mungkin menjadi kenangan yang paling kita rindukan. Dan mungkin apabila kita sudah tua nanti, kita tidak akan mengingati berapa banyak telefon yang pernah kita miliki, berapa banyak likes yang kita dapat atau berapa banyak masa yang kita habiskan di media sosial.

Kita mungkin hanya akan tersenyum apabila teringat, “Dulu aku pernah berlari, bermain dan ketawa bersama kawan-kawan sampai lampu jalan menyala. Kemudian aku pulang dengan badan kotor, kaki penat dan hati yang sangat bahagia."
Itulah zaman kanak-kanak kita. Sederhana, bising, kotor dan penat. Tetapi indah. Dan ya... Mungkin itulah antara hari-hari terbaik yang pernah kita lalui.

.
Bahagia Itu Datangnya Dari Hati. Tapi itulah yang cuba kita lupakan apabila kita semakin dewasa.

Dulu, kita tidak punyai banyak perkara tetapi kita tahu bagaimana untuk menikmati apa yang ada. Kita boleh bahagia hanya dengan sebuah basikal, beberapa orang kawan, sebiji bola dan sepetang masa yang panjang.

Hari ini kita mungkin sudah memiliki jauh lebih banyak daripada zaman kanak-kanak dahulu. Tetapi mengapa hati kita kadang-kadang masih terasa kosong?

Kerana bahagia bukan semata-mata tentang apa yang kita miliki. Bahagia bermula daripada bagaimana kita melihat dan menghargai apa yang sudah ada.

.
Dalam buku Hidup Kena Kuat, saya kongsikan satu bab yang bertajuk “Bahagia Itu Datangnya Dari Hati.” Bab ini mengajak kita untuk berhenti seketika daripada mengejar apa yang belum kita miliki dan belajar menikmati kehidupan yang sedang kita jalani.

Kita tidak perlu menunggu kaya untuk bahagia, tidak perlu menunggu hidup sempurna untuk tersenyum dan tidak perlu menunggu semua masalah selesai untuk menikmati hari ini. Belajarlah bahagia dengan apa yang ada. Kerana mungkin suatu hari nanti, kita akan merindui perkara-perkara sederhana yang hari ini kita anggap biasa.

Hidup Kena Kuat, kerana hidup tidak selalu memberikan apa yang kita mahu, tetapi kita masih boleh memilih untuk menghargai apa yang telah Allah berikan. Bahagia itu bukan menunggu kehidupan menjadi sempurna.

Bahagia itu bermula apabila hati belajar menerima, menghargai dan mensyukuri kehidupan yang sedang kita jalani.

.
DR.Usrynorie

No comments:

Dulu Kita Bermain Sampai Lampu Jalan Menyala

  Kalau anda termasuk dari anak-anak yang membesar pada zaman 80-an dan 90-an, bila mengimbau kembali zaman itu, mungkin anda akan tersenyu...