Masih ingat lagi bagaimana kehidupan kita ketika kecil? Rumah kita mungkin hanya sebuah rumah kampung yang sederhana. Lantainya simen dan ada juga yang masih berlantaikan papan. Bila hujan lebat, bunyi titisan air di atas bumbung zink menjadi muzik yang menemani malam. Kita tidak mempunyai bilik yang besar. Kadang-kadang adik-beradik tidur berhimpit di atas tilam yang sama. Kipas siling menjadi "pendingin hawa" yang paling mewah ketika itu. Namun anehnya, kita tetap tidur dengan lena.
Tentu kita masih ingat lagi apabila emak memasak ikan goreng, sambal belacan dan sayur kangkong. Itulah lauk yang kita makan beramai-ramai di atas tikar mengkuang. Tidak ada ayam masak merah, ikan siakap tiga rasa atau tomyam campur. Apatah lagi makanan segera seperti KFC atau Pizza. Lepas makan tidak ada pencuci mulut yang mewa selepas makan. Jika ada pun mungkin sekadar sebiji pisang Jelai Berangan atau pisang Kapas. Jika ada rezeki lebih, mungkin mak akan goreng jemput-jemput pisang. Tetapi entah mengapa, setiap suapan terasa begitu sedap. Bukan kerana makanannya luar biasa tetapi kerana kita menikmatinya bersama keluarga.
Petang-petang pula, lepas balik dari mengaji Quran di rumah Atuk, kita berlari keluar rumah. Kadang kita main galah Panjang, kadang tu kita main guli. Tak pun main polis sentry atau main getah, sampai la azan Maghrib berkumandang. Bila emak memanggil dari dapur, " Yus.. Balik mandi!" Kita pura-pura buat tidak dengar. Dan Ketika itu ayah pun datang bawa ‘manggar kelapa’. Hambat kita supaya balik ke rumah. Ketika itu, dunia terasa begitu luas. Masalah terbesar kita hanyalah siapa yang kalah bermain.
Zaman tu tak ada telefon pintar,tak ada media sosial dan tak ada internet. Tetapi kita memiliki sesuatu yang hari ini semakin sukar dicari. Iaitu ‘Rasa cukup’. Kita menghargai apa yang ada. Kita gembira dengan perkara-perkara yang sederhana. Tapi hari ini rumah kita mungkin lebih besar, kereta lebih selesa, telefon bertukar hampir setiap beberapa tahun dan pendapatan jauh lebih tinggi berbanding ibu bapa kita dahulu.
Namun mengapa hati kita semakin sukar merasa puas?
Jawapannya mungkin kerana dahulu kita membandingkan diri dengan adik-beradik di halaman rumah tetapi hari ini kita membandingkan diri dengan berjuta-juta orang di media sosial. Dahulu kita melihat kehidupan sebenar tapi hari ini kita melihat "highlight" kehidupan orang lain. Kita melihat gambar percutian mereka di Langkawi atau Medan, kita melihat kejayaan mereka, kita melihat rumah baharu mereka. Tetapi kita lupa untuk melihat satu perkara iaitu, hutang mereka! Kita tidak melihat air mata mereka. Kita tidak melihat kegagalan yang mereka sembunyikan. Lalu tanpa sedar kita mula merasakan hidup sendiri tidak cukup baik.
Sedangkan jika kita kembali mengimbau zaman kecil dahulu, kita akan sedar bahawa kebahagiaan tidak pernah bergantung pada banyaknya harta. Kebahagiaan lahir daripada hati yang tahu menghargai. Hakikatnya, setiap fasa kehidupan mempunyai tujuan yang tersendiri. Masa kecil, Allah mengajar kita tentang kasih sayang melalui pelukan ibu. Semasa remaja, kita belajar tentang persahabatan, harapan dan kekecewaan dan apabila dewasa, kita belajar tentang tanggungjawab, pengorbanan dan mencari rezeki. Ada pula waktunya kita diuji dengan kehilangan orang yang kita sayang. Pada ketika itu, kita belajar bahawa masa bersama insan tersayang adalah nikmat yang tidak boleh dibeli.
Tidak ada satu pun musim dalam hidup yang sia-sia. Musim senang mengajar kita bersyukur, musim susah mengajar kita untuk bersabar, musim gagal mengajar kita supaya bangkit dan musim berjaya pula mengajar kita supaya tidak sombong. Seperti pokok getah yang menggugurkan daun apabila tiba musim tertentu, kehidupan kita juga melalui musim yang berbeza. Daun yang gugur bukan bererti pokok itu mati. Ia sedang bersedia untuk mengeluarkan pucuk baru.
Begitu juga manusia. Ada masa kita kehilangan pekerjaan, ada masa kita kecewa dalam perniagaan, ada masa kita gagal mencapai impian. Tetapi itu bukan penamat cerita. Mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik, atau sedang membentuk diri kita menjadi lebih matang sebelum menerima nikmat yang lebih besar. Justeru, jangan terburu-buru membenci musim yang sedang kita lalui kerana mungkin musim itulah yang sedang membentuk siapa diri kita pada masa hadapan.
Allah mengingatkan kita bahawa kehidupan memang akan melalui pelbagai bentuk ujian. Firmannya yang bermaksud, “Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”( Surah al-Baqarah, 155)
Cuba renung sejenak. Jika suatu hari nanti kita dapat kembali ke zaman kanak-kanak walaupun hanya untuk satu petang, apakah yang paling kita rindui? Bukan televisyen yang lebih besar, bukan telefon pintar, juga bukan kereta mewah. Tetapi kita merindui makan bersama keluarga, kita merindui gelak ketawa adik-beradik, kita merindui suara emak memanggil pulang sebelum malam dan kita merindui ayah yang mengajar kita menunggang basikal di hadapan rumah.
Rupanya, perkara yang paling kita rindui hari ini ialah perkara yang suatu ketika dahulu kita anggap biasa. Itulah sebabnya kita perlu belajar menghargai kehidupan yang sedang kita lalui sekarang.
Mungkin hari ini ibu masih ada untuk kita peluk, mungkin ayah yang masih sempat kita telefon, mungkin anak-anak masih mahu duduk berbual dengan kita sebelum tidur. Justeru, jangan tunggu semuanya menjadi kenangan baru kita sedar betapa berharganya saat-saat itu.
Hargailah rumah yang kita diami, walaupun tidak sebesar rumah orang lain. Syukurilah pekerjaan yang kita miliki, walaupun belum bergaji seperti yang kita impikan dan sayangilah keluarga yang Allah amanahkan kepada kita, walaupun mereka tidak sempurna kerana suatu hari nanti, kita mungkin akan menoleh ke belakang dan berkata, "Rupa-rupanya, inilah hari-hari yang paling indah dalam hidup aku."
Terima musim kehidupan dengan hati yang lapang Dalam buku Hidup Kena Kuat, khususnya dalam bab "Terima Diri Seadanya", saya mengajak pembaca untuk melihat kehidupan daripada sudut yang berbeza.
Kita tidak perlu menunggu hidup menjadi sempurna untuk berasa bahagia. Sebaliknya, belajarlah menerima diri, menghargai setiap musim kehidupan dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan. Kerana apabila kita berhenti mengejar kehidupan orang lain, kita akan mula menghargai kehidupan sendiri.
Dan di situlah lahirnya ketenangan yang sebenar.
.
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment