Kadang-kadang saya terfikir tentang zaman kanak-kanak kita dahulu, betapa sederhananya hidup kita. Kita tidak banyak bertanya, tidak banyak memilih dan tidak banyak meminta. Kalau ibu masak nasi dengan ikan goreng, itulah yang kita makan, kalau ada telur dadar, kita makan telur dadar, kalau lauk hanya ikan masin dengan sambal, kita tetap makan dengan berselera. Malah kalau mak hidangkan nasi semalam yang dipanaskan semula pun, kita makan juga.
Tidak pernah kita berkata,"Mak, saya nak chicken chop." "Ayah, kenapa tak ada ayam gulai?" Sebab pada zaman itu, kita tahu satu perkara yang mudah, Apa yang ada di atas meja, itulah rezeki kita.Dan peliknya, kita tetap bahagia.
Kita boleh makan nasi dengan ikan goreng sambil berebut dengan adik-adik. Kadang-kadang ikan yang besar diberikan kepada abang atau ayah. Kita yang kecil hanya mendapat bahagian ekor. Tetapi kita tetap makan. Bahkan ekor ikan itu pun terasa sedap.
Hari ini, kehidupan kita sudah jauh berubah. Kita mempunyai lebih banyak pilihan. Buka sahaja telefon, macam-macam makanan boleh dipesan melalui applikasi di telefon bimbit kita, nak ayam goreng, ada, nak burger, ada, nak makan makanan Korea, Jepun, Barat atau makanan viral, semuanya ada. Tetapi semakin banyak pilihan yang kita ada, kadang-kadang semakin susah kita merasa cukup.
Sebab apa? Sebab, dulu, kita makan kerana lapar tapi sekarang, kita makan kerana teringin. Dulu, kalau ada lauk, kita bersyukur tapi sekarang, kita mungkin mengeluh kerana lauk yang dihidangkan tidak menepati selera. Dulu kita memakai baju yang ibu belikan, walaupun bukan jenama terkenal, namun kita pakai dengan bangga tapi hari ini, kita berasa malu kalau pakaian kita tidak mengikut trend. Dulu kita menaiki basikal buruk tapi hari ini, kita membandingkan kereta kita dengan kereta orang lain. Dulu rumah kita mungkin kecil dan sederhana tetapi kita boleh tidur dengan nyenyak. Tapi sekarang rumah semakin besar, tetapi hati pula semakin banyak perkara yang difikirkan.
Apa sebenarnya yang berubah?
Mungkin bukan kehidupan kita yang berubah semata-mata tetapi cara kita melihat kehidupan. Ketika kecil, kita menerima banyak perkara dengan seadanya kerana kita belum mengenal terlalu banyak pilihan. Kita tidak tahu bahawa ada orang makan di restoran mahal, kita tidak tahu bahawa ada orang bercuti ke luar negara dan kita juga tidak tahu bahawa ada orang memiliki rumah besar dan kereta mewah.
Jadi kita tidak banyak membandingkan. Kita hanya tahu apa yang ada di depan mata. Dan apa yang ada itu sudah cukup membuatkan kita bahagia. Tetapi apabila dewasa, dunia menjadi lebih luas. Kita melihat kehidupan orang lain setiap hari. Media sosial menunjukkan rumah orang, kereta mahal orang, percutian orang, makanan orang dan kejayaan orang. Lama-kelamaan, kita mula melihat kehidupan sendiri dengan rasa tidak cukup.
Kita lupa bahawa apa yang kita lihat pada kehidupan orang lain hanyalah sebahagian kecil daripada cerita mereka. Kita melihat gambar mereka sedang bercuti, tetapi kita tidak melihat masalah yang mereka bawa pulang. Kita melihat kereta mereka, tetapi kita tidak tahu komitmen kewangan mereka dan kita melihat kejayaan mereka tetapi kita tidak melihat bertahun-tahun mereka berusaha untuk sampai ke sana.
Akhirnya, kita mula bertanya, "Kenapa hidup aku tak macam mereka?"
Sedangkan mungkin kehidupan yang kita miliki hari ini ialah kehidupan yang suatu ketika dahulu pernah kita doakan. Kita pernah berdoa supaya mempunyai pekerjaan dan hari ini kita bekerja, tetapi kita mengeluh kerana penat. Kita pernah berdoa mempunyai keluarga, hari ini kita mempunyai pasangan dan anak-anak, tetapi kita terlalu sibuk sehingga lupa menikmati masa bersama mereka. Kita pernah berharap mempunyai rumah sendiri dan hari ini kita sudah ada rumah, tetapi kita sibuk memikirkan rumah yang lebih besar.
Begitulah manusia.
Apabila belum memiliki, kita berusaha mendapatkannya. Apabila sudah memiliki, kita mula mencari yang lain pula. Sebab itu kita perlu belajar menghargai apa yang dimiliki.
Dalam buku Hidup Kena Kuat, saya ada menulis satu bab yang bertajuk “Hargai Apa Yang Dimiliki.”
Bab ini mengingatkan kita bahawa hidup tidak akan pernah terasa cukup jika ukuran kebahagiaan kita sentiasa berdasarkan apa yang belum kita miliki. Belajarlah melihat kembali perkara-perkara kecil yang selama ini kita anggap biasa.
Nasi yang terhidang di atas meja, ibu yang masih boleh kita telefon, ayah yang masih menunggu kepulangan kita, pasangan yang masih menemani kita, anak-anak yang masih mahu bercerita tentang perkara kecil kepada kita, rumah sederhana yang menjadi tempat kita pulang setiap hari dan yang paling penting, kesihatan yang membolehkan kita bangun dan bekerja.
Semuanya adalah rezeki. Dan tidak semua rezeki datang dalam bentuk wang. Kadang-kadang, rezeki ialah seseorang yang masih ada untuk kita, kadang-kadang, rezeki ialah rumah yang sederhana tetapi penuh gelak ketawa. Kadang-kadang, rezeki ialah sepinggan nasi dengan ikan goreng yang dimakan bersama keluarga.
Mungkin suatu hari nanti, apabila kita sudah tua, kita akan teringat kembali zaman kanak-kanak. Kita mungkin tidak akan rindu mainan mahal. Kita mungkin tidak akan rindu makanan segera. Kita mungkin tidak akan rindu pakaian berjenama tetapi kita akan rindu suara ibu memanggil makan. Kita akan rindu ayah duduk di hujung meja, kita akan rindu adik-beradik berebut lauk, kita akan rindu rumah kecil yang dahulu kita fikir terlalu sederhana.
Dan ketika itu kita mungkin baru sedar...
Kita sebenarnya pernah hidup dalam kebahagiaan. Cuma ketika itu kita terlalu kecil untuk menyedarinya. Jadi, jangan tunggu kehilangan sesuatu baru kita belajar menghargainya. Belajarlah melihat apa yang ada hari ini.
Mungkin hidup kita tidak sempurna, mungkin rezeki kita tidak sebanyak orang lain, mungkin rumah kita tidak sebesar rumah mereka, mungkin makanan kita tidak semewah makanan mereka. Tetapi jika masih ada kasih sayang, masih ada keluarga, masih ada tempat untuk pulang dan masih ada rezeki untuk dimakan... Bukankah itu sudah cukup untuk kita katakan, “Alhamdulillah”?
Allah berfirman dalam surah Ibrahim, yang bermaksud, “Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.”(Surah Ibrahim, ayat:34).
Ayat tersebut mengingatkan kita bahawa, kadang-kadang kita terlalu sibuk mengira apa yang kita tidak ada, sampai terlupa menghitung apa yang telah Allah berikan sedangkan bahagia itu sebenarnya bukan tentang memiliki lebih banyak tetapi belajar menghargai apa yang sudah ada. Sebab suatu hari nanti, kita mungkin akan merindui perkara-perkara sederhana yang hari ini kita anggap biasa.
Ingat.. Hidup bukan tentang memiliki segala-galanya. Tetapi hidup adalah tentang belajar menghargai apa yang telah kita miliki sebelum semuanya menjadi kenangan.
.
DR.Usrynorie
.png)
No comments:
Post a Comment