Terdapat pelbagai cara atau taktik yang digunakan oleh usahawan yang menjalankan perniagaan untuk memperkenalkan jenama perniagaan atau produk mereka. Aktiviti ini adalah penting kerana sekiranya bakal pelanggan tidak mengenali anda dan produk atau perkhidmatan anda, peluang untuk mereka membeli dari anda adalah tipis.
Tambahan pula di zaman kegawatan ekonomi seperti sekarang ini. Tahap persaingan menjadi semakin sengit berbanding ketika suasana ekonomi stabil. Oleh itu, setiap usahawan atau mereka yang menjalankan perniagaan perlu lebih kreatif bagaimana produk atau perkhidmatan mereka dapat dikenali ramai.
Selain dari membuat promosi berbayar, terdapat beberapa taktik yang boleh anda laksanakan untuk memperkenalkan perniagaan anda kepada masyarakat. Kali ini kita akan membincangkan tiga tips mudah bagaimana untuk membantu anda memperkenalkan jenama atau perniagaan anda kepada masyarakat umum, terutamanya jika anda baru saja membuka perniagaan sendiri.
1. Menjaga hubungan baik dengan pelanggan
Margin keuntungan yang bakal anda perolehi adalah bergantung kepada berapa besar atau saiz perniagaan yang anda jalankan. Jika anda menjalankan perniagaan menjual rumah atau hartanah, sudah pasti margin yang diperolehi adalah besar. Sekali anda dapat buat 'sale', keuntungan yang diperolehi itu boleh dimakan untuk dua atau tiga bulan.
Tetapi jika anda hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti menjual pisang goreng di tepi jalan, membuka gerai nasi lemak, atau menjual kosmetik di laman sosial, margin yang anda perolehi adalah kecil. Oleh itu anda perlu membuatkan pelanggan anda gembira dan suka berurusan dengan anda.
Setiap hari, anda perlu mencari satu kaedah bagaimana untuk membuatkan pelanggan anda sentiasa menyokong perniagaan yang anda jalankan. Antaranya ialah seperti memberi diskaun istimewa kepada pelanggan setia atau sesekali anda membelanja pelanggan setia yang datang ke kedai anda dengan tidak mengambil bayaran ke atas beberapa produk terpilih atau mengenakan harga kos sahaja ke atas produk tersebut. Kegembiraan ini pastinya akan dikongsi oleh pelanggan tadi kepada rakan dan kawan mereka.
2. Bina hubungan dan perluaskan 'networking'.
Selalulah berhubung dengan jiran dan rakan dari masa ke semasa walaupun anda mungkin sebok menguruskan perniagaan seharian. Pastikan anda meluangkan masa mengunjugi majlis keramaian atau kenduri kendara apabila dijemput. Di sini anda berpeluang untuk mengenali rakan baru dan mungkin berpotensi menjadi pelanggan. Jika tidak keberatan dan berkemampuan, anda boleh tawarkan kepada tuan rumah atau individu yang menjemput anda ke majlis kenduri atau keramaian tadi untuk menaja satu atau dua menu sebagai menghargai jemputan. Secara tidak langsung ia akan mengeratkan lagi hubungan anda dengan tuan rumah dan sahabat-sahabat beliau.
3. Tunjukkan kelebihan produk atau perkhidmatan anda bukannya menjual.
Dalam perniagaan, anda perlu sentiasa mencari peluang untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan anda kepada mereka yang dijangka menjadi pelanggan anda. Anda perlu tunjukkan dengan rasa yakin bagaimana produk atau perkhidmatan anda dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Jangan sesekali memaksa atau menjual kepada mereka kerana 80% bakal pelanggan tidak suka kita menjual, sebaliknya mereka lebih suka mendengar atau melihat sendiri bagaimana produk atau perkhidmatan kita dapat membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Setelah selesai membuat penerangan atau mungkin juga demosntrasi kepada mereka, jangan sesekali memaksa atau mengasak pelanggan dengan soalan berunsur jualan.
Anda hanya boleh bekongsi segala kebaikan dan kelebihan produk anda dan terpulang kepada pelanggan untuk membuat penialaian dan keputusan. Di samping mereka tidak merasa tertekan, sikap anda yang tidak terburu-buru membuat jualan juga mungkin menarik minat bakal pelanggan dan berpotensi untuk beliau menceritakan kelebihan produk atau perkhidmatan anda kepada sahabat atau rakannya yang lain.