Thursday, 4 November 2021

Terima kekurangan diri dan manafaatkannya

 


Tuhan telah menciptakan manusia ini dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tidak semua orang memiliki kesempurnaan. Oleh itu kita kena belajar untuk mensyukuri kelebihan yang diberi dan bersabar tehadap kekurangan yang kita ada.
Seperti kisah yang abam nak kongsi pagi ini.
.
.
.
Kononnya, pada zaman dahulu ada seorang tua yang tinggal di dalam sebuah pondok yang terletak di atas bukit. Memandangkan kedudukan rumahnya tidak ada sumber air, beliau terpaksa mengangkut air dari perigi yang terletak di kaki bukit tersebut. Setiap hari beliau akan mengangkut air dari perigi ke rumahnya menggunakan dua buah tempayan.
Pada satu hari, sedang beliau mengangkut air, tiba-tiba kakinya tersadung dan beliau terjatuh. Habis tempayannya tergolek ke bawah. Beliau kemudiannya pergi mendapatkan semula tempayannya untuk mengangkut air semula. Malangnya, salah satu dari tempayannya telah retak. Namun disebabkan beliau tidak mempunyai 'bajet' untuk beli tempayan baru, orang tua itu tetap menggunakan tempayannya yang retak tadi.
Jika sebelum ini orang tua itu dapat membawa balik dua tempayan air pada setiap hari tetapi sekarang dia hanya dapat membawa balik air sebanyak satu setengah tempayan saja ke rumahnya disebabkan oleh tempayan yang retak itu hanya mampu membawa pulang separuh saja air di dalamnya. Air yang selebihnya akan tercicir di sepanjang jalan kerana ia melelh keluar melalui rekahan yang terdapat pada tempayan tadi.
Ini menyebabkan tempayan retak mula merasa malu akan ketidaksempurnaannya.
Lalu tempayan retak itu berkata kepada orang tua itu, " Aku berasa malu dengan diriku dan ingin memohon maaf kepadamu, ".
"Kenapa?" tanya orang tua itu. "Kenapa kamu berasa malu?"
"Saya hanya mampu membawa setengah dari air yang jumlah yang sepatutnya saya bawa disebabkan adanya retakan pada badan saya. Ia telah membuat air yang dibawa itu menetes di sepanjang jalan menuju ke rumah kita. Disebabkan kecacatan aku, kamu tidak lagi dapat membawa balik air yang banyak ke rumah kita ini " kata tempayan itu.
Orang tua itu berasa kasihan kepada tempayan retak tadi dan dia pun berkata, " Jika kita balik dari mengangkut air esok, aku ingin kamu memerhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan, ".
Keesokan harinya, sewaktu dalam perjalanan dari perigi tempat orang tua itu mengambil air sehingga ke rumahnya, tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari adanya bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan. Pemandangan ini membuatkannya sedikit terhibur.
Namun apabila sampai di rumah,dia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah habis dan sekali lagi meminta maaf di atas kegagalannya.
Orang tua itu pun berkata kepadanya, " Adakah kamu sedar bahawa terdapat bunga-bunga di sepanjang jalan di sisimu tetapi tidak ada pun bunga yang tumbuh pada sisi jalan tempayan yang tidak retak?
"Ya tuan, tapi aku masih tidak mengerti".
"Wahai tempayan retak. aku telah menyedari akan kecacatanmu. Oleh itu aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan sisimu, dan setiap hari apabila kita pulang dari perigi, air yang mengalir keluar dari ceahan badanmu yang retak itu secara tidak langsung telah menyiram pokok-pokok bunga di sepanjang jalan itu. Sejak dari itu juga aku selalu memetik bunga-bunga yang indah untuk menghiasi meja di rumah kita ini. Aku rasa, tanpa kamu mana mungkin aku dapat memetik bunga dan menghias meja makan di rumah kita sekarang, ".
Apa yang dapat diambil dari cerita tersebut ialah setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing. Namun setiap sesuatu itu ada kegunaan dan fungsinya yang tersendiri.
Kita andaikan tempayan yang retak itu sebagai kelemahan diri, manakala tempayan yang elok pula diumpamakan sebagai kekuatan atau kelebihan diri.
Orang tua itu tahu bahawa tempayan retak itu akan mengalirkan air di sepanjang jalan ke rumahnya kerana ada rekahan di badannya. Oleh itu dia pun cari jalan bagaimana untuk memanafaatkan kelemahan tempayan retak itu agar dia dapat digunakan untuk menggembirakan orang lain.
Begitu juga dalam kehidupan kita ini. Kita perlu belajar untuk terima kelemahan diri. Walaupun kekurangan kita itu mungkin tidak boleh diubah tetapi kita masih boleh manafaatkan kekurangan atau kelemahan kita tadi untuk mejadikan hidup kita lebih menarik.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...