Sunday, 17 January 2016

Peniaga kecil dan strategi (bahagian akhir).

Entri: 19
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image



Sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, ramai di kalangan peniaga kecil ini terutamanya peniaga bumiputra kurang memberi perhatian terhadap kepentingan strategi dalam perniagaan mereka. Mereka lebih mempercayai kepada pendapat yang menyatakan bahawa untuk berjaya dalam   apa jua perniagaan, mereka perlu kepada idea yang  bernas, mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi dan  disusuli  oleh usaha yang berterusan.

Pada pandangan mereka, berbekalkan minda yang positif dan keyakinan yang tinggi, segala halangan dan cabaran yang timbul dalam perniagaan akan dapat diatasi dengan mudah. Dengan mempunyai minda positif juga mereka percaya  mereka akan dapat menarik lebih banyak perkara-perkara positif ke dalam hidup mereka. Dengan ini mereka akan menjadi lebih optmis dan seterusnya memberi idea-idea baru  bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang sedang mereka hadapi. Malah ada juga di kalangan peniaga kecil ini mengharap 'keajaiban' akan berlaku dalam perniagaan yang diusahakan itu hanya bersandarkan kepada fikiran positif semata-mata.  Mereka percaya jika diri mereka sentiasa berada dalam suasana positif, lambat laung kejayaan akan menghampiri mereka dengan tidak disangka-sangka.

Sebenarnya, pendapat atau pegangan sebegini adalah silap sama sekali. Walaupun anda mempunyai idea yang bagus, mampu mengawal minda supaya sentiasa berada dalam suasana positif dan dikelilingi pula oleh rakan-rakan yang positif yang sentiasa  memberi semangat  dan tenaga 'super tambahan', namun ia masih belum menjamin untuk anda berjaya dalam perniagaan yang anda usahakan. Walaupun minda positif akan menarik banyak peristiwa postif ke dalam hidup anda tetapi ia hanyalah secara kebetulan sahaja. Dengan menjaga emosi sahaja tanpa membuat apa-apa perancangan sistematik bagaimana untuk anda mencapai obejektif, ia sekadar mimpi kosong atau 'day dreaming' semata-mata ( Michelson & Michelson.,2010).

Mempunyai minda  positif sahaja tanpa membuat perancangan yang sistematik ketika anda  ingin membuat sesuatu tindakan adalah amat berisiko. Ia seumpama anda  berhasrat untuk  menyeberang sebatang sungai yang dipenuhi oleh buaya ganas tanpa menggunakan sebarang peralatan seperti perahu atau sampan. Hanya dengan berbekalkan kepada kepercayaan dan fikiran yang positf  anda  pun terjun dan berenang tanpa mempedulikan akan bahaya yang bakal ditempuh. Hasilnya, anda bukan saja tidak sampai ke seberang dengan selamat tetapi jasad anda juga telah lenyap dibaham oleh buaya. Dalam situasi ini, anda tak ubah seperti seorang 'penjudi nasib'. Hanya bertindak mengikut gerak hati tanpa menilai risiko yang bakal dihadapi.

Memang diakui bahawa untuk mencapai kejayaan dalam hidup, kita perlu bermotivasi dan  berfikiran postif. Teori  'law of attraction' juga ada mengatakan, 'apa yang  difikirkan oleh individu itu  merupakan harapan atau doa dan jika ia difikirkan secara bersungguh-sungguh, diucapkan dengan penuh harapan, disusuli oleh imiginasi secara berterusan, satu hari nanti 'harapan' atau 'doa' tersebut akan menjadi kenyataan kepada individu tadi. Pengikut dan pengamal hukum 'law of attraction' ini percaya bahawa dengan 'berimiginasi' secara sistematik dan berterusan, ia akan mengaktifkan minda separa sedar kita untuk  menerima apa 'hajat' yang ingin dicapaiApabila kita melakukannya berulang kali, lama-kelamaan minda separa sedar  ini akan terbiasa dengan 'hajat' tersebut dan ia sedikit demi sedikit menarik elemen positif  untuk bertindak untuk menukar 'hajat' tadi mejadi kenyataan.

Persoalan di sini ialah, adakah hanya dengan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi serta kemampuan  untuk 'berimiginasi' semata-mata mampu untuk mengubah diri kita dari keadaan sekarang kepada suasana yang lebih baik? Adakah kejayaan yang dinikmati oleh Tan Sri Mokhtar Al Bukhari, Tan Sri Mustapha Kamal mahupun Tony Fernandez  itu disebabkan oleh fikiran positif dan keupayaan mereka berimiginasi semata-mata? cari buku-buku yang membincangkan berkenaan tokoh-tokoh ini dan buat kajian anda sendiri. Bagaimana mereka boleh berada di tahap seperti sekarang? Malah, ada beberapa pengkaji telah mengkritik teori 'law of attraction' ini dan berjaya membuktikan bahawa teori tersebut tidak berkesan untuk mengubah kehidupan kita jika tidak disusuli oleh perancangan dan tindakan yang sistematik . Anda boleh terus berimiginasi tentang apa yang ingin dicapai tetapi anda tidak boleh berhenti setakat itu sahaja. Anda perlu merancang dan bertindak bukannya sekadar bermimpi dan mengharap ( Wright.,2009 Mason.,2015 &, Rappoport.,2015).

Kejayaan tokoh-tokoh korporat tadi adalah disebabkan oleh kebijaksanaan mereka membuat perancangan bukannya kerana kebolehan mereka berimaginasi semata-mata. Mereka percaya bahawa untuk berjaya perlu kepada perancangan dan tindakan sistematik bukan hanya bergantung kepada nasib. Oleh itu mereka akan merancang terlebih dahulu sebelum memulakan satu-satu projek bisness. Mereka akan membuat kajian secara menyeluruh tentang pasaran yang akan dimasuki, mengupul data yang berkaitan, membuat pelan tindakan yang sistematik dan bertindak mengikut pelan yang telah dirancang itu. Barulah kejayaan yang diharapkan itu menjadi kenyataan.

Begitu juga untuk menang di dalam satu-satu peperangan yang bakal disertai. 'Sebelum seseorang general itu membuat keputusan untuk melancarkan peperangan, beliau  hendaklah  membuat perancangan terlebih dahuluWalaupun beliau adalah seorang general yang cekap dan mempunyai tentera yang ramai, namun beliau perlu membuat persediaan. Beliau memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk  membuat benteng pertahanan, melatih tentera dan menyiapkan peralatan perang. Setelah semuanya lengkap dan  yakin bahawa kejayaan bakal berpihak kepadanya, barulah jeneral tersebut boleh menggerakkan tentera di bawah pimpinannya menghadapi serangan musuh ' (Sun Tzu.,514 SM).


Dari sejarah peperangan yang diketuai oleh Sun tzu ini, ia menunjukkan bahawa  perancangan sistematik dan berstrategi merupakan faktor penting dalam menentukan  kemenangan sesebuah pasukan tentera di medan perang. Walaupun pasukan tentera itu dilengkapi senjata yang canggih serta mempunyai bilangan askar yang ramai, tetapi jika general yang memimpin pasukan itu  tidak  pandai membuat perancangan dan menyerang kubu musuh tanpa menggunakan strategi tertentu, kemungkinan untuk beliau menang dalam peperangan tersebut adalah tipis. Tambahan pula jika kubu musuh itu dilengkapi dengan sistem pertahanan yang kukuh. 

Begitu juga dalam dunia perniagaan. Seandainya pengurus sesebuah syarikat itu tidak mempunyai kemahiran dalam membuat  perancangan dan membuat keputusan, tetapi hanya bergantung kepada nasib dan pemikiran yang positif semata-mata, perniagaan yang beliau jalankan itu tidak akan  bertahan lama. Sekadar hanya mampu 'berimaginasi' dan kemudiannya anda berharap kepada keajaiban  minda separa sedar untuk bekerja bagi pihak anda  tetapi dalam masa yang sama anda tidak tahu bagaimana untuk membuat perancangan secara sistematik, kejayaan yang diharapkan itu tidak akan dicapai. Malah anda akan gagal di pertengahan jalan Ia bersesuaian dengan pepatah inggeris yang berbunyi,'' if fail to plan, you are planning to fail''.
Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang. 


No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...