Wednesday, 6 January 2016

Peniaga kecil (sambungan)

Entri: 17
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image




Mengikut Hashim (2011), 90% dari perniagaan yang wujud di Malaysia ini dikuasai oleh golongan peniaga kecil dan sederhana (SME). 

Golongan ini menjadi penyumbang terbesar kepada pembangunan ekonomi negara kita sejak bertahun-tahun lamanya. Misalnya, pada tahun 2013, industri kecil dan sederhana telah menyumbang sebanyak 40% daripada keluaran negara kasar (KDNK) Malaysia (Utusan Sarawak.,2013).

Perniagaan kecil- kecilan seperti perniagaan memproses santan, menjahit pakaian, menjadi agen produk kecantikan atau makanan kesihatan secara ‘online’, menjual aiskrim di taman-taman permainan, menjual buah-buahan potong di depan sekolah atau di tepi jalan, berniaga  pisang goreng atau pun  menjual apam balik dan ayam goreng di pasar malam tidaklah sehebat atau setanding jika dibandingkan dengan perniagaan yang bertaraf multinasional yang beroperasi pula di bangunan pejabat yang berhawa dingin. 

Walaupun perniagaan yang diusahakan itu nampak  ringkas dan  tidak  mempunyai papan tanda yang besar untuk ditunjukkan kepada ahli keluarga atau kawan-kawan terdekat malah tidak pula beroperasi di bangunan yang berhawa dingin, tetapi dengan kebijaksanaan mereka mempraktiskan strategi perniagaan yang betul dan pandai pula memilih segmentasi pelanggan, mereka juga mampu mengumpul kekayaan sebagaimana individu yang mengusahakan perniagaan bertaraf korporat. Bezanya ialah nama mereka (peniaga kecil-kecilan) ini tidaklah tersenarai dalam 100 orang yang terkaya di Malaysia.

Namun, jika anda mengenali mereka secara peribadi, anda akan kagum dengan pencapaian mereka.  Walaupun mereka  cuma berperwatakan sederhana atau biasa-biasa tetapi mereka mampu memandu kereta berjenama, membeli rumah bernilai jutaan ringgit, dan mampu pergi mengerjakan haji dan umrah dua tiga kali. Malah mereka juga sering terbang ke luar negara  setiap tahun untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Di samping itu, mereka juga mempunyai simpanan bernialai ratusan ribu ringgit sama ada di dalam unit amanah ataupun di Tabung Haji.

Satu contoh perniagaan yang  pada mulanya hanya diusahakan secara kecil-kecilan dan kemudiannya berkembang menjadi sebuah perniagaan bertaraf international ialah Perniagaan Yee Hup Holding Sdn Bhd. 

Tidak siapa yang menjangka bahawa perusahaan tradisional yang diusahakan secara kecil-kecilan di belakang rumah itu boleh berkembang maju dan mencapai taraf internasional. Perniagaan ini dimulakan secara kecil-kecilan oleh sepasang suami isteri iaitu Mr Yee dan Madam Wong di rumah mereka di Gunung Rapat, Ipoh. 

Pada tahun 1981, berbekalkan resipi keluarga, pasangan suami isteri ini telah memulakan perusahaan membuat biskut secara tradisional.  Pasangan suami isteri ini  hanya menggunakan oven yang mereka buat sendiri untuk menghasilkan biskut. Untuk menjimatkan kos, mereka hanya menggunakan sabut dan tempurung kelapa sebagai bahan api untuk membakar biskut  kerana jika menggunakan arang kayu, kosnya adalah mahal.  

Pada mulanya produk mereka hanya di jual kepada jiran dan kawan-kawan yang tinggal di sekitar Ipoh. Namun dengan kesabaran, kerajinan serta menitik beratkan kepada penjagaan kualiti dan cita rasa asli, biskut mereka semakin mendapat tempat dan  di kenali di seluruh negeri Perak. 

Sepuluh tahun kemudian mereka terpaksa menggunkan mesin automatik  dalam proses pengeluaran biskut yang telah mendapat sambutan yang semakin meluas. Pada masa itu produk mereka semakin dikenali sehingga ke seluruh negara. Untuk menambah kepercayaan pelanggan dan menjaga kualiti produk, Yee Hup Holding telah membuat penjenamaan kepada produk keluaran mereka. Hasilnya, permintaan terhadap produk semakin meningkat dan kali ini berjaya  menembusi pasaran luar negara. Setakat artikel ini ditulis, produk mereka telah berjaya merentasi sempadan negara sehingga ke Singapura, Amerika Syarikat, China, Australia,Paris, London, German dan Belanda. 

Kisah kejayaan mereka ini menunjukkan bahawa perniagaan kecil-kecilan juga sebenarnya mampu memberi pulangan yang lumayan kepada pengusahanya sebagaimana perniagaan yang berskala besar, asalkan ia diurus dengan betul. Walaupun margin keuntungan yang diperolehi oleh peniaga kecil ini hanya sekitar 5%- 10% sahaja untuk satu-satu produk yang dijual, tetapi dengan kerajinan mereka mengkaji kehendak pasaran dan mempraktiskan strategi perniagaan yang betul mereka juga mampu membuat keuntungan sehingga mencecah ratusan ringgit sehari.

Walaupun perniagaan yang dimulakan itu mungkin pada mulanya adalah sebuah perniagaan kecil-kecilan dan diusahakan di belakang rumah, tetapi dengan usaha yang berterusan dan tahu membuat segmentasi pasaran, ramai peniaga kecil ini dapat menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan malah melebihi pendapatan mereka yang bekerja makan gaji yang mengharapkan gaji bulanan.

Kesimpulan dari perbincangan ini dapat kita katakan bahawa dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan juga mampu menjadikan anda senang walaupun bukan bertaraf jutawan. Walaupun perniagaan yang diusahakan itu menghasilkan keuntungan yang sedikit namun dengan ketekunan dan pandai mempraktiskan strategi serta mempunyai pelan  pemasaran yang effektif, perniagaan tersebut mampu berkembang menjadis ebuah perniagaan yang bertaraf korporat.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...