Wednesday, 30 December 2015

Peniaga Kecil (Pengenalan)

Entri: 16
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google




Ramai yang mengimpikan untuk mempunyai sebuah perniagaan yang berskala besar atau bertaraf korporat. Mengikut perkiraan mereka, perniagaan yang diusahakan secara besar-besaran ini pasti akan memberi pulangan yang besar juga. Bila sekali dapat buat ‘sale’ - mereka boleh menjana keuntungan  beribu ringgit, malah ada yang mencecah sehingga puluhan ribu ringgit sebulan.

Individu seperti Bill Gates, Donald Trump, Sony Morita dan Henry Ford sering dijadikan inspirasi untuk mereka terus berusaha setiap hari. Manakala senarai jutawan Malaysia seperti  Tan Sri Syed Mohktar Al-Bukhari, Tan Sri Mustaffa Sri Mustapha Kamal, Tan Sri Ananda Krishnan, dan Tony Fernandez juga meniti di bibir masing-masing dan juga dijadikan contoh sebagai pembakar semangat untuk mereka berusaha. 

Malah jenis perniagaan yang individu-individu jalankan juga menyebabkan minda kita sentiasa berfikir untuk meniru cara, tindakan dan gaya mereka dalam berbisnes. Lantaran inilah ramai yang berhasrat untuk membuka perniagaan yang berskala besar  sehingga terlupa bahawa perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan juga sebenarnya mampu menjana kekayaan.

Jika kita perhatikan di sekeliling, sebenarnya ramai individu  yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan juga boleh hidup senang. Ramai di antara mereka yang  tidak pernah kenal pun siapa itu Donald trump, Sony Morita atau Walt Disney. Nama tan Sri Ananda krishnan pun mereka hanya terjumpa ketika membaca surat khabar sahaja. 

Apa yang mereka tahu ialah apa kekuatan dan kelemahan yang diri mereka miliki. Dengan mengekspoitasikan kekuatan yang  ada dan memperbaiki kelemahan diri, akhirnya mereka berjaya memajukan perniagaan yang diusahakan itu  walaupun terpaksa mengambil masa yang lama untuk menikmati kejayaan.

Sungguhpun perniagaan yang mereka jalankan ini hanya memberi keuntungan yang tak seberapa, namun disebabkan kebijaksanaan 'mencari peluang' di tengah-tengah persaingan yang ada, mereka akhirnya berjaya mengenal pasti kekosongan (gap) yang wujud lalu mereka mengisi ‘gap’ tersebut dengan menawarkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pelanggan. 

Dengan keunikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan itu dan dibantu pula oleh perlaksanaan strategi yang berkesan, perniagaan mereka mula berkembang sedikit demi sedikit

Bermula dengan beberapa orang pelanggan yang biasanya terdiri dari rakan  atau ahli keluarga terdekat, sedikit demi sedikit  perniagaan mereka mula dikenali oleh penduduk setempat. Lama kelamaan perniagaan  itu semakin dikenali dan berkembang. Bermula dengan keuntungan cuma puluhan ringgit sehari kini perniagaan itu mula  menjana keuntungan ratusan  dan mencecah puluh ribu sebulan

Inilah keunikan perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan. Walaupun perniagaan seperti ini tidak menonjol dan tidak 'glamour' sebagaimana perniagaan yang bertaraf korporat, tetapi ia tetap mampu untuk memberi kekayaan kepada mereka yang mengusahakannya. Telah ramai di kalangan mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini menjadi jutawan senyap.

Pepatah inggeris juga ada menyebut, " Better to start small and slowly grows then start big but at the end it burst".  Begitu juga falsafah yang dipegang oleh kebanyakan peniaga kecil ini. Bagi mereka adalah lebih baik mereka bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu dan menggunakan apa yang ada dahulu berbanding mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mengumpul modal bagi membolehkan mereka membuka perniagaan berskala besar tetapi kemudiannya hampa apabila perniagaan itu berakhir dengan kegagalan.

Kepada mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini, masalah kekurangan modal bukanlah menjadi satu halangan untuk mereka berjaya malah masalah ini dijadikan sebagai satu cabaran untuk mendorong mereka berusaha dengan lebih gigih lagi. 

Mereka sedar dan tahu bahawa faktor modal bukanlah  penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan sebaliknya terdapat lagi beberapa eleman atau faktor lain  yang diperlukan untuk  memastikan perniagaan yang diusahakan itu berdaya maju seperti; 
i) Kemahiran dan kebolehan mengurus
ii) Kebijaksanaan merangka dan mempraktiskan strategi 
iii) Kebolehan dan kebijaksanaan membuat segmentasi pasaran.
iv) Kebolehan menarik  dan mengekalkan pelanggan.

Dengan mempunyai keempat-empat elemen ini, ia  mampu memberi kelebihan kepada perniagaan mereka. Malah mereka masih mampu untuk berdiri teguh dan melonjakkan perniagaan mereka di tengah-tengah persaingan  yang wujud, walaupun  beberapa rakan usahawan lain sudah kecundang atau gulung tikar

Oleh itu, adalah tidak salah jika anda juga meniru sikap mereka ini dan membuka  perniagaan anda secara kecil-kecilan terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan secara besar-besaran. Di samping dapat memastikan peluang yang ada di dalam pasaran itu  tidak terlepas ke tangan individu lain, Ia juga boleh dianggap sebagai satu aktiviti 'test market' atau langkah permulaan untuk anda memperkenalkan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan di luar sana.

Di samping itu tindakan ini dapat mengurangkan risiko yang bakal ditanggung sekiranya anda dapati bahawa anda telah tersilap membuat keputusan ketika membuka perniagaan tersebut. Dengan ini anda boleh berhenti pada bila-bila masa saja dari menjalankan perniagaan itu dan anda hanya mengalami kerugian yang kecil saja.
Tambahan pula dunia perniagaan  tidak pernah kenal akan erti belas kasihan kepada mereka yang baru hendak belajar atau  yang ingin berjinak-jinak dengannya. Ia tidak pernah memberi peluang kepada mereka yang tersilap dalam membuat perhitungan. Jika sekali anda tersalah langkah, kerugian bakal menanti anda. Tidak ada istilah 'trial-and-error' dalam dunia perniagaan ini. Ia adalah 'one way street'. Jika anda tersilap membuat keputusan, anda akan menanggung akibatnya dan anda tidak boleh berpatah balik.

Bermula sekarang, lemparkanlah jauh-jauh persepsi negatif terhadap mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini. Janganlah menganggap bahawa mereka yang menjalankan perniagaan seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pilihan. Sebaliknya jika dilihat dari sudut positif, walaupun perniagaan kecil-kecilan ini nampak ringkas namun ia mampu memberi kekayaan kepada mereka yang mengusahakannya. Malah mengikut laporan dari Utusan Sarawak (2013), 40% daripada KDNK negara pada tahun tersebut adalah datangnya daripada aktiviti yang dijalankan oleh peniaga kecil ini.

Sekian untuk kali ini. 

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...