Thursday, 10 December 2015

Strategi dan perniagaan (sambungan)

Entri: 12
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image



Dengan memilih untuk berniaga sendiri dan tidak berkhidmat dengan mana-mana majikan sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, anda bakal menghadapi risiko yang boleh dikatakan besar juga. Anda tidak dapat menjamin untuk memperolehi pendapatan yang stabil pada setiap bulan sebagaimana pekerja yang makan gaji dengan majikan. 

Pendapatan anda tidak menentu, malah jika tersilap membuat perhitungan, harta benda yang anda miliki juga berada dalam bahaya. Terutamanya kepada mereka yang membuat pinjaman dengan institusi perbankan dan mencagar harta mereka sebaga cagaran pinjaman bagi memulakan perniagaan.

Di samping itu, anda juga mempunyai masa yang terbatas. Anda  tidak mempunyai  masa untuk menghadiri majlis kenduri atau keramaian di rumah rakan-rakan. Masa dengan keluarga juga terhad kerana anda lebih banyak menumpukan perhatian kepada perniagaan yang sedang diusahakan. Ada ketikanya, sewaktu bersarapan atau sendang menghadap hidangan  makan malam bersama keluarga, mungkin yang kelihatan hanya tubuh atau anggota zahir anda saja  yang berada di depan anak isteri sedang menyuap makanan  sedangkan fikiran dan perhatian anda bukan bersama mereka. Anda sebok memikirkan jalan penyelesaian tentang masalah yang sedang dihadapi dalam perniagaan.
 
Ini adalah kerana untuk tempoh tiga hingga enam bulan pertama selepas perniagaan anda dibuka, ia memerlukan penjagaan dan perhatian yang rapi. Banyak pengorbanan terpaksa anda lakukan selain dari kekangan masa. Kadang-kadang anda terpaksa membuat penjimatan dalam perbelanjaan harian bagi mendapatkan lebihan wang untuk dijadikan modal pusingan atau modal kerja. Malah ada di kalangan usahawan yang terpaksa mengurangkan peruntukan bagi perbelanjaan keperluan dapur dan pakaian kerana tujuan yang sama.

Tahap kesabaran yang tinggi juga dituntut ketika perniagaan anda baru bermula. Sabar dengan kerenah pelanggan dan sabar dengan diri sendiri. Untuk tempoh kritikal ini, hasil jualan mungkin tidak seperti yang diharapkan malah ada yang tidak dapat membuat sebarang jualan langsung untuk minggu pertama dan kedua selepas perniagaan anda beroperasi. Malah ada yang berlarutan sehingga sebulan atau dua bulan. Bagi mereka yang tidak mempunyai semangat yang kental pasti akan mengalah dan menutup perniagaan yang diusahakan itu dan mengisi borang permohonan pekerjaan. Ingin semula berkhidmat sebagai pekerja makan gaji yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.


Namun, situasi ini akan berubah apabila perniagaan anda mula berhasil. Di saat itu pendapatan anda mula bertambah sedikit demi sedikit. Ia akan meningkat berkali ganda melebihi mereka yang bekerja makan gaji selepas dua atau tiga tahun kemudian. Anda juga sudah bebas untuk berbelanja malah kedudukan anda di mata masyarakat juga turut berubah. Anda akan dihormati dan kisah kejayaan anda sering dijadikan contoh oleh penduduk kampung sewaktu mereka memberi nasihat kepada anak-anak.

Tertarik dengan pulangan yang bakal diterima ini, ramai individu yang menaruh minat untuk mengusahakan perniagaan sendiri. Tambahan pula di zaman kemelesetan ekonomi yang sedang melanda negara kita sekarang ini. Disebabkan peluang pekerjaan yang semakin terhad dan persaingan sengit dalam pasaran kerja, ramai lepasan universiti yang mencuba nasib dengan berniaga. Walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan asas berkaitan pengurusan perniagaan, mereka tetap juga mencuba. Pelbagai jenis perniagaan diusahakan mereka seperti membuka gerai burger, berniaga pisang goreng di tempat-tempat strategik atau berniaga di pasar malam. Malah, seiring dengan kemajuan teknologi dan kemudahan internet, ada yang menjalankan perniagaan di rumah secara ‘on line’. 

Namun begitu, mengikut General Sun Tzu, selain dari mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, beberapa faktor lain akan menjadi penyumbang kepada kemenangan sesebuah pasukan tentera di dalam peperangan yang mereka sertai. Faktor seperti keadaan cuaca, bentuk muka bumi medan pertempuran, dan kebolehan komader  membuat keputusan dan memberi arahan adalah penentu kepada kejayaan mereka. Begitu juga dengan dunia perniagaan ini. Selain dari memiliki semangat keusahawanan, keberanian mencuba dan keinginan yang tinggi, kebijaksanaan anda dalam membuat analisis terhadap persekitaran perniagaan yang diceburi dan membuat pelan perniagaan yang bagus akan menentukan kejayaan bisness yang diusahakannya itu. Konsep inilah yang memerlukan seseorang usahawan itu mempelajari berkenaan pengurusan strategi dalam perniagaan mereka.

Untuk mempelajari konsep asas bagi membuka sesebuah perniagaan dan bagaimana proses pembentukan strategi serta  pelan pemasaran, anda boleh dapatkan buku 'Jom Bisness!' yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. 

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...