Sunday, 6 December 2015

Strategi dan perniagaan (Pengenalan)



 Entri :11
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Kebijaksanaan dan kebolehan seseorang individu itu menguruskan perniagaannya sehingga berjaya bakal menjanjikan pulangan yang berganda kepada beliau.

Dengan menjalankan perniagaan sendiri, di samping anda berpeluang merasai pengalaman menjadi usahawan ia juga mengajar anda untuk bersabar dan berikhtiar ketika menghadapi rintangan. Pengalaman sebegini tidak boleh dirasai oleh mereka yang bekerja makan gaji dengan mana-mana majikan baik di sektor swasta atau kerajaan.

Dengan memilih untuk berniaga sendiri juga anda mempunyai kebebasan  dalam membuat keputusan, mencorak hidup anda sendiri dan yang paling penting ialah tidak terikat dengan peraturan yang dibuat oleh majikan. 


Dengan berniaga, ia bukan sahaja memberi peluang kepada anda untuk merasai pengalaman baru tetapi juga memberi peluang anda untuk mencabar diri sendiri dengan menterjemahkan kemahiran yang anda ada ke dalam bentuk produk atau perkhidmatan, seterusnya menawarkannya kepada pelanggan. Kemudian anda akan dapat mengaut keuntungan melaluinya. Proses untuk memulakan perniagaan juga adalah mudah dan ringkas, apa yang anda perlukan hanyalah menentukan apa jenis perniagaan yang akan anda jalankan, berapa besar perniagaan tersebut, berapa modal yang diperlukan,dan bila masa yang sesuai untuk memulakan perniagaan tersebut.


Dengan kebijaksaan anda menilai dan mengkaji apa kehendak dan keperluan pelanggan, anda boleh menawarkan produk atau perkhidmatan anda kepada mereka. Sebagai balasan, pelanggan yang berpus hati dengan produk atau perkhidmatan yang anda berikan akan berterima kasih kepada anda. Di samping mereka berulang kali datang ke premis perniagaan anda untuk membeli produk atau perkhidmatan anda, mereka juga akan mengesyorkan kepada kawan-kawan serta keluarga mereka untuk mencubanya. Akhirnya perniagaan yang anda jalankan itu mula dikenali dan berkembang.


Banyak kisah-kisah kejayaan individu di Malaysia ini berkait rapat dengan dunia perniagaan. Nama-nama besar seperti Tan Sri Syed Mohktar Al-Bukhari, Tan Sri Vincen Tan, Dato Mirzan Mahathir, mendiang Lim Goh Tong serta ramai lagi nama yang tersenarai dalam orang teraya di Malaysia adalah mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan. Kisah kejayaan mereka ini menjadi inspirasi kepada usahawan baru untuk terus berusaha. Kejayaan mereka juga sering dijadikan tajuk perbincangan dalam seminar, majalah dan  buku- buku berkaitan perniagaan. 

Berbekalkan sedikit modal yang dikumpul dan semangat yang optimis mereka pun membuka perniagaan seperti yang dirancang. Semangat optimis ini dijadikan pendorong kepada mereka untuk terus berusaha dalam menguruskan perniagaan sehingga berjaya. Apabila semangat mereka menurun, ada di kalangan usahawan yang mengambil langkah dengan mendaftar mengikuti kelas motivasi. Mereka percaya bahawa kejayaan dalam menguruskan perniagaan banyak bergantung kepada kemampuan mereka mengekalkan semangat keusahawanan ini. Semakin kuat semangat ketika menempuh halangan dalam dunia perniagaan, semakin cerah peluang untuk mereka berjaya.


Namun begitu, mengikut pakar pengurusan dan juga hasil kajian akademik, semangat optimis saja tidak dapat menjamin kejayaan kepada perniagaan yang sedang diusahakan itu. Tidak sampai 20% perniagaan yang beroperasi dengan hanya berbekalkan semangat optimis semata-mata yang akan kekal untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang. Majoriti perniagaan itu menemui kegagalan. Malah ada yang hanya bertahan untuk dua tiga bulan sahaja.  Ini adalah kerana usahawan itu tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup dan tidak membuat perancangan strategi sebelum beliau memulakan perniagaan.

Tanpa ilmu yang cukup, anda tidak dapat membuat keputusan yang tepat sekiranya perniagaan yang anda usahakan sedang menghadapi masalah atau persaingan. Akibatnya, anda lebih cenderung untuk bertindak  mengikut kata hati dan intuisi semata-mata, bergantung kepada tahap pendidikan dan pengalaman yang anda ada.

Di sinilah pentingnya anda mencari ilmu pengetahuan dahulu sebelum memulakan sesuatu perniagaan. Terutamanya ilmu berkenaan pengurusan perniagaan dan strategi. Tidak ada cara mudah atau jalan pintas untuk menimba ilmu pengetahuan. Sama ada setuju atau tidak, anda perlu banyak membaca buku-buku berkaitan pengurusan perniagaan yang dijual di pasaran dan rajin menghadirkan diri ke kursus-kursus atau seminar keusahawan yang dianjurkan sebelum anda memulakan perniagaan secara serius.

Tambahan pula Ketika negara kita sedang menghadapi kemelesetan ekonomi seperti sekarang ini, ia akan menyebabkan perubahan persekitaran perniagaan menjadi semakin kompleks dan sukar diramal. Oleh itu, jika anda tidak membuat perancangan dan strategi yang tepat, perniagaan yang bakal diusahakan nanti akan cepat  menjadi tidak releven di mata pengguna dan akhirnya boleh mengakibatkan perniagaan anda terkeluar dari pasaran sebelum tiba masanya. Malah anda juga mungkin tidak sempat untuk mengaut sebarang keuntungan hasil dari perniagaan tersebut.
 


No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...