Tuesday, 22 December 2015

Catatan Pengalaman (sambungan)

Entri:15
Teks: Usry Abdullah

Bertemu kembali kita dalam catatan pengalaman dan rencah kehidupan. 

Setelah 8 tahun berkhidmat di sebuah hospital yang sebok di ibu kota, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berhijrah. Kehidupan di sini terlalu pantas dan menyesakkan nafas saya.  Tambahan pula anak sulung kami sudah  berumur 4 tahun dan bersedia untuk masuk ke Tadika. Di samping itu, dalam waktu sebegini, ia memerlukan perhatian dan tunjuk ajar yang lebih dari kedua ibu bapa bukan lagi pengasuh. Oleh itu kami mengambil keputusan sama ada  balik dan menetap di negeri kelahiran saya (Kelantan) atau  negeri kelahiran isteri di perak. 

Pada tahun 2003 setelah menghadiri temuduga, saya diterima untuk berkhidmat di sebuah pusat haemodialysis di bawah Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF) sebagai Pembantu perubatan. Kali ini bukan di unit kemalangan dan kecemasan. Saya menjurus dalam bidang haemodialysis. Oleh itu kami pun membeli tanah dan membina rumah di sebuah bandar di negeri Perak. Selepas dua tahun berkhidmat dengan Yayasan Buah Pinggang Malaysia, saya mendapat pula tawaran dari sebuah badan bukan kerajaan yang juga menyediakan perkhidmatan rawatan dialysis untuk berkhidmat dengan mereka. Saya ditawarkan jawatan pengurus. Bermulalah tugas dan pengalaman saya sebagai seorang pengurus.

Memandangkan saya hanya belajar di peringkat diploma dan dalam bidang Paramedik, banyak urusan pentadbiran dilakukan hanya berdasarkan pengalaman. Banyak tugas yang terpaksa diserahkan kepada kerani terutamanya berkaitan perakaunan dan pembelian stok. Kadang-kadang saya terlebih bajet dan kadang-kadang terkurang bajet semasa membuat pesanan stok. Jika kesilapan sebegini terjadi,pihak ibu pejabat akan menelefon dan memarahi saya. Oleh itu saya perlu memperbaiki kelemahan diri. Saya mengambil keputusan untuk mendaftar menjadi pelajar di peringkat Ijazah dengan sebuah universiti swasta dan mengambil  ijazah dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia. 

Walaupun pelajaran teras saya adalah Pengurusan Sumber Manusia, tetapi di universiti tersebut, kami juga perlu mempelajari matapelajaran lain terutamanya berkaitan perniagaan dan pengurusan. Matapelajaran seperti pemasaran, ekonomi, keusahawanan, dan pengurusan strategi banyak membuka mata saya kepada dunia perniagaan.  Tugasan(assignment) yang diberikan pada setiap semester juga banyak melibatkan dunia perniagaan.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitulah juga saya. Setelah empat tahun belajar matapelajaran berkaitan pengurusan dan perniagaan, ia sedikit sebanyak menimbulkan minat untuk mempraktiskan ilmu yang dipelajari di alam nyata. Jadi, pada tahun akhir pengajian, saya pun menyampaikan hasrat kepada isteri untuk berniaga. Isteri tidak membantah malah menyokong kerana beliau tahu saya sudah banyak mempelajari ilmu berkenaan perniagaan.Peluang untuk saya berjaya adalah tinggi.

Saya mula  membuat sedikit penyelidikan untuk mencari bidang perniagaan mana yang sesuai dilakukan secara sambilan. Tugasan ini mengambil masa  selama 1 bulan sebelum saya membuat keputusan untuk menjual tudung. Kemudian saya mengambil masa lagi selama 2 minggu untuk membuat rujukan dan merangka  pelan perniagaan dan pemasaran. 

Akhirnya setelah berpuas hati dengan pelan perniagaan yang dirangka, dengan bermodalkan wang  yang 'dikorek' dari akaun ASB sebanyak RM3,000 kami pun pulang ke kelantan. Sambil menziarahi keluarga saya di sana, kami juga pergi ke Pasar Majlis Perbandaran Kota Baharu(MPKB) yang terkenal pada masa itu sebagai pusat jualan kain baju. Kami mula memborong pelbagai jenis tudung. 

Apabila pulang ke Perak, kami mengikut pelan pemasaran yang dirangka sebelum ini. kami mula melantik adik ipar  yang bekerja di sebuah hospital sebagai jurujual. saya  berutung kerana mempunyai 5 adik ipar. Tiga adik ipar sudah bekerja. Dua adik ipar bekerja di dua hospital di bandar  berlainan, oleh itu kami akan mempunyai dua pasaran.

Adik ipar yang ketiga pula bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Beliau juga setuju untuk menjadi jurujual kami  bagi mencari pendapatan sampingan. Isteri saya yang bekerja di sebuah klinik kerajaan  pula memujuk seorang staff di bawah seliaan beliau sebagai jurujual kami di klinik tersebut. Manakala saya pula berjaya melantik dua orang staff saya di tempat kerja menjadi jurujual sambilan di sekitar kawasan tempat mereka tinggal. 

Produk kami memang 'up-to date' dan sering mengikut tema drama-drama  yang disiarkan di TV3 dan menjadi kegilaan peminat tudung pada masa itu.  Tudung bawal, Spa Q dan beberapa nama yang saya sudah lupa menjadi buruan pengemar tudung.

Setiap bulan saya akan mengambil cuti untuk balik ke Kelantan bagi mengambil bekalan tudung. Walaupun pihak pembekal sanggup untuk mengirim bekalan tudung kepada saya melalui pos, kami menolak tawaran tersebut. Ini adalah kerana saya ingin mempastikan tudung yang  kami beli dari beliau adalah tudung yang menarik dan terkini. Selain isteri, saya juga akan membawa dua adik ipar sebagai 'tukang pilih' sewaktu kami membeli tudung dari pembekal tersebut. Walaupun beratus helai tudung yang dibeli pada setiap kali kami pergi ke kedai tersebut, isteri dan adik ipar akan memilih dan meneliti  satu persatu. Yang penting ialah tudung mesti menarik dari segi patern, warna dan mengikut trend semasa. Hasilnya, dalam tempoh 6 bulan saja, pasaran tudung  kami telah berkembang.

Bila perniagaan menjadi semakin besar, ia mula menjadi masalah kepada saya. Pasaran semakin berkembang, tetapi  disebabkan kami menjual secara hutang kepada pelanggan-pelanggan kami, modal pusingan menjadi terhad. Kebanyakan pelanggan kami mengambil tempoh sehingga 3 bulan untuk membayar sepenuhnya harga tudung yang dibeli. Mereka akan membayar secara ansuran pada setiap hujung bulan. Ini  memaksa saya  menggunakan wang simpanan lain sebagai modal tambahan. 

Untuk mengatasi masalah modal pusingan ini, saya menyarankan kepada jurujual-jurujual kami supaya menggalakkan pelanggan membeli tudung secara tunai atau memberi diskaun kepada pembeli yang berjaya membayar penuh harga tudung pada setiap hujung bulan pertama dengan sekali bayaran.  Kesannya, masalah modal pusingan ini dapat diatasi dari masa ke semasa. Namun begitu, kesan negatifnya pula ialah keuntungan kami pula mengalami sedikit penurunan berbanding menjualnya secara hutang. walaubagaimanapun, saya berpuas hati dengan pencapaian kami setakat ini.

Mengikut pepatah perniagaan, 'don't put all your eggs in one basket, try to diversify it!'. Berpandukan kepada falsafah tersebut, saya pun membuat kajian tentang perniagaan baru. Saya bertemu rakan-rakan yang menjalankan perniagaan secara sampingan dan berbincang tentang peluang baru. 

InsyaAllah dalam entri yang akan datang, saya akan menceritakan pula  pengalaman saya menjalankan perniagaan membekal produk sejuk beku.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...