Thursday, 3 December 2015

Strategi dan taktik

Entri: 10
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Dalam beberapa siri yang lalu kita telah mengupas dan membincangkan  tentang apa itu strategi, sejarah penggunaan strategi  semasa  peperangan di antara Catharge melawan kerajaan Rom pada 216SM di mana ia telah  mencetus minat ahli akademik untuk mengakaji tentang penggunaan strategi  peperangan  untuk diadapatasikan  pula ke dalam pengurusan perniagaan. 

Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan di antara tujuan penggunaan strategi dalam peperangan berbanding penggunaan strategi dalam perniagaan. Di dalam peperangan, penggunaan strategi adalah bertujuan untuk menghapuskan musuh, di mana setiap tentera musuh perlu dibunuh atau ditawan. Kita juga dibenarkan untuk mengguna apa saja cara sama ada strategi itu beretika ataupun tidak. Yang penting ialah matlamat kita untuk memenangi peperangan tersebut tercapai. 

Manakala penggunaan strategi dalam perniagaan adalah berbeza sama sekali berbanding penggunaan strategi ketika menghadapi peperangan.  Kita mengamalkan atau melaksanakan strategi di dalam perniagaan  adalah bertujuan untuk menghindarkan atau mengelakkan perniagaan kita dari menghadapi persaingan dengan pesaing-pesaing yang turut sama beroperasi di dalam pasaran tersebut. Ini adalah kerana jika berlaku persingan secara berdepan di antara perniagaan kita dengan pesaing, ia akan boleh merugikan kita. Tambahan pula jika kita hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Sudah pasti modal dan sumber kita juga adalah terhad. Jika kita berlawan secara berdepan dengan pesaing yang telah lama berada di dalam pasaran dan mempunyai sumber yang cukup, lama-kelamaan perniagaan kita akan terkeluar dari pasaran kerana banyak modal terpaksa dihabiskan untuk bersaing atau berlawan secara terbuka. Oleh itu kita perlu mencari satu jalan bagaimana untuk mengelak dari berlakunya perkara seperti ini. Di sinilah perlunya seseorang usahawan itu mempelajari pengurusan strategi.

General Sun Tzu juga ada menyatakan, "kemenangan yang benar-benar boleh dibanggakan ialah kemenangan yang tidak melibatkan sebarang pertempuran, bukannya dengan menyerang pihak lawan secara berdepan." Walaupun Sun Tzu adalah  seorang pakar strategi, beliau tetap tidak berminat untuk menyerang atau berlawan dengan musuh secara berdepan kerana beliau tahu apabila berlaku pertempuran, ia akan merugikan kedua belah pihak. 'yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu'. 

Oleh itu, dapat difahamkan di sini bahawa penggunaan strategi bukanlah bertujuan untuk berlawan secara berdepan dengan pihak musuh, tetapi untuk mengelak dari berlakunya perlawanan tetapi dengan mengamalkan strategi yang betul dan berkesan, secara tidak langsung kita sebenarnya berjaya melemahkan kemampuan pihak musuh untuk menyerang kita. Begitu juga dalam perniagaan. Kita menggunakan strategi untuk mengelakkan diri dari serangan pesaing dan dalam masa yang sama kita dapat meluaskan pasaran produk atau perkhidmatan kita tanpa perlu persaingan sengit.

Langkah asas dalam  merangka satu-satu strategi ialah seseorang usahawan itu perlu terlebih dahulu menilai akan situasi semasa. Setelah memahami akan keadaan semasa barulah beliau boleh merangka strategi yang sesuai dan melaksanakan strategi tersebut dalam perniagaan beliau.  Ini adalah kerana persekitaran perniagaan sentiasa berubah-ubah mengikut faktor-faktor tertentu. Oleh itu usahawan perlu membuat pemantauan terhadap persekitaran semasa terlebih dahulu untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat yang ada kaitan dengan perniagaan yang beliau jalankan barulah beliau boleh merangka strategi dan taktik yang sesuai.(Proses memantau persekitaran ini akan dibincangkan secara khusus dalam satu topik pada entri-entri yang akan datang).

Semasa proses merangka strategi ini usahawan akan memikirkan pula 'taktik-taktik' yang sesuai untuk menyokong strategi yang bakal beliau laksanakan di dalam perniagaan beliau nanti. Ini adalah kerana untuk sesuatu strategi itu berjaya dan berkesan, ia perlu disokong oleh 'taktik' yang sesuai. Di sini,anda perlu tahu dan boleh membezakan  apa itu strategi dan apa itu taktik.

Untuk makluman, sebagai seorang usahawan, anda sepatutnya menjadi 'strategist' bukannya seorang  'tactitian'. Namun ramai usahawan terutamanya usahawan kecil-kecilan yang keliru dan tidak dapat membezakan di antara strategi dan taktik. Strategi adalah pelan tindakan jangka panjang, manakala taktik ialah tindakan-tindakan kecil yang akan membantu  menggerakkan strategi itu supaya berjaya dan dapat mencapai matlamat yang ditetapkan

Di samping itu, strategi ialah  perbincangan tentang apa yang perlu dilakukan (what will you do)  ketika anda menghadapi sesuatu masalah atau situasi, manakala taktik pula ialah bagaimana anda melakukan sesuatu tindakan itu (How will you do) agar anda  dapat mengatasi masalah yang dihadapi tadi dengan segera. Atau dengan kata lain, strategi membantu anda  menjawab persoalan- 'Apa yang ingin dicapai?' manakala taktik pula akan menjawab persoalan- 'Bagaimana untuk anda mencapainya?'. Untuk lebih memahami tentang perbezaan di antara strategi da taktik, mari kita lihat senario di bawah.

Katakan anda  seorang peniaga yang menjalankan perniagaan menjual aksesori telefon bimbit. Setelah mempelajari pelbagai taktik bagaimana  untuk menarik pelanggan melalui pembacaan buku berkaitan perniagaan dan menghadiri seminar, anda membuat satu rumusan bahawa aktiviti pengiklanan boleh membantu meningkatkan jualan. Kajian akademik juga menunjukkan bahawa pengiklanan membantu meningkatkan permintaan ke atas satu-satu dan mengukuhkan jenama produk tersebut. Oleh itu anda pun bersetuju untuk mengikut saranan tersebut.Anda pun membuat iklan perniagaan anda dalam surat khabar dan media sosial seperti blog, face book, instagram, dan whats app. Ramai pembaca surat khabar datang mengunjungi kedai anda. Namun hasil yang diperolehi tidak seperti yang anda jangka. Jualan anda tetap juga tidak berubah. Malah semakin merosot.

Rupanya, walaupun ramai pelanggan yang membaca iklan yang anda siarkan itu, tetapi apabila mereka mengunjungi kedai anda,  mereka dapati susun atur tidak menarik. Pencahayaan dalam premis anda juga tidak sesuai. Lebih memburukkan lagi keadaan ialah produk yang dijual oleh anda tidak mempunyai banyak pilihan dan majoritinya pula tidak mengikut trend terkini. Malah harga yang anda tawarkan juga tidak menarik dan berpadanan dengan kualiti  produk yang anda jual. Di samping itu, premis anda juga hanya menjual aksesori telefon semata-mata dan tidak membuat pempelbagaian (diversify) produk seperti menjual pak isian semula (top up) atau menjual  'starter kit' kad prabayar untuk pelanggan baru yang hendak menukar nombor telefon. Malah anda juga tidak menawarkan perkhidmatan membaiki kerosakan telefon. 

Dari senario tadi, dapat dikatakan bahawa walaupun 'taktik' yang anda gunakan itu sudah bertepatan dan biasa dilakukan oleh penaiga-peniaga lain, tetapi ia tidak menyokong strategi yang sedang anda amalkan. Media sosial dan media cetak hanyalah sebagai medium atau perantara untuk menghubungkan anda dengan bakal pelanggan sahaja tetapi jika  strategi yang dipraktiskan tidak berdaya saing (competitive), taktik yang dilaksanakan itu menjadi sia-sia. Anda perlu merangka  strategi yang sesuai terlebih dahulu untuk dipraktiskan dalam perniagaan anda sebelum melaksana taktik bagi menyokong strategi tersebut.

Kesimpulan dari perbincangan kita kali ini ialah, taktik  dan strategi adalah satu perkara yang berbeza namun ia perlu saling lengkap melengkapi dan menyokong di antara satu sama lain. Strategi akan memberi gambaran kepada anda tentang apa yang ingin dicapai dan siapa diri anda di mata pelanggan, manakala  taktik pula memberi anda gambaran bagaimana untuk melakukan tindakan dengan betul agar sasaran yang diingini itu tercapai- bagaimana untuk pelanggan meneganali anda. 

Namun ramai di kalangan peniaga kecil, terutamanya peniaga bumiputra tidak mementingkan berkenaan perkara ini. Ramai yang lebih mementingkan untuk mempelajari taktik berbanding strategi akibat terkeliru dan menganggap bahawa taktik dan strategi adalah satu perkara yang sama.  Kesannya, perniagaan mereka hanya mampu bertahan sekejap sahaja kerana seperti yang diterangkan tadi, penggunaan taktik adalah bersifat sementara dan penggunaan strategi adalah untuk jangka masa panjang. 

Untuk perbincangan lebih lanjut berkenaan strategi dan taktik ini, anda boleh baca di dalam buku saya yang bertajuk 'Jom Bisness' yang bakal terbit sedikit masa lagi. InsyaAllah.





No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...