Saturday, 9 January 2016

Peniaga kecil (Bahagian 3)

Entri: 18
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image





Memandangkan perniagaan kecil-kecilan ini juga mampu menjana pulangan yang agak lumayan kepada individu yang mengusahakannya dan mampu pula menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan negara, banyak galakan dan kemudahan telah disediakan oleh kerajaan untuk membantu mereka.

Agensi-agensi kerajaan seperti MARA, Tabung Usahawan Bumiputera, dan TEKUN Nasional telah diwujudkan khas oleh kerajaan untuk membantu mereka yang berminat dalam bidang perniagaan ini mendapatkan bantuan, sama ada dari segi modal atau pun  latihan keusahawanan. 
 
Malangnya majoriti peniaga kecil di Malaysia masih lagi menghadapi masalah kegagalan dalam perniagaan yang mereka usahakan. Masalah ini timbul bukan kerana sukar mendapatkan bantuan atau pinjaman modal dari pihak terbabit tetapi disebabkan oleh sikap individu itu sendiri.  

Dari kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012, didapati hampir 90% kegagalan  yang berlaku di kalangan peniaga kecil  adalah disebabkan oleh faktor pengurusan, yang mana ia boleh dikaitkan dengan kurangnya ilmu pengetahuan. Terutamanya ilmu  pengurusan operasi, pemasaran, kewangan, dan perlaksanaan strategi perniagaan. 

Begitu juga kajian yang dibuat oleh Hashim (2005). Beliau mendapati ada beberapa lagi kelemahan-kelemahan yang menyumbang kepada kegagalan mereka di dalam perniagaan yang diusahakan. Faktor-faktor tersebut  ialah masalah kekurangan modal, ketiadaan pekerja yang berkemahiran dan tidak tahu membuat pengurusan, kurangnya ilmu berkenaan pemasaran dan strategi perniagaan.  


Persepsi mereka yang menganggap bahawa untuk mengendalikan  perniagaan yang berskala kecil atau  perniagaan yang diusahakan secara sambilan  adalah mudah  berbanding menguruskan perniagaan besar pula telah  mendorong mereka untuk tidak mengendahkan kepada seruan yang meminta mereka mendalami  ilmu menguruskan perniagaan terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Kesannya, hampir 80% daripada perniagaan yang dibuka  tidak mampu untuk bertahan  selepas tiga hingga lima bulan ia beroperasi. (Harper.,2010).


Namun begitu, bangsa Melayu terutamanya masih lagi tidak mengendahkan akan perkara ini walupun telah berkali-kali ditekankan oleh pihak yang berwajib. Malah di dalam kelas atau bengkel keusahawanan juga banyak dinasihatkan agar mereka meningkatkan ilmu pengetahuan terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Tetapi mereka tetap mengulangi kesilapan yang sama.  

Mereka lebih mementingkan kepada soal penyediaan modal kerja dan mencari lokasi perniagaan yang strategik berbanding melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Tetapi, apabila mereka terdesak atau menghadapi masalah dalam perniagaan barulah mereka mula sebok menyelak akhbar dan majalah untuk mencari mana-mana pihak yang ada menyediakan kelas-kelas berkaitan pengurusan bagi membantu mereka mengatasi masalah yang melanda perniagaan yang dijalankan itu. 

Malangnya, tindakan tersebut sudah terlewat. Di saat mereka baru saja mengikuti kelas atau bengkel pengurusan, perniagaan yang diusahakan itu sudah terlalu lambat untuk diselamatkan. Akhirnya mereka terpaksa akur dengan keadaan dan menutup peniagaan tersebut serta menanggung kerugian.

Sebaliknya masalah kegagaan dalam perniagaan ini jarang berlaku di kalangan peniaga bukan bumiputra. Bagi kaum bukan bumiputera terutamanya kaum Cina, mereka  lebih suka untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada dunia perniagaan semenjak kanak- kanak itu mula memasuki alam persekolahan lagi.

Ketika kanak- kanak keturunan Melayu yang sebaya dengan mereka sebok bermain permainan komputer atau melepak di ‘cyber cafĂ©’ bersama kawan-kawan, anak-anak kaum Cina ini pula sudah pandai membantu ibu bapa mereka di kedai atau menemani ibu bapa mereka berjual di pasar malam. Pendedahan dengan aktiviti sebegini sedikit sebanyak dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan  pengalaman kepada kanak-kanak tersebut tentang dunia perniagaan. 

Apabila kanak-kanak itu telah dewasa dan bersedia untuk membuka perniagaan mereka sendiri,  mereka sudah  mempunyai ilmu dan pengalaman yang cukup bagaimana untuk menguruskan sebuah perniagaan dengan baik.  Walaupun mereka tidak belajar berkenaan pengurusan dan strategi perniagaan secara formal di sekolah atau mana-mana universiti, namun melalui pengalaman dan pembelajaran secara tidak formal sewaktu membantu menguruskan perniagaan orang tua mereka dahulu, mereka juga mampu untuk mengendalikan perniagaan yang dibuka itu dengan betul. Malah ada di kalangan mereka ini  mampu mengembangkan perniagaan dan mempunyai bererapa cawangan. 
Oleh itu, kepada anda yang berminat untuk mempunyai sebuah perniagaan sendiri, seeloknya anda perlu  terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan perniagaan. Banyak kursus-kursus keusahawanan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan swasta di luar sana.  Malah buku-buku berkenaan pengurusan perniagaan juga banyak ditulis dan dijual di kedai-kedai buku untuk anda jadikan rujukan dan panduan sebelum  memulakan langkah membuka perniagaan sendiri satu hari nanti. 

Lengkapkan dahulu diri anda dengan ilmu pengetahuan berkenaan sesuatu perkara sebelum kita melakukannya. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Ames,(2010), ''Kita tidak boleh berharap yang musuh tidak jadi untuk datang menyerang, sebaliknya kita perlu bertanya adakah kita  sudah bersedia untuk menerima kehadiran mereka. 
Kita juga jangan berharap agar musuh tidak jadi untuk meyerang kita sebaliknya kita perlu pastikan yang kita sudah mempunyai posisi yang kukuh untuk membuatkan musuh tidak dapat untuk menembusi pertahanan kita". 

Berpandukan dari kata-kata itu, peniaga kecil sekali lagi diingatkan agar mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan ilmu pengurusan  terlebih sebelum benar-benar menceburkan diri ke dunia perniagaan.  

Seiring dengan kata-kata yang diungkapkan oleh general Sun tzu, " Mereka yang mengenali diri mereka tidak akan mengalami kekalahan walau seratus pertempuran yang mereka sertai". 

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi dientri-entri yang akan datang.  



No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...