Sunday, 31 January 2016

Perancangan dan kepentingannya (pengenalan).

Entri: 21
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image


Ramai di antara kita  mempunyai  bermacam-macam  idea bisness yang bagus dan sekiranya idea tersebut diterjemahkan di atas kertas dan dilaksanakan,  ia mampu  'mentransformasikan' anda dari sorang peniaga yang biasa-biasa bertukar status menjadi seorang jutawan. 

Malangnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila anda melaksanakan idea perniagaan yang dirangka tadi di dunia nyata, hasil yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan. 

Entah mengapa dan di mana silapnya anda sendiri pun taidak tahu. Banyak pula halangan  yang timbul. Lepas anda  berjaya menyelesaikan satu masalah, masalah lain pula yang datang menimpa. Kadang-kadang dua atau tiga masalah datang sekaligus dalam satu-satu masa.  

Bermula dari proses untuk mencari modal, mendaftar perniagaan, sehinggalah kepada  anda memulakan operasi, masalah timbul satu persatu. Persaingan juga adalah sengit, tidak seperti yang dijangka. Pelanggan juga semakin menjauhi gerai anda. Semakin aktif anda membuat promosi, semakin kurang pelanggan yang datang

Di waktu ini semangat anda benar-benar sudah  berada di peringkat yang paling bawah. Terasa 'dan-dan' itu juga anda  ingin membaling periuk kuali atau merobohkan gerai yang baru dua tiga minggu didirikan itu.   

Mula telintas di fikiran anda untuk  menutup saja perniagaan yang diusahakan itu.  Anda  benar-benar ingin  menyerah kalah. Sudah banyak modal yang telah dilaborkan  tapi hasil jualan masih belum nampak lagi. Wang simpanan juga semakin susut kerana telah digunakan bagi menampung kos operasi dan perbelanjaan harian.

Namun,setelah difikirkan bahawa perniagaan itulah saja  yang menjadi punca rezeki  untuk anda menyara keluarga dan menyekolahkan anak-anak, mahu atau tidak anda terpaksa juga gagahkan diri meneruskan perniagaan yang dibuka tadi walaupun anda  seakan sudah nampak  yang perniagaan itu bakal kecundang sedikit masa lagi.   
 
Semangat anda kini sudah tinggal '0' dan anda sudah buntu  serta tidak tahu lagi apa yang harus dilakukan.  Di dalam hati anda mula tertanya-tanya, kenapa perkara ini tejadi kepada anda? Di mana silap anda? Terasa yang dunia ini tidak adil kerana hanya anda seorang sahaja yang diuji sedemikian rupa sedangkan orang lain senang-senang saja boleh  berjaya dalam setiap apa yang diusahakan.

Lalu anda  cuba mencari jawapan sendiri  dengan membaca artikel- artikel di majalah atau  membuat pencarian di dalam internet.  Malah  anda juga  mendaftar untuk mengikuti kelas motivasi atau bengkel-bengkel keusahawanan dengan harapan anda dapat menemui jalan penyelesaian kepada permasalahan yang sedang dihadapi itu. Jika bernasib baik, anda boleh bertukar pandangan dan cerita  dengan peserta yang turut hadir di dalam bengkel atau seminar itu nanti.

Di samping menghadiri kursus dan bengkel motivasi, pada masa yang sama anda juga mula terfikir untuk  meningkatkan amalan kerohanian dan spiritual. Tambahan pula  pakar-pakar motivasi atau ustaz juga mangatakan sekiranya kita menghadapi kesusahan atau musibah, kita perlu periksa  hubungan kita dengan Allah dan memperbaikinya. Insya Allah  Dia  akan menjaga dan memelihara kita serta menghilangkan musibah tersebut dari hidup kita

Lalu anda pun mula  belajar mengenali diri serta mendekatkan diri ke hadrat Ilahi. Anda mula memperbaiki amalan seharian dan  menjadi seorang individu  yang taat kepada suruhan agamaAnda  mula  rajin menghadiri kuliah atau ceramah agama yang dianjurkan di surau-surau atau masjid berdekatan. Malah, tidak cukup dengan itu  anda juga mendengar ceramah-ceramah agama yang disiarkan di radio atau menontonnya di kaca televisyen.

Satu lagi perkara positif yang berlaku kepada anda ialah jika sebelum ini anda leka atau disebokkan oleh urusan perniagaan dan urusan seharian, kini anda cuba sebaik mungkin memperuntukkann masa  bagi mendekatkan diri dengan pencipta.  Anda mula belajar  menunaikan solat-solat sunat seperti solat duha, tahajjud dan tasbih serta mengamalkan wirid dan zikir tertentu setiap kali lepas solat  

Anda juga mula mencari masa untuk pergi menghadap guru untuk belajar dan membaca al-quran.  Dengan berbuat semua ini, anda berharap semoga hubungan anda dengan  Allah akan menjadi lebih dekat dan dengan ini anda lebih selesa untuk mengadu nasib dan berdoa kepadaNya. 

Memang diakui bahawa tidak ada lagi tempat  untuk kita mengadu apabila ditimpa musibah selain kepada Allah. Malahan kebanyakan buku-buku motivasi dan kitab agama juga menyarankan supaya kita mengadu kepada Allah apabila  kita ditimpa musibah. Ini adalah kerana tidak ada siapa lagi yang paling berkuasa di alam semesta ini untuk mentakdirkan sama ada kejayaan atau kegagalan kepada kita melainkan Dia.  

Malah jika anda bertanya dan meminta pandangan dari ustaz atau ustazah pun mereka sebulat suara akan menyarankan supaya anda mendekatkan diri kepada Allah dan mengadu kepadanNya sekiranya anda menghadapi sebarang musibah.

Tetapi tidakkah terfikir oleh kita bahawa tindakan ini juga merupakan satu kesilapan? Tetapi ramai di antara kita yang terperangkap dengan konsep ini. 

Setiap kali kila ditimpa  musibah saja, kita terus mengambil jalan mudah dengan mengadu kepada tuhan. Kita berbuat begitu dengan harapan Allah akan membantu dan membuka jalan penyelesaian.  Tanpa berfikir panjang dan mengkaji terlebih dahulu akan punca dan sebab masalah tersebut berlaku, kita  terus saja mengadu kepada Allah. Mengharap supaya Allah menyelesaikannya untuk kita. 

Apabila tidak mendapat pertolongan Allah sepeti yang diharapkan, mulalah kita menyalahkan kepada takdir. Padahal kita lupa bahawa dalam al quran  ada satu ayat yang menyuruh kita berusaha terlebih dahulu sebelum benar-benar mengaku kalah dan berserah kepada Allah sebagaimana petikan seperti ayat di bawah,
 
                   ''Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri''. (surah Al Ad Rad. 11)

Berdasarkan kepada firman Allah di dalam ayat tersebut, sepatutnya kita perlu bertanya terlebih dahulu kepada diri sendiri adakah aku  telah benar-benar telah berusaha? Sudah lengkapkah usaha yang aku lakukan itu?Apakah punca sebenar terjadinya masalah tersebut?

Sebagai umat islam, kita perlu percaya dan berpegang kepada qadak dan qadar Allah. Kita juga perlu menerima apa saja ketentuan dari Allah, Jika Allah mentakdirkan bahawa kita akan gagal, kita perlu menerimanya dengan hati terbuka, tetapi setelah kita berusaha!

Persoalannya sekarang ialah sudah cukupkah usaha kita ? Sedangkan Rasulullah juga pernah bersabda yang maksudnya lebih kurang begini,

       ''Allah SWT akan melaksanakan dan menyempurnakan urusan orang yang bertawakal kepada-Nya sesuai dengan apa yang diusahakannya dan pada waktu yang telah ditetapkan.''

Di sinilah dapat diperkatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita mungkin disebabkan oleh usaha yang kita lakukan itu  tidak serius atau mungkin juga kita telah berusaha, tetapi dengan cara atau strategi yang salah.  

Oleh itu, seandainya anda mengatakan bahawa anda telah berusaha tetapi disebabkan oleh  takdir maka anda  tetap juga mengalami kegagalan, jawapan anda itu sebenarnya  adalah silap! Allah tidak akan pernah menurunkan rezeki berupa wang  atau emas dari langit tanpa anda berusaha terlebih dahulu. 
Begitu juga mengikut perspektif pengurusan dan strategi, perkara pertama yang perlu diberi perhatian sebelum anda membuat sesuatu tindakan tak kira sama ada ia melibatkan  keputusan dalam perniagaan atau  aktiviti kehidupan seharian ialah dengan membuat perancangan terlebih dahulu. 

Sekiranya anda tidak merancang, anda tidak akan tahu ke mana tempat yang anda ingin pergi dan jika anda tidak tahu ke mana tempat anda ingin pergi, anda akan hanyut ditiup angin ke tempat yang anda tak ingin  pergi.

Pernyataan ini juga selari dengan kata-kata general Sun Tzu, iaitu;
"sebelum sesebuah kerajaan itu mengambil keputusan sama ada untuk melancarkan peperangan  atau tidak, raja  terlebih dahulu perlu mengarahkan generalnya  membuat perancangan! Melalui perancangan yang teliti, 50% daripada kemenangan sudah ada dalam genggaman mereka. Manakala lagi 50% pula adalah bergantung kepada kecekapan dan kepandaian general tersebut membuat keputusan dan memberi arahan kepada tentera yang dipimpinannya".

Kesimpulan dari perbincangan kita kali ini ialah,  faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan dalam setiap tindakan kita ialah kerana kita tidak merancang terlebih dahulu  bukannya kegagalan itu sudah tertulis sejak azali.  

Kita masih mempunyai peluang dan ruang untuk berusaha dan Allah sentiasa menjamin akan kejayaan asalkan ianya seiring dengan usaha yang dilaksanakan. Pernyataan ini adalah sesuai dengan pepatah Arab yang berbunyi,'Man Jadda Wa Jada'.

Jumpa lagi di entri yang akan datang.



No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...