Friday, 5 February 2016

Perancangan dan kepentingannya (siri 2)

Entri: 22
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image


Dalam entri yang lepas, kita telah membincangkan bahawa  kegagalan dalam sesuatu tindakan  yang dilakukan itu bukanlah  disebabkan oleh ketentuan takdir semata-mata atau dengan kata lain ia telah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi. 


Walaupun kita disuruh supaya beriman kepada qadak dan qadar, namun apabila dikaji secara mendalam antara sebab mengapa satu-satu kegagalan itu berlaku adalah bukan  disebabkan oleh kehendak takdir semata-mata tetapi kerana kesilapan kita sendiri dalam membuat tindakan. 

Sama ada kita bertindak secara melulu atau pun kita bertindak tanpa membuat perancangan terlebih dahulu. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan kepada takdir semata-mata di atas kegagalan yang berlaku. Ini adalah kerana Allah telah memberi pilihan dan peluang kepada kita untuk bertindak.Tetapi kita yang tersilap membuat pilihan dan tindakan.

Walaupun kita disaran supaya berserah dan bertwakkal kepada Allah apabila  selesai berusaha dan kemudiannya redha serta menerima  apa saja  ketentuan dari  Allah dengan hati yang tenang, namun  ungkapan ini tidak   bermakna ia menjadi satu tiket atau alasan kepada kita untuk berusaha secara ala kadar dan kemudiannya menyalahkan kepada  takdir di atas kegagalan tersebut.

Setiap dari kita  telah diberi pilihan atau peluang oleh Allah S.W.T.   sama ada untuk menjadi seorang individu yang berjaya ataupun sebaliknya. Jika kita memilih untuk menjadi individu  yang berjaya, maka kita perlulah bertindak sebagaimana seorang yang berjaya itu bertindak. 

Antara  ciri- ciri  individu  berjaya ialah beliau tidak mudah berputus asa dan menyalahkan takdir di atas kegagalan yang diterima. Malah, beliau akan menerima kegagalan tersebut dengan hati yang tenang dan bangkit kembali setelah memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan dalam tindakan beliau sebelum ini. 

Di samping mempunyai sifat tidak mudah berputus asa, perkara yang paling diberi keutamaan oleh individu  yang berjaya ialah  beliau akan membuat perancangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.

Setelah yakin bahawa peluang untuk berjaya berpihak kepadanya, barulah beliau mula  mengatur langkah. Tindakan yang sistematik begini pasti akan membuahkan hasil. Malah langkah sebegini sering ditekankan oleh  pakar-pakar pengurusan dan strategi seperti Porter, Peteraf dan Hrebniak.  

Menurut mereka, dengan membuat perancangan, anda mampu  mengawal 'keputusan' yang bakal diterima, tetapi sekiranya anda membuat tindakan tanpa melalui proses perancangan,  'keputusan'  atau hasil itu pula yang akan mengawal situasi anda di kemudian hari.

Begitu juga pendapat dari pakar strategi peperangan yang terkenal, general Sun Tzu.  Menurut beliau, " Terdapat lima faktor yang akan menentukan sama ada sesebuah pasukan tentera itu berpeluang untuk memenangi satu-satu pertempuran yang mereka sertai. Faktor-faktor tersebut ialah  'Tao', 'Tien', 'Di', 'Jiang' dan 'Fa'. 

Namun begitu kelima-lima faktor ini tidak dapat berfungsi dan menjamin kemenangan 100% kepada pasukan tentera itu sekiranya panglima yang memimpin pasukan itu tidak tahu tentang satu faktor yang bernama-   'Ji', iaitu- 'perancangan'! 

Apabila seseorang general yang mengetuai sesebuah pasukan tentera itu pandai membuat perancangan, barulah beliau boleh menggunakan kesemua faktor-faktor yang disebutkan tadi ('Tao', 'Tien', 'Di', 'Jiang' dan 'Fa'. ) secara optimum untuk menjamin kemenangan kepada pasukan tentera di bawah pimpinannya." 
Dalam sejarah islam juga, kita telah mempelajarinya bagaimana baginda Rasulullah. Baginda  dan para sahabat turut membuat perancangan sebelum sesuatu tindakan itu diambil. Antara contoh yang menunjukkan betapa pentingnya sesebuah perancangan, mari kita kaji situasi ketika baginda dan kaum muslimin bakal menghadapi peperangan Ahzab yang berlaku pada tahun ke5 selepas hijrah. 

Peperangan ini terjadi rentetan dari kaum musyrikin Quraisy yang menjadi semakin angkuh dan bersemangat setelah berjaya mengalahkan tentera islam di dalam peperangan Uhud sebelum ini.  

kaum musyrikin kembali bersemangat untuk menghancurkan kaum muslimin di madinah apabila mereka mengetahui panglima perang muslimin iaitu Saidina Hamzah sudah syahid. Dengan ini pasukan tentera muslimin sudah kehilangan seorang panglima yang handal. Jadi mereka merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk mereka menghapuskan keseluruhan kaum muslimin yang berada di Madinah.
 
Untuk menjayakan rancangan tersebut, mereka telah membuat pakatan sulit dengan kaum Yahudi yang sememangnya tinggal dan menetap di Madinah. Kali ini mereka akan menyerang baginda Rasulullah dan kaum muslimin dari luar Madinah.

Setelah kata sepakat dimetrai di antara kaum musyrikin dengan Yahudi di Madinah, Dengan angkuh dan sombong gabungan tentera Quraisy dan Yahudi itu telah menuju ke  Madinah. Kekuatan mereka kali ini adalah seramai 10,000 orang lengkap dengan tentera berkuda.

Apabila baginda mendapat perkhabaran akan kemaraan tentera musuh itu, perkara pertama yang baginda Rasulullah lakukan ialah  memangggil para sahabat dan mengadakan mesyuarat.  

Dalam mesyuarat tersebut, baginda telah membuat perbandingan di antara bilangan tentera islam dengan tentera musuh. Memandangkan bilangan tentera musuh adalah tiga kali ganda berbanding bilangan tentera islam, maka sekiranya tentera islam menghadapi mereka di dalam peperangan secara terbuka sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Badar dan perang Uhud dahulu,  kemungkinan untuk tentera islam memenangi peperangan tersebut adalah tipis. 

Oleh itu peperangan secara terbuka ini adalah tidak praktikal. Perbincangan diteruskan lagi. Akhirnya timbullah satu idea untuk mengali parit atau khandaq bagi menghalang kemaraan pihak musuh.  Setelah bersetuju dengan cadangan tersebut, lalu baginda S.A.W pun mengarahkan para sahabat dan tentera islam menggali parit di sekeliling kota Madinah seperti  yang dicadangkan.

Apabila pihak musyrikin tiba berhampiran dengan bandar Madinah, mereka terkejut kerana terdapat parit yang menghalang mereka dari memasuki bandar Madinah. Ada juga beberapa orang tentera musyrikin yang cuba menyeberangi parit tersebut namun tidak berjaya kerana dipatahkan oleh pihak muslimin dengan melepaskan panah ke arah tentera yang cuba menyeberang tadi. 

Dengan ini, gabungan pasukan musyrikin dan Yahudi tadi terpaksa berkhemah di tepi parit tersebut dengan tujuan untuk mengepung Madinah. mereka mengepung Madinah dengan harapan bekalan barangan tidak sampai ke Madinah dan penduduk islam di Madinah akan kelaparan dan lemah. Apabila penduduk Madinah sudah lemah, barulah mereka akan membuat serangan menegejut dan menghancurkan keseluruhan kaum muslimin nanti.

Namun, perancangan kaum yahudi dan musyrikin itu tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Dengan bantuan Allah, ribut telah melanda dan memusnahkan khemah-khemah  pasukan musyrikin itu pada sebelah malam dan mereka mengalami kemusnahan.

Dari peristiwa peperangan tersebut, dapat kita ambil iktibar bahawa walupun Rasulullah merupakan seorang rasul dan apa jua tindakan baginda telah mendapat jaminan kejayaan dari Allah, namun baginda tetap juga memanggil para sahabat berbincang  bagi mencari jalan bagaimana untuk menghadapinya. Baginda dan para sahabat tetap membuat perancangan terlebih dahulu supaya kejayaan benar-benar berpihak kepada kaum muslimin sebelum berserah kepada Allah.

Sebagaimana ketika menghadapi peperangan, proses untuk membuka perniagaan juga memerlukan anda membuat perancangan dengan teliti untuk menjamin kejayaan berpihak kepada anda.  Ia  bermula dengan aktiviti membuat penilaian, merangka pelan tindakan dan seterusnya melaksana pelan tindakan.
 
Jumpa lagi di entri yang akan datang.




No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...