Saturday, 27 February 2016

Perancangan dan kepentingan (siri 5)



 Entri: 25
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Dari perbincangan kita dalam entri-entri yang lepas banyak menunjukkan betapa pentingnya proses membuat perancangan, terutamanya perancangan strategi untuk membuka sebuah peniagaan. 

Mengikut sejarah, proses membuat perancangan ini telah bermula sebelum perang dunia ke dua lagi dan ia semakin mendapat perhatian pakar-pakar pengurusan.

Aktiviti membuat perancangan ini bermula pada tahun 1970an, di mana Ansof telah memperkenalkan konsep ‘perancangan strategi’  yang  diadaptasikan dari prinsip ketenteraan untuk dipraktiskan di dalam  dunia perniagaan. Proses membuat perancangan atau ‘strategic planning’ ini kemudiannya terus  menjadi perbincangan dan kajian di kalangan pakar-pakar strategi yang lain seperti Waggle (1972) dan Glueck (1979).  

Dari kajian yang mereka jalankan, mereka mendapati bahawa perniagaan yang dibuka atau diusahakan dengan membuat perancangan yang rapi akan mempunyai peluang  kejayaan yang lebih tinggi berbanding perniagaan yang dibuka tanpa membuat perancangan terlebih dahulu. 

Menurut mereka lagi, perniagaan yang mempraktiskan  aktiviti secara perancangan sistematik sebelum membuat apa-apa keputusan di dalam urusan perniagaan seharian juga akan menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang berbanding perniagaan yang membuat keputusan secara tergesa-gesa atau mengikut intuisi pemiliknya.

Ini kerana dengan membuat perancangan, ia akan memberi satu hala tuju yang jelas kepada pengurus itu bagaimana untuk  memastikan perniagaan beliau sentiasa berada di landasan yang betul. 

Menurut Porter (1985) dan Foster(2002), dengan membuat perancangan secara  sistematik terlebih dahulu sebelum bertindak,  anda akan dapat mengawal hasil dari tindakan  yang bakal anda lakukan, manakala sekiranya anda bertindak tanpa membuat  perancangan terlebih dahulu, hasil  dari tindakan  yang anda lakukan itu  pula yang akan menentukan hala tuju anda nanti. 

Dari kata-kata tersebut,  dapat ditegaskan bahawa  proses membuat perancangan merupakan satu tugasan yang  penting kepada anda sebelum membuat  keputusan.  Lebih-lebih lagi kepada anda yang ingin atau sedang  menjalankan perniagaan sendiri. 

Dengan membuat perancangan terlebih dahulu sebelum anda membuka sesebuah perniagaan, ia diibaratkan seperti anda sudah mempunyai sebuah peta yang lengkap ketika hendak pergi mengembara satu-satu tempat atau daerah  asing. Dengan ini anda tidak tersalah memilih jalan. 

Begitu juga dengan proses membuka perniagaan tadi. Dengan adanya perancangan ini, anda sudah tahu ke mana hala tuju perniagaan anda nanti kerana anda sudah mempunyai matlamat yang jelas.



Malangnya, ramai di kalangan usahawan terutamanya usahawan bumiputra tidak mementingkan akan aktiviti membuat perancangan ini setiap kali mereka ingin membuat keputusan, terutamanya keputusan yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan. Malah  ada juga segelintir di kalangan mereka yang membuat perancangan sekadar untuk melepaskan batuk di tangga atau dengan niat mengkaburi pihak tertentu sahaja, terutamanya institusi kewangan.  

Mereka membuat perancangan dan kertas kerja sekadar untuk mendapatkan bantuan pinjaman modal dari pihak bank atau institusi kerajaan. Setelah apa yang dihajati itu tercapai, kertas kerja atau pelan perniagaan yang dibuat tadi kemudiannya dikesampingkan. Terbiar di dalam almari atau disusun bersama dokumen lain di dalam laci atau  di atas rak buku. Kesannya, perniagaan yang diusahakan itu berjalan tanpa hala tuju (Robinson & Pearce.,2001).


Satu lagi kesilapan yang biasa dilakukan di kalangan  usahawan ialah sikap mereka yang memandang ringan akan aktiviti membuat peracangan. Mereka menganggap proses membuat perancangan ini adalah ringkas, mudah dan hanya melibatkan proses mental semata-mata( Michelson & Michelson.,2010). 

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada entri yang akan datang.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...