Saturday, 9 January 2016

Peniaga kecil (Bahagian 3)

Entri: 18
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image





Memandangkan perniagaan kecil-kecilan ini juga mampu menjana pulangan yang agak lumayan kepada individu yang mengusahakannya dan mampu pula menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan negara, banyak galakan dan kemudahan telah disediakan oleh kerajaan untuk membantu mereka. Agensi-agensi kerajaan seperti MARA, Tabung Usahawan Bumiputera, dan TEKUN Nasional telah diwujudkan khas untuk membantu mereka yang berminat dalam bidang perniagaan ini mendapatkan bantuan sama ada dari segi modal atau pun  latihan keusahawanan. 

Banyak latihan  dan kursus asas keusahawanan ditawarkan serta dianjurkan oleh agensi-agensi ini untuk memberi tunjuk ajar kepada kaum bumiputra menjalankan perniagaan. Malangnya majoriti peniaga kecil di Malaysia masih lagi menghadapi  kegagalan dalam perniagaan yang mereka usahakan. Masalah ini timbul bukan kerana sukar mendapatkan bantuan atau pinjaman modal dari pihak terbabit tetapi disebabkan oleh sikap individu itu sendiri.  

Dari kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012, didapati hampir 90% kegagalan  yang berlaku di kalangan peniaga kecil  adalah disebabkan oleh faktor pengurusan, yang mana ia boleh dikaitkan dengan kurangnya ilmu pengetahuan. Terutamanya ilmu  pengurusan operasi, pemasaran, kewangan, dan pelaksanaan strategi perniagaan. 

Begitu juga kajian yang dibuat oleh Hashim (2005), juga  mendapati ada beberapa lagi kelemahan-kelemahan lain di kalangan peniaga kecil ini yang menyumbang kepada kegagalan mereka di dalam perniagaan yang diusahakan. Faktor-faktor tersebut  ialah masalah kekurangan modal, ketiadaan pekerja yang berkemahiran dan tidak tahu membuat pengurusan, kurangnya ilmu berkenaan pemasaran dan strategi perniagaan. Oleh itu, beliau mencadangkan supaya peniaga bumiputra yang berhajat untuk menjalankan perniagaan kecil ini supaya melengkapkan diri terlebih dahulu tentag pengurusan perniagaan dan strategi asas  perniagaan sebelum mereka menceburkan diri ke dunia perniagaan.

Fenomena kegagalan dalam perniagaan juga berlaku di kalangan peniaga kecil di luar negara. Scott, Watson dan Wilson (1996) mendapati kegagalan dalam melaksana strategi perniagaan dan kecenderungan mempraktiskan aktiviti pemasaran yang tidak betul menyumbang kepada berlakunya kegagalan di kalangan peniaga kecil di sana. Di samping itu, kesilapan mereka memilih dan melaksana strategi yang tidak sesuai dengan perubahan persekitaran industri juga telah menyumbang kepada kegagalan di dalam perniagaan mereka. 

Di samping itu,  persepsi kebanyakan peniaga kecil yang menganggap bahawa untuk mengendalikan sebuah perniagaan yang berskala kecil atau  perniagaan secara sambilan  adalah mudah dan ringkas berbanding menguruskan perniagaan yang berskala  besar juga telah  mendorong mereka untuk tidak mengendahkan kepada seruan supaya mereka mendalami dan mempelajari ilmu menguruskan perniagaan terlebih dahulu sebelum mereka memulakan perniagaan. Kesannya, hampir 80% daripada perniagaan yang dibuka  tidak dapat bertahan  selepas tiga hingga lima bulan ia beroperasi. Akhirnya perniagaan tersebut terpaksa ditutup (Harper.,2010).

Namun begitu, bangsa Melayu terutamanya masih lagi tidak mengendahkan akan perkara ini. walupun telah berkali-kali ditekankan oleh pihak yang berwajib. Malah di dalam kelas atau bengkel keusahawanan juga banyak dinasihatkan agar mereka meningkatkan ilmu pengetahuan terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Namun  mereka tetap mengulangi kesilapan yang sama. Mereka lebih menumpukan kepada soal penyediaan modal kerja dan mencari lokasi perniagaan yang strategik berbanding melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan  terlebih dahulu. Tetapi, apabila mereka sudah terdesak dan menghadapi masalah dalam perniagaan barulah mereka mula sebok menyelak akhbar dan majalah mencari-cari pihak yang ada menyediakan kelas-kelas berkaitan pengurusan dan motivasi bagi membantu mereka mengatasi masalah yang melanda perniagaan yang dijalankan itu. Malangnya, tindakan tersebut sudah terlewat. Di saat mereka baru mengikuti kelas motivasi atau bengkel pengurusan, perniagaan yang diusahakan itu sudah terlalu lambat untuk dipulihkan. Akhirnya mereka terpaksa akur dengan keadaan dan menutup peniagaan tersebut serta menanggung kerugian.

Sebaliknya masalah ini tidak berlaku di kalangan peniaga bukan bumiputra. Bagi kaum bukan bumiputera terutamanya kaum Cina, mereka  lebih suka mendedahkan anak-anak mereka kepada dunia perniagaan semenjak kanak- kanak itu mula memasuki alam persekolahan lagi. Ketika kanak- kanak keturunan Melayu yang sebaya dengan mereka sebok bermain permainan komputer atau melepak di ‘cyber cafĂ©’ bersama kawan-kawan, anak-anak kaum Cina ini pula sudah pandai membantu ibu bapa mereka di kedai atau menemani ibu bapa mereka berjual di pasar malam atau pasar minggu. Pendedahan sebegini dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan  pengalaman kanak-kanak tersebut berkenaan dunia perniagaan. 

Apabila kanak-kanak itu telah dewasa dan bersedia untuk membuka perniagaan mereka sendiri kelak, mereka sudah pun mempunyai ilmu dan pengalaman yang cukup bagaimana untuk menguruskan sebuah perniagaan dengan baik. Walaupun mereka tidak belajar berkenaan pengurusan dan strategi perniagaan secara formal di sekolah atau mana-mana universiti, namun melalui pengalaman dan pembelajaran secara tidak formal semasa membantu menguruskan perniagaan orang tua mereka dahulu, mereka tetap mampu mengendalikan perniagaan yang dibuka itu dengan betul malah ada yang mampu mengembangkan perniagaan mereka sehinga mempunyai bererapa cawangan. 
 
Oleh itu, kepada anda yang berminat untuk mempunyai perniagaan sendiri, seeloknya anda perlu  terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan perniagaan. Banyak kursus-kursus keusahawanan ditawarkan oleh agensi kerajaan dan swasta di luar sana. Malah banyak buku-buku berkenaan pengurusan perniagaan juga banyak ditulis dan dijual di kedai-kedai buku untuk anda jadikan bahan rujukan serta panduan sebelum  memulakan langkah membuka perniagaan sendiri satu hari nanti. 
Lengkapkan dahulu diri kita dengan ilmu pengetahuan berkenaan sesuatu perkara sebelum kita melakukannya. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Ames,(2010), ''Kita jangan lah terlalu mengharap yang musuh tidak jadi untuk datang, sebaliknya kita perlu bertanya adakah kita  sudah bersedia untuk menerima kehadiran mereka.  Kita juga jangan berharap agar musuh tidak jadi untuk meyerang kita sebaliknya kita perlu pastikan yang kita sudah mempunyai posisi yang kukuh sehingga musuh tidak mampu untuk menembusi pertahanan kita". 

Berpandukan dari kata-kata itu, peniaga kecil sekali lagi diingatkan agar mempersiapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu pengurusan  terlebih sebelum benar-benar menceburkan diri ke dunia perniagaan. Seiring dengan kata-kata yang diungkapkan oleh general Sun tzu, " Mereka yang mengenali diri mereka tidak akan mengalami kekalahan walau seratus pertempuran yang mereka sertai". 
Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi dientri-entri yang akan datang. Akhir kata, jika anda berminat untuk mempelajari strategi asas dan ilmu berbisness, anda boleh dapatkan buku saya yang bertajuk 'Jom Bisness!' yang bakal terbit tak lama lagi.


No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...