Sunday 14 February 2016

Perancangan dan kepentingannya (Siri 3)

Entri: 23
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image


Bertemu kembali kita dalam perbincangan berkenaan strategi dan pengurusan perniagaan.

Dalam entri yang lepas kita telah membincangkan tentang kepentingan membuat perancangan. Sebagaimana yang dibincangkan dalam entri sebelum ini, ketika sesebuah negara itu bakal menghadapi peperangan, ia memerlukan raja dan general yang memimpin pasukan tentera itu membuat perancangan terlebih dahulu

Ketika membuat perancangan, beberapa indikator perlu diperhatikan oleh general tersebut supaya kemenangan berpihak kepada pasukan beliau.

Begitu juga dalam menguruskan sebuah perniagaan. Ia juga memerlukan anda membuat perancangan yang terlebih dahulu sebelum anda membuat sebarang keputusan. Malangnya masih ramai di kalangan usahawan bumiputra lebih suka membuat keputusan berdasarkan gerak hati berbanding mengikut tindakan saintifik. Tetapi apabila tindakan yang dilakukan itu gagal atau hasil yang diperolehi tidak seperti yang  diharapkan,  mudah pula mereka  menyalahkan  kepada takdir.

Jika kita mengikuti sejarah perjuangan Rasulullah, baginda sendiri  pun tidak pernah meninggalkan aktiviti membuat perancangan ini dalam apa jua tindakan yang baginda lakukanl.

Walaupun baginda sedar bahawa baginda merupakan seorang rasul yang telah diberi jaminan oleh Allah akan memperolehi kejayaan dalam setiap tindakan yang dilakukan, namun baginda tetap juga membuat perancangan.  Baginda  akan bermesyuarat dengan para sahabat terlebih dahulu untuk mendapatkan  maklumat dan bertanyakan pandangan mereka
Satu lagi contoh yang  menunjukkan bahawa baginda juga mementingkan aktiviti membuat  perancangan ialah ketika peristiwa baginda diperintahkan oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah. 

Jika difikir secara logik, seandainya Rasulullah pergi ke madinah secara 'gitu-gitu' saja tanpa membuat apa-apa persediaan pun, baginda dan Saidina Abu Bakar pasti akan selamat sampai ke Madinah, Tambahan pula  arahan supaya berhijrah ke madinah itu datangnya dari Allah.  

Sudah pasti Allah akan menjamin  kelancaran proses penghijrahan ini. Tak perlulah rasulullah dan Abu Bakar bersusah payah mengatur rancangan.   Namun sebagai manusia biasa, rasulullah tetap juga membuat perancangan untuk memastikan proses penghijrahan itu berjalan lancar.

Baginda telah  berpakat dengan Saidina Ali supaya menggantikan baginda di tempat tidur baginda pada malam penghijrahan nanti dengan tujuan untuk mengelirukan pihak Quraisy. Di samping itu baginda juga telah meminta Abu Bakar supaya berbincang dengan anak perempuannya yang bernama Asmak, supaya menghantar makanan dan minuman  ke gua tempat baginda dan Abu Bakar akan bersembunyi nanti. Akhir sekali, baginda juga telah meminta  bantuan seorang penunjuk jalan yang mahir tentang selok belok perjalanan di padang pasir untuk menjadi pemandu arah supaya membawa baginda dan Abu bakar ke Madinah. 

Untuk mengelirukan pihak musuh, baginda dan rombongan baginda tidak terus ke Madinah sebaliknya mereka menuju ke selatan terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke utara dan seterusnya menuju ke Madinah. 

Melalui perancangan tersebut akhirnya dengan izin Allah,  baginda Rasulullah  baginda dan Abu Bakar selamat tiba di kota Madinah.

Begitu juga ketika sesebuah negara itu bakal menghadapi peperangan.  Sun Tzu  juga amat menitik beratkan akan proses membuat perancangan. Menurut beliau, "Peperangan adalah penentu kepada  masa depan sesebuah negara. Ia boleh memberi kejayaan yang besar dan gemilang kepada negara tersebut atau boleh juga medatangkan kehancuran yang teruk kepada mereka. 

Oleh itu sebelum membuat keputusan sama ada ingin menyertai peperangan atau pun tidak, adalah penting bagi seseorang raja itu mengkaji terlebih dahulu apa kelebihan dan kekurangan yang negara baginda miliki. Seterusnya raja tersebut perlu menitahkan supaya general yang bakal memimpin tentera ke medan pertempuran nanti supaya membuat perancangan!".

Dari  peristiwa penghijrahan  Rasulullah dan sejarah peperangan yang berlaku di zaman Sun Tzu, boleh kita katakan bahawa aktiviti membuat perancangan merupakan elemen penting sebelum melaksanakan sesuatu tindakan. 

Dunia perniagaan juga tidak terkecuali. Ia juga memerlukan seseorang usahawan itu membuat perancangan terlebih dahulu sebelum  membuat keputusan menjalankan perniagaan yang diingini. Kejayaan sesebuah perniagaan itu  banyak bergantung kepada  kebijaksanaan usahawan itu dalam membuat perancangan ( Cheng, Abdul Kadir dan Bokhari., 2014)

Memandangkan proses membuat perancangan ini adalah penting dan bakal mempengaruhi kejayaan atau kegagalan sesebuah entiti perniagaan, pakar-pakar strategi dan pengurusan seperti Ansoff, Hrebniac dan Porter telah memperkenalkan konsep 'perancangan strategi' (strategic management) bagi membantu pengurus syarikat merancang dan mengurus perniagaan mereka. 

Jika Sun Tzu menggariskan lima komponen utama iaitu 'Tao', 'Tien', 'Di', 'Jiang' dan 'Fa' sebagai indikator atau faktor yang perlu diberi perhatian oleh seorang jeneral itu ketika beliau membuat perancangan, Ansoff, Hrebniac dan Porter pula meminta agar pengurus meneliti dua komponen utama sebelum membuat sesuatu pelan atau strategi perniagaan.

 Komponen-komponen tersebut ialah 'persekitaran luaran' dan 'persekitaran dalaman' syarikat. Setelah memperolehi maklumat berkaitan dua persekitaran ini barulah  pengurus tersebut boleh membuat langkah seterusnya iaitu membuka perniagaan yang diingini.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang


No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...