Saturday, 5 March 2016

Perancangan dan kepentingannya (siri akhir)

Entri: 26
Teks: Usry Abdullah
Image: Google Image



Perancangan boleh didefinisikan sebagai satu proses membuat persediaan. Di mana kita membuat persediaan bagaimana untuk menggunakan  segala sumber yang ada untuk dimanafaatkan atau digerakkan secara optimum agar  objektif yang ditetapkan itu dapat dicapai (Mohamed.,2007). Contohnya ialah anda telah menetapkan sasaran jualan syarikat anda untuk bulan Mac 2016 ialah RM4,000. Oleh itu anda perlu membuat langkah-langkah tertentu bagaimana untuk mencapai sasaran tersebut. Proses merangka dan membuat pelan  bagaimana untuk mencapai target tersebut dinamakan proses membuat perancangan. 
Proses  membuat  perancangan perniagaan ini  terbahagi kepada dua peringkat iaitu:
Peringkat pertama ialah aktiviti membuat penilaian atau analisis pasaran   dan peringkat ke dua ialah aktiviti merangka pelan atau strategi perniagaan. Proses membuat perancangan ini adalah langkah kedua dalam aktiviti pengurusan strategi dan perniagaan (Hashim.,2008, Whellen dan Hunger.,2003). 
Mengikut Michelson dan Michelson (2010), proses membuat perancangan dan aktiviti memantau persekitaran ini adalah diadaptasikan dari bidang atau strategi  ketenteraan yang diasaskan oleh general Sun Tzu pada kurun ke5 sebelum masihi. Beliau merupakan seorang panglima perang yang terkenal dan membantu kerajaan Song di China memperluasan pengaruhnya. Dalam strategi peperangan yang diilhamkan oleh beliau, beliau amat menekankan kepada aktiviti membuat perancangan. 
Menurut beliau, Aktiviti membuat perancangan ini adalah penting kerana dengan membuat perancangan yang rapi,  sesebuah negara itu akan  dapat menewaskan musuh mereka dengan mudah tanpa perlu melalui tempoh peperangang yang panjang. Sekiranya peperangan itu berlarutan untuk tempoh yang panjang, ia bukan saja mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan kepada harta benda  tetapi juga memerlukan perbelanjaan yang besar untuk membiayainya. Sun Tzu amat menekankan aktiviti membuat perancangan ini sebelum sesebuah negara itu mengistiharkan perang dan berpegang kepada falsafah berikut;


~Victory is the main object in war.  If this is long delayed, weapons will become blunt and the ardour of the soldiers will be dampened~  (Sun Tzu)

Berdasarkan kepada petikan kata-kata Sun Tzu itu, kita boleh katakan bahawa untuk mengelakkan dari peperangan itu berlarutan dan merugikan negara yang terlibat, ia perlu dirancang dengan teliti dan pasukan kita dapat memenanginya dengan seberapa segera yang boleh.

Mengikut Sun Tzu  lagi, '' Sesebuah pasukan tentera itu akan dapat memenangi seberapa banyak pertempuran yang mereka sertai sekiranya mereka sudah cukup bersedia. Oleh itu, mereka mesti membuat perancangan terlebih dahulu sebelum menyertai satu-satu pertempuran "

Di dalam dunia perniagaan juga begitu. Dengan membuat perancangan yang rapi, tindakan yang bakal diambil  oleh bakal usahawan akan menjadi lebih teratur kerana anda sudah tahu ke mana hala tuju  anda  nanti.  Anda juga akan dapat mengenal pasti apa masalah yang bakal menjadi penghalang anda mencapai objektif yang ditetapkan itu. Dengan ini, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi halangan tersebut  di samping membolehkananda mencari pelan  alternatif atau pelan 'B' sekiranya pelan utama dan taktik yang dipraktiskan itu tidak mencapai sasaran. 

Untuk membuat perancangan perniagaan, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh bakal  usahawan itu ialah membuat analisis persekitaran berkaitan dengan perniagaan yang beliau akan ceburi. Ia adalah bertujuan supaya beliau dapat mengenal pasti apakah faktor-faktor yang boleh mempengaruhi perniagaan yang bakal dijalankan nanti. Setelah  mengenal pasti faktor-faktor tersebut, barulah usahawan itu boleh  menyediakan pelan tindakan.


Dalam proses membuat penyelidikan atau analisis persekitaran semasa menghadapi peperangan, Sun Tzu telah menggariskan lima elemen  yang perlu diberi perhatian oleh seseorang jeneral. Elemen-elemen tersebut ialah  moral, keadaan cuaca, keadaan muka bumi medan pertempuran, komander yang mengetuai pasukan lawan dan yang terakhir sekali ialah apa prinsip yang dipegang oleh pihak musuh.


Kelima-lima elemen yang digariskan oleh Sun Tzu ini kemudiannya diterjemahkan oleh pakar pengurusan seperti Michelson, Porter dan A.Aker untuk diadaptasikan ke dalam dunia perniagaan. Terjemahannya adalah seperti berikut:

  1. Moral diterjemahkan sebagai misi dan visi syarikat.
  2. Keadaan cuaca diterjemahkan menjadi perubahan dalam ekonomi semasa dan tahap persaingan dalam pasaran.
  3. Keadaan muka bumi medan pertempuran diterjemahkan menjadi kepadatan pasaran yang bakal anda  sertai
  4. Komander diterjemahkan kepada siapa pesaing atau syarikat yang menjalankan perniagaan yang sama atau menjual produk atau perkhidmatan gantian kepada produk yang anda jual dan
  5. Prinsip ialah apa prinsip yang akan diguna pakai dalam perniagaan nanti  sama ada anda akan menggunakan prinsip yang beretika atau sebaliknya.


Kita akan membincangkan proses membuat analsis persekitaran perniagaan ini selanjutnya di dalam entri-entri yang akan datang.


No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...