Monday, 28 March 2016

Kepentingan memantau persekitaran ( siri 3)



Entri: 30
Teks: Usry Abdullah
Image: Google Image


Bertemu kembali kita dalam perbincangan berkenaan strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Kita masih lagi meneruskan perbincangan tentang kepentingan membuat analisis persekitaran kepada peniaga. Sama ada yang sedang menjalankan perniagaan atau kepada bakal usahawan yang akan membuka perniagaan sendiri.

Dalam entri yang lepas, kita telah membincangkan bagaimana sesebuah entiti perniagaan itu tidak boleh berdiri dengan sendiri. Ia perlu berinteraksi dengan keadaan persekitaran untuk menjamin kesinambungan atau kelangsungan perniagaan mereka. 

Malangnya keadaan persekitaran  ini sentiasa berubah-ubah  mengikut faktor-faktor tertentu dan kesan dari perubahan yang berlaku ke atas persekitaran ini kemudiannya akan memberi implikasi kepada perniagaan anda, sama ada implikasi itu berbentuk positif ataupun pun negatif. 

Oleh itu, aktiviti memantau persekitaran adalah penting  kepada setiap usahawan atau bakal usahawan (Barksdale & Lund.,2008).  Dengan memantau  perubahan  persekitaran perniagaan secara berterusan dan berkala, usahawan itu akan dapat membuat tindakan yang sepatutnya bagaimana untuk menyesuaikan perniagaan  beliau mengikut perubahan  yang berlaku.

Sekiranya beliau gagal bertindak atau tersilap membuat tindakan atau bertindak dengan tidak mengikut 'arus perubahan' yang berlaku, perniagaan yang dijalankan itu akan kehilangan daya saing dan seterusnya akan menyebabkan perniagaan itu boleh terkeluar dari pasaran.

Antara tindakan yang boleh dilakukan oleh usahawan apabila berlakunya sebarang perubahan ke atas persekitaran perniagaan ialah dengan membuat pegubahsuian, sama ada dengan menukar strategi dan taktik yang sedang dipraktiskan atau pun  membuat perubahan terhadap barisan produk yang dijual sebagaimana yang telah  dibincang dalam entri sebelum ini.  
Tujuannya ialah supaya perniagaan beliau sentiasa 'fit' dengan keadaan persekitaran tersebut dan dengan ini perniagaan beliau  tidak terjejas. 



Persekitaran perniagaan boleh digambarkan atau dibahagikan kepada tiga bahagian atau lapisan  seperti gambarajah di bawah iaitu:
1. Persekitaran dalaman
2. Persekitaran mikro
3. Persekitaran Makro


Gambarajah Persekitaran perniagaan (google image)
Mari kita kenali persekitaran ini mengikut lapisan demi lapisan atau kategori demi kategori.


1) Lapisan yang paling dalam sekali adalah persekitaran yang paling rapat atau paling dekat dengan anda. Lapisan tersebut dinamakan persekitaran dalaman syarikat (yang berlabel The organization).  

Sebarang perubahan yang berlaku dalam persekitaran dalaman syarikat ini akan 'memberi kesan serta-merta'  kepada operasi perniagaan anda  (Rothaermal., 2013 dan  Friend & Zehle.,2004).  Oleh itu anda perlu bertindak dengan segera untuk memperbaikinya.

Persekitaran dalaman  ini  terdiri daripada apa yang syarikat anda miliki seperti  kecekapan pekerja, kebolehan anda, semangat keusahawanan, daya kretiviti, jumlah modal dan sumber bahan mentah. Kesemua elemen ini akan menentukan kemampuan anda  untuk melaksana strategi dan taktik di dalam perniagaan yang anda usahakan. 

Contohnya, katakan seorang pekerja yang anda percayai tiba-tiba memberitahu yang beliau ingin berhenti secara mengejut. Jika beliau berhenti, ia boleh menyebabkan operasi perniagaan anda terganggu. Tambahan pula sebelum ini anda banyak bergantung kepada beliau. Jika tempat beliau tidak diganti dengan segera, anda pula yang terpaksa membuat kesemua tugas yang beliau tinggalkan itu sendirian. 

Oleh itu anda perlu bertindak dengan mencari pekerja baru seberapa segera supaya kelancaran perniagaan anda tidak terganggu.


2) Lapisan kedua yang letaknya di luar organisasi ini pula dikenali sebagai persekitaran mikro atau persekitaran industri. 

Ia boleh diibaratkan seperti persekitaran pekan, bandar atau  kampung tempat syarikat atau kedai anda beroperasi. Di dalam bandar atau pekan tersebut terdapatnya  pelanggan-pelanggan anda, pesaing anda dan syarikat yang membekal bahan mentah kepada anda. 

Sebarang perubahan yang berlaku dalam persekitaran  ini akan memberi kesan  kepada perniagaan anda  biasanya dalam tempoh 1 - 2 minggu selepas berlakunya perubahan ke atas persekitaran ini.

Katakan anda seorang penjual ikan di sebuah pasar harian di sebuah pekan. Hari ini anda dapati harga ikan yang dibekalkan oleh pembekal/pemborong kepada anda adalah  mahal sedikit berbanding harga yang anda beli  semalam atau hari-hari sebelumnya.

Di sini anda mempunyai dua  pilihan iaitu anda tetap menjual ikan yang dibeli tadi  mengikut harga lama dan  sedia untuk 'menyerap' kenaikan harga yang anda beli dari pembekal tadi. Manakala pilihan kedua pula ialah anda mengambil keputusan untuk menaikkan harga ikan yang akan dijual kepada pelanggan anda seiring dengan kenaikan harga pasaran. 

Dalam situasi ini ia memerlukan anda bijak dalam membuat keputusan. Kedua-dua pilihan tersebut akan memberi implikasi  yang tersendiri kepada perniagaan anda. Namun, sama ada mahu atau tidak anda terpaksa membuat keputusan kerana  situasi kenaikan harga ikan ini akan menjejaskan keuntungan anda pada hari tersebut

Inilah contoh senario yang menunjukkan bahawa persekitaran industri mempengaruhi perniagaan anda. Oleh itu anda perlu membuat keputusan yang sesuai supaya kesinambungan perniagaan anda tidak terjejas.

3) Akhir sekali ialah lapisan yang berada paling luar atau paling jauh dari syarikat atau perniagaan anda. Lapisan ini dinamakan persekitaran makro atau persekitaran am. 

Persekitaran makro atau persekitaran am  terletak paling jauh dari syarikat anda. Jika syarikat anda beroperasi di sebuah bandar atau daerah, persekitaran am ini bolehlah diibaratkan seperti persekitaran negara atau negeri tempat anda menjalankan perniagaan.

Sebarang perubahan  yang berlaku kepada persekitaran makro ini akan mengambil tempoh yang agak lama sebelum ia memberi kesan kepada kestabilan perniagaan anda. (mungkin 2-3 bulan selepas berlaku perubahan dalam persekitaran am ini baru syarikat atau perniagaan anda dapat merasa akan kesannya).  

Namun begitu anda tetap kena membuat persediaan untuk membuat perubahan sekiranya perlu supaya perubahan dalam persekitaran am ini juga tidak mengganggu kelancaran perniagaan yang anda sedang jalankan.

Dari perbincangan kali ini kita dapat simpulkan bahawa terdapat tiga tahap atau tiga jenis persekitaran yang boleh mempengaruhi kelancaran perniagaan yang anda usahaan. Oleh itu anda perlu sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku ini kerana sebarang perubahan ke atas salah satu persekitaran ini akan memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan anda.  Sama ada  dalam jangka pendek atau jangka panjang. 

Begitu juga kepada anda yang sedang merancang untuk membuka perniagaan sendiri. Anda juga perlu bersikap realistik dan sedar bahawa sebarang perubahan yang berlaku kepada ketiga-tiga persekitaran perniagaan yang dibincangkan tadi juga akan memberi kesan kepada perniagaan yang bakal anda usahakan nanti.  

Oleh itu, mempelajari kaedah membuat analisis persekitaran ini sebelum anda membuka perniagaan yang dihajati adalah perlu kerana ia dapat membantu anda mengenal pasti sama ada perniagaan yang  bakal anda usahakan itu mampu bersaing ataupun tidak. Ia juga dapat memberi anda  gambaran sama ada perniagaan yang bakal anda usahakan itu berpeluang untuk maju atau sebaliknya.  

Untuk mendapatkan maklumat  berkenaan perubahan-perubahan yang berlaku ke atas persekitaran ini, anda boleh  mendapatkan info-info terkini sama ada dengan menonton berita-berita  ekonomi di televisyen, membaca surat khabar, membaca journal dan ‘news letter’ yang dikeluarkan oleh broker-broker saham ataupun melayari laman web tertentu di internet. Malah, anda  juga boleh mendapatkan maklumat dengan lebih lengkap berkenaan perubahan persekitaran  ini dari pembekal, pemborong atau pun perunding perniagaan.


Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

No comments:

Post a Comment

Cabaran peniaga internet

Ledakan dalam teknologi maklumat dan kadar penembusan internet di setiap rumah telah mencetus perubahan besar kepada kehidupan kita. Di M...