Saturday 24 February 2018

Kategori dan ciri persekitaran perniagaan





Sebagaimana yang pernah anda pelajari dalam kelas  atau baca dalam mana-mana buku pengurusan, terdapat dua kategori persekitaran yang perlu diberi perhatian oleh setiap usahawan iaitu;
i.               Persekitaran luaran.
ii.            Persekitaran dalaman


i)             Persekitaran luaran
Ialah semua kejadian di luar organisasi atau perniagaan beliau yang berpotensi untuk mempengaruhi dan memberi kesan kepada kestabilan perniagaan yang sedang diusahakan.  Persekitaran luaran ini  selalu berubah-ubah mengikut peredaran semasa dan suasana.

ii)            Persekitaran dalaman
Persekitaran dalaman pula ialah situasi atau arah aliran dalam organisasi yang memberi kesan kepada pengurusan, pekerja dan budaya (culture) dalam sesebuah organisasi perniagaan.

Perubahan yang berlaku pada salah satu persekitaran ini akan memberi kesan kepada perniagaan yang sedang anda usahakan.
Terdapat dua ciri perubahan  yang berlaku pada persekitaran perniagaan ini, iaitu persekitaran yang berubah secara perlahan atau stabil dan persekitaran yang berubah secara mendadak dan bergolak (turbulent). 

Persekitaran yang berubah secara perlahan ini amat diharapkan dan disukai oleh mereka yang menjalankan perniagaan kerana persekitaran seperti ini amat stabil. Keadaan ini menggambarkan suasana ekonomi yang baik dan mantap. Kadar inflasi juga terkawal dan tidak membebankan pengguna. Oleh itu golongan pengguna mempunyai kuasa beli yang besar. Jadi apa saja barangan yang dijual oleh anda akan mendapat sambutan asalkan ianya menepati cita rasa dan kehendak mereka.

Dalam keadaan ekonomi yang stabil begini,  peniaga juga mudah untuk membuat andaian atau jangkaan tentang corak perbelanjaan pengguna.  Ini memberi peluang kepada golongan peniaga  membuat rancangan perniagaan dengan lebih teratur dan membuat lebih banyak innovasi kepadaproduk atau perkhidmatan yang ditawarkan.  

Misalnya sewaktu menghadapi satu-satu musim perayaan. Peniaga sudah boleh membuat persediaan awal dengan menyimpan seberapa banyak stok  barangan  bagi menunggu ketibaan perayaan. Ini adalah kerana biasanya golongan pengguna akan membeli barang  dengan lebih banyak berbanding bulan lain bagi membuat  persiapan untuk menyambut hari perayaan.   

Persekitaran seperti ini boleh dikatakan sebagai persekitaran yang ‘mesra perniagaan’.

Manakala persekitaran yang bergolak (turbulent)  pula adalah di mana   berlaku perubahan  secara pantas dan tidak menentu dalam persekitaran semasa.  Kadang-kadang pertumbuhan ekonomi menjadi terlalu perlahan. Dan  kadar inflasi pula meningkat secara tiba-tiba.  

Situasi seperti ini  akan menyebabkan  golongan pengguna mula hilang kuasa membeli dan terpaksa menghadkan perbelanjaan harian mereka.   Apabila keadaan ini berlaku, peniaga juga terpaksa mengurangkan stok yang disimpan bagi mengelakkan kerugian.  Malah sewaktu menghadapi musim perayaan pun golongan peniaga takut untuk menyimpan stok lebih kerana bimbang sekiranya stok tersebut tidak habis dijual. 

Namun ada pula pada masa-masa tertentu persekitaran perniagaan yang suram ini tiba-tiba saja berubah menjadi  ‘mesra pengguna’ tetapi dalam tempoh yang amat singkat.

Misalnya pada setiap minggu terakhir pada  hujung bulan, iaitu sewaktu warga pekerja  mendapat gaji bulanan mereka.  Atau sewaktu sebahagian dari golongan berpendapatan rendah menerima berita gembira iaitu bayaran BRIM sudah dikreditkan ke dalam akaun mereka.  Pada ketika ini keadaan akan menjadi rancak untuk beberapa ketika. Pasaraya tiba-tiba dikunjungi orang ramai dan  mencatat jualan yang memberangsangkan berbanding hari-hari lain. 

Tetapi pada masa  yang sama sebahagian dari peniaga, terutamanya golongan peniaga kecil masih tidak menerima kesan positif ini kerana mereka tidak sempat untuk menjangka  akan perubahan ini.  Jadi mereka masih tidak dapat membuat persediaan menghadapi perubahan pengguna ini dan jualan mereka masih rendah tidak seperti  yang dinikmati oleh pasaraya tadi. 

Jika dibandingkan  keadaan persekitaran stabil, persekitaran bergolak atau ‘turbulant’  ini tidak mesra peniaga.

Sunday 18 February 2018

Pentingnya memahami persekitaran perniagaan




Dalam sejarah peperangan Sun Tzu telah menggariskan beberapa  strategi perang yang kemudiannya dibukukan oleh sejarahwan dan dikenali sebagai  ‘The Art of War’.  Dalam naskah tersebut antara   isu penting yang  yang disentuh oleh General Sun Tzu  ialah keadaan geografi dan bentuk muka bumi medan pertempuran. 

Beliau menggariskan lima bentuk muka bumi dan lima strategi yang perlu dipatuhi oleh setiap general jika mereka ingin menang dalam pertempuran yang disertai. Misalnya,  ketika menghadapi musuh di kawasan  yang berbukit bukau, Sun Tzu menyarankan kepada  general yang memimpin pasukan tentera itu supaya mengarahkan pasukan tentera  beliau berkhemah di puncak bukit dan menunggu kedatangan musuh.  

Tetapi sekiranya general itu mendapati pihak  musuh terlebih dahulu menguasai kawasan puncak  tersebut,  general itu perlu menghentikan pergerakan tentera  beliau dan segera  beredar dari situ  walaupun pihak musuh mengumpan dengan pelbagai umpanan supaya pasukan tentera beliau mara dan naik mendaki bukit tersebut.  

Ini adalah salah satu daripada prinsip peperangan yang telah  digariskan oleh Sun Tzu sewaktu beliau menjadi general perang di zaman dinasti Qi (544-496 SM).  Setiap strategi  yang ditulis beliau itu dilaksanakan mengikut kesesuaian medan pertempuran dan keadaan cuaca .  

Begitu juga semasa perang di zaman Nepoleon  tahun 1803-1815.  Beliau akan memilih beberapa orang tentera elit untuk menyusup masuk ke negara musuh dan membuat tinjauan  tentang keadaan negara musuh itu sebelum mengarahkan tentera beliau menyerang. Setelah mendapat maklumat lengkap barulah Nepoleon akan membuat keputusan dan merangka strategi bagi menyerang negera tersebut. 

Dari kedua-dua sejarah perang itu, dapat diperkatakan  bahawa kemenangan sesebuah pasukan tentera banyak bergantung kepada  kebijaksanaan general  yang memerentah menyusun strategi dan bagaimana beliau menyesuaikan setiap  strategi itu dengan situasi semasa. 

Dunia perniagaan juga tidak terkecuali.  Sebagaimana  yang dibincangkan  dalam entri saya yang  terdahulu dan entri-entri terkini, setiap organisasi perniagaan  memerlukan kepada strategi untuk membolehkan perniagaan yang diusahakan itu bersaing dengan  peniaga  lain yang turut sama beroperasi di kawasan  beliau beroperasi .  


Namun begitu mempunyai strategi sahaja masih belum mencukupi untuk anda berjaya dalam bisnes yang diceburi.  mengikut prinsip  bidang pengurusan  organisasi  dan  strategi, terdapat  satu  faktor yang akan  mempengaruhi keberkesanan sesebuah strategi  yang dilaksanakan. Faktor tersebut ialah faktor  persekitaran semasa  atau  lebih dikenali sebagai  ‘business environment’.

Ramai pakar pengurusan strategi  seperti Wheelen dan Hunger (2003), Prescort ( 1986), Hashim (2008) dan Zakaria (2010) telah mencadangan kepada para usahawan supaya  setiap usahawan mengambil kira akan faktor persekitaran semasa  ini  setiap kali  mereka ingin merangka strategi baru  dalam perniagaan. 

Manakala mengikut Friend dan Zehlie (2004) dalam buku mereka yang bertajuk ‘ Guide to business planning’ pula, mereka  menegaskan   bahawa setiap entiti  pernigaan itu  sentiasa terdedah kepada beberapa faktor yang tidak tidak dapat dikawal  oleh pemilik perniagaan tersebut. Faktor- faktor tersebut ialah seperti  polisi kerajaan, perubahan sikap pengguna dan perkembangan  teknologi.  

Faktor-faktor  ini  diklasifikasikan sebagai  persekitaran perniagaan.  Menurut mereka lagi, pemahaman dalam aktiviti membuat analisis terhadap faktor –faktor yang disebutkan tadi dan keupayaan usahawan itu bertindak menyesuaikan perniagaannya dengan faktor tersebut merupakan  penentu kepada kejayaan  perniagaan yang sedang  beliau usahakan. 

Apabila seseorang usahawan itu  mempunyai kemahiran dalam membuat analisis persekitaran,  ia dapat  memberi  gambaran sebenar kepada beliau tentang  keadaan   pasaran semasa dan apa tindakan yang sepatutnya  diambil supaya  perniagaan beliau tidak menghadapi masalah kesan dari perubahan dalam faktor-faktor  persekitaran itu.

Berdasarkan kepada  rumusan dan  pandagan yang dibuat oleh  pakar-pakar  pengurusan ini, ia  menunjukkan bahawa persekitaran semasa  juga merupakan   salah satu dari ‘faktor kontigensi’   yang akan menentukan kejayaan atau kegagagaln  sesebuah perniagaan. 

 Walaupun  anda mungkin sudah mahir dengan  pelbagai jenis strategi perniagaan  tetapi sekiranya strategi yang  anda laksanakan itu tidak sesuai dengan persekitaran semasa,  segala usaha anda akan menjadi sia-sia.  

Namun,  dari kajian yang dilakukan di kalangan peniaga kecil di Malaysia,  ramai di kalangan mereka tidak mengendahkan perkara ini.  Majoriti dari kalangan mereka  tidak suka mempelajari kaedah bagaimana untuk membuat analisis persekitaran semasa sebaliknya mereka lebih mementingkan untuk mempelajari   taktik  yang bersifat jangka pendek.Kesannya, ramai peniaga kecil ini yang menemui kegagalan.

Sunday 11 February 2018

Persekitaran Perniagaan




Kita sambung lagi  perbincangan kita sebelum ini iaitu berkenaan persekitaran semasa dan dunia perniagaan. Ini memandangkan persekitaran perniagaan yang kita hadapi sekarang ini nampaknya terlalu kompleks dan sukar diramal.  

Semoga dengan perbincangan berkenaan isu ini  dapat memberi sedikit  idea dan kesedaran kepada anda supaya tidak mengabaikan faktor persekitaran ini sewaktu anda menguruskan  perniagaan. 

Tambahan pula banyak kajian telah dijalankan sebelum sebelum ini dan membuktikan bahawa setiap entiti perniagaan itu perlu berubah dan 'mengadaptasi' pernigaan dan strategi mereka mengikut persekitaran semasa jika a ingin survive atau  berkembang.

Tetapi  apa yang menyedihkan ialah masih ramai di kalangan peniaga terutamanya peniaga kecil yang tidak mengendahkan aktiviti ini. Mereka tetap mempraktiskan strategi yang sama walaupun suasana persekitaran berubah berkali-kali. Sedangkan syarikat-syarikat korporat amat menitikberatkan perkara ini dalam pengurusan mereka. 
Sebagaimana yang dinyatakan oleh General Sun Tzu dalam entri sebelum ini, 


‘‘Having paid attention to the advantages of my stratagem, the commander must pretend to create a helpful situation over and beyond the ordinary rules.’’ 

Dari apa yang dinyatakan oleh Sun Tzu dalam pernyataan tersebut, kita boleh katakan bahawa tidak ada satu strategi pun yang akan kekal sewaktu  beliau menghadapi satu-satu peperangan. Beliau sentiasa mengubah strategi perang mengikut  situasi semasa.


Begitu juga jika anda sering melihat perlawanan bole sepak. Dalam  perlawanan bola sepak, seseorang jurulatih itu tidak akan menggunakan strategi atau formasi yang sama dalam setiap perlawanan.  Strategi dan formasi pasukannya bergantung kepada kekuatan pasukan lawan yang bakal mereka hadapi  dan di mana perlawanan itu diadakan. 

Mungkin ketika  menghadapi lawan  di tempat sendiri, jurulatih itu boleh bermain secara santai dengan menggunakan formasi  4-3-3    tetapi apabila bermain di tempat lawan, jurulatih itu terpaksa menggunakan formasi lain seperti formasi 4-2-3-1 atau pun 4-3-2-1 yang lebih mementingkan kepada pertahanan.  Maklumlah bermain di tempat lawan, sedikit sebanyak motivasi dan moral pasukan beliau pasti goyah berbanding bermain di tempat sendiri. Oleh itu untuk tidak mengambil risiko, formasi 4-2-3-1 atau 4-3-2-1 biasanya menjadi pilihan jurulatih tersebut.

Begitu juga dengan dunia perniagaan. Anda tidak boleh menggunakan satu strategi sahaja sepanjang masa sebaliknya anda perlu menukarkannya mengikut kesesuaian dan persekitaran semasa.

Dari konteks peperangan yang dipraktiskan oleh General sun Tzu dan juga strategi yang diguna pakai oleh jurulatih bola sepak ini, pakar-pakar strategi telah merumuskan bahawa walaupun  seseorang usahawan itu mahir dengan pelbagai jenis strategi perniagaan tetapi jika beliau tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan strategi yang dipelajarinya itu dengan situasi atau persekitaran semasa, strategi itu tidak akan memberikan hasil seperti mana yang diharapkan.


 

Tuesday 6 February 2018

KR1M Kini kembali. Pengguna tersenyum, peniaga gelisah?





Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak telah  melancarkan semula Kedai Rakyat 1Malaysia yang pernah ditutup pada bulan Oktober 2017 yang lalu.  Kali ini Kedai Rakyat 1Malaysia ini dinamakan sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 atau sigkatannya  (KR1M) 2.0.  Konsep KRIM2.0 ini dikatakan lebih baik berbanding konsep KR1M 1.0 dahulu.

Ini adalah kerana  KR1M 2.0 adalah berkonsepkan  kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang,pengeluar dan pengedar. Manakala  operasi perniagaan adalah kendalian pemilik dan penjenamaan bersama.  

 Jika KR1M versi 1.0 dulu, kerajaan berkolaborasi dengan pemilik pasaraya Mydin tapi kali ini KR1M versi 2.0 pula kerajaan telah berkolaborasi dengan operator baru iaitu Tunas Manja Group (TMG). Dan KK Super Mart. Memandangkan syarikat ini berasal dari Pahang,  iaitu Temerloh, maka kedai pertama  KR1M versi 2.0 ini juga dilancarkan di Bandar tersebut

Menurut Perdana Menteri, jika dalam projek KR1M versi 1.0 dulu kebanyakan produk KR1M diambil  dari pasaraya Mydin dan kemudiannya dibungkus dan diberi jenama 1 Malaysia, kini tidak lagi.  Misalnya, jika produk itu berjenama Adabi, maka KR1M akan menjual produk itu dengan jenama Adabi juga tanpa membuat pembungkusan semula. Dengan ini pengguna tahu bahawa produk tersebut adalah produk tulin dari kilang Adabi. Dan pengguna juga tahu bahawa produk itu adalah produk berkualiti bunnya produk ‘cap ayam’.

Untuk permulaan, empat barang keperluan asas iaitu gula,minyak masak, tepung dan beras akan dijual lebih rendah dari harga pasaran kecuali minyak masak yang diberi subsidi oleh kerajaan. 

Tentunya dengan kembalinya KR1M versi 2.0 ini akan memberi sedikit kelegaan kepada golongan pengguna yang sketika ini sedang  menghadapi  tekanan kos sara hidup kesan dari  harga petrol yang tidak menentu dan  cukai barangan dan perkhidmatan yang dilaksanakan tahun 2015 yang lalu.  

Tetapi bagaimana pula dengan nasib peniaga kecil yang membuka kedai runcit di kampung-kampung atau taman perumahan?  Ini adalah kerana menurut PM  Najib, sebanyak 300 outlet KR1M 2.0 akan dibuka  menjelang penghujung 2018 dan beliau  mensasarkan sebanyak  3,000 KR1M versi 2.0 akan dibuka dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.  

Tambahan pula, kekuatan atau ‘strength’ KR1M versi 2.0 ini ialah  50 produk  keperluan harian yang dijual di kedai tersebut adalah produk berjenama  dan harganya pula jauh  lebih murah berbanding harga di pasaraya atau mini market.

Jadi,  sebelum KR1M versi 2.0 ini menjengah dan beroperasi di kawasan anda berniaga, saya rasa patutlah anda bersedia dari sekarang  dengan merangka pelan dan strategi baru bagi menghadapinya agar perniagaan anda tidak terjejas.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...