Saturday, 24 February 2018

Kategori dan ciri persekitaran perniagaan





Sebagaimana yang pernah anda pelajari dalam kelas  atau baca dalam mana-mana buku pengurusan, terdapat dua kategori persekitaran yang perlu diberi perhatian oleh setiap usahawan iaitu;
i.               Persekitaran luaran.
ii.            Persekitaran dalaman


i)             Persekitaran luaran
Ialah semua kejadian di luar organisasi atau perniagaan beliau yang berpotensi untuk mempengaruhi dan memberi kesan kepada kestabilan perniagaan yang sedang diusahakan.  Persekitaran luaran ini  selalu berubah-ubah mengikut peredaran semasa dan suasana.

ii)            Persekitaran dalaman
Persekitaran dalaman pula ialah situasi atau arah aliran dalam organisasi yang memberi kesan kepada pengurusan, pekerja dan budaya (culture) dalam sesebuah organisasi perniagaan.

Perubahan yang berlaku pada salah satu persekitaran ini akan memberi kesan kepada perniagaan yang sedang anda usahakan.
Terdapat dua ciri perubahan  yang berlaku pada persekitaran perniagaan ini, iaitu persekitaran yang berubah secara perlahan atau stabil dan persekitaran yang berubah secara mendadak dan bergolak (turbulent). 

Persekitaran yang berubah secara perlahan ini amat diharapkan dan disukai oleh mereka yang menjalankan perniagaan kerana persekitaran seperti ini amat stabil. Keadaan ini menggambarkan suasana ekonomi yang baik dan mantap. Kadar inflasi juga terkawal dan tidak membebankan pengguna. Oleh itu golongan pengguna mempunyai kuasa beli yang besar. Jadi apa saja barangan yang dijual oleh anda akan mendapat sambutan asalkan ianya menepati cita rasa dan kehendak mereka.

Dalam keadaan ekonomi yang stabil begini,  peniaga juga mudah untuk membuat andaian atau jangkaan tentang corak perbelanjaan pengguna.  Ini memberi peluang kepada golongan peniaga  membuat rancangan perniagaan dengan lebih teratur dan membuat lebih banyak innovasi kepadaproduk atau perkhidmatan yang ditawarkan.  

Misalnya sewaktu menghadapi satu-satu musim perayaan. Peniaga sudah boleh membuat persediaan awal dengan menyimpan seberapa banyak stok  barangan  bagi menunggu ketibaan perayaan. Ini adalah kerana biasanya golongan pengguna akan membeli barang  dengan lebih banyak berbanding bulan lain bagi membuat  persiapan untuk menyambut hari perayaan.   

Persekitaran seperti ini boleh dikatakan sebagai persekitaran yang ‘mesra perniagaan’.

Manakala persekitaran yang bergolak (turbulent)  pula adalah di mana   berlaku perubahan  secara pantas dan tidak menentu dalam persekitaran semasa.  Kadang-kadang pertumbuhan ekonomi menjadi terlalu perlahan. Dan  kadar inflasi pula meningkat secara tiba-tiba.  

Situasi seperti ini  akan menyebabkan  golongan pengguna mula hilang kuasa membeli dan terpaksa menghadkan perbelanjaan harian mereka.   Apabila keadaan ini berlaku, peniaga juga terpaksa mengurangkan stok yang disimpan bagi mengelakkan kerugian.  Malah sewaktu menghadapi musim perayaan pun golongan peniaga takut untuk menyimpan stok lebih kerana bimbang sekiranya stok tersebut tidak habis dijual. 

Namun ada pula pada masa-masa tertentu persekitaran perniagaan yang suram ini tiba-tiba saja berubah menjadi  ‘mesra pengguna’ tetapi dalam tempoh yang amat singkat.

Misalnya pada setiap minggu terakhir pada  hujung bulan, iaitu sewaktu warga pekerja  mendapat gaji bulanan mereka.  Atau sewaktu sebahagian dari golongan berpendapatan rendah menerima berita gembira iaitu bayaran BRIM sudah dikreditkan ke dalam akaun mereka.  Pada ketika ini keadaan akan menjadi rancak untuk beberapa ketika. Pasaraya tiba-tiba dikunjungi orang ramai dan  mencatat jualan yang memberangsangkan berbanding hari-hari lain. 

Tetapi pada masa  yang sama sebahagian dari peniaga, terutamanya golongan peniaga kecil masih tidak menerima kesan positif ini kerana mereka tidak sempat untuk menjangka  akan perubahan ini.  Jadi mereka masih tidak dapat membuat persediaan menghadapi perubahan pengguna ini dan jualan mereka masih rendah tidak seperti  yang dinikmati oleh pasaraya tadi. 

Jika dibandingkan  keadaan persekitaran stabil, persekitaran bergolak atau ‘turbulant’  ini tidak mesra peniaga.

2 comments:

Hans Hanis said...

perkongsian tentang perniagaan yang bagus

usryabdullah said...

Sekadar memberi apa yang termap0u.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...