Sunday, 18 February 2018

Pentingnya memahami persekitaran perniagaan




Dalam sejarah peperangan Sun Tzu telah menggariskan beberapa  strategi perang yang kemudiannya dibukukan oleh sejarahwan dan dikenali sebagai  ‘The Art of War’.  Dalam naskah tersebut antara   isu penting yang  yang disentuh oleh General Sun Tzu  ialah keadaan geografi dan bentuk muka bumi medan pertempuran. 

Beliau menggariskan lima bentuk muka bumi dan lima strategi yang perlu dipatuhi oleh setiap general jika mereka ingin menang dalam pertempuran yang disertai. Misalnya,  ketika menghadapi musuh di kawasan  yang berbukit bukau, Sun Tzu menyarankan kepada  general yang memimpin pasukan tentera itu supaya mengarahkan pasukan tentera  beliau berkhemah di puncak bukit dan menunggu kedatangan musuh.  

Tetapi sekiranya general itu mendapati pihak  musuh terlebih dahulu menguasai kawasan puncak  tersebut,  general itu perlu menghentikan pergerakan tentera  beliau dan segera  beredar dari situ  walaupun pihak musuh mengumpan dengan pelbagai umpanan supaya pasukan tentera beliau mara dan naik mendaki bukit tersebut.  

Ini adalah salah satu daripada prinsip peperangan yang telah  digariskan oleh Sun Tzu sewaktu beliau menjadi general perang di zaman dinasti Qi (544-496 SM).  Setiap strategi  yang ditulis beliau itu dilaksanakan mengikut kesesuaian medan pertempuran dan keadaan cuaca .  

Begitu juga semasa perang di zaman Nepoleon  tahun 1803-1815.  Beliau akan memilih beberapa orang tentera elit untuk menyusup masuk ke negara musuh dan membuat tinjauan  tentang keadaan negara musuh itu sebelum mengarahkan tentera beliau menyerang. Setelah mendapat maklumat lengkap barulah Nepoleon akan membuat keputusan dan merangka strategi bagi menyerang negera tersebut. 

Dari kedua-dua sejarah perang itu, dapat diperkatakan  bahawa kemenangan sesebuah pasukan tentera banyak bergantung kepada  kebijaksanaan general  yang memerentah menyusun strategi dan bagaimana beliau menyesuaikan setiap  strategi itu dengan situasi semasa. 

Dunia perniagaan juga tidak terkecuali.  Sebagaimana  yang dibincangkan  dalam entri saya yang  terdahulu dan entri-entri terkini, setiap organisasi perniagaan  memerlukan kepada strategi untuk membolehkan perniagaan yang diusahakan itu bersaing dengan  peniaga  lain yang turut sama beroperasi di kawasan  beliau beroperasi .  


Namun begitu mempunyai strategi sahaja masih belum mencukupi untuk anda berjaya dalam bisnes yang diceburi.  mengikut prinsip  bidang pengurusan  organisasi  dan  strategi, terdapat  satu  faktor yang akan  mempengaruhi keberkesanan sesebuah strategi  yang dilaksanakan. Faktor tersebut ialah faktor  persekitaran semasa  atau  lebih dikenali sebagai  ‘business environment’.

Ramai pakar pengurusan strategi  seperti Wheelen dan Hunger (2003), Prescort ( 1986), Hashim (2008) dan Zakaria (2010) telah mencadangan kepada para usahawan supaya  setiap usahawan mengambil kira akan faktor persekitaran semasa  ini  setiap kali  mereka ingin merangka strategi baru  dalam perniagaan. 

Manakala mengikut Friend dan Zehlie (2004) dalam buku mereka yang bertajuk ‘ Guide to business planning’ pula, mereka  menegaskan   bahawa setiap entiti  pernigaan itu  sentiasa terdedah kepada beberapa faktor yang tidak tidak dapat dikawal  oleh pemilik perniagaan tersebut. Faktor- faktor tersebut ialah seperti  polisi kerajaan, perubahan sikap pengguna dan perkembangan  teknologi.  

Faktor-faktor  ini  diklasifikasikan sebagai  persekitaran perniagaan.  Menurut mereka lagi, pemahaman dalam aktiviti membuat analisis terhadap faktor –faktor yang disebutkan tadi dan keupayaan usahawan itu bertindak menyesuaikan perniagaannya dengan faktor tersebut merupakan  penentu kepada kejayaan  perniagaan yang sedang  beliau usahakan. 

Apabila seseorang usahawan itu  mempunyai kemahiran dalam membuat analisis persekitaran,  ia dapat  memberi  gambaran sebenar kepada beliau tentang  keadaan   pasaran semasa dan apa tindakan yang sepatutnya  diambil supaya  perniagaan beliau tidak menghadapi masalah kesan dari perubahan dalam faktor-faktor  persekitaran itu.

Berdasarkan kepada  rumusan dan  pandagan yang dibuat oleh  pakar-pakar  pengurusan ini, ia  menunjukkan bahawa persekitaran semasa  juga merupakan   salah satu dari ‘faktor kontigensi’   yang akan menentukan kejayaan atau kegagagaln  sesebuah perniagaan. 

 Walaupun  anda mungkin sudah mahir dengan  pelbagai jenis strategi perniagaan  tetapi sekiranya strategi yang  anda laksanakan itu tidak sesuai dengan persekitaran semasa,  segala usaha anda akan menjadi sia-sia.  

Namun,  dari kajian yang dilakukan di kalangan peniaga kecil di Malaysia,  ramai di kalangan mereka tidak mengendahkan perkara ini.  Majoriti dari kalangan mereka  tidak suka mempelajari kaedah bagaimana untuk membuat analisis persekitaran semasa sebaliknya mereka lebih mementingkan untuk mempelajari   taktik  yang bersifat jangka pendek.Kesannya, ramai peniaga kecil ini yang menemui kegagalan.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...