Sunday, 15 May 2016

Kepentingan memantau persekitaran (Siri 7)



Entri 34

Teks: usry Abdullah

Foto: Google Image



Bertemu kembali dalam perbincangan berkenaan pengurusan perniagaan, strategi dan pemasaran. Perbincangan kita masil lagi lagi mengenai kepentingan membuat analisis persekitaran. 

Analisis persekitaran ini boleh didefinisikan sebagai proses di mana seseorang usahawan itu mengumpul maklumat yang bersesuaian tentang peristiwa atau apa-apa perubahan yang berlaku, sama ada di dalam atau di  luar organisasisnya yang mana perubahan tersebut mungkin boleh membuka peluang baru ataupun boleh menjadi satu ancaman kepada perniagaan yang beliau jalankan ( Aguilar.,1967 & Mc Ewen et al.,2008). 

Dengan membuat pemantauan ke atas persekitaran ini, seseorang usahawan itu akan dapat menjangka apa masalah atau peluang yang bakal timbul di dalam industri yang beliau sertai. Dengan ini beliau akan boleh bersedia dan merangka apa tindakan yang perlu diambil untuk menghadapinya nanti.


Begitu juga kepada mereka yang  bakal bergelar usahawan. Aktiviti memantau  persekitaran perniagaan ini juga penting sebelum  anda membuat keputusan sama ada ingin meneruskan perniagaan yang dirancang itu ataupun tidak. 

General Sun Tzu ada mengatakan, ‘ peperangan adalah pertemuan di antara hidup dan mati. Ia menjadi penentu sama ada anda akan mencapai kejayaan yang gilang gemilang atau bakal mengalami kemusnahan yang teruk. 
Apabila perang sudah dilancarkan, general itu hanya mempunyai dua kebarangkalian sahaja iaitu, sama ada pasukan beliau akan menang ataupun beliau dan seluruh tenteranya akan terkorban.’ 

Oleh itu, sebelum seseorang general itu membuat keputusan untuk menggerakkan tenteranya ke medan pertempuran, beliau perlu terlebih dahulu membuat perancangan dan mengatur strategi. Dan untuk membolehkan beliau membuat perancangan dan strategi yang berkesan, beliau perlu mendapatkan maklumat  tertentu terlebih dahulu seperti kekuatan musuh, keadaan cuaca dan bentuk muka bumi medan pertempuran yang bakal dituju nanti. 

Untuk mendapatkan maklumat tersebut, beliaperlu mengarahkan satu pasukan perisik untuk keluar merisik dan memberi laporan selengkapnya berkenaan perkara tadi supaya beliau boleh membuat perancangan dan menentukan apa strategi yang akan bakal digunakan nanti.

Begitu juga halnya dengan dunia perniagaan. Setiap usahawan yang menjalankan perniagaan sudah pasti menginginkan supaya kejayaan berpihak kepadanya. Oleh itu beliau  juga perlu kepada maklumat yang lengkap dan tepat berkenaan pasaran yang bakal disertai sebelum beliau membuka perniagaan tersebut.

Jadi, sebagaimana seorang general memerlukan maklumat berkenaan kekuatan musuh dan faktor-faktor muka bumi medan pertempuran sebelum beliau boleh membuat keputusan sama ada ingin menyertai peperangan atau pun tidak, bakal usahawan juga perlu mendapatkan maklumat lengkap berkenaan industri yang bakal disertai nanti sebelum  membuat keputusan sama ingin meneruskan rancangan untuk membuka perniagaan yang diingini itu atau pun tidak.  

Setelah maklumat yang diingini diperolehi, barulah bakal usahawan itu boleh membuat perkiraan dan perbandingan untuk mengetahui sama ada selamat atau tidak untuk beliau meneruskan rancangan membukan perniagaan yang  telah dirancang selama ini

Di samping itu, berdasarkan maklumat yang diperolehi dari aktiviti membuat pemantauan persekitaran industri ini juga akan membantu bakal usahawan tadi menentukan apa jenis strategi dan  pelan perniagaan yang sesuai untuk dilaksanakan nanti.



Malangnya, ramai di kalangan bakal usahawan yang menjalankan perniagaan pada hari ini tidak mengendahkan perkara asas ini. Majoriti dari  mereka menjalankan perniagaan tanpa membuat persediaan terlebih dahulu. Hasilnya, ramai yang terperangkap dalam fenomena ‘survivorship bias’', iaitu keadaan di mana mereka  lebih terpengaruh dengan konsep atau persepsi 'positif thinking' dan menyebabkan mereka menjadi 'over confident' sehingga  tersilap ketika membuat keputusan.

Apabila mereka sudah terperangkap di dalam perspesi 'Survivorship bias' ini, mereka menjadi lupa akan cabaran sebenar yang perlu mereka hadapi di dalam dunia perniagaan. Sebaliknya mereka menjadi terlebih yakin (over confident) dan menganggap bahawa mereka mampu  mengawal keadaan dan berjaya di dalam perniagaan yang diceburi itu hanya dengan mengadaptasikan konsep 'positif thinking' .

Mengikut konsep 'positif thinking' ini, seseorang itu perlu mempunyai kepercayaan dan keyakinan kepada kebolehan diri. Setiap indidvidu itu diminta supaya menanam satu kepercayaan di dalam diri bahawa mereka juga mampu berjaya sebagaimana yang dinikmati oleh individu berjaya yang lain.  Malah, untuk memudahkan lagi mereka mencapai kejayaan itu, konsep 'positif thinking' ini menyarankan agar  mereka berfikir dan bertindak sebagaimana individu  berjaya  berfikir dan bertindak.  Juga bergaul dengan individu yang berfikiran positif sahaja. 

Malangnya,  terlalu yakin dengan konsep 'positif thinking' ini, ramai bakal usahawan  lupa akan situasi dan cabaran sebenar  dunia perniagaan yang akan mereka tempohi nanti. Mereka hanyut dalam perspetif 'positif thinking' sehingga lupa untuk membuat persiapan yang sepatutnya terlebih dahulu sebelum menceburkan diri ke dunia perniagaan  seperti  membuat analisis persekitaran, membuat perkiraan risiko dan membuat pelan perniagaan dan pemasaran.  

Mereka lebih percaya kepada 'kuasa alam semesta' yang diterapkan dalam konsep 'positive thinking' ini akan membantu mereka berjaya dalam setiap usaha yang dilakukan termasuklah ketika menguruskan sebuah perniagaan. Hasilnya, ramai di kalangan usahawan yang berpegang dengan konsep 'positive thiking' ini gagal dalam perniagaan yang mereka ceburi.

Perspektif atau falsafah 'positif thinking' ini boleh dibaca di dalam buku-buku motivasi ataupun ketika  anda menghadiri kursus keusahawanan.  

Sebenarnya, konsep perspektif  'positif thinking' ini diceritakan kepada bakal usahawan sama ada ketika anda menghadiri seminar keusahawanan atau ditulis di dalam buku-buku motivasi ialah supaya bakal usahawan itu menanam satu pemikiran positif di dalam diri mereka. Konsep ini juga menginginkan supaya anda yakin akan keupayaan diri sendiri dan tidak mudah mengalah sewaktu menghadapi cabaran. 

Begitu juga dengan cerita-cerita berkenaan  kejayaan seseorang usahawan yang sering diceritakan sewaktu anda  menghadiri kursus atau seminar.  Kisah kejayaan sebegini juga adalah untuk menaikkan tahap motivasi  anda supaya lebih  tekun berusaha dan menjadikan individu yang berjaya tadi sebagai idola anda. Dengan ini anda itu tidak mudah patah semangat apabila menghadapi cabaran sewaktu menjalankan perniagaan sebagaimana idola anda tadi.

Namun, di sebalik tersiarnya  satu kisah kejayaan usahawan atau idola tadi pada masa yang sama terdapat lagi lima atau enam orang lagi usahawan yang sedang mengalami  nasib malang. Mereka ini telah menemui kegagalan di dalam perniagaan yang mereka usahakan. Akan tetapi kisah kegagalan individu- individu ini tidak  akan disiarkan di mana-mana majalah atau diceritakan oleh motivator kepada kita sewaktu menghadiri seminar keusahawan.  

Pertamanya ialah kerana kisah kegagalan seperti ini tidak ada nilai berita. Manaka sebab yang keduanya ialah kerana sudah menjadi lumrah manusia, mereka lebih suka untuk membaca atau mendengar cerita-cerita berkaitan kejayaan berbanding cerita mengenai kegagalan. Lantaran itu kisah-kisah berkenaan kegagalan ini akan senyap dan berlalu begitu saja. Ia cuma dirasai oleh mereka yang mengalaminya sahaja.

Namun, kesan dari tindakan menyembunyikan kisah-kisah yang berkaitan dengan kegagalan ini telah memberi impak yang  negatif kepada bakal usahawan. Ia  menyebabkan ramai di kalangan mereka yang hanyut dalam ilusi sendiri dan menganggap bahawa untuk mencapai satu-satu kejayaan adalah mudah. Hanya perlu mengekalkan fikiran positif di dalam diri sepanjang masa dan berkawan atau bergaul dengan rakan-rakan positif. 

Setelah mereka selesai menghadiri program motivasi atau habis membaca buku-buku berkenaan motivasi perniagaan, dengan berbekalkan semangat positif dan serta serba sedikit tips yang diperolehi, bakal usahawan itu pun membuka perniagaan mereka. Dan sudah pasti perniagaan mereka kebanyakannya  berakhir dengan kegagalan. 

Di sinilah pentingnya mengapa bakal usahawan itu perlu membuat analisis persekitaran perniagaan terlebih dahulu bukannya dengan mengadaptasikan 'positive thinking' dan  meniru langkah  yang dilakukan oleh individu atau idola mereka. Walaupun idola atau individu yang mereka tiru itu sudahpun bergelar jutawan.Ini adalah kerana setiap perniagaan adalah berbeza dari segi cabaran dan cara menguruskannya. Anda perlu mempunyai ilmu dan pengetahuan sendiri bagaimana untuk mengurus perniagaan anda, bukannya dengan meniru tindakan orang lain.


Sebagai penutup, perbincangan kali ini dapat dirumuskan bahawa ramai bakal usahawan  tidak memperdulikan aktiviti memantau persekitaran  sebelum mereka membuka perniagaan yang dihajatiMalah, disebabkan ingin cepat untuk berjaya, mereka lebih teruja untuk meniru langkah atau tindakan yang telah dilakukan oleh individu atau usahawan yang telah berjaya sehingga ramai dari bakal usahawan ini yang terperangkap dalam 'survivorship bias' dan konsep 'positive thinking'. 


Mereka lupa kepada fakta yang mengatakan bahawa  setiap perniagaan yang berbeza akan mempunyai ciri dan persekitarannya yang berbeza dan  memerlukan setiap tindakan yang berbeza dan sesuai dengan persekitaran perniagaan tersebut. Bukannya  mengambil jalan mudah dengan meniru  saja setiap konsep yang diperkenalkan oleh individu atau orang yang telah berjaya. 

Pepatah inggeris juga ada menyebut, ‘look before you leap, and he will win the battle if  he knows when to fight and when not to fight’.  Pepatah ini jelas mengingatkan kita supaya kita  perlu menilai terlebih dahulu akan situasi yang sedang dihadapi sebelum membuat sebarang tindakan.

Walaupun anda tidak mempunyai pengalaman tentang dunia perniagaan tetapi sekiranya anda mengamalkan sikap berhati-hati dan mengambil sedikit masa untuk membuat pemantauan keadaan sekeliling terlebih dahulu sebelum  bertindak, peluang untuk memperoleh kejayaan adalah lebih besar berbanding dengan anda terus bertindak tanpa berfikir ataupun dengan kata lain anda hanya menjadi 'pak turut' dengan meniru jejak orang lain semata-mata

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada entri yang akan datang.

2 comments:

Akupenghibur.com said...

fuhh penuh dgn isi.. terima kasih atas maklumatnya

usryabdullah said...

Yang baik itu dari Allah, yang terkurang tu saya mohon kemaafan.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...