Thursday, 13 April 2017

4 faktor kegagalan dalam bisnes




Setiap hari pasti kita akan temui  atau terbaca di dada akhbar berite mengenai perniagaan yang terpaksa ditutup. Keadaan ini semakin bertambah sewaktu kegawatan ekonomi yang melanda negara seperti sekarang ini. 


Mengikut kajian didapati 87% perniagaan yang baru dibuka oleh peniaga kecil hanya mampu bertahan sekitar 3 atau 4 bulan selepas ia mula beroperasi. Manakala 10% lagi   mampu bertahan  untuk tempoh 5 hingga 6 bulan dan hanya 3% sahaja perniagaan baru yang dibuka itu mampu bertahan untuk setahun akan datang  (Harper,2003 dan Magick,2000).


Dari dapatan tersebut, boleh kita rumuskan bahawa: Dari 10 orang usahawan yang  membuka perniagaan, hanya seorang saja  yang mampu bertahan dalam perniagaan yang diusahakan itu sehingga ke tahun berikutnya. Sembilan orang usahawan lagi akan menemui kegagalan selepas tiga bulan mereka memulakan bisnes. 

Pasti anda juga pernah mengalami kegagalan perniagaan satu waktu dahulu.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada perkara ini.  Antaranya ialah disebabkan oleh faktor luaran seperti faktor ekonomi semasa dan ketegangan sosio-politik sesebuah negara. Manakala faktor dalaman pula adalah disebabkan oleh faktor yang disenaraikan di bawah:


1.       Tidak membuat perancangan

Shane (2010) menegaskan bahawa ramai peniaga yang mengalami  kegagalan  dalam perniagaan adalah kerana tidak  membuat perancangan sebelum mereka terjun atau terlibat dalam dunia perniagaan. 

Walaupun ramai di kalangan bakal usahawan ini sedar bahawa  membuat perancangan adalah penting, namun ramai yang tidak mempraktiskannya. Mereka lebih suka bertindak mengikut intusi atau kata hati sendiri. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan dalam ilmu pengetahuan atau kerana mereka takut peluang yang tiba-tiba muncul itu diambil oleh individu lai. Oleh itu mereka terus bertindak tanpa membuat perkiraan sebaiknya.

Di samping itu ada yang  bertindak dan membuat keputusan perniagaan hanya berpandukan maklumat dan nasihat yang diperolehi dari rakan, mentor ataupun  individu sekeliling berbanding  mereka keluar dan meninjau sendiri situasi semasa.

Mereka bertindak sedemikian kerana tidak mempunyai pengalaman dan ilmu perniagaan. Oleh itu mereka lebih mempercayai cakap kawan atau mentor berbanding kebolehan sendiri. Akhirnya, keputusan yang dibuat itu tidak tepat dan menyebabkan mereka mengalami kerugian atau kegagaan dalam perniagaan.


2.  Mudah terpengaruh dengan trend perniagaan semasa .

Majoriti  dari kalangan  usahawan, terutamanya peniaga bumiputera suka meniru dan tidak kreatif berbanding peniaga bukan bumiptera.Peniaga bumiputera lebih gemar untuk  mengambil jalan pintas sewaktu membuat tindakan, terutamanya memilih jenis perniagaan yang akan mereka usahakan. Ini menyebabkan mereka mudah terperangkap atau tersilap langkah dengan menceburkan diri ke dalam perniagaan yang bermusim, mengikut trend ataupun  perniagaan yang sudah tepu. 

Contohnya, beberapa tahun lalu  ada trend meniaga pisang goreng cheese sehingga menjadi tajuk popular di dalam surat khabar. Apabila bakal usahawan itu  membaca surat khabar dan artikel yang ditulis  pula melaporkan bahawa  peniaga yang menjual goreng pisang chese memperolehi pendapatan lumayan berbanding menjual goreng pisangg biasa, maka ramai di kalangan usahawan baru mula berlumba-lumba untuk membuka perniagaan menjual pisang goreng  cheese.  Sehinggakan ada terjadi di mana di sepanjang satu  jalan  atau satu persimpangan taman perumahan terdapat tiga hingga lima gerai yang menjual pisang goreng  chese.

Begitu juga apabila trend meminum  kopi berperisa latte, espresso dan moca sedang rancak pada tahun lepas. Ramai usahawan berebut untuk membuka perniagaan menjual minuman tersebut tanpa membuat kajian terlebih dahulu, terutamanya kajian  kepadatan pasaran. 

Hasilnya, tidak  sampai 3 bulan  perniagaan mereka beroperasi, kesemua gerai yang menjual kopi latte di kawasan itu terpaksa ditutup kerana bilangan peniaga yang menjual  kopi lebih ramai berbanding pelanggan  yang datang membeli kopi.



3.       Kekurangan modal pusingan/ modal kerja

Masalah ini merupakan masalah yang paling serius dan sering dialami oleh ramai usahawan. Mengikut kajian, untuk membuka sebuah perniagaan , seseorang usahawan itu perlu menyediakan  sekurang-kurangnya  modal pusingan yang boleh menampung perniagaan itu  untuk tempoh enam bulan. 

Ini adalah kerana sepanjang tempoh tersebut, perniagaan anda belum lagi dikenali oleh penduduk setempat. Oleh itu anda perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% daripada modal kerja setiap bulan untuk aktiviti promosi dan pengiklanan. Di samping itu  anda juga perlu membayar sewa, utiliti, gaji pekerja dan membeli stok sebelum perniagaan anda mencapai titik pulang modal (breakeven) dan  seterusnya menjana keuntungan.

Sekiranya modal pernigaan anda adalah kecil dan tidak mencukupi, anda terpaksa berjimat. Ada sesetengah peniaga yang memotong bajet untuk membuat promosi kerana terpaksa digunakan bagi membayar bil utiliti dan gaji pekerja. Kesannya, perniagaan beliau tidak mendapat promosi yang sewajarnya dan pelanggan tidak menyedari akan kewujudan perniagaan tersebut. Lama kelamaan, perniagaan itu terpaksa ditutup kerana usahawan itu telah kehabisan modal pusingan.



4.       Tidak tahu untuk mempraktiskan strategi dan pemasaran

Kebanyakan peniaga atau usahawan baru mempunyai banyak idea untuk diterjemahkan dalam bentuk produk atau perkhidmatan. Produk yang mereka hasilkan juga adakalanya unik dan menepati citarasa pengguna. Jika ia betul-betul diviralkan, produk tersebut boleh meletup di pasaran.

Namun, disebabkan usahawan tersebut tidak mahir tentang strategi peniagaan dan pemasaran, produk atau perkhidmatan tersebut gagal dijual kepada pengguna. Fenomenna ini berlaku kerana  kebanyakan peniaga kecil atau usahawan baru ini  tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan strategi dan aktiviti pemasaran. Di samping itu, walaupun mereka mendapatkan nasihat atau panduan daripada rakan atau kenalan, mereka tetap tidak boleh bertindak  disebabkan ketiadaan ilmu atau asas strategi dan pemasaran. Kesannya, preniagaan mereka gagal di tengah jalan.

Ada juga sebilangan kecil dari usahawan baru ini yang suka mengamalkan 'taktik semasa' yang dipelajari daripada rakan atau pun melalui pembacaan dari majalah atau media sosial  berbanding merangka sendiri strategi yang sesuai dengan perniagaan mereka. Sebenarnya, setiap perniagaan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tidak semestinya strategi yang berkesan dilaksanakan oleh  rakan anda itu akan memberi impak yang sama bila dipraktiskan di dalam perniagaan anda. 

Namun, disebabkan ketiadaan ilmu pemasaran dan startegi ini  ramai  usahawan baru ini  tetap mempraktiskan strategi atau taktik yang diperolehi itu tanpa mengkaji kesesuaiannya untuk dipraktiskan di dalam perniagaan mereka. Hasilnya, ramai yang menepuk dahi apabila 'taktik semasa' yang mereka pelajari itu tidak berkesan sebagaimana yang diharapkan.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di masa akan datang.
      
  

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...