Tuesday, 29 January 2019

Kerjasama dengan Samyang Food dan implikasi kepada harga saham FGV.



Dalam kita mengharapkan agar Lembaga Pengarah FGV yang baru dapat membuat perubahan strategi untuk mengatasi kerugian yang dialami oleh syarikat ini semenjak tahun 2014 yang lalu, nampaknya mereka juga seakan masih mengulangi dan meniru perangai Ahli Lembaga Pengarah yang lama. 

Hari ini satu berita yang agak tidak berapa sedap didengar oleh mereka  yang memegang saham FGV.  Laporan tersebut menyatakan bahawa pihak Lembaga Pengarah FGV bakal kerjasama dengan syarikat Samyang Food dari Korea Selatan untuk mengeluar dan mengedar mee segera berjenama ramen. Cuma kali ini ia mempunyai status halal.

Memang diakui bahawa salah satu dari strategi untuk menjana pendapatan dan menjenama semula syarikat terutamanya dalam situasi ekonomi yang suram ini ialah dengan melaksanakan strategi pertumbuhan. Tetapi, keputusan lembaga pengarah FGV untuk melabur dalam projek memproses dan mengeluar ramen ini boleh dikatakan satu keputusan yang tidak berapa bijak. 

Mengapa?

Pertamanya, ramen adalah antara beberapa senarai produk yang termasuk dalam senarai 'produk tidak sihat'. Walaupun Felda akan menggunakan status halal sebagai strategi untuk menarik golongan sasar sewaktu mereka mempromosi produk ini nanti, namun dari sudut kesihatan, ramai di antara kita sudah sedia maklum bahawa mengambil terlalu banyak makanan segera akan memudaratkan diri. Ini kerana terdapat beberapa bahan yang tidak baik untuk kesihatan ada dimasukkan dalam produk mee segera ini, misalnya MSG dan garam. Kedua-dua bahan ini boleh menyumbang kepada penyakit hipertension dan masalah kesihatan yang lain.

Tambahan pula dewasa ini kebanyakan golongan pengguna juga semakin peka terhadap kesihatan dan ramai yang cuba mengadkan kalori makanan yang mereka ambil. Oleh itu kebarangkalian untuk mereka membeli ramen juga adalah rendah berbanding makanan segera yang lain seperti KFC, Pizza atau McDonald. Kecuali pada hujung bulan atau sewaktu mereka benar-benar kekeringan wang belanja.

Kedua, produk ramen ini juga sudah pasti akan mendapat saingan yang sengit dari jenama mee segera yang lain terutamanya Maggi. Oleh itu pihak FGV perlu bekerja keras untuk mempopularkan ramen ini kepada penduduk Malaysia. Aktiviti ini sudah semestinya memerlukan belanja yang besar untuk kos pengiklanan.Tambahan pula jenama Maggi sudah serasi di kalangan penduduk Malaysia berbanding Ramen. Jika pihak FGV tersilap membuat strategi pemasaran, jualan ramen tidak seperti yang mereka harapkan.

Manakala dari segi harga pula, didapati Maggie tetap mendahului ramen kerana harga Maggie jauh lebih murah berbanding ramen. Kalau tak salah, harga sepeket Maggie hanya sekitar RM1.50 atau RM2 sepeket sedangkan harga ramen ialah antara RM4.50sen ke RM5 sepeket. Oleh itu golongan pengguna terutamanya golongan pelajar universiti dan orang bujang pasti akan memilih Maggi berbanding ramen.Di sini juga kemungkinan untuk ramen mengatasi maggi adalah sukar.

Kesimpulannya, keputusan pihak lembaga pengarah FGV untuk berkerjasama dengan syarikat Samyang untuk mengeluarkan ramen dan menjadi pengedar kepada produk tersebut di Malaysia adalah satu keputusan yang tidak bagus. 

Keputusan ini dilihat tidak akan memberi apa-apa perubahan positif kepada penyata kewangan FGV untuk suku pertama dan kedua tahun 2019. Malah jika tersilap langkah, pelaburan yang dilakukan oleh FGV ini tidak dapat memberi sebarang keuntungan kepada mereka.

Dengan ini untuk jangka pendek 'fair value' untuk saham FGV tidak berubah dari 'target price' yang telah saya dikongsikan dalam posting/entri sebelum ini iaitu Rm0.90sen hingga Rm1.20 dan saya meletakkan skor 'neutral' untuk kaunter FGV.

Saturday, 19 January 2019

Felda Globa Venture, adakah ini masa yang sesuai untuk membeli?


Jumaat lepas, Bursa Malaysia ditutup tinggi, iaitu pada paras 1,692 mata naik 9.25 mata dan prestasi Bursa yang lebih baik ini adalah kerana disokong oleh momentum belian kukuh dalam saham bermodal kecil, yang menyaksikan FBM Small Cap Index telah melonjak sebanyak  131.35 mata kepada 12,812.11.  Semenjak dua menjak ini juga, jumlah dagangan harian boleh dikatakan meningkat dan nilai dagangan melebehi RM2billion.


Ini adalah satu perkembangan yang positif. Ini menunjukkan  pelabur ekuiti menyambut baik perkembangan terkini sama ada di dalam atau luar Negara, lebih –lebih  lagi perkembangan yang membabitkan pertikaian perdagangan di antara AS dengan China, Di samping itu perkembangan terkini Brexit dan peningkatan harga minyak juga memberi kesan positif kepada pasaran. Dan yang terakhir ialah kesan bulan Januari dan ‘pre Chinese New Year Rally’ yang biasanya berlaku dalam tempoh seminggu sebelum perayaan Tahun Baru Cina juga menambah lagi keinginan pelabur untuk memasuki pasaran.  


Memandangkan  perkembagan positif ini, apa kata kita try tengok  satu kaunter yang jarang mendapat perhatian pelabur kerana ‘performance’nya yang teruk.  Saham yang dimaksudkan  ialah Felda Global venture (FGV 5222).

Analisis Fundamental


Dari segi fundamentalnya, semua orang tahu yang kaunter ini adalah kaunter terburuk dalam sejarah saham Malaysia. Kaunter ini penuh dengan scandal dan dikatakan mengalami kerugian berbilion ringgit setiap tahun. Semenjak ia disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012 sehingga ke hari ini, harga sahamnya boleh dikatakan sentiasa mengalami penurunan dan harga paling rendah dalam sejarah telah dicatat pada 14 Desember 1018 iaitu pada harga RM0. 63 sen. 


Keuntungan yang dijana oleh syarikat ini juga merosot setiap tahun. Bermula tahun 2012 sehingga sekarang FGV tidak pernah mencatatkan sebrang keuntungan dalam akaun mereka sehingga syarikat ini tidak mampu untuk membayar dividen kepada peneroka.

Namun begitu prospek syarikat ini dijangka kembali kuku  selepas pengambilalihan oleh pengurusan baru, beberapa perancangan strategic  telah diatur untuk memperbaiki prestasi syarikat dan meningkatkan semula keyakinan pelabur. Antaranya ialah dengan membuat penstrukturan semula dan melupuskan beberapa anak syarikat yang bermasalah seperti  Felda Engineering Services Sdn. Bhd., FGV Cambridge Nanosystems  dan Felda Properties Sdn. Bhd.  


Manakala dalam usaha meningkatkan segmen perladangannya pula, FGV akan  mempercepatkan proses penanaman semula kelapa sawit seluas 15,000 hektar di bawah perjanjian sewa tanah 99 tahun dengn Felda. 


Analisis Teknikal


Manakala dari segi teknikal pula, keseluruhan indikator masih menunjukkan aliran positif  dan  harga saham ini telah melepasi  SMA 20 untuk dititup pada ‘new high’  RM0.955 sen pada Jumaat lepas (18 Januari 2019). ‘Candlestick’ Saham ini pula berbentuk ‘doji’ dan ini menggambarkan bahawa sentimen pelabur sedikit  berhati-hati selepas harga saham FGV ini telah meningkat sebanyak  51% dari harga terendahnya RM0.63 sen pada 14 Desember 2018. 


Jika sentimen pasaran masih lagi positif dan ‘pre CNY rally’ juga  berlaku pada tahun ini, harga saham ini akan meneruskan perjalanannya menuju halangan pertama RM1.22 dan Jika halangan ini berjaya dipecahkan, ia seterusnya akan naik ke RM1.34.

Manakala jika ‘mood’ pasaran bertukar menjadi tidak baik pada minggu depan ( 22 Januari hingga 25 Januari 2019), harga saham ini  akan turun semula ke paras sokongan RM0.86 sen dan RM0.73 sen. (peluang untuk membeli bagi mereka yang ketinggalan).

Carta di bawah menunjukkan pergerakan harga dan jumlah dagangan setiap hari sepanjang tempoh satu tahun. 




Kesimpulan.

Jika perancangan untuk melupuskan asset yang bermasalah ini berjalan lancar seperti yang dinyatakan oleh pengerusi baru FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, syarikat ini dijangka mencatat keuntungan kasar (gross profit) buat pertama kalinya dalam laporan kewagangan yang akan dikeluarkan pada bulan Mac atau April 2019 nanti.  Dengan ini dari segi fandamentalnya, saham ini boleh difikirkan oleh para pelabur.  ‘Fair value’ untuk saham ini ialah di antara RM1.00 hingga RM1.20 sehingga laporan kewangan @ penyata pendapatan dikeluarkan pada bulan Mac 2019 nanti.


Manakala dari segi teknikalnya, selepas mengalami beberapa siri kenaikan, penutup candlestick yang berbentuk ‘doji’ itu menggambarkan bahawa kemungkinan akan berlaku aktiviti pengambilan untung. Namun, sekiranya momentum positif dalam pasaran saham untuk minggu ini berterusan, harga saham ini boleh menguji harga tertinggi baru RM1.22 sebelum bergerak naik ke RM1.34. Dan jika sentiment pasaran bertukar menjadi negatif, harga saham ini bakal turun  semula kepada paras sokongan RM0.86 dan seterusnya ke RM0.63. . Jadi perhatikan pergerakan harga semasa sebelum menentukan harga saham yang sesuai untuk dibuat belian. 


Disclaimed: Maklumat tentang harga saham ini adalah sebagai info sahaja. Tidak ada kaitan dengan keputusan jual, beli atau ‘hold’. Anda dinasihatkan membuat kajian anda sendiri sebelum melabur.


Thursday, 17 January 2019

Dividen KWSP dijangka rendah?


KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen untuk tahun 2018 beberapa minggu lagi dari sekarang dan ramai penganalisis menjangkakan Kadar dividen KWSP tahun ini lebih rendah berbanding tahun lepas.

Untuk rekod, kadar dividen untuk tahun 2017 ialah sebanyak 6.4%. 

Mengapa dividen tahun ini dijangka merosot berbanding apa yang kita terima tahun 2018 yang lalu?
Adakah kerana PRU sudah pun berlalu maka nasib golongan pekerja mula diabaikan oleh kerajaan? Mari kita sama-sama bincang isu ini.

Sebagaimana yang kita semua tahu, kadar dividen yang dibayar oleh KWSP adalah bergantung kepada prestasi pelaburan yang mereka lakukan. Jika KWSP mendapat untung yang banyak pada tahun tersebut, maka tinggilah kadar dividen yang bakal dibayar kepada pencarum. Tetapi jika keuntungan yang diperolehi adalah sedikit, maka rendahlah kadar dividen yang bakal diterima pencarum. 


Situasi ini bukan saja berlaku kepada KWSP. Mana-mana instrument pelaburan lain pun sama. Contonya ASB, ASW atau Unit Trust. Jika pelaburan mereka tidak dapat menjana keuntungan yang banyak, dividen yang mereka bayar kepada pelabur juga rendah. 

Untuk makluman semua, KWSP telah melaburkan wang yang kita carum pada setiap bulan ke dalam beberapa instrumen pelaburan seperti sektor hartanah di luar negara, melabur dalam projek-projek kerajaan. Manakala  40% lagi dilaburkan dalam pasaran saham iaitu dengan membeli saham-saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia. 

Terdapat 30 kaunter saham yang termasuk dalam potfolio KWSP. Antaranya ialah RHB Bank Bhd , Malaysian Resources Corporation Bhd, Telekom Malaysia Bhd , Axiata Group Bhd, DiGi.Com Bhd , Genting Bhd, United Plantations Bhd , IJM Plantations Bhd Sime Darby Plantation Bhd , CIMB
Group Holdings Bhd , Public Bank, dan Maybank.


Malangnya, dari apa yang kita perhatikan sepanjang tahun 2018 yang lalu, 10 daripada 30 kaunter yang terdapat dalam senarai ini telah mengalami kejatuhan yang agak teruk disebabkan oleh penjualan besar-besaran ole pelabur asing. Ada yang harga sahamnya jatuh sebanyak 30%, 50%, dan ada juga yang jatuh sehingga 60%.

Contohnya, harga saham Maybank telah jatuh sebanyak 12.2% dari RM10.70 ( pada 30 May 2018) kepada RM9.35 ( pada 30 Nov. 2018), saham TM, susut sebanyak 53.4%, dari RM5.00 ( pada bulan May 2018) kepada RM2.33 (30 November 2018), saham IJM Plantation susut sebanyak 38.5%, dari RM2.65 ( pada May 3018) kepada RM1.63 ( pada November 2018), dan akhir sekali saham Axiata susut sebanyak 31.4%, RM5.29(May 2018) kepada RM3.63 (November 2018). Ada lagi beberapa saham yang dibeli oleh KWSP yang jatuh. Anda boleh menyemaknya sendiri di mana-mana website atau broker saham.

Disebabkan oleh kejatuhan harga saham yang dibeli oleh KWSP ini, jadi tidak hairanlah jika pencarum bakal menerima pulangan dividen yang rendah pada tahun 2019 ini berbanding tahun lepas. 

Jadi, siapa yang harus dipersalahkan? 

Jawapannya ialah keadaan ekonomi semasa dan  faktor luaran. Salah satunya ialah kenaikan kadar faedah yang dilaksanakan oleh kerajaan Amarika sepanjang tahun 2018 yang lalu. 

Apabila Amarika mengumumkan kenaikan kadar faedah, ramai pelabur asing mula membawa keluar dana atau modal mereka  dari negara membangun untuk melabur di  sana. Situasi ini juga berlaku di Malaysia. 

Dilaporkan hampir RM10.7bilion dana asing telah keluar dari Malaysia pada tahun 2018. Ini telah menyebabkan Bursa Malaysia mengalami kejatuhan yang teruk pada tahun lepas. Kesannya, pelaburan yang dilakukan oleh KWSP juga turut terjejas dan seterusnya memaksa pihak KWSP mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah dividen yang bakal dibayar kepada pencarum.

Jadi, mahu atau tidak, nampaknya tahun ini terpaksalah kita terima dan redha saja jumlah dividen yang bakal diumumkan oleh pihak KWSP nanti. 

Cuma yang kesiannya ialah  semakin sedikitlah bekalan untuk ita pencen nanti. Sudahlah ramai di antara pekerja bawahan dan  yang tergolong dalam kumpulan B40 yang tak mampu untuk membuat simpanan pada setiap bulan  kerana terpaksa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, kini dana simpanan yang diharapkan untuk memberi pulangan yang setimpal sebagai bekalan di hari tua juga sudah tidak lagi dapat memberi pulangan seperti yang diharapkan. 

Moga analisis ini tidak menjadi kenyataan..

Saturday, 5 January 2019

Peraturan Larangan Merokok



Sudah seminggu kempen anti merokok berlangsung. Pelbagai reaksi boleh kita lihat dan baca tentang reaksi rakyat Malaysia berkenaan isu ini sama ada di dalam media sosial mahupun di alam nyata. Ada yang protes dan ada yang menyokong. 

Bagi mereka yang tidak merokok, peraturan ini amat ditunggu-tunggu oleh mereka.  Mana tidaknya, jika sebelum ini mereka masuk saja restoran atau kedai makan sama ada restoran mamak atau retoran Melayu, mereka tidak dapat mengelak dari menghidu asap rokok yang dihembus oleh perokok.  Nak ditegur tak berani. Silap-silap haribulan mereka itu pula yang kena ‘sound’. Nak tak nak, terpaksa lah mereka tahan saja walaupun dalam hati menyumpah bagai nak rak.

Manakala bagi individu yang merokok pula, mereka merasakan undang-undang  ini terlalu kejam dan tidak boleh diterima. Ia seolah-olah melanggar hak mereka sebagai perokok. Jika sebelum ini mereka bebas menyalakan rokok selepas makan atau minum terutamanya jika di kedai makan, kini mereka akan disaman jika menyalakan rokok. Ini membuat mereka memfailkan semakan kehakiman mengenai keputusan kerajaan mewartakan undang-undang larangan merokok di tempat terbuka. 

Dan pihak yang tersepit di antara dua kumpulan ini  ialah kumpulan peniaga, terutamanya pemilik restoran dan kedai mamak. Setakat ini mereka masih belum dapat melihat sejauh mana undang-undang larangan merokok ini memberi kesan kepada perniagaan mereka. Tapi dari apa yang diperhatikan, kedatangan pelanggan agak berkurangan sehari dua ini. Namun sebabnya masih belum dapat dipastikan. Adakah ia kesan dari undang-undang ini atau disebabkan ramai telah pokai kerana banyak berbelanja untuk persediaan persekolahan anak. 

Walau apa pun yang berlaku,teman harap pihak  kerajaan tetap tegas dengan perlaksanaan undang-undang ini dan jangan sesekali buat ‘U turn’. Alang-alang ia dah dilaksanakan dan mendapat reaksi positif dari kebanyakan rakyat malaysia,baik undang-undang diteruskan saja. Tambahan pula tak ada lagi berita sama ada di televisyen atau dalam group whatsapp yang melaporkan adanya  perokok mati selepas makan di restoran disebabkan tak boleh merokok. Hehehe..

Lagi pun, undang-undang ni masih baru dan masa mula-mula sesuatu akta itu dilaksanakan, pasti akan ada bantahan dan komen-komen berunsur negatif. Perkara ini bukan baru dan terkena pada undang-undang ini saja. Undang-undang lain pun sama. Tak ada undang-undang yang tak mendapat bantahan sewaktu ia dilaksanakan. 

Apa yang boleh dilakukan oleh  pihak kerajaan ialah kerap membuat kempen dan pendidikan untuk memberi kesedaran kepada golongan perokok yang  tidak senang dengan perlaksanaan undang-undang ini.  Perbanyakan pengedaran poster dan risalah tentang bahaya asap rokok kepada perokok pasif. Dan jika perlu masukkan juga sekali kalusa dalam artikel 8 Peraturan kawalan tembakau yang menyatakan bahawa untuk menjamin persekitaran itu sihat dan melindungi individu yang  menghadapi masalah kesihatan seperti athma, sesuatu kawasan itu mestilah 100% bebas dari asap rokok.  Jadi golongan ini juga mempunyai hak untuk menikmati ruang udara yang segar dan bebas dari asap rokok. 

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...