Senario pertama
Pada bulan lepas, kita telah membawa anak ke Restoran KFC. Seronok dia apabila dapat masuk dan makan di restoran itu. Sepanjang perjalanan pulang, dia tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada kita.
Kita ingat dia akan lupa hari itu. Rupanya tidak. Bukan pada hari itu saja dia berterima kasih kepada kita, sebaliknya setiap kali kita menjemputnya dari sekolah, dia akan menyebut-nyebut tentang pengalamannya makan di Restoran KFC. Dia berasakan betapa baiknya kita kerana telah membawanya makan di restoran tersebut.
Sebagai ayah, apa perasaan kita terhadap anak ini?
.
Senario Kedua
Kita seorang pengurus di sebuah syarikat swasta dan mempunyai beberapa orang pekerja bawahan. Seorang daripada pekerja kita ini suka mengadu dan selalu berkeluh kesah. Ada saja yang tidak kena di matanya. Bermula dengan tangga gaji yang ditawarkan oleh pihak syarikat sehinggalah kepada layanan syarikat terhadapnya walaupun dia tahu yang posisi dan kelayakan dia di syarikat ini hanyalah sebagai seorang pekerja biasa saja.
Sebagai seorang ketua atau in charge di unit tersebut, apa perasaan kita terhadap pekerja ini?
Untuk senario pertama, di mana anak kita selalu memuji dan berterima kasih kerana kita telah bermurah hati membawanya keluar makan ke Restoran KFC, kita rasa amat senang hati. Malah jauh di sudut hati, kita berazam untuk membawanya lagi ke sana jika kita ada rezeki lebih.
Manakala untuk kes dia mana pekerja yang suka mengadu dan berkeluh kesah dengan gaji dan layanan syarikat terhadapnya itu pula, kita sebagai ketua pasti akan rasa menyampah dan tidak mahu melayan kerenah pekerja tadi. Malah jika diberi kuasa, kita bercadang untuk memecatnya dari syarikat ini kerana khuatir disebabkan oleh dia seorang, mungkin pekerja lain akan terpengaruh sama.
.
Apa yang ingin diperkatakan dalam dua senario itu ialah sifat berterima kasih atau bersyukur.
Sebagai manusia atau individu biasa, kita akan rasa senang hati dan kita mungkin akan berusaha untuk memenuhi lagi permintaan individu yang sedar diri dan tahu berterima kasih. Sebaliknya kita akan rasa bosan dan menyampah terhadap individu yang suka aduan dan banyak songeh itu. Begitulah realiti kehidupan.
Kita tahu bahawa Allah itu bersifat dengan sifat Maha Pemurah. Dia telah mencipta kita di muka bumi ini dan kemudiannya Dia memberi kita rezeki. Tidak kira sama ada kita seorang yang baik ataupun tidak, setiap daripada kita tetap akan diberi rezeki.
Cuma, yang membazakannya ialah sekiranya seseorang individu itu baik dan sentiasa bersyukur atas setiap nikmat yang diterima, tidak mustahil Allah akan beri lagi nikmat-nikmat yang lain kepadanya. Sebagaimana kita berazam untuk membawa sekali lagi anak kita yang tahu menghargai dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kerana telah membawa dia makan ke Restoran KFC.
Sebaliknya, Allah boleh menyempitkan lagi sumber rezeki dan nikmat kepada individu yang suka berkeluh kesah dan tidak tahu bersyukur. Sebagaimana kita rasa ingin memecat atau menamatkan saja perkhidmatan pekerja yang kaki aduan dan banyak songeh tadi.
Sebenarnya, Allah tidak perlu pun akan ucapan terima kasih dari kita dan tanpa ucapan terima kasih kita itupun kedudukan dan kekuasan-Nya tidak sesekali terjejas. Cuma, Dia mahu kita bersyukur supaya kita sedar diri yang kita ini adalah hamba-Nya. Dia mahu kita sedar siapa diri kita dan kedudukan kita di sisi-Nya.