Wednesday, 6 January 2016

Peniaga kecil (sambungan)

Entri: 17
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image




Mengikut Hashim (2011), 90% dari perniagaan yang wujud di Malaysia ini dikuasai oleh golongan peniaga kecil dan sederhana (SME). Golongan ini menjadi penyumbang terbesar kepada pembangunan ekonomi negara kita sejak bertahun-tahun lamanya. Misalnya, pada tahun 2013, industri kecil dan sederhana telah menyumbang sebanyak 40% daripada keluaran negara kasar (KDNK) Malaysia (Utusan Sarawak.,2013).

Perniagaan kecil- kecilan seperti memproses santan, menjahit pakaian, menjadi agen produk kecantikan atau makanan kesihatan secara ‘on line’, menjual aiskrim di taman-taman permainan, menjual buah-buahan potong di depan sekolah atau di tepi jalan, berniaga goreng pisang di stesyen bas atau pun  menjual apam balik dan ayam goreng di pasar malam tidaklah sehebat atau setanding jika dibandingkan dengan perniagaan yang bertaraf multinasional yang beroperasi pula di bangunan pejabat yang berhawa dingin. Kemudian perniagaan itu dilengkapi pula dengan kehadiran pegawai penyambut tetamu yang cantik molek dan berjari halus yang bersedia untuk melayan  pelanggan yang ingin membuat urusan. Namun begitu, ramai peniaga yang menjalankan perniagaan  secara kecil-kecilan ini telah berjaya dan ada yang menjadi jutawan senyap.

Walaupun perniagaan yang mereka usahakan itu nampak  ringkas dan  tidak  mempunyai papan tanda yang besar untuk ditunjukkan kepada ahli keluarga atau kawan-kawan terdekat dan tidak pula beroperasi di bangunan tinggi  yang berhawa dingin tetapi dengan kebijaksanaan mereka mempraktiskan strategi perniagaan yang betul dan pandai memilih segmentasi pelanggan yang bakal membeli produk atau perkhidmatan, mereka juga mampu mengumpul kekayaan sebagaimana peniaga yang mengusahakan perniagaan bertaraf korporat. Bezanya ialah nama mereka (peniaga kecil-kecilan) ini tidaklah tersenarai dalam 100 orang yang terkaya di Malaysia.

Namun, jika anda mengenali mereka secara peribadi, anda akan kagum dengan pencapaian mereka.  Walaupun mereka  cuma berperwatakan sederhana atau biasa-biasa tetapi mereka mampu memandu kereta berjenama luar negara, membeli rumah bernilai jutaan ringgit, mampu pergi mengerjakan haji dan umrah dua tiga kali. Malah mereka juga sering terbang ke luar negara  setiap tahun untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Di samping itu, mereka juga mempunyai simpanan ratusan ribu ringgit di dalam unit amanah atau di Tabung Haji.

Satu contoh perniagaan yang  pada mulanya hanya diusahakan secara kecil-kecilan dan kemudiannya berkembang menjadi sebuah perniagaan bertaraf international ialah Perniagaan Yee Hup Holding Sdn Bhd. Tidak siapa yang menjangka bahawa perusahaan tradisional yang diusahakan secara kecil-kecilan di belakang rumah itu boleh berkembang maju dan bertaraf internasional. Perniagaan ini dimulakan secara kecil-kecilan oleh sepasang suami isteri iaitu Mr Yee dan Madam Wong di rumah mereka di Gunung Rapat, Ipoh. 

Pada tahun 1981, berbekalkan resipi keluarga, pasangan suami isteri ini telah memulakan perusahaan membuat biskut secara tradisional.  Pasangan suami isteri ini  hanya menggunakan oven yang mereka buat sendiri untuk menghasilkan biskut. Untuk menjimatkan kos, mereka hanya menggunakan sabut dan tempurung kelapa sebagai bahan api untuk membakar biskut  kerana kos menggunakan arang kayu adalah mahal pada ketika itu. Pada mulanya produk mereka hanya di jual kepada jiran dan kawan-kawan yang tinggal di sekitar Ipoh.

Dengan kesabaran, kerajinan serta menitik beratkan kepada penjagaan kualiti dan cita rasa asli, biskut mereka semakin mendapat tempat dan  di kenali di seluruh negeri Perak. Sepuluh tahun kemudian mereka terpaksa menggunkan mesin automatik  dalam proses pengeluaran biskut yang mendapat sambutan yang semakin meluas. Pada masa itu produk mereka semakin dikenali sehingga ke seluruh negara. 

Untuk menambah kepercayaan pelanggan dan menjaga kualiti produk, Yee Hup Holding telah membuat penjenamaan kepada produk keluaran mereka. Hasilnya, permintaan terhadap produk semakin meningkat dan kali ini berjaya menembusi pasaran luar negara. Setakat rencana ini ditulis, produk mereka telah berjaya merentasi sempadan negara sehingga ke Singapura, Amerika Syarikat, China, Australia,Paris, London, German dan Belanda. 

Kisah kejayaan mereka ini menunjukkan bahawa perniagaan kecil-kecilan juga sebenarnya mampu memberi pulangan yang lumayan kepada pengusahanya sebagaimana perniagaan yang berskala besar, asalkan ia diurus dengan betul. Walaupun margin keuntungan yang diperolehi oleh peniaga kecil ini biasanya sekitar 5%- 10% sahaja untuk satu-satu produk yang dijual, tetapi dengan kerajinan mereka mengkaji pasaran, mempraktiskan strategi perniagaan yang betul dan berjaya membuat segmentasi pelanggan yang tepat, mereka juga mampu membuat keuntungan  sehingga mencecah ratusan ringgit sehari.

Walaupun perniagaan yang dimulakan itu pada mulanya adalah sebuah perniagaan kecil-kecilan dan diusahakan di belakang rumah, tetapi dengan usaha yang berterusan dan tahu membuat segmentasi pasaran, ramai peniaga kecil ini dapat menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan malah melebihi pendapatan mereka yang bekerja makan gaji yang mengharapkan gaji bulanan. Terdapat banyak lagi peniagaan besar yang pada mulanya hanya diusahakan secara kecil-kecilan. Malah ada perniagaan yang diusahakan secara sambilan telah bertukar menjadi sebuah empayar perniagaan yang besar dan mempunyai beberapa cawangan.

Kesimpulan dari perbincangan ini dapat kita katakan bahawa dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan juga mampu menjadikan anda senang walaupun bukan bertaraf jutawan. Walaupun perniagaan yang diusahakan itu menghasilkan keuntungan yang sedikit namun dengan ketekunan dan pandai mempraktiskan strategi serta mempunyai pelan  pemasaran yang effektif, perniagaan tersebut mampu berkembang menjadis ebuah perniagaan yang bertaraf korporat.

No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...