Friday, 5 February 2016

Perancangan dan kepentingannya (siri 2)

Entri: 22
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image


Dalam entri yang lepas, kita telah membincangkan bahawa  kegagalan dalam sesuatu tindakan  yang dilakukan itu bukanlah  disebabkan oleh ketentuan takdir semata-mata atau dengan kata lain ia telah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi. 


Walaupun kita disuruh supaya beriman kepada qadak dan qadar, namun apabila dikaji secara mendalam antara sebab mengapa satu-satu kegagalan itu berlaku adalah bukan  disebabkan oleh kehendak takdir semata-mata tetapi kerana kesilapan kita sendiri dalam membuat tindakan. Sama ada kita bertindak secara melulu atau pun kita bertindak tanpa membuat perancangan. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan kepada takdir semata-mata di atas kegagalan yang diterima kerana Allah telah memberi pilihan dan peluang kepada kita untuk bertindak.

Walaupun kita disaran supaya berserah dan bertwakkal kepada Allah apabila  selesai berusaha dan kemudiannya kita perlu  redha dan  terima  apa saja  ketentuan dari  Allah dengan hati yang tenang, namun  ungkapan ini tidak   bermakna ia menjadi satu tiket atau alasan kepada kita untuk berusaha secara ala kadar sahaja dan kemudiannya menyalahkan takdir di atas kegagalan tersebut

Ini adalah kerana setiap dari kita  telah diberi pilihan atau peluang oleh Allah S.W.T.   sama ada untuk menjadi seorang individu yang berjaya ataupun sebaliknya.  Jika kita memilih untuk menjadi individu  yang berjaya, maka kita perlulah bertindak sebagaimana seorang yang berjaya bertindak.  Antara  ciri- ciri  individu  berjaya ialah beliau tidak mudah berputus asa dan menyalahkan takdir di atas kegagalan yang diterima. Malah, beliau akan menerima kegagalan tersebut dengan hati yang tenang dan bangkit kembali setelah mengkaji apa kesilapan yang telah dilakukan dalam tindakan beliau sebelum ini. 

Di samping mempunyai sifat tidak mudah berputus asa, perkara yang paling diberi keutamaan oleh individu  yang berjaya ialah  beliau membuat perancangan terlebih dahulu sebelum bertindak. Setelah yakin bahawa peluang untuk berjaya sudah berpihak kepadanya, barulah beliau mula  mengatur langkah seterusnya. Tindakan yang sistematik begini pasti membuahkan hasil. Malah ia juga sering ditekankan oleh  pakar-pakar pengurusan dan strategi seperti Porter, Peteraf dan Hrebniak. Menurut mereka, dengan membuat perancangan, anda mampu  mengawal 'keputusan' yang bakal diterima, tetapi sekiranya anda membuat tindakan tanpa melalui proses perancangan,  'keputusan'  atau hasil itu pula yang akan mengawal situasi anda di kemudian hari.

Begitu juga pendapat dari pakar strategi peperangan yang terkenal, general Sun Tzu.  Menurut beliau, " Terdapat lima faktor yang akan menentukan sama ada sesebuah pasukan tentera itu berpeluang untuk memenangi satu-satu pertempuran yang mereka sertai. Faktor-faktor tersebut ialah  'Tao', 'Tien', 'Di', 'Jiang' dan 'Fa'.  Namun begitu kelima-lima faktor ini tidak dapat berfungsi dan menjamin kemenangan 100% kepada pasukan tentera tersebut jika tidak ada faktor yang bernama-   'Ji', iaitu- 'perancangan'! 
Apabila seseorang general yang mengetuai sesebuah pasukan tentera itu pandai membuat perancangan, barulah beliau boleh menggunakan kesemua faktor-faktor tadi secara optimum untuk menjamin kemenangan kepada pasukan tentera di bawah pimpinannya." 
Dalam sejarah islam juga, kita telah mempelajarinya daripada baginda Rasulullah. Baginda  dan para sahabat  juga akan membuat perancangan terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan diambil. Antara contoh yang menunjukkan betapa pentingnya sesebuah perancangan itu, mari kita kaji situasi ketika baginda dan kaum muslimin bakal menghadapi peperangan Ahzab yang berlaku pada tahun ke5 selepas hijrah. 

Peperangan ini terjadi rentetan dari kaum musyrikin Quraisy yang menjadi semakin angkuh dan bersemangat setelah berjaya mengalahkan tentera islam di dalam peperangan Uhud sebelum ini.  Mereka kembali bersemangat untuk menghancurkan kaum muslimin di madinah dan untuk menjayakan rancangan tersebut, mereka telah membuat pakatan sulit dengan kaum Yahudi yang tinggal di Madinah. kali ini mereka akan menyerang baginda Rasulullah dan kaum muslimin di madinah. Dengan angkuh dan sombong gabungan tentera Quraisy dan Yahudi itu telah menuju ke  Madinah. Kekuatan mereka kali ini adalah seramai 10,000 orang lengkap dengan tentera berkuda.

Apabila baginda mendapat perkhabaran akan kemaraan tentera musuh itu, perkara pertama yang baginda Rasulullah lakukan ialah  memangggil para sahabat dan mengadakan mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut, baginda telah membuat perbandingan di antara bilangan tentera islam dengan tentera musuh. Memandangkan bilangan tentera musuh adalah tiga kali ganda berbanding bilangan tentera islam, jika tentera islam menghadapi mereka peperangan secara terbuka sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Badar dahulu,  kemungkinan untuk tentera islam memenangi peperangan tersebut adalah tipis. Oleh itu peperangan secara terbuka adalah tidak praktikal. Setekah berbincang, akhirnya timbullah idea untuk mengali parit atau khandaq bagi menghalang kemaraan pihak musuh.  Setelah bersetuju dengan cadangan tersebut, lalu baginda S.A.W pun mengarahkan para sahabat dan tentera islam menggali parit di sekeliling kota Madinah seperti  yang dicadangkan tadi.

Apabila pihak musyrikin tiba berhampiran dengan bandar Madinah, mereka terkejut kerana terdapat parit yang menghalang mereka memasuki bandar tersebut. Ada juga beberapa orang tentera musyrikin yang cuba menyeberangi parit namun tidak berjaya kerana dipatahkan percubaan tersebut dengan melepaskan panah oleh pihak tentera islam. Ini telah  memaksa mereka berkhemah di tepi parit tersebut dengan tujuan untuk mengepung Madinah. Ringkasan dari peristiwa tersebut, akhirnya bantuan Allah telah tiba. Ribut telah melanda khemah-khemah  pasukan musyrikin itu pada sebelah malam dan mereka mengalami kemusnahan.

Dari peristiwa peperangan tersebut, dapat kita ambil iktibar bahawa walupun Rasulullah merupakan seorang rasul dan apa jua tindakan baginda telah dijamin oleh Allah akan kejayaannya, namun baginda tetap juga memanggil para sahabat berbincang  bagi mencari jalan bagaimana untuk menghadapinya. Baginda dan para sahabat tetap membuat perancangan terlebih dahulu supaya kejayaan berpihak kepada kaum muslimin sebelum berserah kepada Allah.

Sebagaimana ketika menghadapi peperangan, proses untuk membuka perniagaan juga memerlukan anda membuat perancangan dengan teliti untuk menjamin kejayaan berpihak kepada anda.  Ia  bermula dengan aktiviti membuat penilaian, merangka pelan tindakan dan seterusnya melaksana pelan tindakan.
 
Jumpa lagi di entri yang akan datang.




No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...