Friday, 30 December 2016

Tahun 2017 dan ketidak tentuan pasaran.

Entri: 45
Teks: Usry Abdullah
Image: Google Image


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Sedar tak sedar, sudah genap setahun usia blog ini semenjak entri pertama ditulis  pada pertengahan November 2015 yang lalu. 

Terima kasih kepada penjenguk yang sudi singgah di sini dan terima kasih juga kepada mereka yang sudi meninggalkan jejak  di blog ini. Semoga setiap perkongsian yang saya tulis di dalam blog ini dapat memberi manafaat kepada anda, terutamanya dalam menguruskan perniagaan.  Apa yang baik dan bermanafat itu datangnya dari Allah dan yang mana yang terkurang  itu adalah dari kesilapan dan kelemahan saya sendiri.

Agak lama  saya tidak 'update' blog ini disebabkan oleh komitmen tugas dan aktiviti pembelajaran. Tambahan pula pada hujung tahun banyak pula tugasan yang perlu dilakukan untuk membuat perancangan dan persediaan pada tahun hadapan. Di samping itu, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu  juga membuatkan saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mencari, menilai dan meneliti indikator-indikator yang berkaitan sebelum mengemaskini blog kali ini. Dikhuatiri saya silap atau tersalah membuat ulasan.

Tahun 2016 bakal meninggalkan kita sedikit masa lagi. Ia berlalu bersama pelbagai peristiwa pahit manis. Namun sebagai seorang usahawan, apa yang berlaku setiap hari di dalam kehidupan seharian adalah peluang untuk anda. Tidak ada satu pun peristiwa yang berlaku di dalam kehidupan anda yang sepatutnya dianggap atau ditafsirkan sebagai masalah. Sebaliknya anggaplah ia sebagai  peluang untuk anda belajar ilmu dan pengalaman baru. Ini adalah kerana setiap kali anda berjaya menyelesaikan satu-satu masalah yang dihadapi, anda akan mendapat ilmu dan pengalaman baru.

Sebelum meninggalkan tahun 2016 ini, saya ingin membuat sedikit ulasan berkenaan 'ketidaktentuan' dalam faktor ekonomi yang mungkin  mempengaruhi perniagaan anda sepanjang dua belas bulan pada tahun 2017 nanti
Dengan ini anda dapat membuat pemantauan dan  perancangan awal bagi menghadapi ketidak tentuan ini.

Dari sorotan kajian dan pemerhatian ke atas beberapa indikator tertentu, ketidaktentuan yang perlu diberi perhatian oleh anda dan para penaiga lain pada tahun 2017 nanti ialah kesan  kejatuhan nilai matawang negara.  

Setakat entri  ini ditulis, ringgit telah jatuh melebihi 20% dari tahun sebelumnya. Kejatuhan mata wang ini sebenarnya telah bermula sejak awal tahun 2016 lagi tetapi dengan kadar yang perlahan. Namun menjelang suku ketiga tahun 2016  ia menjadi semakin drastik dan tidak terkawalNilai ringgit semakin merosot dari sehari ke sehari Misalnya pada pertengahan Ogos 2016 yang lalu, nilai ringgit di catat  RM3.60 untuk USD1,  tetapi setakat entri ini ditulis pada 31 Desember 2016, nilainya  telah merosot kepada RM4.47 untuk USD1. 

Sekiranya pihak kerajaan tidak berbuat sesuatu, ia bakal memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan ekonomi negara dan seterusnya akan mengganggu kelancaran perniagaan yang anda dan peniaga-peniaga lain sedang usahakan sekarang ini. 

Untuk makluman, negara kita pernah mengalami situasi kejatuhan nilai ringgit ini pada tahun 1998 yang lalu. Kejatuhan yang amat ketara pada ketika itu telah memaksa pihak kerajaan untuk membuat tambatan nilai demi menjaga kestabilan ekonomi dan kesinambungan perniagaan. 

Namun dalam kes yang sedang berlaku sekarang ini dan sehingga entri ini ditulis, pihak kerajaan masih belum membuat sebarang langkah pencegahan atau pemulihan. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan,  tahap ketidak tentuan di dalam pasaran akan menjadi semakin tinggi dan ia semakin menyukarkan anda untuk mengurus dan menjalankan perniagaan pada tahun 2017 nanti. 
Sebagaimana yang dibincangkan dalam entri 45 blog ini,  kesan dari kejatuhan nilai matawang  negara secara langsung akan mempengaruhi  kos pengimportan ke atas barangan dari luar negara.  Ia akan meningkatkan kos import sebanyak 20%-30% daripada sebelumnya. Oleh itu syarikat pengimport tadi terpaksa menaikkan harga produk yang diimport  sebanyak 30%-40% lagi bagi mengekalkan margin keuntungan yang mereka perolehi sebelum ini. 

Ini seterusnya akan memberi 'kesan domino' kepada rantaian nilai,  di mana pemborong yang membeli barangan import dari syarikat pengimport tadi kemudiannya akan meningkatkan harga pada kadar yang sama iaitu sekitar 20%- 30% apabila mereka menjual produk tersebut kepada anda. Selanjutnya akan memaksa anda untuk  menaikkan harga produk sebanyak 10%-15%  ke atas produk tersebut  apabila menjualnya kepada pelanggan anda nanti. 

Persoalannya di sini ialah adakah pelanggan anda mampu dan bersedia untuk membayar lebih ke atas produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan itu? Adakah mereka masih mampu untuk berurus niaga dengan anda? Apakah langkah yang perlu diambil?

Di samping itu, satu lagi fenomena yang dijangka melanda negara membangun termasuk Malaysia pada suku pertama 2017 nanti ialah fenomena 'Trump Bump'. Fenomena  'Trump Bump' ini juga akan memberi kesan kepada matawang negara. 'Trump Bump' ialah keadaan dimana berlakunya penjualan ke atas matawang negara-negara  membangun secara besar-besaran.

Ia berlaku selepas kemenangan Donal Trump  dalam pilihanraya Amerika pada bulan November yang laluFenomena ini masih dan sedang berlaku sehingga  hari ini dan dijangka mencapai kemuncaknya setelah  beliau secara rasmi menduduki Rumah Putih pada 20 Januari 2017 nanti dan melaksanakan semua dasar yang telah dijanjikan semasa beliau berkempen dalam pilihan raya yang lalu.

Salah satu dasar yang beliau janjikan semasa berkempen  ialah untuk memastikan Bank Pusat Amerika menaikkan  'kadar interest' demi menjaga kestabilan ekonomi negara mereka yang semakin metudum. Jika dasar ini dilaksana sepenuhnya, ia akan  mendorong  lebih ramai lagi pelabur-pelabur asing yang berada di negara-negara membangun termasuk pelabur asing di Malaysia  untuk menjual saki baki pegangan mereka  di sini dan membawa  wang tersebut untuk dilaburkan semula di  Amerika. 

Tindakan pelabur-pelabur asing ini akan menyebabkan nilai matawang USD semakin mengukuh berbanding matawan lain di pasaran dan ia juga bakal melemahkan lagi nilai ringgit kita yang telah sedia lemah  sekarang ini. Sekali lagi perniagaan anda akan menerima 'kesan domino' akibat kejatuhan nilai ringgit. Malah kesan 'wave kedua' ini  dijangka lebih teruk lagi berbanding kesan yang diterima sebelum ini.

Ini adalah kerana, di samping ia akan meningkatkan lagi kos dalam menjalankan perniagaan, kesan kejatuhan nilai ringgit yang berterusan ini juga akan menyebabkan kadar inflasi dalam negara menjadi semakin meningkat berbanding tahun 2016.  Jika tahun 2016 yang lalu kerajaan telah mengumumkan bahawa kadar inflasi dalam negara kita berada di tahap yang terkawal, iaitu sekitar 3%-5%, namun jika kejatuhan nilai ringgit ini terus berlaku secara berterusan dan tanpa kawalan, ia boleh meningkatkan lagi kadar inflasi sebanyak 1%- 2% lagi.  

Kesan ini  pasti akan menyebabkan pelanggan anda yang rata-ratanya terdiri daripada pekerja swasta dan kerajaan yang hanya menerima kadar kenaikan gaji  tahunan mereka sekitar 3%-5% setahun mungkin tidak lagi mampu untuk bertahan dengan peningkatan inflasi tersebut. Jika sepanjang tahun 2016 dulu sudah ramai dari pelanggan anda yang 'mengaktifkan' pelan perbelanjaan berhemah dan berjimat, situasi ini  pula memaksa mereka untuk  mengaktifkan   pelan 'extra jimat'  ketika mereka berbelanja.

Contohnya, jika sepanjang tahun 2016 dulu ramai pelanggan anda yang masih lagi mampu untuk membeli ayam dan daging untuk santapan harian keluarga, namun disebabkan tidak lagi mampu untuk menanggung  kesan kenaikan kos hidup akibat dari kejatuhan nilai ringggit dan inflasi pada tahun 2017 nanti, tidak hairan jika ada di kalangan mereka yang tidak lagi datng membeli ayam dan daging yang dijual di gerai anda. Sebaliknya  mereka hanya mampu membeli  ikan dan sayur 'kelas murahan' sahaja di pasar pagi atau pasar minggu untuk keperluan keluarga. 

Begitu juga sekiranya pada tahun 2016 dulu masih ramai pelanggan yang  beratur membeli wafer yang dijual dikiosk anda, jangan terkejut sekiranya mereka merubah tabiat mereka dari membeli wafer yang anda jual dengan harga 80 sen sekeping kepada membeli apam balik yang berharga 50 sen yang dijual di tepi jalan untuk hidangan minum petang.

Perubahan drastik yang berlaku dalam corak perbelanjaan pelanggan ini pasti akan memberi kesan kepada  perniagaan anda. Oleh itu sebagai peniaga, anda perlu bersedia dan merangka pelan bagi menghadapi situasi ini bermula dari sekarang.

Faktor-faktor lain yang dijangka bakal mengganggu kestabilan perniagaan anda sepanjang tahun 2017 ialah  kesan kenaikan  ke atas bahan api seperti gas, petrolium dan disel (untuk membaca kesan kenaikan petrolium dan bahan api, anda boleh klik di sini). 

Jika trend kenaikan ke atas bahan api dan petrolium ini terus berlaku sebagaimana  trend  2016 yang lalu, ia  bakal  meningkatkan lagi kenaikan kos operasi  dan rantaian nilai dalam sektor pembuatan dan perniagaan. Seterusnya sekali lagi kesan ini akan mempengaruhi pendapatan dan corak perbelanjaan isi rumah, yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada perniagaan yang anda usahakan. 
 
Untuk menghadapi situasi 'ketidak tentuan' ini pada tahun hadapan, anda perlu  sentiasa peka kepada perkembangan semasa dan rajin-rajinlah meninjau serta membuat analisis persekitaran dan  mengkaji kesan polisi yang bakal diambil oleh kerajaan ke atas perniagaan anda. Dengan ini anda akan dapat membuat perubahan strategi dan cara berbisnes. 

Akhir sekali, suka diingatkan bahawa sekiranya sepanjang tahun 2016 yang lalu anda masih  lagi ada masa untuk bersenang-senang sambil  menguruskan perniagaan, tapi pada tahun 2017 ini anda dinasihatkan supaya lebih proaktif.  Jika tahun 2016  yang lalu anda lebih menumpukan kepada aktiviti pengembangan atau pengukuhan perniagaan anda, tetapi pada tahun 2017 nanti anda dinasihatkan untuk memikirkan  strategi dan taktik sesuai untuk membolehkan peniagaan anda terus 'survive'!

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di coretan akan datang.

Selamat menyambut tahun 2017. Tahun yang lebih penuh dengan cabaran dan ketidak tentuan. 






Saturday, 12 November 2016

Cabaran semasa dan peniaga kecil siri 3

Entri:45
Teks: usry Abdullah
Foto: google Image

Salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Semoga perniagaan yang anda jalankan bertambah maju. 

Dalam kita cuba menyesuaikan diri dengan suasana kelembapan ekonomi negara, baru-baru ini pengguna dan peniaga sekali lagi dikejutkan  dengan beberapa siri kenaikan harga. Mulanya berlaku kenaikan harga petrol. Kemudiannya disusuli oleh kenaikan harga minyak masak. 

Sudah pasti kenaikan harga ke atas kedua-dua bahan penting ini sedikit sebanyak memberi kesan kehidupan pengguna. Pendapatan boleh guna mereka  akan terjejas dan seterusnya bakal mempengaruhi corak perbelanjaan mereka. Kesan ini dijangka akan memberi impak kepada kelansungan perniagaan  yang anda usahakan.

Untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan, masing-masing mula meluahkan perasaan dengan cara menulis di laman-laman sosial ataupun sewaktu  bersembang bersama kawan-kawan ketika mengeteh di kedai-kedai mamak. Masing-masing  cuba melepaskan geram yang terbuku di hati.

Namun begitu, jika direnung dan difikirkan secara rasional,   meluahkan perasaan di laman sosial atau ketika bersembang bersama kawan-kawan di kedai mamak hanyalah satu tindakan yang sia-sia dan membuang masa. Segala komen di dalam media sosial  tidak dapat mengubah keadaan.  Harga petrol dan minyak masak tidak akan turun walaupun kita membuat posting berkenaan kenaikan tersebut setiap hari di face book atau di WhatsApp. Malah tindakan ini boleh menambahkan lagi stress kita. 

Sama ada marah atau tidak, anda perlu terima hakikat bahawa bukan kita seorang saja yang menghadapi situasi ini. Ia turut dialami oleh setiap orang yang tinggal di negara yang bernama  Malaysia ini. Tak kira anda tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Baharu atau pun anda tinggal di pekan kecil seperti Naka atau Ulu Tembeling. 

Bagi mereka yang berfikiran positif, mereka tidak sesekali bertidak dengan meluahkan perasaan tidak puas hati melalui laman sosial kerana mereka sedar bahawa tindakan itu tidak menguntungkan mana- mana pihak. Sebaliknya golongan ini  lebih suka mencari jalan bagaimana untuk mengimbangi kesan negatif  akibat dari  kenaikanan harga barangan kawalan ini dengan membuat tindakan yang sesuai mengikut perubahan semasa. 

Begitu juga dalam menguruskan perniagaan. Kesan kenaikan petrol dan minyak masak serta kejatuhan nilai ringgit ini pasti akan memberi kesan negatif kepada perniagaan anda. Namun anda tidak boleh mengubah keadaan ini sebaliknya perlu membuat penilaian sejauh mana kesan kenaikan harga petrol dan minyak masak serta kejatuhan ringgit ini  akan mempengaruhi perniagaan anda. 

Anda sebagai salah seorang peniaga yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sudah pasti tidak mampu untuk mengawal kadar tukaran ringgit yang di tentukan oleh kuasa pasaran. Tatapi anda sememangnya sedar akan kesan buruk akibat dari kejatuhan nilai ringgit ini kepada perniagaan anda.  

Anda tentu sudah boleh mengagak apa yang bakal terjadi kepada harga produk yang  anda jual pada dua atau tiga bulan akan datang. Anda juga sudah boleh menduga apa reaksi pelanggan anda nanti. Oleh itu, anda boleh  bersedia dengan satu pelan tindakan bagi menghadapi sebarang kesan negatif yang akan timbul akibat dari kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan bahan api ini. Bukannya dengan cara merungut atau meluahkan perasaan  di laman sosial atau kepada pelanggan-pelanggan anda.

Walaupun fenomenna kenaikan harga bahan api serta kejatuhan nilai ringgit ini merupakan satu berita buruk kepada perniagaan anda, namun sekiranya anda lihat dari sudut positif,   fenomenna ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada anda.  Salah satu dari pengajaran yang boleh diambil dari fenomenna ini ialah anda perlu sentiasa memantau persekitaran perniagaan anda. Anda tidak boleh leka atau 'syok sendiri' ketika menjalankan perniagaan.



Kepada mereka yang telah memiliki buku Jom Bisnes!, saya harap situasi kenaikan harga petrol dan minyak masak serta fenomenna kejatuhan nilai ringgit yang berlaku kebelakangan ini dapat memberi anda lebih pemahaman mengapa perlunya anda mempelajari aktiviti memantau persekitaran yang ditulis di dalam buku tersebut.

Sekian untuk kali ini. Selamat menjalankan urusniaga dan mengharungi cabaran semasa.

Tuesday, 25 October 2016

Peniaga kecil dan cabaran ekonomi semasa 2 (Apa ada dalam bajet 2017)

Entri:
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. 

Sepanjang minggu ini, jika anda berkunjung ke restoran atau kedai-kedai mamak, asti kita masih dapat mendengar suara-suara atau perbincangan di kalangan pengunjung yang berborak berkenaan belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas. 

Begitu juga apabila anda menyelak halaman surat khabar sama ada surat khabar arus perdana mahu pun surat khabar  berhaluan kiri,  juga anda masih boleh membaca komentar atau artikel-artikel yang mengupas berkenaan belanjawan tahun 2017.  Malah, akhbar atas talian dan blog juga mengambil kesempatan untuk mengutarakan pendapat mereka berkenaan belanjawan dan kesannya kepada kehidupan kita untuk sepanjang tahun hadapan. Masing- masing membuat analsis mengikut pemahaman dan ideologi mereka.

Mengapa belanjawan tahunan akan menjadi topik penting kepada kita setiap kali selepas ia dibentangkan? 

Ya! ia adalah kerana belanjawan dibentangkan pada Jumaat lepas akan memberi gambaran kepada kita tentang apa yang bakal berlaku pada negara Malaysia pada tahun hadapan.  Apa perancangan pihak kerajaan untuk memastikan pertumbuhan negara kita pada tahun hadapan kekal atau bertambah maju. Dengan ini ia akan memberi ruang dan  peluang kepada rakyat untuk mereka bersedia dan merancang kehidupan mereka nanti.
Dalam entri kali ini saya  ingin menyentuh beberapa isu yang nampak 'significant' dan  mungkin dapat memberi kesan kepada  perniagaan yang anda jalankan, terutamanya kepada anda yang tergolong dalam kumpulan peniaga kecil dan sederhana (SME's). Semoga isu-isu yang disentuh dalam entri kali ini dapat memberi sedikit gambaran kepada anda  untuk  membuat persediaan  bagi menghadapi cabaran pada tahun hadapan.

Secara amnya, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bergerak dalam jajaran yang sempit dan perlahan untuk sepanjang tahun 2017 nanti berbanding tahun 2016. Kerajaan menjangkakan pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK) ialah di antara 4%-. 4.5% sahaja berbanding 4.5% - 5 % pada tahun 2016 yang lalu ( http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/10/23/banks-comments-on-2017-budget/). 

Keadaan ini adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi yang turut dialami oleh beberapa negara besar dunia  seperti  Amerika, Britain, negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun dan tidak terkecuali China. Pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka berlaku dengan kadar perlahan ini bakal mempengaruhi eksport negara. Kadar eksport dijangka akan terjejas berbanding tahun 2016. 

Keadaan ini akan diburukkan lagi kesan dari kejatuhan harga minyak mentah dunia. Penurunan harga minyak mentah dunia yang berlaku secara berterusan ini akan menyebabkan pendapatan negara kita  turut merosot kerana Malaysia adalah salah satu  negara pengeksport minyak.

Pendapatan kerajaan dari hasil eksport minyak pasti akan berkurangan dan ini seterusnya mendorong kerajaan untuk mencari sumber pendapatan baru, sama ada dengan meningkatkan lagi beberapa cukai seperti cukai korporat, duti import ataupun dengan mengambil langkah menaikkan harga ke atas beberapa barang kawalan tertentu termasuk petrol dan disel supaya kesan dari kejatuhan harga minyak dunia tidak menjejaskan pendapatan negara.

Jika tindakan tadi dilaksanakan oleh kerajaan, ia seterusnya akan mempengaruhi operasi dan keuntungan syarikat-syarikat terlibat, terutamanya syarikat- syarikat besar yang bertaraf korporat. Contohnya, jika berlaku peningkatan ke atas cukai korporat dan kenaikan ke atas duti import, ia akan memaksa syarikat-syarikat korporat ini mengamalkan langkah penjimatan bagi mengekalkan kesinambungan perniagaan yang mereka jalankan. 

Syarikat-syarikat korporat ini terpaksa membuat perubahan ke atas strategi mereka dan biasanya strategi yang sering dilaksanakan sewaktu menghadapi situasi sebegini ialah dengan mengaktifkan  strategi cantasan (abandon strategy). Apabila strategi cantasan ini dilaksanakan, kesan yang paling ketara dan dapat dirasai serta diperhatikan ialah akan berlakunya aktiviti pembuangan pekerja. Ini adalah kerana syarikat terbabit akan mengurangkan bilangan pekerja mereka bagi menjimatkan kos pengurusan. 

Keadaan Ini seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan dalam kadar pengagguran yang sedia ada dan seterusnya akan menyebabkan  permintaan domestik menjadi kurang.  Akhirnya ia akan memberi kesan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan barangan dan perkhidmatan pengguna.
  
Selain itu, kenaikan dalam cukai korporat juga akan mengurangkan margin keuntungan  syarikat-syarikat besar ini. Jadi, untuk mengekalkan margin keuntungan yang diperolehi,  syarikat-syarikat besar ini kebiasaannya akan melepaskan 'beban kenaikan cukai' tersebut kepada pelanggan mereka. 

Kesannya, harga beberapa produk yang dijual di pasaran tempatan akan naik pada tahun 2017 nanti dan seterusnya sekali lagi memberi kesan negatif kepada  keuntungan yang diperolehi oleh perniagaan peniaga kecil. Ini adalah kerana majoriti peniaga kecil merupakan pelanggan kepada syarikat-syarikat bertaraf korporat ini.    

Dalam situasi ini, peniaga kecil akan menghadapi dilema pengurusan di mana sekiranya mereka menaikkan harga barang yang dijual, dikhuatiri mereka akan kehilangan pelanggan. Manakala sekiranya mereka mengekalkan dengan harga asal, margin jeuntungan yang diperolehi pula akan berkurangan.

Begitu juga sekiranya pihak kerajaan mengambil langkah untuk menaikkan harga barang kawalan tertentu seperti petrol, gula, tepung dan minyak masak. Kesan dari kenaikan produk-produk kawalan  ini akan memberi kesan secara langsung kepada pendapatan boleh guna dan kuasa beli  pengguna. 

Kenaikan dalam harga barangan kawalan ini akan memaksa golongan pengguna mengambil langkah penjimatan dalam perbelanjaan mereka. Tindakan golongan pengguna ini sekali lagi bakal memberi impak negarif kepada kesinambungan perniagaan golongan peniaga kecil dan sederhana (SMe) kerana pelanggan mereka adalah terdiri dari golongan pengguna. Jika pengguna mengambil langkah berjimat dan berhati-hati ketika berbelanja, pendapatan atau hasil jualan golongan peniaga kecil ini bakal terjejas. 

Di samping itu, perbelanjaan ke atas emolumen yang semakin meningkat dalam sektor awam  sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga mememerlukan kerajaan memperuntukkan lebih besar bajet kewangan. Mengikut laporan akhbar, kerajaan memerlukan sebanyak 80% daripada peruntukan belanjawan  tahun 2017 untuk dibelanjakan untuk emolumen ini. Situasi ini  sekali lagi akan menambahkan lagi beban kewangan kerajaan jika tidak diuruskan secara berhemah.  

Antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk menampung kenaikan dalam perbelanjaan emolumen ini ialah dengan melaksanakan langkah penjimatan (The Star.,25 Oktober 2016). Menurut akhbar tersebut, beberapa pakar ekonomi menyarankan supaya kerajaan mengamalkan dasar penjimatan untuk menampung kenaikan dalam perbelanjaan emolumen ini seperti memotong peruntukan kepada kementerian-kementerian tertentu dan membekukan sementara pengambilan pekerja di dalam sektor awam. 

Jika langkah yang bakal dilaksanakan ini diambil, sudah semestinya kadar pengagguran akan meningkat sekali lagi dan  ia akan turut mengecilkan permintaan domestik ke atas barang dan perkhidmatan oleh pihak pengguna.

Penguncupan dalam perbelanjaan yang dialami oleh golongan pengguna kesan dari langkah penjimatan kerajaan dan pengangguran ini seterusnya sekali lagi dijangka akan memberi kesan kepada sektor perniagaan pada tahun 2017 nanti. Oleh itu, golongan peniaga kecil dan sederhana disarankan supaya sentiasa  membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan bersedia untuk membuat perubahan strategi sekiranya perlu.

Manakala untuk sektor perladangan dan pertanian pula, walaupun sektor ini mendapat peruntukan sekitar  5% daripada peruntukan belanjawan, namun  disebabkan oleh fenomena el-nino yang melanda negara saban tahun, ia dijangka akan memberi kesan negatif kepada sektor ini pada tahun hadapan. 

Fenomenan el nino yang melanda negara sejak beberapa bulan yang lalu misalnya telah menyebabkan pengeluaran hasil pertanian seperti  kelapa sawit  merosot walupun harga komoditi itu telah naik dari RM300/tan  kepada Rm600/tan http://www.kppk.gov.my/mpic/index.php/en/.  Begitu juga apa yang bakal dialami oleh aktiviti penanaman lain seperti padi dan sayur-sayuran. Sektor ini juga dijangka menerima kesan negatif dari fenomena el nino ini. 

Fenomena  el nino ini dijangka menyebabkan pendapatan pengusaha kelapa sawit dan pertanian lain termasuk penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan berkurangan berbanding tahun 2016. Kesan ini  juga bakal menguncupkan perbelanjaan golongan isi rumah yang terlibat. 

Pendapatan dan kuasa beli mereka akan turut merosot. Oleh itu, sebagaimana tindakan yang diambil oleh pekerja di sektor perkilangan atau syarikat-syarikat korporat, golongan petani juga dijangka akan mengurangkan perbelanjaan ke atas produk-produk tertentu. Bergantung kepada jumlah pendapatan yang mereka perolehi. Kesan ini sekali lagi akan memberi impak negatif kepada  golongan peniaga pada tahun hadapan.

Manakala  kesan positif  yang mungkin dapat memberi sedikit harapan dan kelegaan kepada golongan peniaga  kecil dan sederhana kesan dari pembentangan belanjawan baru-baru ini ialah  janji  kerajaan untuk menaikkan kadar BRIM kepada golongan sasar seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.
Dengan adanya kenaikan dalam nilai pemberian BRIM kepada golongan sasar ini, ia secara tidak langsung  membantu meningkatkan  pendapatan boleh guna mereka untuk satu tempoh tertentu. Menurut akhbar The Star ( 23 Oktober,2016), pendapatan golongan tersebut dijangka akan meningkat kepada 7.1% pada tahun 2017 berbanding tahun 2016. 

Begitu juga pengumuman kerajaan untuk memberi bantuan e kasih kepada golongan tertentu, ia juga dapat membantu meningkatkan pendapatan boleh guna golongan ini. 

Peningkatan dalam pendapatan boleh guna kedua-dua golongan ini ( golongan penerima BRIM dan penerima e kasih)  akan memberi peluang kepada mereka untuk berbelanja lebih terutamanya untuk pembelian barangan keperluan harian seperti makanan dan keperluan asas. Kebiasaannya golongan ini lebih selesa berurus niaga atau dengan kata lain membeli barangan harian dari peniaga-peniaga kecil berbanding membeli di gedung-gedung besar atau pasaraya. Ini akan memberi sedikit kelegaan kepada golongan peniaga kecil untuk bernafas.

Sementara itu, pengumuman pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 yang diumumkan oleh kerajaan untuk individu-individu yang melanggan surat khabar, internet, buku, dan komputer juga sedikit sebanyak juga dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan boleh guna golongan terlibat. 

Penjimatan dari pemotongan cukai pendapatan ini  seterusnya akan  memberi lebihan wang kepada mereka dan sudah semestinya mereka  akan membelanjakan lebihan wang tersebut untuk membeli keperluan harian. 

Berita ini juga memberi sedikit kelegaan kepada peniaga bahan makanan dan keperluan asas. Begitu juga kepada perniagaan akhbar, buku, majalah dan komputer. Pengumuman kerajaan ini setidak-tidanya dapat memberi sedikit kelegaan kepada industri ini yang telah sekian lama malap.

Sekian  untuk kali ini.Jumpa lagi di lain entri.
wassalam

Saturday, 8 October 2016

Peniaga kecil dan cabaran ekonomi semasa.

Entri: 43
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi dan pemasaran.  Agak lama saya tidak membuat sebarang posting baru di dalam blog ini disebabkan kesuntukan masa. Saya terpaksa menumpukan perhatian untuk mencari dan mengulangkaji bahan  bagi persiapan menulis journal yang menjadi salah satu syarat dalam pengajian saya. 

Tugasan menulis dan menerbitkan journal ini memerlukan saya mencari dan  membaca seberapa banyak journal yang ditulis oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk mencari lompang (gap) sebelum saya menulis journal saya sendiri.

Memandangkan saya perlu memberi perhatian yang lebih kepada tugasan ini, maka saya terpaksa mengurangkan aktiviti menulis entri di blog.  Keadaan ini mungkin akan berterusan sehingga Julai 2017 dan paling lama sehingga Oktober 2017. 

Oleh itu jika ada masa terluang, barulah saya  akan menulis di blog ini untuk berkongsi cerita dan ilmu. Mungkin sebulan sekali atau pun tiga minggu sekali. Itu pun bergantung kepada keadaan dan kestabilan emosi saya.  Maklumlah, tugasan menulis ni memerlukan kestabilan  emosi, tak kira sama ada anda menulis journal akademik atau pun artikel biasa. Malah saya dengar, untuk menulis novel atau cerpen lebih mencabar lagi kerana ia memerlukan seseorang penulis itu mencari ayat-ayat puitis dan indah suppay sedap dibaca.
Untuk entri kali ini saya ingin berkongsi pengalaman ke pasar malam setelah agak lama tidak mengunjunginya. Bukan tak sudi, tetapi tidak berkesempatan. 

Pada petang Jumaat lepas, selepas mengambil angah (anak yang nombor dua) dari sekolah, saya mencuri peluang untuk mengunjungi pasar malam.  Teringin pula nak makan rangka ayam goreng yang biasanya turut dijual di pasar malam. Sambil-sambil tu boleh  juga beli apa yang patut seperti ikan dan sedikit ulam-ulaman untuk makan tengahari esok. Saya ni memang hantu ulam dan biasanya saya akan membeli ulam-ulaman di pasar malam dan pasar tani .
Lebih kurang pukul 6.40pm angah pun keluar dari sekolah. Setelah angah masuk ke dalam kereta, saya pun terus memandu menuju ke pasar malam yang beroperasi di satu kawasan lapang berhampiran taman perumahan, tak jauh dengan taman tempat kami tinggal. 

Setelah mendapat 'parking' yang sesuai, kami pun keluar dari kereta dan melangkah masuk ke kawasan pasar malam itu. Kelihatan banyak gerai sudah didirikan dan  penjual juga sudah sedia menanti kedatangan pelanggan. 

Namun apa yang menghairankan saya ialah suasana pasar malam masih lengang. Walaupun jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.50 petang tetapi pengunjung yang mengunjugi pasar malam amat berkurangan sekali. Orang kata ' boleh dibilang dengan jari!'

Biasanya pada waktu-waktu sebegini  pekerja pejabat atau pekerja kilang sudah pun pulang dari tempat kerja  masing-masing. Jadi, kepada mereka yang tak berkesempatan untuk memasak, biasanya akan singgah membeli makanan yang dijual di pasar malam ini. Tetapi suasana tersebut tidak terasa.Hanya beberapa kerat saja yang kelihatan membeli.

Mula terlintas di fikiran saya tentang cakap-cakap beberapa orang kawan yang turut menjalankan perniagaan. Kata mereka, '' Buat bisnes sekarang ni dah tak seronok macam dulu lagi.

Dulu- dulu, jika berniaga di pasar malam, dalam satu malam kita boleh dapat untung paling kurang RM200-300, tapi sekarang ni nak dapat RM100 pun sakit.  

Jika nasib tak baik, penat lelah kita 'set up' gerai pun tak berbayar dengan apa yang kita perolehi".

Jika diimbas kembali kata-kata yang pernah dituturkan oleh kawan-kawan saya  itu dan dibuat perbandingan dengan apa yang saya lihat di pasar malam pada hari ini, rasanya kata-kata mereka itu ada betulnya. Nampaknya golongan pengguna sudah semakin tertekan dengan kos sara hidup dan sudah hilang kuasa beli mereka.  

Tambahan pula pada ketika ini gaji pekerja swasta dan pekerja kilang pun dah semakin cepat 'keringnya' walaupun baru masuk minggu pertama bulan Oktober.  Duit BRIM yang diterima pada bulan September lepas pun mungkin sudah tidak berbaki lagi. Manakala gaji kakitangan kerajaan juga sudah dalam keadaan 'nazak' kerana mereka menerima gaji lebih awal berbanding pekerja swasta dan pekerja kilang. Gaji penjawat awam biasanya diterima pada setiap minggu ke tiga  akhir bulan.  

Keadaan ini burukkan lagi  dengan pengumuman oleh kerajaan untuk menaikkan harga  petrol pada awal bulan ini.  Ini memaksa golongan pengguna lebih berjimat. Mungkin inilah salah satu faktor mengapa ramai yang tidak lagi mengunjugi pasar malam. Malah aktiviti makan di luar bersama keluarga juga turut dihadkan.

Sambil melewati beberapa gerai yang 'tidak berpelanggan', saya mula terfikir sendiri. Bolehkah  peniaga-peniaga ini meneruskan kesinambungan perniagaan mereka ? Mampukah mereka untuk terus bertahan dalam suasana suram seperti sekarang ini? 
Cukupkah hasil jualan mereka menampung perbelanjaan harian?

Persoalan ini timbul dalam pemikiran saya kerana 'keadaan semasa' atau lebih tepat lagi 'situasi ekonomi semasa' juga merupakan salah satu daripada faktor yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan.

Jika dibuat perbandingan, situasi semasa yang kita sedang lalui sekarang ini hampir sama dengan keadaan yang pernah dialami pada tahun 2008 dahulu. Nampaknya tanda-tanda ke arah itu sudah semakin jelas.

Nampaknya negara kita mungkin akan mengahadapi kesan akibat dari kegawatan ekonomi dunia sekali lagi. Tambahan pula negara-negara pengeksport minyak seperti Iran, Quait dan Arab Saudi sedang  mengalami kemelesetan sekarang ini. Begitu juga dengan Amarika Syarikat dan negara-negara Eropah. Jadi tidak mustahil negara kita juga bakal menerima 'kesan domino' ini. Cuma cepat dengan lambat saja.

Kepada peniaga yang ingin bertahan, langkah tertentu perlu diambil dengan segera. Mereka perlu membuat perubahan dengan mengkaji semula model dan strategi perniagaan yang sedang mereka praktiskan sekarang. Periksa sama ada ianya sesuai dengan keadaan persekitaran semasa atau pun tidak. Jika ianya masih releven, teruskan dengan strategi yang sedang anda praktiskan itu. Tetapi  jika tidak releven lagi, tukarlah strategi perniagaan anda itu dengan segera.

Ini adalah kerana kejayaan sesebuah perniagaan itu banyak bergantung kepada 'kesinambungan' di antara strategi yang anda praktiskan dengan persekitaran semasa. Atau dengan kata lain, strategi yang sedang anda pratiskan ini mesti mempunyai 'sinergy' dengan persekitaran semasa.Barulah perniagaan anda akan berjaya.

Malangnya ramai peniaga kecil bumiputra yang tidak mengandahkan perkara ini. Salah satu sebabnya ialah kerana kebanyakan peniaga kecil ini tidak mahir dalam ilmu  pengurusan.  Lantaran itu mereka lebih suka bertindak berdasarkan andaian semata-mata. Ramai di antara mereka yang berniaga secara 'trial and error'. Lebih mengharapka kepada nasib. Jika bernasib baik perniagaan mereka akan berjaya dan jika tidak berbasib baik, mereka redha dengan kegagalan yang diterima.

Malah tidak kurang  juga  dari kalangan mereka yang bertindak atau membuat keputusan mengikut  saranan dari sahabat atau 'mentor' yang mereka percayai tanpa membuat perancangan dan strategi. Mereka menganggap formula yang diberikan oleh rakan atau 'mentor' mereka itu berkesan walaupun mereka sedar bahawa perniagaan yang diusahakan oleh 'mentor' atau rakan mereka itu adalah berbeza  dengan  model perniagaan yang mereka sedang usahakan. 

Lantaran itu, sudah pasti strategi yang dilaksanakan oleh rakan atau 'mentor' mereka tidak berapa sesuai dilaksanakan dalam perniagaan mereka. Namun mereka tetap juga mengikutinya apa yang dicakapkan oleh rakan atau 'mentor' mereka itu tanpa membuat penialaian terlebih dahulu.

Kesannya, bukan saja perniagaan yang diusahakan itu tidak mampu menghadapi cabaran semasa, malah mereka pula yang menjadi salah seorang dari penyumbang kepada kenaikan dalam statistik kegagalan peniaga bumiputra di Malaysia.

Di sinilah pentingnya seseorang peniaga itu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkenaan pengurusan perniagaan dan strategi. Dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan, seseorang peniaga itu dapat bertindak dengan lebih bijak  dalam apa jua situasi semasa. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghadapi cabaran semasa.


Akhir kata, untuk berjaya dalam perniagaan, seseorang usahawan itu perlu mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan strategi. Namun, syarat utama  untuk membolehkan sesebuah strategi yang dipraktiskan itu berfungsi dengan berkesan ialah strategi tersebut perlu seiring dengan keadaan persekitaran semasa (Thompson & Strickland.,1996). Pelajarilah terlebih dahulu ilmu pengurusan strategi dan perniagaan sebelum anda terjun ke dunia perniagaan. Dengan adanya ilmu, anda mampu untuk menyesuaikan perniagaan anda dengan cabaran  semasa. 

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri akan datang. 

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...