Saturday, 8 October 2016

Peniaga kecil dan cabaran ekonomi semasa.

Entri: 43
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi dan pemasaran.  Agak lama saya tidak membuat sebarang posting baru di dalam blog ini disebabkan kesuntukan masa. Saya terpaksa menumpukan perhatian untuk mencari dan mengulangkaji bahan  bagi persiapan menulis journal yang menjadi salah satu syarat dalam pengajian saya. 

Tugasan menulis dan menerbitkan journal ini memerlukan saya mencari dan  membaca seberapa banyak journal yang ditulis oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk mencari lompang (gap) sebelum saya menulis journal saya sendiri.

Memandangkan saya perlu memberi perhatian yang lebih kepada tugasan ini, maka saya terpaksa mengurangkan aktiviti menulis entri di blog.  Keadaan ini mungkin akan berterusan sehingga Julai 2017 dan paling lama sehingga Oktober 2017. 

Oleh itu jika ada masa terluang, barulah saya  akan menulis di blog ini untuk berkongsi cerita dan ilmu. Mungkin sebulan sekali atau pun tiga minggu sekali. Itu pun bergantung kepada keadaan dan kestabilan emosi saya.  Maklumlah, tugasan menulis ni memerlukan kestabilan  emosi, tak kira sama ada anda menulis journal akademik atau pun artikel biasa. Malah saya dengar, untuk menulis novel atau cerpen lebih mencabar lagi kerana ia memerlukan seseorang penulis itu mencari ayat-ayat puitis dan indah suppay sedap dibaca.
Untuk entri kali ini saya ingin berkongsi pengalaman ke pasar malam setelah agak lama tidak mengunjunginya. Bukan tak sudi, tetapi tidak berkesempatan. 

Pada petang Jumaat lepas, selepas mengambil angah (anak yang nombor dua) dari sekolah, saya mencuri peluang untuk mengunjungi pasar malam.  Teringin pula nak makan rangka ayam goreng yang biasanya turut dijual di pasar malam. Sambil-sambil tu boleh  juga beli apa yang patut seperti ikan dan sedikit ulam-ulaman untuk makan tengahari esok. Saya ni memang hantu ulam dan biasanya saya akan membeli ulam-ulaman di pasar malam dan pasar tani .
Lebih kurang pukul 6.40pm angah pun keluar dari sekolah. Setelah angah masuk ke dalam kereta, saya pun terus memandu menuju ke pasar malam yang beroperasi di satu kawasan lapang berhampiran taman perumahan, tak jauh dengan taman tempat kami tinggal. 

Setelah mendapat 'parking' yang sesuai, kami pun keluar dari kereta dan melangkah masuk ke kawasan pasar malam itu. Kelihatan banyak gerai sudah didirikan dan  penjual juga sudah sedia menanti kedatangan pelanggan. 

Namun apa yang menghairankan saya ialah suasana pasar malam masih lengang. Walaupun jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.50 petang tetapi pengunjung yang mengunjugi pasar malam amat berkurangan sekali. Orang kata ' boleh dibilang dengan jari!'

Biasanya pada waktu-waktu sebegini  pekerja pejabat atau pekerja kilang sudah pun pulang dari tempat kerja  masing-masing. Jadi, kepada mereka yang tak berkesempatan untuk memasak, biasanya akan singgah membeli makanan yang dijual di pasar malam ini. Tetapi suasana tersebut tidak terasa.Hanya beberapa kerat saja yang kelihatan membeli.

Mula terlintas di fikiran saya tentang cakap-cakap beberapa orang kawan yang turut menjalankan perniagaan. Kata mereka, '' Buat bisnes sekarang ni dah tak seronok macam dulu lagi.

Dulu- dulu, jika berniaga di pasar malam, dalam satu malam kita boleh dapat untung paling kurang RM200-300, tapi sekarang ni nak dapat RM100 pun sakit.  

Jika nasib tak baik, penat lelah kita 'set up' gerai pun tak berbayar dengan apa yang kita perolehi".

Jika diimbas kembali kata-kata yang pernah dituturkan oleh kawan-kawan saya  itu dan dibuat perbandingan dengan apa yang saya lihat di pasar malam pada hari ini, rasanya kata-kata mereka itu ada betulnya. Nampaknya golongan pengguna sudah semakin tertekan dengan kos sara hidup dan sudah hilang kuasa beli mereka.  

Tambahan pula pada ketika ini gaji pekerja swasta dan pekerja kilang pun dah semakin cepat 'keringnya' walaupun baru masuk minggu pertama bulan Oktober.  Duit BRIM yang diterima pada bulan September lepas pun mungkin sudah tidak berbaki lagi. Manakala gaji kakitangan kerajaan juga sudah dalam keadaan 'nazak' kerana mereka menerima gaji lebih awal berbanding pekerja swasta dan pekerja kilang. Gaji penjawat awam biasanya diterima pada setiap minggu ke tiga  akhir bulan.  

Keadaan ini burukkan lagi  dengan pengumuman oleh kerajaan untuk menaikkan harga  petrol pada awal bulan ini.  Ini memaksa golongan pengguna lebih berjimat. Mungkin inilah salah satu faktor mengapa ramai yang tidak lagi mengunjugi pasar malam. Malah aktiviti makan di luar bersama keluarga juga turut dihadkan.

Sambil melewati beberapa gerai yang 'tidak berpelanggan', saya mula terfikir sendiri. Bolehkah  peniaga-peniaga ini meneruskan kesinambungan perniagaan mereka ? Mampukah mereka untuk terus bertahan dalam suasana suram seperti sekarang ini? 
Cukupkah hasil jualan mereka menampung perbelanjaan harian?

Persoalan ini timbul dalam pemikiran saya kerana 'keadaan semasa' atau lebih tepat lagi 'situasi ekonomi semasa' juga merupakan salah satu daripada faktor yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan.

Jika dibuat perbandingan, situasi semasa yang kita sedang lalui sekarang ini hampir sama dengan keadaan yang pernah dialami pada tahun 2008 dahulu. Nampaknya tanda-tanda ke arah itu sudah semakin jelas.

Nampaknya negara kita mungkin akan mengahadapi kesan akibat dari kegawatan ekonomi dunia sekali lagi. Tambahan pula negara-negara pengeksport minyak seperti Iran, Quait dan Arab Saudi sedang  mengalami kemelesetan sekarang ini. Begitu juga dengan Amarika Syarikat dan negara-negara Eropah. Jadi tidak mustahil negara kita juga bakal menerima 'kesan domino' ini. Cuma cepat dengan lambat saja.

Kepada peniaga yang ingin bertahan, langkah tertentu perlu diambil dengan segera. Mereka perlu membuat perubahan dengan mengkaji semula model dan strategi perniagaan yang sedang mereka praktiskan sekarang. Periksa sama ada ianya sesuai dengan keadaan persekitaran semasa atau pun tidak. Jika ianya masih releven, teruskan dengan strategi yang sedang anda praktiskan itu. Tetapi  jika tidak releven lagi, tukarlah strategi perniagaan anda itu dengan segera.

Ini adalah kerana kejayaan sesebuah perniagaan itu banyak bergantung kepada 'kesinambungan' di antara strategi yang anda praktiskan dengan persekitaran semasa. Atau dengan kata lain, strategi yang sedang anda pratiskan ini mesti mempunyai 'sinergy' dengan persekitaran semasa.Barulah perniagaan anda akan berjaya.

Malangnya ramai peniaga kecil bumiputra yang tidak mengandahkan perkara ini. Salah satu sebabnya ialah kerana kebanyakan peniaga kecil ini tidak mahir dalam ilmu  pengurusan.  Lantaran itu mereka lebih suka bertindak berdasarkan andaian semata-mata. Ramai di antara mereka yang berniaga secara 'trial and error'. Lebih mengharapka kepada nasib. Jika bernasib baik perniagaan mereka akan berjaya dan jika tidak berbasib baik, mereka redha dengan kegagalan yang diterima.

Malah tidak kurang  juga  dari kalangan mereka yang bertindak atau membuat keputusan mengikut  saranan dari sahabat atau 'mentor' yang mereka percayai tanpa membuat perancangan dan strategi. Mereka menganggap formula yang diberikan oleh rakan atau 'mentor' mereka itu berkesan walaupun mereka sedar bahawa perniagaan yang diusahakan oleh 'mentor' atau rakan mereka itu adalah berbeza  dengan  model perniagaan yang mereka sedang usahakan. 

Lantaran itu, sudah pasti strategi yang dilaksanakan oleh rakan atau 'mentor' mereka tidak berapa sesuai dilaksanakan dalam perniagaan mereka. Namun mereka tetap juga mengikutinya apa yang dicakapkan oleh rakan atau 'mentor' mereka itu tanpa membuat penialaian terlebih dahulu.

Kesannya, bukan saja perniagaan yang diusahakan itu tidak mampu menghadapi cabaran semasa, malah mereka pula yang menjadi salah seorang dari penyumbang kepada kenaikan dalam statistik kegagalan peniaga bumiputra di Malaysia.

Di sinilah pentingnya seseorang peniaga itu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkenaan pengurusan perniagaan dan strategi. Dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan, seseorang peniaga itu dapat bertindak dengan lebih bijak  dalam apa jua situasi semasa. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghadapi cabaran semasa.


Akhir kata, untuk berjaya dalam perniagaan, seseorang usahawan itu perlu mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan strategi. Namun, syarat utama  untuk membolehkan sesebuah strategi yang dipraktiskan itu berfungsi dengan berkesan ialah strategi tersebut perlu seiring dengan keadaan persekitaran semasa (Thompson & Strickland.,1996). Pelajarilah terlebih dahulu ilmu pengurusan strategi dan perniagaan sebelum anda terjun ke dunia perniagaan. Dengan adanya ilmu, anda mampu untuk menyesuaikan perniagaan anda dengan cabaran  semasa. 

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri akan datang. 

6 comments:

Humaira said...

salute pada yang meniaga ni.

usryabdullah said...

Berniaga ni ada seronok ada tak seronok. Seronok bila juaan habis dan kira keuntungan yang diperolehi. Tak seronok bila 'duit minyak' pun kadang-kadang tak lepas. Apa tah lagi duit makan minum.
By the way, setiap kerja ada cabaran. Cuma darjah dan tahap cabarannya saja yang berbeza.

Mrs. A said...

Tengok kawan-kawan bisnes seronok.
Mrs.A tak pandai nak berbisnes tapi selalu support kalau kawan-kawan bisnes.
Kalau dah semua orang nak jadi tukang jual siapa pulak nak jadi tukang beli?!

usryabdullah said...

Betul. Cuma yang seronok berbisnes ni ialah duit kita tak pernah putus. setiap hari ada je masuk walaupun sedikit. Tapi penat lelah dan cabaran, hanya mereka yang mengalaminya saja yang tahu.

Wan Syahida Kahar said...

Sebegitu sekali tempiasnya even kepada peniaga di pasar malam yer. Itu la kadang2 saya pun bila membeli dengan peniaga kecil, niat untuk sedekah je. Semoga dia dapat cover modal atau penuhi keperluan keluarga. Tak pun bagi dia gembira sikit ada jualan.

usryabdullah said...

Inilah realitinya sekarang ini. Puan boleh buat pemerhatian.
Sifat puan tu amat dihargai. Semoga puan diberkati. walaupun dua kupang kita sedekah, bagi mereka itu sudah satu rahmat. Semoga ada lagi insan-insan seperti puan.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...