Friday, 30 December 2016

Tahun 2017 dan ketidak tentuan pasaran.

Entri: 45
Teks: Usry Abdullah
Image: Google Image


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Sedar tak sedar, sudah genap setahun usia blog ini semenjak entri pertama ditulis  pada pertengahan November 2015 yang lalu. 

Terima kasih kepada penjenguk yang sudi singgah di sini dan terima kasih juga kepada mereka yang sudi meninggalkan jejak  di blog ini. Semoga setiap perkongsian yang saya tulis di dalam blog ini dapat memberi manafaat kepada anda, terutamanya dalam menguruskan perniagaan.  Apa yang baik dan bermanafat itu datangnya dari Allah dan yang mana yang terkurang  itu adalah dari kesilapan dan kelemahan saya sendiri.

Agak lama  saya tidak 'update' blog ini disebabkan oleh komitmen tugas dan aktiviti pembelajaran. Tambahan pula pada hujung tahun banyak pula tugasan yang perlu dilakukan untuk membuat perancangan dan persediaan pada tahun hadapan. Di samping itu, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu  juga membuatkan saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mencari, menilai dan meneliti indikator-indikator yang berkaitan sebelum mengemaskini blog kali ini. Dikhuatiri saya silap atau tersalah membuat ulasan.

Tahun 2016 bakal meninggalkan kita sedikit masa lagi. Ia berlalu bersama pelbagai peristiwa pahit manis. Namun sebagai seorang usahawan, apa yang berlaku setiap hari di dalam kehidupan seharian adalah peluang untuk anda. Tidak ada satu pun peristiwa yang berlaku di dalam kehidupan anda yang sepatutnya dianggap atau ditafsirkan sebagai masalah. Sebaliknya anggaplah ia sebagai  peluang untuk anda belajar ilmu dan pengalaman baru. Ini adalah kerana setiap kali anda berjaya menyelesaikan satu-satu masalah yang dihadapi, anda akan mendapat ilmu dan pengalaman baru.

Sebelum meninggalkan tahun 2016 ini, saya ingin membuat sedikit ulasan berkenaan 'ketidaktentuan' dalam faktor ekonomi yang mungkin  mempengaruhi perniagaan anda sepanjang dua belas bulan pada tahun 2017 nanti
Dengan ini anda dapat membuat pemantauan dan  perancangan awal bagi menghadapi ketidak tentuan ini.

Dari sorotan kajian dan pemerhatian ke atas beberapa indikator tertentu, ketidaktentuan yang perlu diberi perhatian oleh anda dan para penaiga lain pada tahun 2017 nanti ialah kesan  kejatuhan nilai matawang negara.  

Setakat entri  ini ditulis, ringgit telah jatuh melebihi 20% dari tahun sebelumnya. Kejatuhan mata wang ini sebenarnya telah bermula sejak awal tahun 2016 lagi tetapi dengan kadar yang perlahan. Namun menjelang suku ketiga tahun 2016  ia menjadi semakin drastik dan tidak terkawalNilai ringgit semakin merosot dari sehari ke sehari Misalnya pada pertengahan Ogos 2016 yang lalu, nilai ringgit di catat  RM3.60 untuk USD1,  tetapi setakat entri ini ditulis pada 31 Desember 2016, nilainya  telah merosot kepada RM4.47 untuk USD1. 

Sekiranya pihak kerajaan tidak berbuat sesuatu, ia bakal memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan ekonomi negara dan seterusnya akan mengganggu kelancaran perniagaan yang anda dan peniaga-peniaga lain sedang usahakan sekarang ini. 

Untuk makluman, negara kita pernah mengalami situasi kejatuhan nilai ringgit ini pada tahun 1998 yang lalu. Kejatuhan yang amat ketara pada ketika itu telah memaksa pihak kerajaan untuk membuat tambatan nilai demi menjaga kestabilan ekonomi dan kesinambungan perniagaan. 

Namun dalam kes yang sedang berlaku sekarang ini dan sehingga entri ini ditulis, pihak kerajaan masih belum membuat sebarang langkah pencegahan atau pemulihan. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan,  tahap ketidak tentuan di dalam pasaran akan menjadi semakin tinggi dan ia semakin menyukarkan anda untuk mengurus dan menjalankan perniagaan pada tahun 2017 nanti. 
Sebagaimana yang dibincangkan dalam entri 45 blog ini,  kesan dari kejatuhan nilai matawang  negara secara langsung akan mempengaruhi  kos pengimportan ke atas barangan dari luar negara.  Ia akan meningkatkan kos import sebanyak 20%-30% daripada sebelumnya. Oleh itu syarikat pengimport tadi terpaksa menaikkan harga produk yang diimport  sebanyak 30%-40% lagi bagi mengekalkan margin keuntungan yang mereka perolehi sebelum ini. 

Ini seterusnya akan memberi 'kesan domino' kepada rantaian nilai,  di mana pemborong yang membeli barangan import dari syarikat pengimport tadi kemudiannya akan meningkatkan harga pada kadar yang sama iaitu sekitar 20%- 30% apabila mereka menjual produk tersebut kepada anda. Selanjutnya akan memaksa anda untuk  menaikkan harga produk sebanyak 10%-15%  ke atas produk tersebut  apabila menjualnya kepada pelanggan anda nanti. 

Persoalannya di sini ialah adakah pelanggan anda mampu dan bersedia untuk membayar lebih ke atas produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan itu? Adakah mereka masih mampu untuk berurus niaga dengan anda? Apakah langkah yang perlu diambil?

Di samping itu, satu lagi fenomena yang dijangka melanda negara membangun termasuk Malaysia pada suku pertama 2017 nanti ialah fenomena 'Trump Bump'. Fenomena  'Trump Bump' ini juga akan memberi kesan kepada matawang negara. 'Trump Bump' ialah keadaan dimana berlakunya penjualan ke atas matawang negara-negara  membangun secara besar-besaran.

Ia berlaku selepas kemenangan Donal Trump  dalam pilihanraya Amerika pada bulan November yang laluFenomena ini masih dan sedang berlaku sehingga  hari ini dan dijangka mencapai kemuncaknya setelah  beliau secara rasmi menduduki Rumah Putih pada 20 Januari 2017 nanti dan melaksanakan semua dasar yang telah dijanjikan semasa beliau berkempen dalam pilihan raya yang lalu.

Salah satu dasar yang beliau janjikan semasa berkempen  ialah untuk memastikan Bank Pusat Amerika menaikkan  'kadar interest' demi menjaga kestabilan ekonomi negara mereka yang semakin metudum. Jika dasar ini dilaksana sepenuhnya, ia akan  mendorong  lebih ramai lagi pelabur-pelabur asing yang berada di negara-negara membangun termasuk pelabur asing di Malaysia  untuk menjual saki baki pegangan mereka  di sini dan membawa  wang tersebut untuk dilaburkan semula di  Amerika. 

Tindakan pelabur-pelabur asing ini akan menyebabkan nilai matawang USD semakin mengukuh berbanding matawan lain di pasaran dan ia juga bakal melemahkan lagi nilai ringgit kita yang telah sedia lemah  sekarang ini. Sekali lagi perniagaan anda akan menerima 'kesan domino' akibat kejatuhan nilai ringgit. Malah kesan 'wave kedua' ini  dijangka lebih teruk lagi berbanding kesan yang diterima sebelum ini.

Ini adalah kerana, di samping ia akan meningkatkan lagi kos dalam menjalankan perniagaan, kesan kejatuhan nilai ringgit yang berterusan ini juga akan menyebabkan kadar inflasi dalam negara menjadi semakin meningkat berbanding tahun 2016.  Jika tahun 2016 yang lalu kerajaan telah mengumumkan bahawa kadar inflasi dalam negara kita berada di tahap yang terkawal, iaitu sekitar 3%-5%, namun jika kejatuhan nilai ringgit ini terus berlaku secara berterusan dan tanpa kawalan, ia boleh meningkatkan lagi kadar inflasi sebanyak 1%- 2% lagi.  

Kesan ini  pasti akan menyebabkan pelanggan anda yang rata-ratanya terdiri daripada pekerja swasta dan kerajaan yang hanya menerima kadar kenaikan gaji  tahunan mereka sekitar 3%-5% setahun mungkin tidak lagi mampu untuk bertahan dengan peningkatan inflasi tersebut. Jika sepanjang tahun 2016 dulu sudah ramai dari pelanggan anda yang 'mengaktifkan' pelan perbelanjaan berhemah dan berjimat, situasi ini  pula memaksa mereka untuk  mengaktifkan   pelan 'extra jimat'  ketika mereka berbelanja.

Contohnya, jika sepanjang tahun 2016 dulu ramai pelanggan anda yang masih lagi mampu untuk membeli ayam dan daging untuk santapan harian keluarga, namun disebabkan tidak lagi mampu untuk menanggung  kesan kenaikan kos hidup akibat dari kejatuhan nilai ringggit dan inflasi pada tahun 2017 nanti, tidak hairan jika ada di kalangan mereka yang tidak lagi datng membeli ayam dan daging yang dijual di gerai anda. Sebaliknya  mereka hanya mampu membeli  ikan dan sayur 'kelas murahan' sahaja di pasar pagi atau pasar minggu untuk keperluan keluarga. 

Begitu juga sekiranya pada tahun 2016 dulu masih ramai pelanggan yang  beratur membeli wafer yang dijual dikiosk anda, jangan terkejut sekiranya mereka merubah tabiat mereka dari membeli wafer yang anda jual dengan harga 80 sen sekeping kepada membeli apam balik yang berharga 50 sen yang dijual di tepi jalan untuk hidangan minum petang.

Perubahan drastik yang berlaku dalam corak perbelanjaan pelanggan ini pasti akan memberi kesan kepada  perniagaan anda. Oleh itu sebagai peniaga, anda perlu bersedia dan merangka pelan bagi menghadapi situasi ini bermula dari sekarang.

Faktor-faktor lain yang dijangka bakal mengganggu kestabilan perniagaan anda sepanjang tahun 2017 ialah  kesan kenaikan  ke atas bahan api seperti gas, petrolium dan disel (untuk membaca kesan kenaikan petrolium dan bahan api, anda boleh klik di sini). 

Jika trend kenaikan ke atas bahan api dan petrolium ini terus berlaku sebagaimana  trend  2016 yang lalu, ia  bakal  meningkatkan lagi kenaikan kos operasi  dan rantaian nilai dalam sektor pembuatan dan perniagaan. Seterusnya sekali lagi kesan ini akan mempengaruhi pendapatan dan corak perbelanjaan isi rumah, yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada perniagaan yang anda usahakan. 
 
Untuk menghadapi situasi 'ketidak tentuan' ini pada tahun hadapan, anda perlu  sentiasa peka kepada perkembangan semasa dan rajin-rajinlah meninjau serta membuat analisis persekitaran dan  mengkaji kesan polisi yang bakal diambil oleh kerajaan ke atas perniagaan anda. Dengan ini anda akan dapat membuat perubahan strategi dan cara berbisnes. 

Akhir sekali, suka diingatkan bahawa sekiranya sepanjang tahun 2016 yang lalu anda masih  lagi ada masa untuk bersenang-senang sambil  menguruskan perniagaan, tapi pada tahun 2017 ini anda dinasihatkan supaya lebih proaktif.  Jika tahun 2016  yang lalu anda lebih menumpukan kepada aktiviti pengembangan atau pengukuhan perniagaan anda, tetapi pada tahun 2017 nanti anda dinasihatkan untuk memikirkan  strategi dan taktik sesuai untuk membolehkan peniagaan anda terus 'survive'!

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di coretan akan datang.

Selamat menyambut tahun 2017. Tahun yang lebih penuh dengan cabaran dan ketidak tentuan. 






No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...