Monday, 17 April 2017

5 Langkah bagaiamana untuk menukar strategi perniagaan anda.



Dari maklumatdan kajian yang dilakukan, didapati semakin ramai pelabur asing  mula meninggalkan Malaysia walaupun ada berita yang melaporkan bahawa jumlah kemasukan pelabur asing semakin meningkat kebelakangan ini

Dalam satu laporan yang diterbitkan di dalam akhbar The Star bertarikh 15 April 2017 yang lalu, sebanyak 26.2 billion bon yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia telah  dijual atau ditebus semula oleh pelabur asing sepanjang  bulan Mac 2017 tahun ini. 

Mereka berbuat demikian kerana ingin mendapatkan kembali wang tunai yang dilaborkan dengan pembelian bon tersebut dan membawa wang itu untuk dilaborkan di negara yang menjanjikan pulangan  lebih tinggi  berbanding apa yang ditawarkan oleh negara kita.
Situasi ini ( penjualan bon oleh pelabur asing) sudah pasti akan memberi kesan kepada  ekonomi negara  untuk jangka panjang. Ini adalah kerana  apabila kurangnya pelabur asing  datang melabur di negara kita, ekonomi  negara tidak akan berkembang sebagaimana yang diharapkan. Seterusnya keadaan ini bakal menyumbang kepada kemelesetan ekonomi sebagaimana yang pernah kita lalui pada tahun 1998 dan 2008 yang lalu. 
  
Sebagai seorang peniaga yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, sudah pasti anda tidak akan terlepas dari menghadapi situasi ini . Malah anda akan menerima kesan ini lebih cepat berbanding peniaga besar yang bertaraf korporat kerana pasaran anda adalah kecil dan terhad berbanding mereka.  Oleh itu anda perlu bersedia dan lebih proaktif.  Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan membuat  perubahan strategi  perniagan  sebelum keadaan menjadi semakin sukar.  

Tapi ramai di kalangan peniaga kecil yang tidak mahir dalam membuat perubahan strategi. Jadi, dalam entri kali ini akan diterangkan langkah yang perlu anda ikuti ketika anda membuat perubahan strategi perniagaan.


1.   Kenal pasti  persekitaran semasa.
Persekitaran semasa atau  lebih dikenali sebagai ‘environment’ adalah suasana persekitaran semasa di mana perniagaan anda beroperasi.  'Environment' atau persekitaran semasa ini  dibahagi  kepada dua kategori utama iaitu  persekitaran yang stabil atau makmur dan satu lagi ialah keadaan resessi atau merudum. 

Ketika persekitaran semasa adalah stabil, perniagaan anda tidak mempunyai banyak masalah. Pelanggan juga ramai  ke kedai anda dan jualan juga meningkat setiap hari. Namun, sekiranya persekitaran bertukar menjadi 'dinamik' atau berubah kepada resessi, anda perlu segera bertindak supaya perniagaan anda tidak menghadapi masalah.Oleh itu anda perlu tahu bagaimana untuk membuat analisis persekitaran semasa ini.

Gunakan tools yang telah dipelajari dalam entri-entri saya yang terdahulu  bagaimana  membuat analisis persekitaran semasa untuk membantu anda membuat penilaian ke atas persekitaran semasa. 

2.    Set prioriti dan objektif
Apabila anda selesai mengenal pasti situasi atau persekitaran semasa,  langkah kedua ialah anda perlu bertanya pada diri sendiri apakah prioriti atau objektif yang ingin dicapai atau apakah yang ingin anda perbaiki

Secara amnya dalam keadaan kegawatan ekonomi atau resessi, terdapat dua prioriti atau objektif yang menjadi keutamaan bagi setiap peniaga iaitu,  mengekalkan pelanggan yang sedia ada dan yang keduanya meluaskan penguasaan pasaran. 

Namun begitu ada ketikanya juga anda mungkin mempunyai prioriti lain yang ingin dicapai berbanding dua prioriti yang disebutkan tadi. Oleh itu, senaraikan prioriti-prioriti tersebut mengikut keutamaan dan tentukan apa yang ingin anda capai dahulu. 
3.    Mengkaji semula (reevaluate)  keberkesanan strategi yang sedang anda praktiskan sekarang.
Setelah menetapkan apa prioriti dan objektif yang ingin dicapai, langkah seterusnya ialah   menilai dan mengkaji semula strategi yang sedang dipraktiskan  sekarang ini sama ada strategi yang anda sedang praktiskan ini mampu atau tidak untuk membuatkan perniagaan anda terus bertahan.
Dalam proses membuat 'reevaluation' ke atas strategi ini, apa yang perlu dilakukan ialah dengan menyemak prestasi perniagaan anda pada setiap minggu untuk melihat sama ada terdapat peningkatan  atau  penurunan dalam jualan atau keuntungan. Jika masih terdapat peningkatan jualan, bermakna strategi yang anda praktiskan itu masih releven dan tak perlu ditukar. Tetapi jika anda dapati berlakunya kemerosotan dalam jualan atau keuntungan, ia menunjukkan strategi tersebut sudah tidak berguna lagi dan anda perlu segera menukarnya.

4.  Membuat rancangan perbelanjaan 
     Melalui aktiviti  (reevaluation) dengan cara menyemak akaun pendapatan syarikat tadi, katakan anda dapati prestasi perniagaan semakin membimbangkan dan anda membuat keputusan untuk membuat pertukaran strategi. 

     Langkah seterusnya yang perlu diambil ialah  membuat rancangan perbelanjaan atau lebih mesra dipanggil dengan istilah 'membuat bajet.' Dengan penyediaan bajet ini, anda akan dapat mengira berapa peruntukan kewangan  yang anda perlukan untuk proses pertukaran strategi ini. Tanpa bajet yang cukup, strategi dan taktik baru yang anda ingini itu tidak akan berjaya. 

Terdapat beberapa pilihan strategi yang mungkin boleh anda fikirkan sewaktu menghadapi situasi kemelesetan ekonomi atau resessi seperti sekarang ini seperti strategi cantasan, innovasi,  pembezaan, hubungan pelanggan dan strategi pengembangan.  Pilihlah strategi yang disebutkan itu mengikut kesesuaian dan bajet anda.

5.   Melaksanakan pertukaran strategi dengan menggerakkan sumber yang ada.
Setelah mendapat jumlah bajet yang cukup, langkah terakhir yang anda perlu  lakukan ialah membuat pertukaran strategi yang diingini.
Gunakan segala sumber yang anda ada untuk melancarkan taktik baru seberapa segera yang mungkin agar perniagaan anda dapat kembali bersaing.

Sekian untuk kali ini.

Thursday, 13 April 2017

4 faktor kegagalan dalam bisnes




Setiap hari pasti kita akan temui  atau terbaca di dada akhbar berite mengenai perniagaan yang terpaksa ditutup. Keadaan ini semakin bertambah sewaktu kegawatan ekonomi yang melanda negara seperti sekarang ini. 


Mengikut kajian didapati 87% perniagaan yang baru dibuka oleh peniaga kecil hanya mampu bertahan sekitar 3 atau 4 bulan selepas ia mula beroperasi. Manakala 10% lagi   mampu bertahan  untuk tempoh 5 hingga 6 bulan dan hanya 3% sahaja perniagaan baru yang dibuka itu mampu bertahan untuk setahun akan datang  (Harper,2003 dan Magick,2000).


Dari dapatan tersebut, boleh kita rumuskan bahawa: Dari 10 orang usahawan yang  membuka perniagaan, hanya seorang saja  yang mampu bertahan dalam perniagaan yang diusahakan itu sehingga ke tahun berikutnya. Sembilan orang usahawan lagi akan menemui kegagalan selepas tiga bulan mereka memulakan bisnes. 

Pasti anda juga pernah mengalami kegagalan perniagaan satu waktu dahulu.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada perkara ini.  Antaranya ialah disebabkan oleh faktor luaran seperti faktor ekonomi semasa dan ketegangan sosio-politik sesebuah negara. Manakala faktor dalaman pula adalah disebabkan oleh faktor yang disenaraikan di bawah:


1.       Tidak membuat perancangan

Shane (2010) menegaskan bahawa ramai peniaga yang mengalami  kegagalan  dalam perniagaan adalah kerana tidak  membuat perancangan sebelum mereka terjun atau terlibat dalam dunia perniagaan. 

Walaupun ramai di kalangan bakal usahawan ini sedar bahawa  membuat perancangan adalah penting, namun ramai yang tidak mempraktiskannya. Mereka lebih suka bertindak mengikut intusi atau kata hati sendiri. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan dalam ilmu pengetahuan atau kerana mereka takut peluang yang tiba-tiba muncul itu diambil oleh individu lai. Oleh itu mereka terus bertindak tanpa membuat perkiraan sebaiknya.

Di samping itu ada yang  bertindak dan membuat keputusan perniagaan hanya berpandukan maklumat dan nasihat yang diperolehi dari rakan, mentor ataupun  individu sekeliling berbanding  mereka keluar dan meninjau sendiri situasi semasa.

Mereka bertindak sedemikian kerana tidak mempunyai pengalaman dan ilmu perniagaan. Oleh itu mereka lebih mempercayai cakap kawan atau mentor berbanding kebolehan sendiri. Akhirnya, keputusan yang dibuat itu tidak tepat dan menyebabkan mereka mengalami kerugian atau kegagaan dalam perniagaan.


2.  Mudah terpengaruh dengan trend perniagaan semasa .

Majoriti  dari kalangan  usahawan, terutamanya peniaga bumiputera suka meniru dan tidak kreatif berbanding peniaga bukan bumiptera.Peniaga bumiputera lebih gemar untuk  mengambil jalan pintas sewaktu membuat tindakan, terutamanya memilih jenis perniagaan yang akan mereka usahakan. Ini menyebabkan mereka mudah terperangkap atau tersilap langkah dengan menceburkan diri ke dalam perniagaan yang bermusim, mengikut trend ataupun  perniagaan yang sudah tepu. 

Contohnya, beberapa tahun lalu  ada trend meniaga pisang goreng cheese sehingga menjadi tajuk popular di dalam surat khabar. Apabila bakal usahawan itu  membaca surat khabar dan artikel yang ditulis  pula melaporkan bahawa  peniaga yang menjual goreng pisang chese memperolehi pendapatan lumayan berbanding menjual goreng pisangg biasa, maka ramai di kalangan usahawan baru mula berlumba-lumba untuk membuka perniagaan menjual pisang goreng  cheese.  Sehinggakan ada terjadi di mana di sepanjang satu  jalan  atau satu persimpangan taman perumahan terdapat tiga hingga lima gerai yang menjual pisang goreng  chese.

Begitu juga apabila trend meminum  kopi berperisa latte, espresso dan moca sedang rancak pada tahun lepas. Ramai usahawan berebut untuk membuka perniagaan menjual minuman tersebut tanpa membuat kajian terlebih dahulu, terutamanya kajian  kepadatan pasaran. 

Hasilnya, tidak  sampai 3 bulan  perniagaan mereka beroperasi, kesemua gerai yang menjual kopi latte di kawasan itu terpaksa ditutup kerana bilangan peniaga yang menjual  kopi lebih ramai berbanding pelanggan  yang datang membeli kopi.



3.       Kekurangan modal pusingan/ modal kerja

Masalah ini merupakan masalah yang paling serius dan sering dialami oleh ramai usahawan. Mengikut kajian, untuk membuka sebuah perniagaan , seseorang usahawan itu perlu menyediakan  sekurang-kurangnya  modal pusingan yang boleh menampung perniagaan itu  untuk tempoh enam bulan. 

Ini adalah kerana sepanjang tempoh tersebut, perniagaan anda belum lagi dikenali oleh penduduk setempat. Oleh itu anda perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% daripada modal kerja setiap bulan untuk aktiviti promosi dan pengiklanan. Di samping itu  anda juga perlu membayar sewa, utiliti, gaji pekerja dan membeli stok sebelum perniagaan anda mencapai titik pulang modal (breakeven) dan  seterusnya menjana keuntungan.

Sekiranya modal pernigaan anda adalah kecil dan tidak mencukupi, anda terpaksa berjimat. Ada sesetengah peniaga yang memotong bajet untuk membuat promosi kerana terpaksa digunakan bagi membayar bil utiliti dan gaji pekerja. Kesannya, perniagaan beliau tidak mendapat promosi yang sewajarnya dan pelanggan tidak menyedari akan kewujudan perniagaan tersebut. Lama kelamaan, perniagaan itu terpaksa ditutup kerana usahawan itu telah kehabisan modal pusingan.



4.       Tidak tahu untuk mempraktiskan strategi dan pemasaran

Kebanyakan peniaga atau usahawan baru mempunyai banyak idea untuk diterjemahkan dalam bentuk produk atau perkhidmatan. Produk yang mereka hasilkan juga adakalanya unik dan menepati citarasa pengguna. Jika ia betul-betul diviralkan, produk tersebut boleh meletup di pasaran.

Namun, disebabkan usahawan tersebut tidak mahir tentang strategi peniagaan dan pemasaran, produk atau perkhidmatan tersebut gagal dijual kepada pengguna. Fenomenna ini berlaku kerana  kebanyakan peniaga kecil atau usahawan baru ini  tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan strategi dan aktiviti pemasaran. Di samping itu, walaupun mereka mendapatkan nasihat atau panduan daripada rakan atau kenalan, mereka tetap tidak boleh bertindak  disebabkan ketiadaan ilmu atau asas strategi dan pemasaran. Kesannya, preniagaan mereka gagal di tengah jalan.

Ada juga sebilangan kecil dari usahawan baru ini yang suka mengamalkan 'taktik semasa' yang dipelajari daripada rakan atau pun melalui pembacaan dari majalah atau media sosial  berbanding merangka sendiri strategi yang sesuai dengan perniagaan mereka. Sebenarnya, setiap perniagaan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tidak semestinya strategi yang berkesan dilaksanakan oleh  rakan anda itu akan memberi impak yang sama bila dipraktiskan di dalam perniagaan anda. 

Namun, disebabkan ketiadaan ilmu pemasaran dan startegi ini  ramai  usahawan baru ini  tetap mempraktiskan strategi atau taktik yang diperolehi itu tanpa mengkaji kesesuaiannya untuk dipraktiskan di dalam perniagaan mereka. Hasilnya, ramai yang menepuk dahi apabila 'taktik semasa' yang mereka pelajari itu tidak berkesan sebagaimana yang diharapkan.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di masa akan datang.
      
  

Wednesday, 5 April 2017

Bursa Malaysia kembali meriah tapi selamatkah untuk anda memasukinya sekarang?



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini kita keluar sedikit dari tajuk yang biasa kita bincang. Kali ini saya terpanggil untuk mengupas berkenaan Prestasi Bursa Malaysia untuk memeberi sedikit gambaran dan panduan kepada pelabor atau mereka yang baru saja berjinak dalam dunia pelaburan saham.

"Akhirnya pelabur asing kembali semula melabur di Malaysia!", begitulah lebih kurang tajuk yang saya baca dalam satu artikel yang ditulis dalam akhbar The Star  yang dibaca semalam

Menurut pengarang yang menulis artikel tersebut , pelabur asing dilaporkan kembali aktif semula membeli saham-saham yang 'terlebih jual'  di Bursa Malaysia  sejak kebelakangan ini. Menurut pengarang artikel itu lagi pada 3 April 2017 yang lalu, sebanyak  RM180 juta  saham telah dibeli oleh dana asing. Satu angka yang boleh dikatakan besar untuk menyokong pendapat beliau.


Di samping itu, Indeks Bursa Malaysia juga  menunjukkan peningkatannya pada setiap minggu. Dalam tempoh tiga ini bulan saja ( Januari sehingga Mac 2017), indeks Bursa Malaysia telah meningkat sebanyak 6% berbanding pada penghujung Desember 2016 yang lalu. Pada  ia cuma mampu berada di paras 1,650 mata tetapi kini ia  sudah mencecah paras paras 1,745 mata. Paras trertinggi yang mampu dicapai dalam tempoh 18 bulan.


Prestasi yang ditunjukkan oleh Bursa Malaysia ini seakan memberi satu  peluang yang mengujakan dan mungkin tidak mampu untuk dilepaskan begitu saja oleh pelabur-pelabur ‘otai’ yang  telah sekian  lama tidak aktif  dan hanya menjadi pemerhati  sahaja sepanjang tempoh dua tahun yang lalu. 

Begitu juga kepada  mereka yang baru ingin belajar dalam dunia pelaburan  saham. Mungkin sudah tiba masanya untuk mereka mempraktiskan ilmu ‘membuat duit’ yang dipelajari dari kelas pelaburan yang mereka sertai  beberapa bulan lalu.

Tapi nanti dulu!

Sebelum anda membuat keputusan untuk memasuki pasaran saham, mungkin beberapa faktor yang bakal disentuh nanti dapat memberi anda sedikit petunjuk  sama ada anda sudah boleh memasuki pasaran atau pun tidak. Faktor-faktor yang perlu diberi perhatian ialah;


1.       Penyertaan pelabur
Jumlah penyertaan pelabur yang memasuki pasaran adalah penting sama ada pasaran itu adalah saham ataupun pasaran matawang. Apabila penyertaan pelabur bertambah, ia akan menyebabkan pasaran  menjadi rancak dengan aktiviti jual beli dan seterusnya menggerakkan harga saham atau matawang, sama ada turun ataupun naik.
 
Dari sorotan kajian dan maklumat yang diperolehi dari syarikat Etica Insuran dan Takaful Bhd, prestasi pasaran tempatan sememangnya ada menunjukkan aliran yang positif semenjak bulan Februari yang lalu dan sekiranya  prestasi ini berterusan, mereka menjangkakan  indeks Bursa Malaysia boleh mencecah sehingga 1,800 mata.  
Namun terdapat satu faktor yang membuat mereka sedikit ‘spetical’ untuk menentukan sama ada prestasi ini berkekalan atau sebaliknya, iaitu apabila melihat dari jumlah penyertaan pelabur dalam pasaran. Menurut mereka, memang adanya berlaku kenaikan dalam indeks pasaran sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan akhbar dan televisyen dan jika diperhatikan,  kaunter yang diniagakan juga ada menunjukkan peningkatan harga, di mana dari 925 kaunter yang tersenarai di Bursa malaysia, lebih 78% kaunter telah mencatat kenaikan hampir dua kali ganda.  

Cuma yang menjadi persoalan setakat ini ialah adakah benar pelabur asing ini sudah memasuki pasaran sebagaimana yang dilaporkan itu atau peningkatan indeks Bursa Malaysia ini hanya disebabkan oleh penyertaan dan sokongan dari dana tempatan sahaja? Sekiranya pasaran hanya dimonopoli oleh dana tempatan sahaja, aliran positif ini tidak mungkin mampu untuk bertahan lama dan ia juga boleh juga dianggap sebagai satu perangkap untuk untuk memancing  pelabur runcit yang  berada di luar pasaran supaya kembali memasuki pasaran. 
Begitu juga maklumat yang diperolehi dari kajian yang dilakukan  oleh pihak MIDF research. Menurut penganalisis ini,  volume urusniaga harian di Bursa Malaysia masih lagi rendah dan ianya tidak sepadan dengan nilai kenaikan indeks yang dialami oleh pasaran

Jumlah urusniaga atau 'volume' harian hanya sekitar 2 billion saham sahaja  setiap hari dan nilai ini boleh dikatakan rendah jika dibandingkan dengan nilai kenaikan indeks yang dialami oleh Bursa Malaysia. Di samping itu terdapat juga terdapat juga kaunter  yang langsung tidak diniagakan untuk sepanjang hari. 

Ini menunjukkan bahawa hanya saham-saham terpilih sahaja yang diniagakan atau berlaku urusan jual beli. Dari pemerhatian ini boleh dikatakan bahawa kenaikan harga untuk kaunter- kaunter saham berlaku secara tidak menyeluruh sbagaimana yag sepatutnya berlaku ketika market sedang rancak atau 'bull market'. 

Jadi, berdasarkan kepada indikator  ini, ramai penganalisis yang masih menaruh perasaan curiga terhadap kecairan pasaran saham tempatan walaupun  pergerakan pasaran kelihatan amat menggalakkan.


2.       Kedudukan nilai Ringgit yang masih lemah
Faktor seterusnya yang perlu diberi perhatiansebelum anda membuat keputusan sama ada ingin memasuki pasaran atau pun tidak  ialah berkenaan kadar pertukaran Ringgit Malaysia berbanding US Dollar. 

Buat masa ini, nilai ringgit kita masih lagi  berada di paras yang terendah jika dibandingkan dengan prestasi Ringgit tahun 2016 yang lalu.  Jika pada tahun 2016, nilai Ringgit berada pada paras RM4.00 atau RM4.20 untuk USD1, namun setakat 4 April 2017, nilai Ringgit ini hanya mampu bergerak di antara RM4.26- RM4.28  untuk USD1. 
Oleh itu, jika dilihat pada keseimbangan kadar tukaran matawang ini, kita boleh andaikan bahawa dana asing 'mungkin' tidak memasuki pasaran dan bersalahan dengan apa yang dilaporkan. Ini adaah  kerana sekiranya pelabur asing mula memasuki pasaran malaysia, mereka pastinya akan menukarkan wang mereka terlebih dahulu ke dalam Ringgit Malaysia sebelum melabur di pasaran saham tempatan. Dengan ini ia seterusnya akan  menyebabkan nilai ringgit meningkat disebabkan permintaan Ringgit meningkat. Namun iapa yang dialami sekarang ini tidak berlaku. Nila ringgit tidak meningkat sebagaimana yang sepatutnya berlaku jika pelabor asing memasuki pasaran secara beramai-ramai. Apa yang diperhatikan sekarang ialah, indeks pasaran saham  temapatan saja yang menunjukkan aliran  positif atau berlakunya peningkatan sedangkan  nilai ringgit masih lagi mengalami penurunan secara berterusan.


3.       ‘Buy on January and sell in May’
Satu lagi indikator yang mungkin perlu diberi perhatian kepada anda yang bercadang untuk memasuki pasaran pada ketika ini ialah satu perumpamaan yang berbunyi, “Sell on May and go away’’ ataupun satu lagi istilah, ‘buy on January and sell on May’.

Kepada mereka yang sudah lama aktif dalam dunia pelaburan saham, pasti merela sudah biasa dengan perumpamaan atau konsep ini.  Keadaan biasa berlaku setiap tahun di semua pasaran saham dunia termasuk pasaran saham Malaysia. Kebiasaannya, pada Bulan Januari  pasaran saham akan naik sehingga penghujung Mac atau April. Apabila tiba bulan May, pasaran akan merudum kembali sehinggalah bulan September dan pertengahan Oktober.

Fenomenna ini terjadi disebabkan oleh aktiviti jualan secara besar-besaran yang dilakukan oleh pengurus dana semasa tempoh pengeluaran pernyata kewangan akhir tahun yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang tersenarai daam Bursa Malaysia yang biasanya berlaku pada setiap hujung bulan Disember. 

Selepas berlakunya jualan secara besar-besaran pada setiap akhir bulan Desember, kebanyakan pengurus dana  kemudiannya akan membeli semula saham-saham yang murah atauyang terlebih jual pada awal tahun baru atau pada bulan Januari tahun berikutnya.   

Aktiviti membeli saham murah dan yang terlebih jual ini biasanya akan berterusan sehingga tibanya tarikh untuk pihak syarikat mengeluarkan laporan kewangan bagi  suku pertama yang biasanya akan berlaku pada penghujung bulan Mac atau  April. Apabila pemegang dana ini mendapati ilai keuntungan saham sudah mencapai tahap tertentu, mereka kemudiannya akan  menjual semula saham-saham yang dibeli sepanjang bulan Januari lalu  untuk  mendapatkan tunai. Kebiasaannya aktiviti jualan secara besar-besaran  ini  dilakukan pada bulan Mei.
Walaupun kadang-kadang fenomenna ini tidak berlaku, tetapi kemungkinan besar untuk fenomenna ini berlaku adalah tinggi pada setiap tahun. Oleh itu anda perlu juga memberi perhatian akan fenomenna ini semasa anda membuat keputusan sama ada ingin.

Sebagai penutup, pasaran saham negara kita dikatakan sudah menunjukkan perkembangan positif setelah dua tahun ia mencatatkan prestasi muram sehingga pernah dilabel sebagai pasaran saham terburuk prestasinya di Asia pada tahun 2016. 

Namun keadaan nampaknya sedikit berubah pada tahun 2017 ini. Walaupun begitu, masih ramai pelabur yang masih tertanya-tanya adakah prestasi Bursa Malaysia benar-benar sudah pulih dan selamat untuk dimasuki  atau ianya hanya sebagai satu perangkap untuk menarik mereka kembali semula melabur.  Dengan mengkaji tiga faktor yang dibincangkan tadi, ia akan dapat memberi anda sedikit idea untuk membuat keputusan dengan lebih tepat sama ada ianya selamat atau tidak untuk anda memasuki pasaran. 

Sekian untuk kali ini.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...