Sunday, 26 August 2018

Kitaran ekonomi bahagian 2



Dalam entri sebelum ini kita telah mengetahui bahawa kitaran ekonomi mempunyai lima fasa iaitu fasa pemulihan perlahan, fasa lonjakan awal, fasa lonjakan lambat (tepu), dan seterusnya fasa penurunan perlahan dan berakhir dengan kemelesetan.  Kali ini kita huraikan setiap fasa tersebut supaya anda faham dan tahu di tahap mana keadaan ekonomi kita sekarang berada.

1) Pemulihan permulaan.

Fasa pemulihan permulaan ini berlaku apabila ekonomi  mula menunjukkan  tanda-tanda berlakunya pemulihan. Fasa ini berlaku  secara perlahan-lahan selepas  ekonomi  mengalami  kemelesetan. 

Pada peringkat ini biasanya kerajaan akan melakukan pelbagai aktiviti ransangan supaya pemulihan ekonomi dapat dirasai oleh semua penduduk.  Misalnya dengan menurunkan kadar faedah pinjaman, menambahkan subsidi dan meghapuskan beberapa jenis cukai yang agak menekan kehidupan rakyat. Semua ini dilakukan supaya rakyat mempunyai lebihan wang bagi tujuan perbelanjaan.

Misalnya, apabila kadar faedah pinjaman bank diturunkan, ia akan memberi lebihan wang kepada mereka yang mempunyai pinjaman dengan bank-bank perdagangan.  Jika seblum ini si 'A' terpaksa membayar RM700 sebulan untuk pinjaman rumahnya dengan pihak bank, apabila kadar faedah ini diturunkan, mungkin si 'A' tadi hanya perlu membayar sebanyak RM680 saja sebulan. Jadi beliau mempunyai lebihan RM20 pada setiap bulan hasil dari pengurangan faedah pinjaman ini. 

Di samping itu,  kos untuk menjalankan perniagaan juga akan menjadi lebih rendah apabila kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman ini kerana para peniaga yang mempunyai pinjaman dengan bank perdagangan tidak lagi rasa terbeban setiap kali mereka membuat pembayaran balik. 

Selain dari menurunkan kadar faedah pinjaman, kerajaan juga akan cuba meningkatkan perbelanjaan dalam pelaburan bagi merancakkan lagi  pembangunan dan penglibatan sektor swasta dalam memacu ekonomi.  Apabila berlakunya pertambahan dalam aktiviti pelaburan dan perbelanjaan kerajaan dan pihak swasta, peluang pekerjaan akan mula bertambah dan ia sedikit sebanyak akan mengurangkan kadar pengagguran.

Walau bagaimanapun, pada fasa ini, keyakinan pengguna masih lagi  berada di tahap yang rendah kerana kuasa beli mereka  masih lagi terjejas kesan dari kemelesetan ekonomi sebelum ini. Peluang untuk anda membuka perniagaan sendiri masih lagi terhad. Tetapi anda sudah boleh mengenal pasti apa bidang perniagaan yang bakal anda buka nanti. Sambil-sambil itu, bolehlah anda menambahkan lagi ilmu perniagaan sebagai persediaan apabila keadaan semakin menunjukkan pemulihan.

2) Lonjakan awal.

Fasa ini merupakan fasa yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap usahawan. Dalam fasa ini, keadaan ekonomi sudah dikira sebagai sihat dan kesan pertumbuhannya mula dirasai oleh setiap individu di dalam negara tersebut. Pada tahap ini, keadaan inflasi juga mula menurun secara perlahan-lahan manakala pertumbuhan ekonomi meningkat  dengan kadar yang sekata tetapi dalam graf yang semakin menaik.

Keadaan  ini pernah kita nikmati  sepanjang  tahun 1993 sehingga 1995, tahun 2003 hingga 2005, dan pada tempoh  2010 sehingga 2012 yang lalu. Pada ketika  itu, aktiviti pengambilan pekerja oleh syarikat-syarikat swasta dan kerajaan bertambah setiap tahun kerana adanya permintaan yang tinggi  dari sektor pengguna. 

Sektor pengguna mula merasa nikmat ekonomi sebenar pada fasa lonjakan awal ini, di mana kuasa beli mereka semakin meningkat dan  ini menyebabkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan semakin bertambah.  Lantaran itu, ia memerlukan kepada pertambahan tenaga buruh yang ramai. Pada fasa ini banyak perniagaan baru mula dibuka oleh usahawan dan biasanya perniagaan mereka akan berkembang dengan pesat. Apa saja jenis perniagaan yang diceburi pasti akan mendapat pulangan yang setimpal. Kemakmuran ekonomi dinikmati sama rata dan sama rasa oleh pihak pengguna dan peniaga. Kerajaan juga mendapat hasil cukai yang banyak untuk tujuan perbelanjaan pembangunan dan pemberian subsidi kepada rakyat.

3) Lonjakan lambat.

Setelah  ekonomi melonjak secara sihat dan pesat, kini ia mula menghampiri kemuncak dan mula bergerak secara perlahan. Namun begitu pada ketika ini keadaan ekonomi  masih lagi berkembang cuma perkembangannya mula perlahan. 

Pada masa ini kadar inflasi juga mula menunjukkan tanda-tanda yang ia akan meningkat kerana tahap pengeluaran sudah mencapai tahap guna tenaga penuh atau tepu. Kadar upah pula menjadi semakin tinggi kerana tidak ada lagi pengambilan pekerja dilakukan oleh pihak syarikat swasta mahupun kerajaan kerana pendapatan mereka mula merosot. Tetapi dalam masa yang sama permintaan barangan atau perkhidmatan dari pihak pengguna masih lagi meningkat. ketidak seimbangan di antara permintaan dan pengeluaran ini menyebabkan harga barangan atau perkhidmatan mula meningkat secara tidak terkawal. Ini menyumbang kepada penigkatan dalam indeks inflasi. 

Untuk menghadapi kesan kenaikan inflasi ini, bank pusat atau di Malaysia lebih dikenali sebagai Bank Negara mula mejalankan dasar kewangan iaitu dengan menaikkan kadar faedah. Apabila kadar faedah dinaikkan, ia akan dapat mengurangkan permintaan dari pihak pengguna. Misalnya, jika sebelum ini kadar faedah pinjaman kereta ialah sebanyak 3% setahun. Mungkin ramai pengguna yang mampu untuk membeli kereta baru, tapi apabila kerajaan menaikkan kadar faedah kepada 4% atau 5% setahun, ia akan menyebabkan individu mula berfikir dua kali untuk membeli kereta baru. Begitu juga dengan pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, atau pun pinjaman peribadi dan perniagaan.

4) Pertumbuhan Perlahan.

pertumbuhan ekonomi semakin perlahan berbanding sebelum ini  kesan dari  kenaikan kadar faedah dikenakan oleh pihak Bank negara dan bank perdagangan kepada pengguna dan peniaga. Pada fasa ini keyakinan para peniaga  juga mula goyah, dan kebanyakan syarikat atau kilang-kilang  mula mengurangkan aktiviti pengeluaran.
Tindakan mereka ini sekali gus memberi kesan tidak langsung  ke atas kadar pengangguran di mana kadar pengagguran mula meningkat. Aktiviti pemberhentian pekerja juga sudah pun bermula di beberapa syarikat atau kilang tetapi dengan kadar yang perlahan. Orang ramai juga mula bimbang dengan kenaikan kos sara hidup dan mula berjimat dalam perbelanjaan seharian. Di samping itu juga kuasa beli pengguna mula menurun  kerana sudah ada yang kehilangan pekerjaan.

5) Kemelesetan.
Setelah melalui fasa pertumbuhan  yang  perlahan, akhirnya  ekonomi mula menurun sedikit demi sedikit  dan akhirnya memasuki  fasa  kemelesetan.
Pada ketika  ini, selalunya terdapat kemerosotan inventori yang besar dan penurunan dalam pelaburan oleh pihak swasta. Pihak pengilang atau pengeluar barangan juga mula mengurangkan aktiviti pengeluaran mereka disebabkan berlakunya kemerosotan dalam permintaan.

Pengangguran juga semakin meningkat dan dengan kadar yang cepat berbanding fasa sebelum ini akibat penutupan atau aktiviti pengeluaran sudah berkurangan. Perbelanjaan pengguna untuk barang-barang mewah juga semakin  merosot. Malah mereka juga membeli barangan keperluan harian dalam kuantiti yang sedikit  kerana harga barangan biasanya akan naik sekali atau dua kali ganda dari harga asal disebabkan oleh tekanan inflasi.

Dalam fasa kemelesetan ini,  sistem kewangan mula menghadapi masalah  hutang lapuk yang semakin bertimbun. Lantaran itu  memaksa  bank-bank perdagangan ini lebih  berhati-hati sewaktu memberi pinjaman. Tindakan bank-bank perdagangan ini semakin menyukarkan golongan usahawan untuk mendapatkan pinjaman kewangan bagi membuka perniagaan baru atau mengembangkan perniagaan yang sedia ada. kesannya, semakin banyak perniagaan yang tidak berdaya saing atau perniagaan yang menghadapi masalah modal pusingan terpaksa ditutup. Sekali lagi ia menyumbang kepada pengangguran.

Berdasarkan perbincangan tadi, agak-agak anda la, fasa mana ekonomi negara kita sekarang ini? 

No comments:

Deepavali 2024

Setiap tahun mesti datang beraya rumah Aci ni sebab dulu Aci ni berjiran dengan mak mertua saya masa mereka sama-sama tinggal du kuarters JK...