Sunday, 14 February 2021

Kesan akibat kekurangan Vitamin D

 


Vitamin D tidak kurang pentingnya kepada tubuh kita. Seperti juga vitamin lain, vitamin D   juga ada mempengaruhi beberapa sistem badan kita (Reichrath , Lehmann, Carlberg, Varani & Zouboulis, 2007). Oleh itu kekurangannya akan memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan. 

Seperti yang sedia maklum, tubuh kita akan memenghasilkan vitamin D ini sewaktu kulit kita terkena atau terdedah kepada sinaran matahari. Terutamanya ketika awal pagi di antara pukul 8 sehingga 11 pagi. Namun begitu, walaupun Vitamin D ini boleh dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh, masih terdapat banyak kes individu yang mengalami masalah kekurangan vitamin D ini (anda boleh baca di sini:  https://usryabdullah.blogspot.com/2019/11/vitamin-d-dan-kesihatan-anda.html ). 

Mengikut Sahota (2014), dianggarkan kira-kira 1 bilion orang di seluruh dunia mempunyai masalah kekurangan  vitamin D di dalam darah mereka. Di sini disenaraikan 4 simptom utama yang biasa dialami sekiranya anda mempunyai masalah kekurangan vitamin D.


1.      1. Keletihan dan Penat

Kekurangan Vitamin D  akan mengganggu kualiti hidup kita kerana ia boleh membuatkan kita terasa lemah dan cepat penat. Ini seterusnya akan menyebabkan kita menjadi tidak produktif.

Terdapat beberapa kes di mana seseorang individu itu kerap mengadu letih dan sering sakit kepala.  Apabila dilakukan pemeriksaan fizikal dan ujian makmal, didapati tahap vitamin D dalam darahnya  adalah rendah. Di samping memberi rawatan, doktor juga telah menyarankan supaya pesakit itu mengambil suplemen vitamin D. Beberapa  minggu kemudian gejala keletihan yangg dialaminya mula berkurangan. 

 

2. Sakit Tulang 

Vitamin D juga berfungsi menjaga kesihatan tulang kita dimana Vitamin D ini membantu meningkatkan penyerapan kalsium di dalam badan. Sekiranya anda ada mengalami simptom sakit tulang dan sakit punggung, ini berkemungkinan juga anda ada mengalami masalah kekurangan vitamin D.

Beberapa kajian telah dilakukan oleh penyelidik dan mereka mendapati ada hubungan positif di antara kekurangan vitamin D dengan pesakit yang mengalami masalah sakit belakang. Dari kajian ke atas 9,000 orang wanita yang telah berusia dan mengalami  masalah kekurangan vitamin D ini. Penyelidik mendapati kebanyakan dari mereka mengadu  masalah sakit belakang. Apabila diberi rawatan dan suplemen Vitamin D,  masalah sakit belakang yang dialami oleh mereka mula berkurangan. Kajian ini menunjukkan vitamin D amat penting untuk kesihatan tulang.

 

3.      3. Kemurungan

Walaupun kemurungan juga boleh disebabkan oleh banyak faktor seperti faktor psikologi namun dalam keadaan tertentu kemurungan juga boleh berlaku sekiranya seseorang itu mengalami masalah kekurangan vitamin D.

Dalam kajian yang dilakukan oleh  Okereke dan Ankura Singh pada tahun 2016,  mereka  telah mengaitkan bahawa faktor kekurangan vitamin D mempunyai hubungan positif dengan taap kemurungan. 

Dari pemerhatian yang telah dilakukan, kedua-dua pengkaji ini telah mendapati adanya hubungan postif di antara kekurangan vitamin D dengan tahap kemurungan seseorang. Mereka membuat kesimpulan bahawa masalah kemurungan kerap berlaku di kalangan pesakit yang rendah kandungan vitamin D di dalam darahnya.

Beberapa kajian terawal juga mendapati pemberian supplemen vitamin D kepada pesakit yang mengalami masalah kemurangan dapat  membantu mereka pulih dengan lebih cepat berbanding pesakit yang tidak diberi suplemen vitamin D.

 

4.      4. Penyembuhan Luka Yang Terjejas

Penyembuhan luka yang lambat terutamanya selepas menjalani pembedahan atau akibat dari kecederaan juga ada kaitan dengan masalah kekurangan vitamin D. 

Ini dibuktikan oleh kajian yang dijalankan oleh   Ding , Kwan ,  Ma , Iwashina ,  Wang, Shankowsky ,dan  Tredget (2016). Mereka mendapati vitamin D membantu meningkatkan pengeluaran sebatian yang membantu proses pembentukan kulit baru. Oleh itu pihak doktor menasihatkan pesakit supaya mengambil vitamin D setiap hari untuk mempercepatkan proses penyembuhan lukanya.

Manakala kajian yang dilakukan oleh  Bashutski, Eber, Kinney, Benavides, Maitra, Braun, Giannobile,dan McCauley (2011) pula mendapati pesakit yang menjalani pembedahan pergigian akan terganggu proses penyembuhannya sekiranya pesakit itu ada mengalami masalah kekurangan vitamin D. 

Kesimpulannya, kekurangan vitamin D merupakan masalah  yang biasa dialami oleh kebanyakan orang namun ramai di kalangan kita tidak menyedarinya. Ini  kerana simptomnya  tidak jelas dan spesifik. 

Untuk mengelakkan dari mengalami masalah kekurangan vitamin D ini, cara yang paling mudah ialah dengan meningkatkan pendedahan diri kita kepada cahaya matahari. Anda juga digalakkan supaya mengambil makanan yang mengandungi  vitamin D dalam menu harian anda seperti ikan berlemak atau produk tenusu.  Akhir sekali, pengambilan suplemen vitamin D pada setiap hari juga dapat membantu anda memastikan kandungan vitamin D sentiasa mencukupi. 




Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...