Sunday, 22 April 2018

Persekitaran Ekonomi



Bertemu kembali kita dalam perbincangan berkenaan persekitaran dan perniagaan. 
Tulisan ini adalah sambungan kepada entri 'Persekitaran Peniagaan' yang ditulis sebelum ini. 

Sebagaimana yang kita sedia maklum, dalam persekitaran perniagaan terdapat dua kategori iaitu persekitaran umum dan persekitaran khusus.

Persekitaran umum  ini terdapat lima komponen utama yang akan memberi kesan kepada perniagaan anda iaitu keadaan ekonomi semasa, kestabilan politik, perundangan, perkembangan teknologi dan yang akhir sekali sosio budaya. 

Manakala persekitaran khusus pula adalah segala hal yang bersangkutan dengan elemen-elemen seperti  pengguna, pesaing, pembekal, peraturan industri dan golongan berkepentingan yang terdapat dalam sesebuah industri yang anda ceburi. 

Apabila kita membincangkan tentang persekitaran ekonomi, kita tidak boleh lari dari membincangkan tentang lima faktor yang berkaitan dengannya iaitu  modal, buruh, paras harga, dasar kerajaan dan pelanggan.

Modal merupakan faktor penting yang diperlukan oleh setiap peniaga. Tanpa modal yang cukup sesebuah perniagaan itu tidak dapat dibuka dan jika ia berjaya dibuka sekalipun, ia tidak mampu untuk berkembang jauh.

Modal diperlukan  untuk membeli bahan mentah, membeli peralatan dan mesin, membeli kelengakapan pejabat, membiayai aktiviti pengiklanan dan membayar gaji pekerja sekiranya anda mempunyai pekerja.

Manakala buruh atau tenaga kerja pula merupakan satu lagi input atau keperluan kepada peniaga sama ada anda adalah seorang peniaga kecil atau pun menjalankan perniagaan besar.  Malah jika anda seorang usahawan tunggal dan menjalankan perniagaan secara sendirian sekalipun, anda tetap memerlukan buruh secara tidak langsung iaitu diri anda sendiri, anak atau isteri anda untuk membantu anda berniaga.

Begitu juga walaupun  anda  seorang yang berpengalaman dan mahir dalam bidang anda, anda tetap tidak mampu untuk membuat semua tugasan dalam satu masa yang sama. Oleh itu anda tetap juga memerlukan pembantu sama ada secara tetap atau ‘free lunch’.  Di sini boleh dikatakan faktor buruh juga adalah satu faktor penting kepada perniagaan anda.

Sekiranya perniagaan anda memerlukan tenaga buruh yang mahir, anda terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk mendapatkan khidmat beliau tetapi jika perniagaan anda hanya memerlukan khidmat buruh yang biasa-biasa, anda tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk mendapatkannya.

Faktor ketiga ialah paras harga. Faktor ini juga memberi kesan kepada kestabilan atau perkembangan perniagaan yang anda usahakan. Jika paras harga tidak terkawal, ia akan membebankan anda kerana anda terpaksa mengeluarkan modal yang banyak untuk membeli sesuatu produk atau bahan mentah. Ini seterusnya akan menyebabkan anda terpaksa menjual semula produk atau barangan siap yang anda keluarkan atau proses menggunakan bahan mentah tadi dengan harga yang mahal. Begitu juga sebaliknya. Jika anda dapat membeli bahan mentah dengan harga yang murah, anda akan dapat memproses dan seterusnya menjual barangan siap dengan harga yang murah.

Akhir sekali ialah faktor pihak kerajaan.  Pihak kerajaan memainkan peranan untuk membantu golongan peniaga seperti anda. Ada ketikanya dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan akan memberi kesan kepada golongan peniaga seperti anda pada jangka masa panjang. Dasar kerajaan ini boleh memberi kesan positif atau kesan negatif kepada perniagaan anda. Misalnya, pihak kerajaan melalui Bank Negara membuat keputusan untuk menaikkan kadar faedah pinjaman (OPR) pada awal tahun 2018 baru-baru ini.

Keputusan kerajaan ini akan mendorong bank-bank perdagangan yang lain untuk turut sama menaikkan kadar faedah. Situasi ini seterusnya akan mempengaruhi orang ramai  sewaktu mereka memohon pinjaman dengan bank sama ada pinjaman untuk perniagaan, pinjaman membeli kenderaan atau pun pembiayaan perumahan.
Apabila berlakunya kenaikan faedah pinjaman, ini akan menyebabkan jualan kereta atau rumah akan merosot kerana golongan pengguna tidak mahu membuat pinjaman bagi membeli kereta baru atau rumah kedua.

Di samping itu juga pasti ada di antara bakal pelanggan anda yang sebelum ini layak untuk membuat pinjaman  kereta atau rumah telah bertukar status menjadi ‘tidak layak’  kerana tidak memenuhi syarat baru kesan dari keputusan kerajaan menaikkan kadar faedah ini.

Oleh itu keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar faedah (OPR)  ini merupakan satu berita buruk kepada anda yang menjalankan perniagaan jual beli kereta atau agen hartanah.

Dari perbincangan ini boleh diperkatakan  bahawa apa saja perubahan yang berlaku dalam persekitaran ekonomi akan memberi kesan kepada kestabilan perniagaan yang anda usahakan. Ada yang memberi kesan secara langsung da nada yang memberi kesan secara tidak langsung.

No comments:

Deepavali 2024

Setiap tahun mesti datang beraya rumah Aci ni sebab dulu Aci ni berjiran dengan mak mertua saya masa mereka sama-sama tinggal du kuarters JK...