Thursday 20 September 2018

Konsep Rezeki dan takwa



Dalam menghadapi rencah kehidupan seharian, lebih-lebih lagi sewaktu  keadaan ekonomi yang semakin tepu kini. 

Setiap hari kita terbaca dalam surat khabar tentang sungutan rakyat tentang kenaikan harga sedangkan pendapatan bulanan masih tidak berubah. Lantaran itu ramai di kalangan kita mula bertindak dengan melakukakan dua atau tiga kerja dalam sehari  bagi menambah pendapatan  untuk menampung keperluan diri dan  keluarga yang semakin meningkat.  

Ada yang  selesai menamatkan   tugas hakiki di pejabat, terus  masuk ke bilik persalinan menukar  uniform kerja  dan  keluar pula melakukan kerja sampingan . Ada yang menjadi  pemandu teksi atau grab, ada yang menjadi cikgu tuisyen di sebelah  petang atau malam dan tidak kurang juga yang membuka gerai  tepi  jalan- berniaga makanan dan minuman. 
Disebabkan oleh komitmen ini,   sesetengah dari kita mula leka dan lalai dalam melaksanakan perintah tuhan.  Sebaliknya hanyut mengejar kemewahan dan kesenangan dunia sehingga kita lalai melaksanakan perintah tuhan. 

Mungkin pada mulanya kita cuma  ‘tertinggal’ atau ’terlepas’ untuk  solat Asar saja.  Solat Magrib masih sempat balik ke rumah. Tapi bila keadaan semakin terdesak,  kita terpaksa bekerja dengan lebih gigih lagi dan jika sebelum ini kita sempat balik ke rumah  sebelum masuk waktu Maghrib, kini  kita hanya sempat solat di hujung-hujung waktu. Kemudian bila keadaan  semakin  tidak terkawal, kita bertambah sebok sehingga ‘ terlepas’ pula untuk  solat Maghrib. Akhirnya, bukan saja maghrib, malah isyak juga turut’lebur’ sebab penat. 

Berusaha dan  mencari rezeki itu sememangnya  tuntutan agama  malah dalam Al-Qur’an juga  Allah SWT telah memotivasi  kita supaya rajin  berusaha dalam  mencari rezeki dan melarang hambanya  mewarisi kemiskinan dan kedhoifan kepada  keturunannya .  
Namun sekiranya masih ada di kalangan kita  yang semakin hari semaki  jauh dari agama kerana  mencari rezeki, jelaslah kita ini masih belum menjadi hamba Allah SWT yang sebenarnya. Sebaliknya kita menjadi hamba dunia.  

Menjaga  solat ialah kunci pertama  bagi mendapatkan redha Allah SWT kerana ibadat ini  merupakan amalan pertama yang akan dihisab sewaktu hari pertama kita dimasukkan  ke liang lahad.  Di samping itu, apabila kewajipan yang satu  ini  kita jaga, insayAllah  secara otomatiknya hak-hak  kita di atas  dunia ini akan dipelihara dan dijamin oleh  Allah sesuai dengan  firmannya, “Jikalau sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.” (Al-A’raf: 96).  

Oleh itu sentiasalah  berlapang dada di atas apa yang ditakdirkan  kepada kita dan teruskan usaha tanpa  menjejaskan hubungan  kita dengan Allah.  Hamba Allah yang sejati tidak akan pernah beralasan untuk jauh daripada mengingatiNya walaupun didatangi pelbagai dugaan atau ujian. Malah sehingga dalam keadaan tertentu dia merasakan apa yang diterima itu, melebihi batas kemampuannya. Namun dia tetap mengingati dan betakwa kepadaNya.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah menerusi firmanNya di dalam ayat yang sering dibaca setiap kali selesai solat lima waktu. Antara maksud ayat tersebut ialah “Sesiapa yang bertakwa, akan dilepaskan daripada masalah hidup dan akan diberi rezeki yang tidak diketahui dari mana sumbernya (At-Tholaq: 2-3),”
Orang yang bertakwa akan sentiasa takut kepada Allah SWT, walaupun ketika saat sibuk bekerja. Semakin dia merasa diri ditekan, semakin terasa dekatnya dia dengan Allah. Semakin dia diuji, semakin bersangka baik dia terhadap tuhannya. Golongan sebeginilah yang akan didatangkan rezeki lain yang dia sendiri tidak mungkin menyedarinya sebagai ganjaran terhadap kepatuhan-Nya yang tidak berbelah bahagi.


No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...