Sunday, 9 September 2018

Isu gaji minimum, Kesan kepada Peniaga dan pengguna.



Isu gaji minima ini menjadi satu tajuk yang agak hangat sehari dua ini apabila pihak kerajaan mengumukan bahawa kadar gaji minima RM1,050 akan dikuatkuasakan pada Januari 2019. Ada pihak yang bersetuju dengan keputusan kerajaan ini dan tidak kurang pula yang mengkritik.

Gaji minimum ini dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2013 dengan tujuan untuk mengurangkanjurang pendapatan di antara pekerja sektor awam dengan pekerja sektor swasta.  Ini adalah kerana ramai di kalangan pekerja di sektor swasta dibayar  gaji di bawah paras gaji minimum.  

Malah ada juga  di kalangan pekerja swasta  ini dimanipulasi oleh pihak majikan dengan membayar kadar upah yang rendah, terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan sektor 3D (danger, Dirty and Difficult).  Oleh itu dengan penetapan kadar gaji minimum ini, pihak kerajaan dapat memastikan nasib pekerja swasta tidak selamanya ditindas atau dimanipulasi oleh majikan. Oleh itu dengan adanya kadar gaji minimum ini, nasib mereka sekurang-kurangnya  masih terbela.  

Namun, apabila kerajaan baru (Kerajaan Pakatan Harapan) mengumumkan bahawa kadar gaji minimum hanya mampu dinaikkan sebanyak RM50 sahaja iaitu kepada RM1,50 pada beberapa hari yang lalu , ramai di kalangan pekerja merasakan keputusan  itu tidak bertepatan dengan janji manifesto mereka sebelum ini.  Sebelum PRU 14, pihak Pakatan Harapan berjanji dalam manifesto mereka bahawa kadar gaji minima akan disemak semula iaitu dari RM1000 di Semenanjung dan RM950 di sabah dan Sarawak menjadi RM1,500.

Ramai yang merasakan bahawa keputusan kerajaan  ini tidak wajar , termasuk juga beberapa orang wakil dari  Kongres Kesatuan pekerja Malaysia (MTUC).  Ini kerana  mereka mendapati rata-rata pekerja yang bekerja dalam sektor  sawasta di negara kita masih dibayar gaji di bawah gaji pasaran berbanding di negara maju yang lain. Misalnya,  gaji seorang pekerja pengagkut sampah di Singapura adalah sebanyak  S$ 2,800 sebulan (RM8,400)  sedangkan pekerja yang bekerja sebagai pengangkut sampah  di negara kita hanya dibayar sebanyak  RM1,000 sebulan (The Star, September 2018).  Oleh itu mereka berharap kerajaan dapat  mengkaji semula kadar gaji minimum ini demi kebaikan bersama.

Manakala Bank Negara pula melaporkan  bahawa kadar gaji di negara kita ini masih lagi rendah dan tidak sepadan dengan kos sara hidup terutamanya di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur. Menurut Bank Pusat itu,  kadar gaji yang sesuai untuk hidup di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur ialah sekitar RM2,700 bagi individu bujang, RM4,500 untuk suami isteri yang tidak mempunyai anak dan RM6,500 bagi suami isteri yang mempunyai dua orang anak. Berdaraskan kepada laporan ini, kerajaan sepatutnya menimbang semula keputusan yang dibuat itu.

Bagi  pihak kerajaan pula  pasti mereka mempunyai alasannya yang tersendiri mengapa kadar gaji minimum RM1,500 tidak dapat dilaksanakan pada masa iniAlasan utama menagapa mereka tidak dapat mengumumkan kenaikan gaji minima ini ialah kerana masalah  kos pengurusan.

Apabila kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum, ini bermakna pihak kerajaan mesti bersedia untuk menampung subsidi kenaikan tersebut. Dalam konteks ini, jika pihak majikan terutamanya syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan atau  lebih dikenali sebagai GLC tidak mampu untuk menaikkan gaji kepada  pekerja mereka  disebabkan oleh masalah kewangan, maka pihak  pihak kerajaan terpaksa  memberi  subsidi kepada majikan tersebut.  Oleh itu ia akan menambah lagi  bebanan  kepada pihak kerajaan yang sekarang ini sedang menanggung bebanan hutang negara yang mencecah  RM1 Trillion.

Di samping itu, dengan pengumuman kerajaan supaya kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan juga pasti akan membebankan pihak majikan. Terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.  Bagi individu  yang menjalankan  perniagaan besar, mungkin  pengumuman kenaikan gaji minimum ini tidak terlalu membebankan mereka tetapi  bagaimana dengan  individu  yang hanya menjalankan perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan, atau kedai membaiki motorsikal di kampong-kampung,  pemilik warung cendol di tepi jalan  atau pengusaha restoran tomyam? Sudah pasti  golongan ini akan menerima impak  yang agak teruk.

Sudah tentu ada  di kalangan mereka  terpaksa menutup kedai kerana tidak lagi dapat beroperasi dengan sempurna.  Misalnya  pemilik  restoran tomyam yang  sebelum ini mempunyai tiga orang pekerja.

Jika sebelum gaji minima RM1500 dilaksanakan, mereka  mungkin mampu mengaji 3 orang pekerja.  Seorang bertugas sebagai tukang masak, seorang lagi tukang bancuh air dan pekerja yang ke tiga pula penghantar makanan. Apabila  perlaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 diwartakan, mahu atau tidak pemilik restoran tomyam tadi terpaksa mengikut  arahan kerajaan ini. Memandangkan beliau tidak mepu menaikkan gaji, beliau terpaksa memberhentikan seorang pekerjanya. Sekarang  hanya tinggal  2 orang pekerja saja.  

Oleh itu, tugasan yang sepatutnya dilakukan oleh 3 pekerja, terpaksa dipikul oleh 2 orang pekerja saja.  Mungkin tugas menghantar makanan dan membancuh air terpaksa diserahkan kepada seorang pekerja dan  tugas  masak dan membasuh pinggan mangkuk serta cawan dieerahkan kepada seorang lagi pekerja.  

Situasi ini sudah pasti akan  mengganggu kelancaran perniagaan restoran tersebut. Jika sebelum ini anda  terpaksa  menunggu sekitar 10 minit untuk mendapatkan menu yang dipesan jika anda mengunjungi restoran itu,  dengan kekurangan pekerja ini, sudah  pasti masa menunggu akan bertambah. Mungkin  menjadi 30 minit jika pelanggan pula kebetulan ramai pada hari tersebut.  Ini akan menyebabkan anda mula tidak puas hati dengan layanan di restoran  tadi  dan lama kelamaan,  anda  akan  pergi ke restoran lain yang lebih cepat layanannya.  Bagaimana jika 10 orang lagi  pelanggan  restoran itu juga mengambil keputusan yang sama  seperti anda?  Sudah pasti  perniagaan restoran itu terpaksa ditutup.

Kesan yang terakhir ialah kesan kepada harga sesuatu  produk atau perkhidmatan. Seperti yang dibincangkan tadi, perlaksanaan gaji minima ini adalah melibatkan kenaikan dalam kos pengurusan iaitu  gaji buruh.

Gaji minima ini bukan sahaja hanya mesti  dibayar  kepada pekerja  yang bergaji lebih rendah daripada gaji minima sebelum ini, tetapi juga kepada mereka yang bergaji lebih daripada gaji minima. Gaji mereka  juga  perlu dinaikkan (diselaraskan semula) bagi menentukan jarak gaji di antara gaji ‘supervisor’ dan pekerja bawahan  dapat dikekalkan. Pelarasan gaji  ini akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi.  

Seterusnya ia  turut memberi  kesan rantaian kepada kos pembekalan, kos pengeluran dan kos perkhidmatan. Untuk menampung kos ini, pihak syarikat terpaksa menaikkan harga ke atas produk atau perkhidmatan yang mereka sediakan.

Ini seterusnya memberi kesan kepada golongan pengguna. Merka terpaksa membayar sesuatu produk atau perkhidmatan itu dengan harga yang lebih mahal. Lama-kelamaan, inflasi akan meningkat dan kita seakan kembali semula seperti keadaan asal, iaitu semasa kadar gaji mimima RM1000 sebulan malah mungkin lebih teruk lagi.

Kesimpulannya, kenaikan gaji minimum ini mempunyai kebaikan kepada satu pihak tetapi ia juga memberi  keburukan kepada kita pada masa akan datang. Mungkin pada permulaannya, kesan negative  gaji minima ini tidak terasa tetapi  untuk jangka panjang kita akan mula merasa kesannya. Terutamanya kepada golongan yang bekerja sendiri  seperti pekebun sayur, penoreh getah, petani, nelayan dan yang seangkatan dengannya. 

Walau bagaimana pun,  perkara ini adalah subjektif dan  setiap masalah pasti ada cara penyelesaiannya. Kita tunggu apa keputusan kerajaan dan pihak yang berkepentingan menangani isu ini sebaiknya.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...