Thursday, 20 September 2018

Konsep Rezeki dan takwa



Dalam meniti  kehidupan, apatah lagi ketika keadaan ekonomi semakin menghimpit, tidak mudah untuk kita terus bertahan. Setiap hari, dada akhbar memaparkan keluhan rakyat tentang kenaikan harga barang, sementara pendapatan bulanan masih kekal begitu. Tekanan demi tekanan, akhirnya memaksa ramai antara kita untuk melakukan lebih dari satu pekerjaan demi kelangsungan hidup.

Ada yang sebaik tamat waktu kerja di pejabat, terus bergegas menukar pakaian seragam lalu menyambung rezeki dengan pekerjaan sampingan. Ada yang memandu Grab hingga lewat malam, menjadi guru tuisyen di waktu petang, atau membuka gerai kecil menjual makanan demi menampung keperluan keluarga yang kian meningkat.

Namun dalam kesibukan mengejar rezeki, kita sering terlupa. Ada tanggungjawab yang lebih besar dari sekadar mencari nafkah. Tanpa sedar, kita mulai leka. Solat dilewatkan, zikir dilupakan, dan hubungan dengan Tuhan semakin menjauh. Kita terlalu asyik mengejar dunia, hingga terabai akhirat.

Sesungguhnya, mencari rezeki itu satu ibadah, tetapi jangan sampai kita mengorbankan ibadah demi rezeki. Rezeki itu datangnya dari Allah, dan hanya dengan keberkatan-Nya, barulah segala usaha kita benar-benar membawa ketenangan dan kecukupan.

Mungkin pada mulanya kita cuma  ‘tertinggal’ atau ’terlepas’ untuk  solat Asar saja.  Solat Magrib masih sempat balik ke rumah. Tapi bila keadaan semakin terdesak,  kita terpaksa bekerja dengan lebih gigih lagi dan jika sebelum ini kita sempat balik ke rumah  sebelum masuk waktu Maghrib, kini  kita hanya sempat solat di hujung-hujung waktu. Kemudian bila keadaan  semakin  tidak terkawal, kita bertambah sebok sehingga ‘ terlepas’ pula untuk  solat Maghrib. Akhirnya, bukan saja maghrib, malah isyak juga turut’lebur’ sebab penat. 

Berusaha dan  mencari rezeki itu sememangnya  tuntutan agama  malah dalam Al-Qur’an juga Allah SWT telah memotivasi  kita supaya rajin  berusaha dalam  mencari rezeki dan melarang hambanya  mewarisi kemiskinan dan kedhoifan kepada  keturunannya .  Namun sekiranya masih ada di kalangan kita  yang semakin hari semaki  jauh dari agama kerana  mencari rezeki, jelaslah kita ini masih belum menjadi hamba Allah SWT yang sebenarnya. Sebaliknya kita menjadi hamba dunia.  

Menjaga solat bukan sekadar tuntutan agama, tetapi ia adalah kunci utama untuk meraih redha Allah SWT. Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di alam barzakh, sebaik sahaja jasad kita dibaringkan di liang lahad. Andai solat kita terpelihara, insyaAllah seluruh amalan lain akan menjadi lebih mudah dan teratur. Sebaliknya, jika solat diabaikan, maka runtuhlah tiang utama dalam kehidupan seorang mukmin.

Apabila seseorang benar-benar menjaga solatnya, dia sedang membuka jalan agar urusan dunia turut dipelihara oleh Allah. Seperti janji-Nya dalam surah Al-A’raf ayat 96:
"Jikalau sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi."

Oleh itu, walau apapun takdir yang mendatang, seperti rezeki sempit, kesihatan terganggu atau pekerjaan diuji, jangan sesekali lepaskan genggaman kepada Allah. Teruskan usaha dan perjuangan hidup tanpa menjejaskan hubungan kita dengan Pencipta. Seorang hamba yang sejati tidak akan pernah mencari alasan untuk menjauh daripada-Nya, walaupun dihimpit seribu satu dugaan. Bahkan ketika dia merasa lemah dan hampir menyerah, dia tetap sujud dan mengadu, kerana dia tahu Allah tidak pernah meninggalkannya.

Allah telah menegaskan dalam firman-Nya, yang sering kita dengar setiap kali selepas solat fardu:
"Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka."
— (At-Talaq: 2-3)

Orang yang bertakwa itu hatinya sentiasa terikat dengan Allah, meskipun jasadnya sibuk dengan urusan dunia. Lagi berat beban hidupnya, lagi kuat pergantungannya kepada Tuhan. Lagi besar ujiannya, lagi besar sangka baiknya terhadap rahmat Allah. Dan dari sinilah, datangnya rezeki yang tidak pernah disangka – bukan hanya dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga dalam ketenangan jiwa, kelapangan hati, dan kemudahan yang datang tepat pada waktunya.

Inilah rahsia hidup dalam redha Allah: bermula dengan menjaga solat, dan disempurnakan dengan kebergantungan sepenuh hati kepada-Nya.


No comments:

Belajar Untuk Reda

Jika posting   sebelum ini kita berbicara tentang ujian, kali ini kita sambung pula tentang satu lagi perkara yang lebih mencabar- iaitu Red...