Sunday, 5 February 2023

Bahagia Itu Tidak Perlu Ditunggu

 


Pada satu ketika, ada seorang pemuda yang telah lama mengembara. Dia mengembara dari satu daerah ke satu daerah, dari satu negeri ke satu negeri. Tujuan dia berkelana itu tidak lain dan tidak bukan, hanya kerana ingin mencari apa itu bahagia!

Sedang dia beristirehat di bawah sepohon pokok, seorang lelaki tua datang menghampirinya. lalu lelaki itu menegurnya, "Apa yang sedang kamu buat ini wahai anak muda?"

"Saya sedang beristirehat pakcik. Sudah bertahun saya mengembara dari satu daerah ke satu daerah."

"Untuk apa kamu mengembara wahai anak muda?" Tanya pakcik itu selanjutnya.

"Saya ingin mencari bahagia tetapi hingga kini saya masih belum menemuinya." Balas anak muda itu.

"Pakcik ini sudah hidup selama tujuh puluh tahun dan pakcik sudah jumpa apa itu bahagia. Jadi untuk memendekkan tempoh kamu dalam mencari, mahukah kamu ikut kaedah yang pakcik sarankan nanti?" Tanya orang tua itu

Dengan hati yang riang, pemuda itupun bersetuju.

"Baiklah, assigment pertama yang kamu kena buat ialah kamu pergi ke satu taman dan tangkap seekor rama-rama yang paling cantik. Nanti kamu tunjukkan rama-rama itu pada pakcik untuk pakcik nilaikan"

Lalu pemuda itu pun pergi ke taman.
Dia melihat beberapa ekor rama-rama sedang berterbangan dari sepohon bunga ke pohon bunga yang lain. Dia pun mengambil jaring dan mengejar rama-rama itu. Akhirnya dia menangkap seekor darinya.

Bila dia ingin memasukkan le dalam sangkar, dia terlihat seekor rama-rama yang lebih cantik terbang melintasinya. Lalu dia pun melepaskan semula rama-rama yang telah ditangkap tadi dan mengejar rama-rama yang sedang terbang itu pula.

Dalam beberapa minit, dia berjaya menangkap rama-rama kedua tadi dan ingin masukkannya ke dalam sangkar.

Namun sekali lagi dia terlihat seekor rama-rama lain yang lebih cantik dari rama-rama kedua. Lalu dia pun sekali lagi melepaskan rama-rama kedua yang berjaya ditangkap itu dan mengejar rama-rama yang cantik itu pula.

Kebetulan, pakcik tua itu juga pergi ke taman tetsebut kerana sudah lama dia menunggu anak muda itu tetapi belum dibawa rama-rama yang diminta olehnya tadi.

Melihat kelakuan pemuda tadi, pakcik itu pun menegurnya. "Mengapa kamu lepaskan rama-rama yang sudah ditangkap itu?"

"Saya ingin menangkap rama-rama yang paling cantik seperti yang pakcik suruh". Balas pemuda itu

"Anakku, sekarang tahulah saya mengapa kamu tidak menemui kebahagiaan yang kamu cari.
Kamu terlalu memikirkan kesempurnaan."

"Actually, setiap rama-rama yang tuhan cipta itu semuanya cantik . Mereka ada corak dan warna yang tersendiri. Jika kamu ingin mencari yang tercantik, kamu tidak akan temui sampai bila-bila."

Kemudian pakcik itu menyambung semula.

"Begitu juga dengan kebahagiaan. Kebahagiaan juga sama seperti kecantikan di mana ia adalah subjektif. Kamu tidak akan temui bahagia tetapi kamu boleh menikmatinya pada bila-bila masa mengikut cara kamu."

"Kamu ingat bila kamu dapat sesuatu yang diingini, kamu akan rasa bahagia tetapi bila kamu sudah dapat perkara itu, kamu akan melihat di sekeliling kamu dan ketika itu kamu akan dapati ada lagi yang lebih elok dan lebih bagus dari apa yang kamu miliki sekarang. Lalu kamu mula teringin memilikinya pula. Ini menyebabkan kamu rasa tidak bahagia selagi belum mendapatkannya."

Mendengar hal itu si pemuda itu pun terdiam. Kini dia mula faham apa itu bahagia.

.
Moral of the story yang ingin disampaikan dalam kisah ini ialah, bahagia itu tidak perlu dicari, dibeli dan ditunggu. Ia sudah pun berada di sekitar kita. Terpulang bagaimana kita menikmatinya.

Setiap apa yang kita lihat, setiap apa yang kita dengar, apa yang kita rasa perlu kita nikmati seadanya. Itulah yang akan membuatkan kita rasa bahagia. Kita tidak perlu menunggu sehingga semuanya berjalan dengan sempurna barulah ketika kita nak rasa bahagia. Cukuplah dengan mensyukuri apa yang kita ada dan tidak terlalu mengejar kesempurnaan.


Sekian..
Dr. Abam


No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...