Saturday, 20 July 2024

USAH BIARKAN KEBAHAGIAAN KITA DITENTUKAN OLEH ORANG LAIN.

Seperti biasa, setiap hujung bulan kita akan bawa keluarga pergi bercuti. Untuk mengabadikan kenangan tersebut, biasanya kita akan pos gambar kita sedang bercuti itu di media sosial. Selang beberapa ketika, selepas itu ada beberapa komen masuk. Ada teguran yang seronok dibaca seperti;

“Alhamdulillah … Selamat bercuti bersama keluarga. Setelah penat berkerja, elok juga pergi bercuti sambil tenangkan fikiran.”

Dan tak kurang juga mengkritik;

Katanya, “Tak elok awak post gambar sedang bersuka ria sedangkan ada di kalangan mereka di luar sana sedang dalam kesusahan. Jangankan nak bawa keluarga pergi bercuti, nak meletakkan makanan di atas meja pun mereka kadang-kadang ‘miss’. Jadi jangan pamir kegembiraan kita di media social kerana ia boleh melukakan hati mereka.”

Lalu kita pun rasa bersalah. Terus kita hilang mood sepanjang hari itu kerana termakan akan kata-kata daripada komen tersebut.

Sejak itu, setiap kali kita nak post sesuatu perkara di media sosial, kita mula berfikir, apa orang akan kata atau ‘judge’ kita. Namun dalam masa yang sama kita rasa kebebasan kita seakan diragut.
“Tak kan aku nak post gambar aku sedang bercuti bersama keluarga pun salah? Habis tu, apa guna aku ada akaun Facebook?”

Ketahuilah, bahawa orang yang berperangai seperti ini ada di mana-mana.

Dia berasa diri dia saja yang suci dan pendapat dia saja yang betul. Apa yang orang lain buat itu salah dan melanggar etika. Sifat individu sebegini sudah ada sejak berzaman lagi dan Allah telah merakamkan sifat mereka ini dalam Al-Quran, yang bermaksud, “Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang merasa diri suci.” (surah Al- A’raf ayat 82)

Individu ini selulunya akan berselindung dengan slogan, ‘Amal Maaruf nahil mungkar’.

Sebelum adanya media sosial, individu ini akan mendekati kita sewaktu terserempak di kedai kopi atau ketika bersembang di perkarangan surau sementara menunggu Bilal melaungkan azan. Dia akan mendekati kita dan mula ‘masuk jarum’. Kononnya sebagai teguran ikhlas. Kononnya apa yang kita buat itu salah dan melanggar adat serta hukum. Sepatutnya kita kena buat begitu dan begini. Sekarang mereka semakin ‘advance’. Mereka akan menulis di ruangan komen di media sosial kita seperti Facebook atau Tiktok.

Orang seperti ini memang ada dan mereka akan ‘judge’ apa saja terhadap kita mengikut persepsi mereka. Tetapi ini tidak bermakna mereka ada hak untuk mengawal diri dan tindakan kita. Selagi apa yang kita buat itu tidak menyalahi hukum agama dan adat, teruskan saja. Jangan biarkan kebahagiaan kita ditentukan oleh orang lain.

Dia boleh berkata apa saja yang dia suka tetapi kita juga ada hak untuk ‘filter’ atau saring apa yang dia ucapkan itu sama ada kata-kata atau saranan itu sesuai atau tidak dengan kehendak kita. Tambahan pula dia tidak ada hak untuk mengatur fikiran dan tindakan kita.

Jika kita terlalu memikirkan tentang apa yang dia akan kata atau ‘judge’ kita, selagi itulah kita tidak berasa bahagia. Kebebasan kita akan tersekat dan seolah-olah kita meyerahkan kunci bahagia kepada orang tersebut.

Seperti yang ditulis sebelum ini, hidup kita ini bukanlah semata-mata kena fikir tentang apa yang orang akan kata atau ‘judge’ kita tetapi ada ketikanya kita perlu berani untuk berkata TIDAK kepada apa yang mereka bicarakan terhadap kita kerana kita yang jalani hidup kita, bukannya mereka.

.
.
Petikan dari buku 'Hidup Kena Kuat', 'Nota Untuk Sukses dalam kehidupan'









1 comment:

Azirahman said...

Tak perlu ambil kisah sangat dengan komen orang. Saya share apa yang saya rasa sesuai.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...