Kita sering melihat kehidupan orang lain lebih bahagia, lebih indah, dan lebih seronok berbanding dengan kehidupan yang sedang kita lalui sekarang. Sebagai contoh, pada suatu pagi, sewaktu berkunjung ke pasar pagi untuk beli barang basah, kita terserempak dengan kawan lama kita, ‘A’.
Kita melihat dia baru keluar dari kereta berjenama import dan pakaian yang dipakai juga berjenama, yang sudah tentunya dibeli di butik pakaian bukan jenis yang dibeli dari pasar malam seperti kita. Selepas bertanya khabar, kita pun bertanya tentang status terkini 'A'.
Dia memberitahu kita bahawa dia memiliki sebuah perniagaan yang membekal peralatan pejabat. Lalu, terdetik dalam hati kita, "Best-nya dia. Tentu dia banyak duit sekarang. Nak ini boleh beli, nak itu boleh beli. Tak perlu nak kumpul duit sikit-sikit setiap bulan seperti aku jika nak beli sesuatu barang atau nak tukar spare part kereta."
Sambil berjalan menuju pasar, kita pun berangan nak jadi seperti dia suatu hari nanti.
Pada hari lain, ketika keluar mengeteh di kedai mamak, secara tidak sengaja kita terjumpa dengan kawan lama kita si ‘B’. Kita melihat pakaiannya kemas lengkap bertali leher. Bila ditanya di mana dia bekerja, dia memberitahu kita bahwa dia sudah lima tahun bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat korporat.
Lalu, kita pun terfikir lagi, “Alangkah bertuahnya dia. Kerja dalam aircond setiap hari. Tidak seperti aku yang terpaksa masuk kebun sawit setiap pagi mengambil upah memangkas dan memunggah pelepah sawit, demi mendapatkan upah seringgit dua bagi membeli dua bungkus nasi lemak.”
Ketika itu, kita pun memasang angan-angan untuk jadi seperti ‘B’ pula. Itulah sikap kita, bila melihat hidup orang itu nampak bahagia dan ceria, kita pun mulai memasang angan-angan untuk menjadi seperti mereka. Melihat kehidupan orang lain nampak lebih indah dan seronok berbanding kehidupan kita saat ini. Hakikat sebenarnya ialah kita tidak tahu bahawa orang itu juga memiliki masalah tersendiri, dan apa yang kita lihat hanyalah pandangan luaran. Orang Putih kata, 'tips of iceberg'.
Memang pada pandangan zahir, kita melihat ‘A’ sebagai orang yang hebat karena berjaya memiliki perniagaan, hidup mewah, dan bebas berbelanja. Namun, apa yang kita tidak tahu adalah setiap malam ‘A’ tak dapat tidur dengan lena karena memikirkan 'lubang' mana yang perlu dia korek untuk membayar hutang kepada pembekal yang tertangguh sejak dua minggu yang lalu. Apa yang kita tidak tahu adalah dia sedang susah hati karena pelanggannya telah melarikan diri bersama hutang yang nilainya belasan ribu ringgit.
Begitu juga dengan ‘B’. Meskipun nampak dia berpakaian kemas dan berkerja di pejabat berhawa dingin, kita tidak tahu bahwa pakaian tersebut mungkin merupakan etika berpakaian di kebanyakan pejabat. Jarang pekerja pejabat yang memakai t-shirt dan seluar jeans. Kita tidak tahu, walaupun dia sentiasa kelihatan kemas dan bergaya, sebenarnya itulah satu-satunya pakaian mahal yang dia ada.
Apa yang kita tidak tahu juga ialah di dalam dompetnya sekarang hanya tinggal tiga empat keping ‘duit merah’ saja lagi yang terpaksa dia catu sehingga hari gaji pada hujung bulan nanti. Sedangkan kita, walaupun bergelar ‘Buruh Ladang’ yang setiap hari masuk kebun sawit untuk memangkas dan mengusung pelepah, namun kita masih mampu meraih pendapatan RM60 ke RM100 sehari. Silap-silap, pendapatan kita lebih lumayan berbanding si ‘B’ yang berkerja di dalam pejabat berhawa dingin.
Begitulah kita. Kita memandang kehidupan orang lain lebih bagus dan lebih baik berbanding kehidupan kita. Kita merasa cemburu dengan kejayaan yang mereka capai, sedangkan kita masih berada di tahap yang sama sejak kita tamat belajar dahulu. Lalu kita pun tertanya-tanya kenapa mereka boleh berjaya sedangkan kita juga keluar dari universiti atau kolej yang sama.
Namun hakikat sebenarnya, kita tidak tahu bahawa mereka juga memiliki masalah tersendiri. Walaupun pada mata kasarnya kita nampak dia cukup bergaya dengan kereta mewah dan sebuah perniagaan yang besar, tetapi masalah mereka juga lebih besar. Apa yang kita tidak tahu ialah, disebabkan sibuk mengurus perniagaan, dia tidak berpeluang untuk keluar bersantai memancing di tepi pantai atau muara seperti kita pada setiap hujung minggu. Kita juga tidak tahu bahwa dia pada setiap hari tidak ada selera untuk makan walaupun pendapatannya mencecah puluhan ribu sebulan karena stress memikirkan perangai anak-anak yang selalu menimbulkan masalah.
.
.
***
👉 Petikan dari buku 'HIDUP KENA KUAT'. 'Nota untuk sukses dalam kehidupan'.
Untuk pesanan, boleh klik link di bawah:
No comments:
Post a Comment