Monday, 22 July 2024

TERIMA KEADAAN DIRI SEADANYA.

 TERIMA KEADAAN DIRI SEADANYA.

seperti yang ditulis dalam bab yang sebelum ini, rezeki atau nasib setiap orang itu tidak sama. Ada yang hidupnya senang dan ada pula yang hidupnya sekadar biasa-biasa saja. Justeru, jika anda juga termasuk dalam kumpulan yang kedua, janganlah rasa kecewa. Ini bukanlah ukuran yang hidup anda tidak bahagia. 

Bukan disebabkan anda tidak dapat menikmati apa yang orang lain nikmati, maka hidup anda secara automatik dianggap sebagai tidak bahagia. Jika anda berpegang dengan konsep ini, susah untuk anda merasa nikmat bahagia.

Rasa tidak puas hati dengan apa yang sedang anda alami itulah sebenarnya yang membuatkan kita rasa tidak bahagia Manakala rasa sedih serta cuak apabila melihat pencapaian orang lain pula akan membuatkan anda semakin rasa tertekan dan gelisah. Lalu anda mula melebel yang diri anda ini seorang yang gagal.

Anda masih boleh mengecap erti bahagia jika dapat jauhkan diri daripada perasaan kurang senang atau kecewa terhadap apa yang Allah takdirkan kepada anda. Ramai saja orang di sekeliling anda yang hidupnya ala kadar atau biasa-biasa saja. Malah ada yang lebih susah berbanding anda, tetapi mereka tetap berasa merekalah orang yang paling bahagia. Ini kerana mereka tidak pernah berasa tertekan atau berasa kurang dengan apa yang Allah kurniakan kepada mereka. Sedikit pun mereka tidak mempersoalkan takdir yang sedang mereka lalui.

Jadi, untuk rasa bahagia, belajarlah menerima apa jua keadaan anda sekarang. Sentiasa bersangka baik atas apa yang telah ditakdirkan kerana setiap perkara yang Allah takdirkan pada anda hari ini, waktu ini, adalah yang terbaik buat anda. Cuma anda belum nampak hikmahnya sekarang.

Pandang apa yang sedang berlaku dalam hidup anda pada setiap hari dengan pandangan atau dari sudut yang positif. Contohnya, sehingga sekarang anda masih belum mampu untuk memiliki rumah sendiri kerana gaji anda yang tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya anda masih ada bajet untuk menyewa walaupun sekadar sebuah rumah flat. Setidak-tidaknya keluarga anda lebih terjamin keselamatannya berbanding gelandangan di luar sana yang hanya menumpang teduh di bawah jambatan atau di lorong-lorong bangunan tinggal.

Anda juga mungkin tidak mampu untuk memandu kereta mewah seperti kawan anda si ‘A’ itu tetapi anda masih mampu memandu kereta Kancil. Walaupun kereta anda cuma sebuah kereta terpakai Sekurang-kurangnya kita tidak basah sewaktu pergi dan balik kerja pada hari hujan seperti mereka yang menunggang motosikal atau menaiki kenderaan awam. Sekurang-kurangnya, apabila nak pulang ke kampung menjenguk orang tua, anda masih ada kenderaaan.

Anda juga masih tidak mampu untuk membawa keluarga menaiki kapal terbang pergi bercuti di luar negara seperti yang kawan anda si’B’ lakukan pada setiap hujung tahun, tetapi anda masih mampu untuk bawa keluarga pergi ke tempat-tempat peranginan di dalam negara untuk berehat atau pun istilah sekarang dipanggil healing.

Yang lebih penting lagi, walaupun hidup anda susah, tetapi anda masih diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Sedangkan ada kawan-kawan anda yang anggap mereka seorang yang berjaya dalam hidup, bukan saja mereka berjaya mengumpul harta tetapi juga berjaya mengumpul pelbagai jenis penyakit di dalam tubuh mereka.

Mungkin disebabkan terlalu memaksa diri untuk berkerja, ketika sihat dahulu. Jika dibuat perbandingan sekarang, masih berbaloi lagikah kejayaan atau kekayaan yang mereka perolehi pada hari ini sedangkan kesihatan diri mereka merosot?

Oleh itu, walaupun rezeki anda mungkin tidak semewah berbanding mereka, Ini tidak bermakna anda tidak boleh hidup atau menikmati erti bahagia.

Tetaplah bersyukur dengan kehidupan anda. Walaupun dengan bersyukur itu tidak akan menjadikan hidup anda senang dalam sekelip mata, sekurang-kurangnya diri anda masih berada dalam perpektif yang baik. Minda dan jiwa anda tetap tenang dan gembira dengan apa yang anda perolehi.

Teringat saya akan nasihat seorang sahabat, yang bunyinya seperti ini, “Ketika kita berasa susah hati dengan kehidupan kita yang kononnya serba kekurangan, masih ada lagi orang di luar sana yang hidupnya tidak sebaik hidup kita. Janganlah apabila kita ditakdirkan berada di tempat mereka, baru kita mula terkenang betapa bahagia dan indahnya kehidupan yang sedang kita lalui sekarang.”

Akhir sekali, untuk berasa bahagia, belajarlah mendoakan rakan-rakan kita yang telah berjaya. Bukannya berasa cuak atau iri hati dengan kejayaan yang dia telah capai. Tidak salah dan tidak rugi apabila kawan kita bagitahu, “Yus, bisnes Pak Imey makin berkembang. Aku dengar, sekarang ni dia dalam proses untuk membuka pusat dialisis yang ke tiga.”

Lalu anda pun membalas dengan ucapan, “Alhamdulillah ... Semoga Allah memberkati perniagaan yang dia usahakan itu dan dia mendapat keuntungan berganda.”

Jika anda memiliki hati yang begini, insya-Allah hidup anda akan terasa semakin bahagia.

Dan untuk sampai ke tahap ini, ia perlu kepada latihan yang berterusan.







1 comment:

Abam Kie said...

rezeki hadir dlm beberapa bentuk. Jadi bersyukurlah akan apa yg Allah kurniakan.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...