Wednesday 30 December 2015

Peniaga Kecil (Pengenalan)

Entri: 16
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google




Ramai yang mengimpikan untuk mempunyai sebuah perniagaan yang berskala besar atau bertaraf korporat. Mengikut perkiraan mereka, perniagaan yang diusahakan secara besar-besaran ini pasti akan memberi pulangan yang besar juga. Bila sekali dapat buat ‘sale’ - mereka boleh menjana keuntungan  beribu ringgit, malah ada yang mencecah sehingga puluhan ribu ringgit sebulan.

Individu seperti Bill Gates, Donald Trump, Sony Morita dan Henry Ford sering dijadikan inspirasi untuk mereka terus berusaha setiap hari. Manakala senarai jutawan Malaysia seperti  Tan Sri Syed Mohktar Al-Bukhari, Tan Sri Mustaffa Sri Mustapha Kamal, Tan Sri Ananda Krishnan, dan Tony Fernandez juga meniti di bibir masing-masing dan juga dijadikan contoh sebagai pembakar semangat untuk mereka berusaha. 

Malah jenis perniagaan yang individu-individu jalankan juga menyebabkan minda kita sentiasa berfikir untuk meniru cara, tindakan dan gaya mereka dalam berbisnes. Lantaran inilah ramai yang berhasrat untuk membuka perniagaan yang berskala besar  sehingga terlupa bahawa perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan juga sebenarnya mampu menjana kekayaan.

Jika kita perhatikan di sekeliling, sebenarnya ramai individu  yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan juga boleh hidup senang. Ramai di antara mereka yang  tidak pernah kenal pun siapa itu Donald trump, Sony Morita atau Walt Disney. Nama tan Sri Ananda krishnan pun mereka hanya terjumpa ketika membaca surat khabar sahaja. 

Apa yang mereka tahu ialah apa kekuatan dan kelemahan yang diri mereka miliki. Dengan mengekspoitasikan kekuatan yang  ada dan memperbaiki kelemahan diri, akhirnya mereka berjaya memajukan perniagaan yang diusahakan itu  walaupun terpaksa mengambil masa yang lama untuk menikmati kejayaan.

Sungguhpun perniagaan yang mereka jalankan ini hanya memberi keuntungan yang tak seberapa, namun disebabkan kebijaksanaan 'mencari peluang' di tengah-tengah persaingan yang ada, mereka akhirnya berjaya mengenal pasti kekosongan (gap) yang wujud lalu mereka mengisi ‘gap’ tersebut dengan menawarkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pelanggan. 

Dengan keunikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan itu dan dibantu pula oleh perlaksanaan strategi yang berkesan, perniagaan mereka mula berkembang sedikit demi sedikit

Bermula dengan beberapa orang pelanggan yang biasanya terdiri dari rakan  atau ahli keluarga terdekat, sedikit demi sedikit  perniagaan mereka mula dikenali oleh penduduk setempat. Lama kelamaan perniagaan  itu semakin dikenali dan berkembang. Bermula dengan keuntungan cuma puluhan ringgit sehari kini perniagaan itu mula  menjana keuntungan ratusan  dan mencecah puluh ribu sebulan

Inilah keunikan perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan. Walaupun perniagaan seperti ini tidak menonjol dan tidak 'glamour' sebagaimana perniagaan yang bertaraf korporat, tetapi ia tetap mampu untuk memberi kekayaan kepada mereka yang mengusahakannya. Telah ramai di kalangan mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini menjadi jutawan senyap.

Pepatah inggeris juga ada menyebut, " Better to start small and slowly grows then start big but at the end it burst".  Begitu juga falsafah yang dipegang oleh kebanyakan peniaga kecil ini. Bagi mereka adalah lebih baik mereka bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu dan menggunakan apa yang ada dahulu berbanding mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mengumpul modal bagi membolehkan mereka membuka perniagaan berskala besar tetapi kemudiannya hampa apabila perniagaan itu berakhir dengan kegagalan.

Kepada mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini, masalah kekurangan modal bukanlah menjadi satu halangan untuk mereka berjaya malah masalah ini dijadikan sebagai satu cabaran untuk mendorong mereka berusaha dengan lebih gigih lagi. 

Mereka sedar dan tahu bahawa faktor modal bukanlah  penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan sebaliknya terdapat lagi beberapa eleman atau faktor lain  yang diperlukan untuk  memastikan perniagaan yang diusahakan itu berdaya maju seperti; 
i) Kemahiran dan kebolehan mengurus
ii) Kebijaksanaan merangka dan mempraktiskan strategi 
iii) Kebolehan dan kebijaksanaan membuat segmentasi pasaran.
iv) Kebolehan menarik  dan mengekalkan pelanggan.

Dengan mempunyai keempat-empat elemen ini, ia  mampu memberi kelebihan kepada perniagaan mereka. Malah mereka masih mampu untuk berdiri teguh dan melonjakkan perniagaan mereka di tengah-tengah persaingan  yang wujud, walaupun  beberapa rakan usahawan lain sudah kecundang atau gulung tikar

Oleh itu, adalah tidak salah jika anda juga meniru sikap mereka ini dan membuka  perniagaan anda secara kecil-kecilan terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan secara besar-besaran. Di samping dapat memastikan peluang yang ada di dalam pasaran itu  tidak terlepas ke tangan individu lain, Ia juga boleh dianggap sebagai satu aktiviti 'test market' atau langkah permulaan untuk anda memperkenalkan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan di luar sana.

Di samping itu tindakan ini dapat mengurangkan risiko yang bakal ditanggung sekiranya anda dapati bahawa anda telah tersilap membuat keputusan ketika membuka perniagaan tersebut. Dengan ini anda boleh berhenti pada bila-bila masa saja dari menjalankan perniagaan itu dan anda hanya mengalami kerugian yang kecil saja.
Tambahan pula dunia perniagaan  tidak pernah kenal akan erti belas kasihan kepada mereka yang baru hendak belajar atau  yang ingin berjinak-jinak dengannya. Ia tidak pernah memberi peluang kepada mereka yang tersilap dalam membuat perhitungan. Jika sekali anda tersalah langkah, kerugian bakal menanti anda. Tidak ada istilah 'trial-and-error' dalam dunia perniagaan ini. Ia adalah 'one way street'. Jika anda tersilap membuat keputusan, anda akan menanggung akibatnya dan anda tidak boleh berpatah balik.

Bermula sekarang, lemparkanlah jauh-jauh persepsi negatif terhadap mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini. Janganlah menganggap bahawa mereka yang menjalankan perniagaan seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pilihan. Sebaliknya jika dilihat dari sudut positif, walaupun perniagaan kecil-kecilan ini nampak ringkas namun ia mampu memberi kekayaan kepada mereka yang mengusahakannya. Malah mengikut laporan dari Utusan Sarawak (2013), 40% daripada KDNK negara pada tahun tersebut adalah datangnya daripada aktiviti yang dijalankan oleh peniaga kecil ini.

Sekian untuk kali ini. 

Friday 25 December 2015

Catatan pengalaman (sambungan)

Entri: 15
Teks: Usry Abdullah

Bertemu kembali dalam catatan pengalaman berbisness.

Setelah hampir setahun kami menjalankan perniagaan menjual tudung, pendapatan dari perniagaan tersebut amat memberangsangkan. Walaupun ia dilakukan secara sambilan tetapi kami bersyukur kerana mampu memberi tambahan pendapatan kepada kami.

Berpandukan pepatah inggeris yang mengatakan bahawa kita jangan meletakkan keseluruhan modal dalam satu perniagaan sahaja, saya  membuat keputusan untuk menceburi satu lagi perniagaan baru iaitu membuka perniagaan produk sejuk beku. Tambahan pula pada tahun itu  banyak produk-produk sejuk beku diusahakan oleh usahawan bumiputera. Kurusus berkaitan perusahaan pembuatan kuih sejuk beku atau kuih 'frozen' tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Dari karipap, popia, samosa, kuih ketayap, dan beraneka kuih tradisional telah dibuat perubahan dan menjadi kuih sejuk beku. 

Berbekalkan hasil keuntungan yang disimpan dari perniagaan menjual tudung dan sedikit simpanan peribadi, modal kerja berjumlah RM45,000 berjaya dikumpulkan.  Seperti juga persediaan untuk menjalankan perniagaan menjual tudung, saya juga membuat pelan perniagaan dan pemasaran untuk perniagaan menjual produk sejuk beku ini. Setelah berpuas hati dengan pelan perniagaan dan pemasaran yang dibuat, saya mula mencari kedai untuk disewa. RM650 sebulan adalah standard harga untuk sebuah kedai di bandar tempat kami tinggal pada masa itu. Saya juga membeli 6 buah ' display chiller' untuk mengisi produk dan memohon dua buah peti sejuk dari syarikat pembekal minuman untuk  menjual air tin sebagai produk sampingan.

Ayam, ikan, daging, daging burger, roti burger, bebola ikan,sotong,ketam dan barangan runcit termasuk beras menjadi produk utama kami. Di samping itu, kami juga medapatkan kuih sejuk beku seperti karipap, popia, donat, samosa dan pelbagai lagi kuih sejuk beku keluaran pengusaha bumiputera untuk dijual di kedai kami. Malangnya untuk sebulan sehingga tiga bulan pertma, kedai kami tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan. Kami sekadar mampu membayar gaji pekerja dan kos operasi serta membeli produk sahaja. (Untuk pengetahuan, perniagaan ini juga saya dijalankan secara sambilan. Pada waktu pejabat, saya akan ke tempat kerja dan apabila habis waktu pejabat, saya akan menumpukan perhatian di kedai sehingga pukul 10 malam. Sepajang saya di pejabat, tugas menjaga kedai diserahkan kepada seorang pekerja.)
Nampaknya penduduk sekitar lebih gemar membeli kuih muih yang telah siap digoreng di gerai-gerai di tepi jalan untuk minum petang atau membeli kuih sejuk beku  di pasaraya. Ini adalah kerana harga kuih sejukbeku yang belum digoreng bernialai 40 sen sebiji sedangkan harga kuih yang telah siap digoreng dan dijual di geraiialah 30 sen sebiji. Perbezaan harga ini mungkin menjadi faktor mengapa permintaan kuih sejuk beku kami tidak seperti yang diharapkan.
Produk lain seperti ayam, ikan dan daging juga kurang mendapat sambutan dari penduduk sekitar. Hanya suri rumah yang berkerja saja yang kadang-kadang datang membeli ayam atau  daging sejuk beku untuk dimasak semasa makan malam. Rata-rata penduduk tempatan  membeli keperluan harian mereka di pasar  dan pusat beli belah di Ipoh. Begitu juga  produk sejuk beku seperti, jejari ikan, sosej, bebola ketam, sotong, dan ikan juga tidak mendapat sambutan menggalakkan. Penduduk lebih suka membelinya ketika mereka membeli keperluan dapur di TESCO atau Giant yang terletak di Ipoh. Malah majoriti penduduk di kawasan kami beroperasi itu lebih tertarik dengan tawaran istimewa atau promosi harga yang dibuat oleh TESCO atau GIANT setiap bulan. Walaupun hanya membuat promosi atau potongan harga hanya kepada produk tertentu sahaja tetapi ramai penduduk sekitar yang akan mengunjungi gedung jualan mereka. Ini memberi kesan yang teruk kepada perniagaan kami dan peniaga runcit yang lain. Jualan kami amat tidak memberangsangkan. Hanya beberapa orang peniaga burger yang menjadi pelanggan tetap kami.

Masuk bulan ke lima, saya terpaksa menukar strategi perniagaan. Kali ini kami tidak boleh mengharapkan kepada golongan  pengguna saja sebagai pelanggan. Beribu flyers kami cetak dan edarkan ke setiap rumah di taman perumahan, namun sambutan tetap berkurangan. Saya juga sering mengedar  'flyer' di pasar minggu dan pasar malam serta meletakkannya di cermin kereta pengunjung pasar malam atau pasar minggu untuk membuat promosi tentang perniagaan kami, namun juga tidak memberi hasil yang memberangsangkan. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk menambah  segmen pelanggan. Jika sebelum ini kami mengharapkan kepada penduduk yang tinggal sekitar kawasan  kami beroperasi sahaja sebagai pelanggan, kali ini saya ingin menjadikan peniaga makanan di kawasan sekitar juga sebahagian dari segmen pelanggan kami. 

Lalu saya pergi menemui beberapa peniaga makanan yang beroperasi di sekitar kawasan kami berniaga. Sambil menikmati makanan di kedai mereka, saya mengambil kesempatan untuk bercakap dengan pengusaha gerai atau restoran tersebut. Saya menanyakan berkenaan produk dan bahan mentah yang diperlukan dan menyatakan hasrat untuk menjalankan urusniaga dengan mereka. Pada mulanya ramai yang keberatan kerana tidak yakin untuk berurusan dengan kami, namun berkat kesabaran dan pandai berkomunikasi, beberapa pengusaha kedai makan bersetuju menjadikan kami sebagai pembekal ayam, daging dan barangan mentah yang lain untuk keperluan perniagaan mereka setiap hari. Untuk melengkapkan pakej, kami juga menambah satu lagi produk yang diperlukan untuk golongan peniaga iaitu santan. Jadi kami mencari pembekal santan beku dan melantik beliau sebagai pembekal santan beku kepada kami. Walaupun margin keuntungan adalah kecil berbanding memproses sendiri, ia hanyalah sebagai produk pelengkap dan penarik kepada peniaga lain serta penduduk sekitar untuk berurusan dengan kami. Nampaknya strategi ini berjaya.

Namun masalah lain pula yang  timbul, kami mengalami masalah kekurangan modal pusingan. Rupanya untuk menjadi pembekal kepada peniaga-peniaga seperti ini, kami perlu memberi hutang kepada mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu barulah mereka akan membuat pembayaran. Jika pengusaha pembekal makanan (katering)  pula, kami terpaksa menunggu sehingga sebulan baru mendapat bayaran. Di sinilah baru saya menyedari kesilapan saya dalam  membuat keputusan. Namun kami tidak boleh berpatah balik. Oleh itu saya terpaksa membuat anggaran perbelanjaan atau bajet  yang baru.

Setelah dikira, saya masih memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 lagi sebagai modal pusingan untuk menampung projek tersebut. Memandangkan perniagaan ini diusahakan secara sambilan, kami tidak layak membuat pinjaman sama ada daripada TEKUN, MARA, SMe Bank atau mana-mana agensi kerajaan yang lain. Syarat utama untuk membuat pinjaman dengan agensi-agensi tersebut  ialah anda  perlu mengusahakan perniagaan tersebut secara sepenuh masa. Oleh itu saya perlu mencari alternatif lain. Setelah berbincang dengan isteri, kami mengambil keputusan untuk berhenti berniaga tudung dan kesemua modal pusingan dan keuntungan dari perniagaan menjual tudung dilaborkan ke dalam perniagaan ini. Itupun tidak mencukupi. Isteri terpaksa 'mengorek' wang  dari akaun ASB beliau untuk menampung modal yang kami perlukan.

Setelah perniagaan ini beroperasi selama empat hingga lima bulan, keuntungan mula dinikmati. Perniagaan kami mula berkembang sedikit demi sedikit dan mendapat perhatian dari peniaga, pengusaha katering, peniaga pasar malam dan peniaga burger. Penduduk sekitar juga sudah ada yang menjadi pelanggan tetap kami. Namun langit tidak selalunya cerah. setelah setahun setengah bersama, pekerja kepercayaan kami memohon untuk berhenti kerja kerana mendapat tawaran berkhidmat dengan kerajaan. Tempat beliau diganti  oleh pekerja baru. Namun pekerja ini banyak menimbulkan masalah sehingga kami terpaksa memberhentikan beliau bekerja dengan kami.  Sejak dari itu, boleh dikatakan setiap bulan pekerja kami selalu bertukar ganti. Biasanya tak sampai dua bulan mereka bekerja pasti akan memohon berhenti kerja. Alasan utama ialah kerana gaji yang kami bayar adalah rendah berbanding gaji pekerja kilang. Di samping itu, kami juga tidak  memberi peluang mereka untuk kerja lebih masa seperti pekerja kilang.

Keadaan ini menyebabkan saya kerap memohon cuti kecemasan sekiranya pekerja kami tiba-tiba tidak datang bekerja atau berhenti secara mengejut tanpa notis. Boleh dikatakan hampir setiap bulan saya terpaksa mengambil cuti kecemasan. Kadang-kadang saya terpaksa ponteng dan 'pulang awal' dari tempat kerja kerana menggantikan tugas pekerja di kedai saya yang nak balik awal kerana ada urusan peribadi. Ini menyebabkan saya banyak mengabaikan tugas hakiki saya sebagai pengurus tempat saya bekerja. 

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya saya 'kantoi'! Saya ditangkap oleh pihak atasan ketika saya ponteng balik awal dari waktu yang sepatutnya. Saya dipanggil oleh pihak ibu pejabat  menghadap Ketua Pengarah Operasi (Chief Operating Officer). Beliau memberi kata dua kepada saya sama ada ingin terus berkhidmat atau berhenti dan menumpukan perhatian kepada perniagaan yang dijalankan. 

Memandangkan gaji yang saya perolehi dari syarikat ini lebih tinggi berbanding pendapatan dalam perniagaan yang diusahakan, saya mengambil keputusan untuk berhenti berniaga. 
Saya mencari mana-mana peniaga atau individu yang ingin mengusahakan perniagaan seperti ini. Malangnya tidak ada yang berminat. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menutup operasi perniagaan tersebut  dengan melelong produk dan peralatan kami dan mengalami kerugian  yang agak besar juga.

Kami terpaksa menjual produk-produk kami dengan harga yang rendah malah ada yang dijual 'di bawah harga modal'. Manakala peti ais serta 'display chiller' pula dijual kembali kepada pembekal dengan separuh harga. Peti ais yang dipinjamkan oleh syrarikat pembekal minuman juga diserahkan kembali kepada mereka.

Walaupun telah berhenti berniaga, semangat berniaga tetap ada dalam diri saya. Jika saya tidak boleh mengusahakannya sendiri, saya berhasrat untuk mencurahkan pengalaman dan ilmu kepada mereka yang memerlukan dengan menjadi seorang perunding. Namun saya sedar bahawa dengan kelayakan yang ada, saya tidak boleh bersaing dengan perunding yang berpengalaman. 

Oleh itu, saya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Pengursan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Manakala untuk melayakkan saya menjadi tenaga pengajar dan perunding bertauliah, saya  mendaftar kursus 'Train of Trainner' yang dianjurkan oleh Perbadanan Sumber Manusia Berhad. Hasilnya, saya berjaya menjadi salah seorang pengajar sambilan (Trainner) di sebuah syarikat perundingan yang beroperasi di negeri Kedah. 

Syarikat ini  menyediakan perkhidmatan perundingan dan kursus dalam bidang pengurusan dan motivasi.  Banyak program yang saya sertai di bawah syarikat ini sebagai platform untuk menimba pengalaman dan mempraktiskan ilmu yang ada. Ia juga sebagai langkah pertama untuk saya berkecimpung dalam dunia 'consultant' atau 'trainning'.

Diam tak diam, walaupun saya masih berkhidmat secara sepenuh masa, saya tetap berjaya menjadi penasihat atau perunding kepada seorang doktor perubatan dan membantu beliau membuka dan menjalankan operasi sebuah pusat haemodialysis dan pusat rawatan tersebut masih wujud sehingga kini  serta semakin maju.

Saya juga berjaya membantu beberapa orang staff saya untuk membuka perniagaan seperti menjual ikan secara kecil-kecilan di rumah dan  membekal bahan mentah kepada restoran bagai pekerjaan sambilan mereka dan diusahakan selepas waktu pejabat. Saya juga menjadi rujukan kepada beberapa kenalan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan termasuk perniagaan runcit dan peniaga pasar malam sekiranya mereka menghadapi kebuntuan. Dengan nasihat yang saya berikan serta idea tambahan dari mereka, banyak masalah perniagaan yang dialami mereka dapat diselesaikan,malah ada beberapa kenalan membuat tawaran untuk saya bersama menyertai mereka. Namun terpaksa ditolak dengan lembut.  Di samping itu saya juga mengambil upah menyediakan kertas kerja, pengurusan akaun dan pengurusan operasi.

Untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan di dada, saya menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan menjurus kepada pengurusan strategi. InsyaAllah dengan ilmu dan pengalaman yang ada ini akan saya gunakan nanti untuk membuka perniagaan kecil-kecilan atau pun menjadi kosultant sepenuh masa setelah saya pencen kelak. 

Saya tetap yakin dengan dunia perniagaan. Walaupun ia diusahakan secara kecil-kecilan tetapi impak yang bakal dinikmati adalah berbaloi jika kita mempunyai perancangan dan strategi yang betul.

sekian coretan saya.




Tuesday 22 December 2015

Catatan Pengalaman (sambungan)

Entri:15
Teks: Usry Abdullah

Bertemu kembali kita dalam catatan pengalaman dan rencah kehidupan. 

Setelah 8 tahun berkhidmat di sebuah hospital yang sebok di ibu kota, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berhijrah. Kehidupan di sini terlalu pantas dan menyesakkan nafas saya.  Tambahan pula anak sulung kami sudah  berumur 4 tahun dan bersedia untuk masuk ke Tadika. Di samping itu, dalam waktu sebegini, ia memerlukan perhatian dan tunjuk ajar yang lebih dari kedua ibu bapa bukan lagi pengasuh. Oleh itu kami mengambil keputusan sama ada  balik dan menetap di negeri kelahiran saya (Kelantan) atau  negeri kelahiran isteri di perak. 

Pada tahun 2003 setelah menghadiri temuduga, saya diterima untuk berkhidmat di sebuah pusat haemodialysis di bawah Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF) sebagai Pembantu perubatan. Kali ini bukan di unit kemalangan dan kecemasan. Saya menjurus dalam bidang haemodialysis. Oleh itu kami pun membeli tanah dan membina rumah di sebuah bandar di negeri Perak. Selepas dua tahun berkhidmat dengan Yayasan Buah Pinggang Malaysia, saya mendapat pula tawaran dari sebuah badan bukan kerajaan yang juga menyediakan perkhidmatan rawatan dialysis untuk berkhidmat dengan mereka. Saya ditawarkan jawatan pengurus. Bermulalah tugas dan pengalaman saya sebagai seorang pengurus.

Memandangkan saya hanya belajar di peringkat diploma dan dalam bidang Paramedik, banyak urusan pentadbiran dilakukan hanya berdasarkan pengalaman. Banyak tugas yang terpaksa diserahkan kepada kerani terutamanya berkaitan perakaunan dan pembelian stok. Kadang-kadang saya terlebih bajet dan kadang-kadang terkurang bajet semasa membuat pesanan stok. Jika kesilapan sebegini terjadi,pihak ibu pejabat akan menelefon dan memarahi saya. Oleh itu saya perlu memperbaiki kelemahan diri. Saya mengambil keputusan untuk mendaftar menjadi pelajar di peringkat Ijazah dengan sebuah universiti swasta dan mengambil  ijazah dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia. 

Walaupun pelajaran teras saya adalah Pengurusan Sumber Manusia, tetapi di universiti tersebut, kami juga perlu mempelajari matapelajaran lain terutamanya berkaitan perniagaan dan pengurusan. Matapelajaran seperti pemasaran, ekonomi, keusahawanan, dan pengurusan strategi banyak membuka mata saya kepada dunia perniagaan.  Tugasan(assignment) yang diberikan pada setiap semester juga banyak melibatkan dunia perniagaan.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitulah juga saya. Setelah empat tahun belajar matapelajaran berkaitan pengurusan dan perniagaan, ia sedikit sebanyak menimbulkan minat untuk mempraktiskan ilmu yang dipelajari di alam nyata. Jadi, pada tahun akhir pengajian, saya pun menyampaikan hasrat kepada isteri untuk berniaga. Isteri tidak membantah malah menyokong kerana beliau tahu saya sudah banyak mempelajari ilmu berkenaan perniagaan.Peluang untuk saya berjaya adalah tinggi.

Saya mula  membuat sedikit penyelidikan untuk mencari bidang perniagaan mana yang sesuai dilakukan secara sambilan. Tugasan ini mengambil masa  selama 1 bulan sebelum saya membuat keputusan untuk menjual tudung. Kemudian saya mengambil masa lagi selama 2 minggu untuk membuat rujukan dan merangka  pelan perniagaan dan pemasaran. 

Akhirnya setelah berpuas hati dengan pelan perniagaan yang dirangka, dengan bermodalkan wang  yang 'dikorek' dari akaun ASB sebanyak RM3,000 kami pun pulang ke kelantan. Sambil menziarahi keluarga saya di sana, kami juga pergi ke Pasar Majlis Perbandaran Kota Baharu(MPKB) yang terkenal pada masa itu sebagai pusat jualan kain baju. Kami mula memborong pelbagai jenis tudung. 

Apabila pulang ke Perak, kami mengikut pelan pemasaran yang dirangka sebelum ini. kami mula melantik adik ipar  yang bekerja di sebuah hospital sebagai jurujual. saya  berutung kerana mempunyai 5 adik ipar. Tiga adik ipar sudah bekerja. Dua adik ipar bekerja di dua hospital di bandar  berlainan, oleh itu kami akan mempunyai dua pasaran.

Adik ipar yang ketiga pula bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Beliau juga setuju untuk menjadi jurujual kami  bagi mencari pendapatan sampingan. Isteri saya yang bekerja di sebuah klinik kerajaan  pula memujuk seorang staff di bawah seliaan beliau sebagai jurujual kami di klinik tersebut. Manakala saya pula berjaya melantik dua orang staff saya di tempat kerja menjadi jurujual sambilan di sekitar kawasan tempat mereka tinggal. 

Produk kami memang 'up-to date' dan sering mengikut tema drama-drama  yang disiarkan di TV3 dan menjadi kegilaan peminat tudung pada masa itu.  Tudung bawal, Spa Q dan beberapa nama yang saya sudah lupa menjadi buruan pengemar tudung.

Setiap bulan saya akan mengambil cuti untuk balik ke Kelantan bagi mengambil bekalan tudung. Walaupun pihak pembekal sanggup untuk mengirim bekalan tudung kepada saya melalui pos, kami menolak tawaran tersebut. Ini adalah kerana saya ingin mempastikan tudung yang  kami beli dari beliau adalah tudung yang menarik dan terkini. Selain isteri, saya juga akan membawa dua adik ipar sebagai 'tukang pilih' sewaktu kami membeli tudung dari pembekal tersebut. Walaupun beratus helai tudung yang dibeli pada setiap kali kami pergi ke kedai tersebut, isteri dan adik ipar akan memilih dan meneliti  satu persatu. Yang penting ialah tudung mesti menarik dari segi patern, warna dan mengikut trend semasa. Hasilnya, dalam tempoh 6 bulan saja, pasaran tudung  kami telah berkembang.

Bila perniagaan menjadi semakin besar, ia mula menjadi masalah kepada saya. Pasaran semakin berkembang, tetapi  disebabkan kami menjual secara hutang kepada pelanggan-pelanggan kami, modal pusingan menjadi terhad. Kebanyakan pelanggan kami mengambil tempoh sehingga 3 bulan untuk membayar sepenuhnya harga tudung yang dibeli. Mereka akan membayar secara ansuran pada setiap hujung bulan. Ini  memaksa saya  menggunakan wang simpanan lain sebagai modal tambahan. 

Untuk mengatasi masalah modal pusingan ini, saya menyarankan kepada jurujual-jurujual kami supaya menggalakkan pelanggan membeli tudung secara tunai atau memberi diskaun kepada pembeli yang berjaya membayar penuh harga tudung pada setiap hujung bulan pertama dengan sekali bayaran.  Kesannya, masalah modal pusingan ini dapat diatasi dari masa ke semasa. Namun begitu, kesan negatifnya pula ialah keuntungan kami pula mengalami sedikit penurunan berbanding menjualnya secara hutang. walaubagaimanapun, saya berpuas hati dengan pencapaian kami setakat ini.

Mengikut pepatah perniagaan, 'don't put all your eggs in one basket, try to diversify it!'. Berpandukan kepada falsafah tersebut, saya pun membuat kajian tentang perniagaan baru. Saya bertemu rakan-rakan yang menjalankan perniagaan secara sampingan dan berbincang tentang peluang baru. 

InsyaAllah dalam entri yang akan datang, saya akan menceritakan pula  pengalaman saya menjalankan perniagaan membekal produk sejuk beku.

Thursday 17 December 2015

Catatan pengalaman

Entri:14
Teks: Usry Bin Abdullah

Kali ini apa kata kita lupakan dulu cerita berkenaan strategi dan perniagaan.  Setelah 13  entri anda disajikan dengan cerita berkenaan strategi dan dunia perniagaan, apa kata kali ini sempena menyambut bulan kelahiran junjungan besar kita, Rasulullah S.A.W yang akan disambut seminggu dua lagi, kita keluar tajuk sikit. Kita bermuhasabah diri sambil mengimbau kenangan lalu.

Seperti  kalian, saya juga mempunyai pengalaman dan perjalanan hidup yang tersendiri. Semuanya sudah diatur dengan begitu rapi oleh yang maha esa. Setiap kejadian dan peristiwa dalam kehidupan  yang dilalui menjadi pengalaman dan pelajaran yang berguna buat saya. Ia juga menjadi panduan dan pedoman untuk mendidik anak-anak.

Berasal dari keluarga yang susah, saya terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke universiti setelah tamat tingkatan 6. Ketika rakan-rakan lain menjejakkan kaki ke universiti, saya pula memohon mengikuti latihan Paramedik di sebuah Kolej Perubatan di sebuah negeri di Utara Semenanjung. Mengikut perkiraan kedua ibu bapa saya, sekurang-kurangnya bila habis belajar nanti, pekerjaan sudah sedia menunggu. walaupun gaji kecil, tapi cukup untuk menanggung diri dan bakal isteri pada satu hari nanti. Di samping itu boleh juga membantu meringankan beban mereka menyekolahkan adik-beradik yang lain. Diploma Pembantu Perubatan (sekarang dipanggil Penolong pegawai Perubatan) menjadi pilihan saya. Jadi pada Julai 1993, rasmilah saya menjadi salah seorang pelatih Pembantu Perubatan di kolej tersebut. 

Pada Julai1996 setelah tamat belajar, saya dilantik sebagai Pembantu Perubatan. Bertugas di unit kemalangan dan kecemasan di sebuah hospital yang terletak di ibu kota. Di sinilah banyak pengalaman pahit manis sebagai Pembantu Perubatan yang saya lalui demi mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.

Sebagai Pembantu Perubatan, 'port' atau stesyen kami adalah di kaunter penyaringan (Triage), bilik rawatan dan  bilik patah (Treatment, fracture & POP room), bilik resusitasi (Rhesusitation room) dan menjadi 'first responder'- iaitu mengetuai pasukan petugas ambulans bagi  mengambil pesakit, sama ada di tempat kemalangan atau di rumah apabila perkhidmatan kami diperlukan. Kami akan bertugas di bahagian atau stesyen tersebut secara bergilir-gilir supaya tidak jemu dengan tugasan yang sama. Di samping itu, kami juga akan mempunyai kemahiran yang pelbagai. 

Kes-kes  kecederaan atau kepatahan akibat dari kemalangan jalan raya, kederaan akibat menjadi mangsa rompakan atau ragut, kecederaan akibat pergaduhan berkumpulan dan kes-kes kecemasan yang lain seperti seragan jantung atau athma sudah menjadi 'makanan harian'  kami. Mencuci dan menjahit luka, membuat pembedahan kecil, membetulkan tulang yang patah dan memasang simen(POP) juga  menjadi tugas routin kami.

Kematian juga menjadi tontonan kami hampir setiap hari. Ia banyak mengingatkan kami supaya memperbanyakkan bekalan. Terutamanya amal soleh kerana pada bila-bila masa saja kita  boleh dipanggil menghadap sang pencipta. Bermacam-macam jenis kematian kami saksikan. Ada yang meninggal akibat serangan jantung, kemalangan jalan raya, tertimbus runtuhan bangunan, jatuh dari bangunan tinggi kerana bekerja demi  mencari sesuap nasi.

Malah ada yang sengaja mencari  mati  dengan cara mengantung diri, terjun ke dalam gaung dan ada yang berani membakar diri sendiri. Kematian yang paling sadis ialah mati kerana meminum racun rumpai. Ia saya katakan kematian  yang sadis kerana kebanyakan mangsa yang meminum racun ini tidak akan mati dengan serta merta selepas beberapa minit meminum racun, sebaliknya mangsa akan mati secara perlahan-lahan. Ada yang bertahan sehingga 3-4 jam dan ada yang terpksa menanunggu sehingga 3-4 hari sebelum mereka meninggal dunia. Objektif mereka untuk mati tetap tercapai tetapi siksa yang ditanggung juga terlalu azab.  Bayangkan betapa tension, takut dan berdebarnya mangsa tersebut menunggu saat kematian secara perlahan-lahan ini (Waiyyazubillah).

Namun yang paling menyentuh perasaan dan mengisafkan saya (semoga menjadi pengajaran untuk kita semua) ialah ketika menerima panggilan ambulan untuk mengambil mangsa yang dikatakan pengsan di sebuah  bilik hotel di Petaling Jaya. Setelah ditunjukkan bilik, kami (saya, pembantu kesihatan, pemandu ambulan dan seorang petugas hotel) memasuki bilik mangsa. Bila pintu dibuka, seorang lelaki Melayu  setengah abad dalam keadaan separuh bogel  terbaring di atas katil. Hanya tuala yang menutupi bahagian kemaluan beliau. Manakala pil ubat-ubatan  bertaburan disisi. Setelah diperiksa rupanya beliau telah meninggal dunia. Mungkin kepenatan ber...tut..tut..  dengan pasangannya (bukan isteri) dalam bilik hotel tersebut. Pasangannya telah lari meninggalkan bilik tersebut apabila didapati magsa sudah tidak sedarkan diri selepas selesai meminta petugas di kaunter menyambut tetamu menelefon ambulans. 

Manakala kes kedua yang menyentuh persaan dan menginsafkan saya dan rakan-rakan ialah ketika menerima panggilan untuk mengambil seorang anak muda berumur 20an yang juga dikatakan pengsan di sebuah rumah rumah bujang di Damansara. Setelah diperiksa, mangsa rupanya telah meninggal dunia. Saya meminta rakan mangsa membuat laporan di balai polis dan pihak polis telah membawa si mati ke hospital untuk dibuat post mortem. Mangsa dipercayai meninggal akibat terlebih mengambil dadah dan minuman keras (hasil keputusan sample darah yang dihantar ke makmal). Minta kes-kes sebegini dijauhkan dari anak-anak kita.

Setelah 8 tahun  bertugas di unit kemalangan dan kecemasan di hospital tersebut, saya mula merasa bosan dan ingin mencari pengalaman baru. Saya memohon  dan diterima bertugas di pusat rawatan haemodialysis di bawah Yayasan Buah Pinggang Malaysia dan ditempatkan di cawangan mereka di negeri Perak. Bertugas selama 2 tahun dengan syarikat tersebut, saya ditawarkan menjadi pengurus di sebuah pusat haemodialisis baru juga di negeri Perak. Saya kekal sebagai pengurus di pusat haemodialysis tersebut sehingga   ke hari ini. 

Dalam bidang ini juga terdapat banyak lagi  pengalaman dan pengajaran yang bakal dikongsi bersama anda untuk entri yang akan datang. Di sinilah  juga saya mula terdedah dan berminat dengan  dunia perniagaan. 




Sunday 13 December 2015

Strategi dan perniagaan (Bahagian 3).

Entri: 13
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google



Ramai di antara kita percaya bahawa dengan menjalankan perniagaan seseorang itu akan berpeluang menjadi kaya raya. Ini adalah kerana dunia perniagaan adalah dunia tanpa sempadan dan dengan berniaga seseorang itu boleh mengumpul kekayaan tanpa batasan. Bagi kaum Cina, mereka amat berpegang kepada kata-kata ini. Persepsi mereka terhadap perniagaan adalah positif. Sebab itulah kaum Cina yang lebih ramai menjadi peniaga berbanding kaum lain di Malaysia. 

Oleh yang demikian, kaum bumiputra juga sepatutnya mencontohi sikap ini dengan menceburkan diri mereka ke dalam dunia perniagaan. Pihak kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak tahun 1971 lagi bagi membantu dan menggalakkan kaum bumiputra agar mereka berkecimpung  dan berjinak dengan dunia perniagaan sebagaimana kaum Cina dan India. Di samping dapat meningkatkan taraf hidup mereka, ia juga dapat menyumbang kepada pendapatan negara.
  
Dengan menceburkan diri sebagai peniaga atau usahawan, anda dapat menyumbang jasa kepada masyarakat. Keperluan harian masyarakat akan dapat diperolehi dengan mudah dan dengan harga yang munasabah kerana banyak produk dan perkhidmatan mampu ditawarkan untuk keguanaan harian.  Dengan ini, masalah monopoli atau manipulasi harga tidak berlaku dan pengguna dapat membeli produk dengan harga yang sepatutnya.


Di samping itu, jika tidak ada orang Islam yang terlibat dalam dunia perniagaan dan hanya bergantung kepada individu yang beragama lain, masyarakat islam mungkin akan menghadapi masalah, terutamanya untuk mendapatkan barangan yang suci dan bersih serta makanan yang halal.

Manakala dari sudut agama pula, sebagai umat Islam kita juga digalakkan untuk menceburi dunia perniagaan ini kerana ianya adalah salah satu dari cabang ibadat. Di dalam Islam, bekerja juga dikira sebagai salah satu dari amal ibadat yang mana akan diberi ganjaran pahala olehNya. Oleh yang demikian jika kita benar-benar terlibat dengan perniagaan secara telus dan bertanggungjawab, kita akan mendapat pahala dan hidup kita juga diberkati. Malah Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa 9/10 daripada sumber rezeki adalah datangnya dari perniagaan. Rasulullah sendiri pernah menjadi peniaga sebelum baginda dilantik menjadi rasul. Malah ramai sahabat-sahabat baginda juga adalah dari golongan peniaga. Saidina Abu Bakar, Othman dan  Amru Al  Asy adalah juga antara peniaga yang berjaya di kota Mekah pada ketika itu.


Berniaga ini juga diibarat seperti anda menanam sepohon pokok yang hasilnya mungkin boleh diwarisi untuk generasi akan datang. Sepohon pokok durian yang sering menggugurkan buahnya pada setiap kali tibanya musim  adalah  asalnya dari satu biji benih yang kecil. Dengan penuh kesabaran, pekebun menjaganya dengan membaja dan menyiram sehingga pokok tersebut membesar dan mampu mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan perniagaan, tidak mengapa jika  anda perlu bersusah payah dahulu pada  kali ini dalam membina sebuah perniagaan kerana apabila perniagaan yang diusahakan itu berjaya, ia mampu menampung kehidupan anda sehingga boleh pula diwarisi kepada anak cucu  kelak.

Bagi anda yang tidak mempunyai modal yang cukup untuk membuka perniagaan secara besar-besaran, apa salahnya bermula dengan bisnes yang bermodal kecil  dahulu. Dari modal  yang kecil ini, pupuklah perniagaan anda itu sehingga ia berkembang menjadi sebuah perniagaan yang besar dengan mengamalkan strategi perniagaan yang betul. Dengan adanya  strategi tertentu, anda boleh menjadikan modal  anda yang berjumlah RM100 berkembang menjadi RM1,000, RM2,000 seterusnya meningkat sehingga beratus ribu. Sebaliknya wang modal anda yang berjumlah RM10,000 itu berkemungkinan besar akan menyusut dan berbaki RM0  jika anda tidak tahu menguruskannya dan mengamalkan strategi perniagaan yang salah.

Pepatah ada mengatakan, "jika anda tidak membuat  perancangan, anda sebenarnya sedang merancang untuk gagal". Pepatah ini jelas menunjukkan betapa pentingnya perancangan strategi kepada sebarang aktiviti, apatah lagi dalam dunia perniagaan. Malangnya kebanyakan peniaga terutamanya peniaga bumiputra sering melupakan akan kepentingan perancangan strategi ini dalam perniagaan mereka. 

Ramai di kalangan peniaga kecil bumiputra yang bergantung kepada kebijaksanaan idea dan semangat keusahawan semata-mata. Walaupun faktor idea dan semangat keusahawanan juga membantu mereka untuk terus berusaha dalam membangunkan perniagaan, tetapi tanpa strategi yang jelas merea tidak dapat menentukan hala tuju perniagaan mereka. mereka juga tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Kesannya, perniagaan  yang sepatutnya boleh berkembang maju telah bertukar menjadi sebaliknya dan berakhir dengan kegagalan dan usahawan itu terpaksa menanggung kerugian.

Tambahan pula dengan kemajuan teknologi yang cepat sekarang ini. Ia memberi cabaran kepada setiap peniaga. Kemajuan teknologi telah menyebabkan sesuatu produk atau perkhidmatan itu menjadi cepat ketinggalan. Dengan mempunyai strategi, anda akan dapat memahami dan mengesan sebarang perubahan dan seterusnya mengubah suai perniagaan anda mengikut perkembangan semasa. Melalui pengurusan strategi yang sistematik, perniagaan anda mampu berkembang satu hari nanti dan anda juga tidak mudah kehilangan fokus atau terpesong oleh cabaran atau halangan dalam industri yang diceburi. Malah anda akan lebih bersedia menghadapinya bergantung kepada kemampuan dan sumber yang anda ada. 

Strategi  juga akan menentukan  bentuk atau model  perniagaan anda. Jadi, anda sebagai seorang peniaga adalah bebas untuk memilih strategi mana yang bersesuaian dengan perniagaan  dan keadaan persekitaran perniagaan anda. Untuk merangka  strategi yang berkesan, ia memerlukan seseorang usahawan itu terlebih dahulu  memahami fasa pembentukan strategi.

Untuk mengetahui apa jenis strategi dan proses  berkenaan fasa-fasa pembentukan strategi ini secara terpeinci, ia terdapat dalam buku ' Jom Bisness!' yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Walau bagaimanapun kita akan tetap membincangkan juga proses  proses membuat perancangan  strategi dan perniagaan dalam siri-siri yang akan datang.






Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...