Sunday, 13 December 2015

Strategi dan perniagaan (Bahagian 3).

Entri: 13
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google



Ramai di antara kita percaya bahawa dengan menjalankan perniagaan seseorang itu akan berpeluang menjadi kaya raya. Ini adalah kerana dunia perniagaan adalah dunia tanpa sempadan dan dengan berniaga seseorang itu boleh mengumpul kekayaan tanpa batasan. Bagi kaum Cina, mereka amat berpegang kepada kata-kata ini. Persepsi mereka terhadap perniagaan adalah positif. Sebab itulah kaum Cina yang lebih ramai menjadi peniaga berbanding kaum lain di Malaysia. 

Oleh yang demikian, kaum bumiputra juga sepatutnya mencontohi sikap ini dengan menceburkan diri mereka ke dalam dunia perniagaan. Pihak kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak tahun 1971 lagi bagi membantu dan menggalakkan kaum bumiputra agar mereka berkecimpung  dan berjinak dengan dunia perniagaan sebagaimana kaum Cina dan India. Di samping dapat meningkatkan taraf hidup mereka, ia juga dapat menyumbang kepada pendapatan negara.
  
Dengan menceburkan diri sebagai peniaga atau usahawan, anda dapat menyumbang jasa kepada masyarakat. Keperluan harian masyarakat akan dapat diperolehi dengan mudah dan dengan harga yang munasabah kerana banyak produk dan perkhidmatan mampu ditawarkan untuk keguanaan harian.  Dengan ini, masalah monopoli atau manipulasi harga tidak berlaku dan pengguna dapat membeli produk dengan harga yang sepatutnya.


Di samping itu, jika tidak ada orang Islam yang terlibat dalam dunia perniagaan dan hanya bergantung kepada individu yang beragama lain, masyarakat islam mungkin akan menghadapi masalah, terutamanya untuk mendapatkan barangan yang suci dan bersih serta makanan yang halal.

Manakala dari sudut agama pula, sebagai umat Islam kita juga digalakkan untuk menceburi dunia perniagaan ini kerana ianya adalah salah satu dari cabang ibadat. Di dalam Islam, bekerja juga dikira sebagai salah satu dari amal ibadat yang mana akan diberi ganjaran pahala olehNya. Oleh yang demikian jika kita benar-benar terlibat dengan perniagaan secara telus dan bertanggungjawab, kita akan mendapat pahala dan hidup kita juga diberkati. Malah Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa 9/10 daripada sumber rezeki adalah datangnya dari perniagaan. Rasulullah sendiri pernah menjadi peniaga sebelum baginda dilantik menjadi rasul. Malah ramai sahabat-sahabat baginda juga adalah dari golongan peniaga. Saidina Abu Bakar, Othman dan  Amru Al  Asy adalah juga antara peniaga yang berjaya di kota Mekah pada ketika itu.


Berniaga ini juga diibarat seperti anda menanam sepohon pokok yang hasilnya mungkin boleh diwarisi untuk generasi akan datang. Sepohon pokok durian yang sering menggugurkan buahnya pada setiap kali tibanya musim  adalah  asalnya dari satu biji benih yang kecil. Dengan penuh kesabaran, pekebun menjaganya dengan membaja dan menyiram sehingga pokok tersebut membesar dan mampu mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan perniagaan, tidak mengapa jika  anda perlu bersusah payah dahulu pada  kali ini dalam membina sebuah perniagaan kerana apabila perniagaan yang diusahakan itu berjaya, ia mampu menampung kehidupan anda sehingga boleh pula diwarisi kepada anak cucu  kelak.

Bagi anda yang tidak mempunyai modal yang cukup untuk membuka perniagaan secara besar-besaran, apa salahnya bermula dengan bisnes yang bermodal kecil  dahulu. Dari modal  yang kecil ini, pupuklah perniagaan anda itu sehingga ia berkembang menjadi sebuah perniagaan yang besar dengan mengamalkan strategi perniagaan yang betul. Dengan adanya  strategi tertentu, anda boleh menjadikan modal  anda yang berjumlah RM100 berkembang menjadi RM1,000, RM2,000 seterusnya meningkat sehingga beratus ribu. Sebaliknya wang modal anda yang berjumlah RM10,000 itu berkemungkinan besar akan menyusut dan berbaki RM0  jika anda tidak tahu menguruskannya dan mengamalkan strategi perniagaan yang salah.

Pepatah ada mengatakan, "jika anda tidak membuat  perancangan, anda sebenarnya sedang merancang untuk gagal". Pepatah ini jelas menunjukkan betapa pentingnya perancangan strategi kepada sebarang aktiviti, apatah lagi dalam dunia perniagaan. Malangnya kebanyakan peniaga terutamanya peniaga bumiputra sering melupakan akan kepentingan perancangan strategi ini dalam perniagaan mereka. 

Ramai di kalangan peniaga kecil bumiputra yang bergantung kepada kebijaksanaan idea dan semangat keusahawan semata-mata. Walaupun faktor idea dan semangat keusahawanan juga membantu mereka untuk terus berusaha dalam membangunkan perniagaan, tetapi tanpa strategi yang jelas merea tidak dapat menentukan hala tuju perniagaan mereka. mereka juga tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Kesannya, perniagaan  yang sepatutnya boleh berkembang maju telah bertukar menjadi sebaliknya dan berakhir dengan kegagalan dan usahawan itu terpaksa menanggung kerugian.

Tambahan pula dengan kemajuan teknologi yang cepat sekarang ini. Ia memberi cabaran kepada setiap peniaga. Kemajuan teknologi telah menyebabkan sesuatu produk atau perkhidmatan itu menjadi cepat ketinggalan. Dengan mempunyai strategi, anda akan dapat memahami dan mengesan sebarang perubahan dan seterusnya mengubah suai perniagaan anda mengikut perkembangan semasa. Melalui pengurusan strategi yang sistematik, perniagaan anda mampu berkembang satu hari nanti dan anda juga tidak mudah kehilangan fokus atau terpesong oleh cabaran atau halangan dalam industri yang diceburi. Malah anda akan lebih bersedia menghadapinya bergantung kepada kemampuan dan sumber yang anda ada. 

Strategi  juga akan menentukan  bentuk atau model  perniagaan anda. Jadi, anda sebagai seorang peniaga adalah bebas untuk memilih strategi mana yang bersesuaian dengan perniagaan  dan keadaan persekitaran perniagaan anda. Untuk merangka  strategi yang berkesan, ia memerlukan seseorang usahawan itu terlebih dahulu  memahami fasa pembentukan strategi.

Untuk mengetahui apa jenis strategi dan proses  berkenaan fasa-fasa pembentukan strategi ini secara terpeinci, ia terdapat dalam buku ' Jom Bisness!' yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Walau bagaimanapun kita akan tetap membincangkan juga proses  proses membuat perancangan  strategi dan perniagaan dalam siri-siri yang akan datang.






No comments:

Post a Comment

Cabaran peniaga internet

Ledakan dalam teknologi maklumat dan kadar penembusan internet di setiap rumah telah mencetus perubahan besar kepada kehidupan kita. Di M...