Tuesday, 20 March 2018

Cerita dari seekor anak ayam



Pernahkah kita perhatikan bagaimana seekor ibu ayam mengeram telurnya? 

Ia duduk diam, sabar dan setia, memberikan kehangatan yang cukup agar benih kehidupan di dalam telur itu mampu berkembang. Namun, selepas cukup tempoh, ibu ayam itu tidak akan mematuk atau memecahkan telur untuk membantu anaknya keluar. Ia hanya menunggu. Kerana keluar dari cengkerang itu, bukan lagi tugas si ibu tetapi perjuangan si anak ayam itu sendiri.

Begitulah juga dengan kehidupan kita.

Apabila kita berdepan kesulitan atau ujian hidup, kita sering mencari tempat bergantung seperti keluarga, sahabat, atau mentor. Kita mendengar nasihat mereka, berharap agar mereka membantu menunjukkan jalan keluar. 

Ya, mereka boleh bantu, boleh beri panduan dan menyuntik semangat. Tetapi sejauh mana kita keluar dari belenggu permasalahan itu, bukan lagi terletak pada mereka.

Yang akan menentukan langkah dan perubahan sebenar tetap datang daripada diri kita sendiri. 

Seperti anak ayam yang perlu mematuk keluar dari cengkerang, kita juga perlu menggagahkan diri. Walau sedikit demi sedikit, tetaplah bertindak, berubah dan bangkit. Kita yang harus memilih untuk melangkah. Kita yang harus berani memecahkan ‘kulit keras’ ujian yang membelenggu jiwa.

Keinginan untuk berubah dan kekuatan dalaman untuk bertindak itulah yang menjadi penentu sejauh mana kita mampu keluar dari kesempitan dan menuju kejayaan. 

Orang lain boleh menjadi cahaya tetapi kita sendiri yang perlu memilih untuk melangkah ke arah cahaya itu.


3 comments:

mamapp said...

Banyaknya boleh ambil aliktibar Dari kisah anak ayam ni kan

usryabdullah said...

Hanya diri sendiri yang dapat menentukan apa yang kita nak jadi seterusnya. Kawan hanya sekadar memberi panduan.

Abam Kie said...

nak meniaga kena cukup ilmu agar biz akan maju n untung besar!

Belajar Untuk Reda

Jika posting   sebelum ini kita berbicara tentang ujian, kali ini kita sambung pula tentang satu lagi perkara yang lebih mencabar- iaitu Red...