Sunday, 28 October 2018

Perubahan Teknologi dan Nasib Pemandu Teksi


Cabaran teknologi dan perubahan gaya hidup pengguna sentiasa membawa kesan besar terhadap rezeki sesetengah pihak dalam industri tertentu. Apa yang dulu dianggap stabil, hari ini boleh sahaja menjadi rapuh hanya kerana perubahan trend, permintaan pasaran, atau kehadiran teknologi baru.

Sebagai contoh, sekitar awal tahun 2000, kemunculan pasar raya berhawa dingin yang lebih selesa telah mengubah tabiat pengguna. Ramai yang mula meninggalkan kedai runcit persendirian serta pasar mini yang sudah sekian lama menjadi pilihan masyarakat setempat. Akibatnya, banyak perniagaan kecil ini terpaksa gulung tikar. Bukan kerana produk mereka tidak bagus, tetapi kerana pelanggan mula berubah arah.

Tahun 2012 pula menyaksikan gelombang baru, iaitu pembelian dalam talian. Dengan hanya beberapa klik di telefon pintar, pengguna kini tidak perlu lagi keluar rumah untuk berbelanja. Dari pakaian, makanan hinggalah ke barangan keperluan harian, semuanya boleh dibeli secara “online”. Fenomena ini memberikan tamparan hebat kepada para peniaga yang menyewa kiosk dan ruang niaga di pasar raya besar. Jualan semakin merosot, dan ramai mula kehilangan sumber pendapatan utama mereka.

Kini, fenomena yang sama sedang menimpa pemandu teksi.
Kemunculan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan GrabCar secara perlahan-lahan menghakis pendapatan mereka. Penumpang yang dahulunya setia dengan teksi kini lebih cenderung memilih perkhidmatan e-hailing yang lebih mudah diakses, lebih murah, dan lebih fleksibel. Akibatnya, ada pemandu teksi yang sebelum ini mampu memperoleh RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, kini terpaksa berhempas pulas untuk menjana RM1,000 pun. Keluhan mereka semakin kedengaran.

Inilah realiti dunia hari ini.

Dari sehari ke sehari penumpang mereka dicuri oleh perkhidmatan UBER dan Grab Car. Jika sebelum ini ramai pemandu teksi boleh menjana pendapatan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan,kini untuk mendapatkan RM1,000 sebulan pun susah. Ramai pemandu teksi mula mengeluh dengan situasi ini.


Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah ini ialah disebabkan oleh  kenaikan kos sara hidup, khususnya di kawasan Bandar.  Kenaikan kos sara hidup ini turut  menyebabkan penumpang mula  memilih perkhidmatan pengangkutan yang lebih murah untuk pergi  membeli-belah, ke tempat kerja, dating dan sebagainya.  Ini memberi kelebihan kepada pemandu Uber dan Grab Car berbanding  pemandu teksi kerana mereka menawarkan tambang yang lebih murah berbanding teksi.

Keduanya ialah faktor perang harga. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pemandu teksi terpaksa mengikut kadar tambang yang ditetapkan oleh SPAD dan LPKP manakala pemandu UBER dan GRAB Car pula tertakluk kepada harga yang ditentukan oleh pihak syarikat. Dengan ini, pihak syarikat UBER dan Grab Car boleh menggunakan peluang ini untuk melancarkan strategi perang harga. Mereka boleh memanipulasi harga tambang dengan menawarkan kadar yang lebih murah  kepada penumpang berbanding tambang yang dikenakan oleh pemandu teksi. Dengan ini ramai  penumpang yang dulunya menggunakan perkhidmatan teksi mula beralih kepada Grab atau UBER.

Seterusnya  ialah faktor kos. Di mana pemandu teksi  perlu membayar sewa permit, sewa beli teksi dengan syarikat konsesi,  dan  membayar insuran untuk penumpang.  Sedangkan  syarat tersebut tidak tertakluk kepada  pemandu UBER atauGrab Car . Situasi ini telah memberi satu lagi  kelebihan persaingan kepada pemandu UBER dan Grab Car berbanding pemandu  teksi. 

Walaupun kadar tambang yang dikenakan oleh pemandu UBER dan Grab Car ini lebih rendah berbanding tambang teksi, pendapatan yang mereka perolehi adalah lebih lumayan berbanding pemandu teksi.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak kerajaan berbuat  sesuatu untuk menjaga kepentingan pemandu teksi ini. Mungkin  undang-undang dan peraturan yang dikenakan kepada pemandu teksi juga perlu dipatuhi oleh  pemandu UBER dan Grab Car. 

Adalah  tidak adil jika hanya pemandu teksi saja yang perlu membayar insuran penumpang, mempunyai lesen membawa penumpang (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan setiap kali ingin memperbaharui lesen PSV  sedangkan peraturan atau undang-undang tersebut tidak dikenakan kepada pemandu UBER dan Grab Car. Jika undang-undang atau peraturan ini turut dikenakan kepada pemandu UBER atau Grab Car, ia akan menghasilkan suasana persaingan yang lebih seimbang.

Di samping itu,  aktiviti  perang harga juga perlu dikawal dan diseragamkan. Tambang minimum perlu ditetapkan supaya perbezaan harga tidak begitu ketara di antara tambang teksi dengan tambang Uber atau Grab Car. Dengan ini penumpang mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakan perkhidmatan teksi atau UBER dan Grab Car.

Jika golongan nelayan layak mendapat elaun atau atau insentif bulanan, mungkin elaun atau insentif baru yang hampir sama dengan apa yang diperolehi oleh golongan nelayan ini juga boleh dipertimbangkan   untuk  diagihkan kepada pemandu teksi.   Begitu juga dengan subsidi petrol. Ia juga wajar dipertimbangkan kepada pemandu teksi agar kos operasi mereka dapat dikurangkan. 

Manakala kepada pemandu teksi pula, mereka juga perlu berubah mengikut situasi semasa. Seperti mana yang sering ditulis atau ditekankan di dalam blog saya sebelum-sebelum ini, untuk bersaing di dalam apa jua bidang memerlukan strategi.  Dan strategi itu mesti  sesuai dengan situasi semasa. 

Contohnya, sekarang ini, ramai penumpang suka menggunakan platform e- hailing sekiranya mereka ingin mendapatkan perkhidmatan pengangkutan  jika  ingin ke mana-mana. Oleh itu pemadu teksi  juga perlu  berada atau menggunakan  platform e-hailing  untuk  mencari  bakal penumpang mereka.   Sebagaimana yang ditulis oleh Harper (2003) untuk berjaya dalam sesuatu perniagaan, anda sepatutnya berada di mana bakal pelanggan anda berada, bukannya berniaga di tempat yang anda suka berniaga. 

Begitu juga dengan pemandu teksi. Mereka tidak boleh lagi bergantung kepada cara konvensional iaitu dengan menunggu di perhentian teksi atau hentian bas semata-mata. Mereka mesti berada di tempat di mana bakal penumpang mereka berada. Iaitu di laman sosial dan platform e-hailing. Barulah mereka boleh bersaing dengan pemandu Grab atau Uber.  

Akhir kata semoga  Persatuan Teksi  dapat mempunyai satu  sistem yang serupa dengan sistem yang diguna pakai oleh UBER dan Grab car ini jika mereka ingin bersaing pada masa akan datang sekiranya mereka tidak mahu  menerima nasib seperti  yang dialami oleh pengusaha kedai runcit dan golongan peniaga kecil yang membuka kiosk di pasaraya yang dinyatakan  pada permulaan entri  blog ini  tadi.

2 comments:

Abam Kie said...

semoga ada penambahbaikan kpd perkhidmatan teksi di Malaysia.

usry said...

Kesian juga nasib mereka. Satu mekanisma menang-menang perlu dicari untuk membantu mereka.

Belajar Untuk Reda

Jika posting   sebelum ini kita berbicara tentang ujian, kali ini kita sambung pula tentang satu lagi perkara yang lebih mencabar- iaitu Red...