Sunday, 28 October 2018

Perubahan Teknologi dan Nasib Pemandu Teksi


Cabaran teknologi dan permintaan semasa secara langsung boleh  memberi kesan besar terhadap poket atau periuk nasi sesetengah golongan atau pemain dalam satu-satu  industri. 

Contoh yang jelas ialah, pada sekitar tahun 2000 dahulu, disebabkan sikap orang ramai yang suka membeli belah di pasaraya  berhawa dingin telah menyebabkan banyak kedai runcit persendirian serta pasar mini terpaksa ditutup.

Kemudian, bermula  tahun 2012, tabiat membeli-belah secara online mula menular di kalangan pengguna di negara  kita. Tabiat ini telah menyebabkan ramai pengguna tidak lagi suka  keluar untuk membeli belah di pasaraya.  

Mereka lebih selesa berbelanja di atas talian atau lebih dikenali sebagai ‘on line’. Kesannya, ramai peniaga yang menyewa kiosk atau ruang niaga di pasar raya besar mula menerima tempias. Jualan mereka merosot.

Situasi yang sama kini turut  dialami oleh perkhidmatan teksi pada masa ini.  Dari sehari ke sehari  industri  teksi ini  perlahan-lahan  dibunuh  oleh perkembangan industri pengangkutan awam yang  baru, yang dikenali sebagai  e-hailing, yang menjalankan operasi  Uber dan GrabCar. 

Dari sehari ke sehari penumpang mereka dicuri oleh perkhidmatan UBER dan Grab Car. Jika sebelum ini ramai pemandu teksi boleh menjana pendapatan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan,kini untuk mendapatkan RM1,000 sebulan pun susah. Ramai pemandu teksi mula mengeluh dengan situasi ini.

Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah ini ialah disebabkan oleh  kenaikan kos sara hidup, khususnya di kawasan Bandar.  Kenaikan kos sara hidup ini turut  menyebabkan penumpang mula  memilih perkhidmatan pengangkutan yang lebih murah untuk pergi  membeli-belah, ke tempat kerja, dating dan sebagainya.  Ini memberi kelebihan kepada pemandu Uber danGrab Car berbanding  pemandu teksi kerana mereka menawarkan tambang yang lebih murah berbanding teksi.

Keduanya ialah faktor perang harga. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pemandu teksi terpaksa mengikut kadar tambang yang ditetapkan oleh SPAD dan LPKP manakala pemandu UBER dan GRAB Car pula tertakluk kepada hargayang ditentukan oleh pihak syarikat. Dengan ini, pihak syarikat UBER dan Grab Car boleh menggunakan peluang ini untuk melancarkan strategi perang harga. Mereka boleh memanipulasi harga tambang dengan menawarkan kadar yang lebih murah  kepada penumpang berbanding tambang yang dikenakan oleh pemandu teksi. Dengan ini ramai  penumpang yang dulunya menggunakan perkhidmatan teksi mula beralih kepada Grab atau UBER.

Seterusnya  ialah faktor kos. Di mana pemandu teksi  perlu membayar sewa permit, sewa beli teksi dengan syarikat konsesi,  dan  membayar insuran untuk penumpang.  Sedangkan  syarat tersebut tidak tertakluk kepada  pemandu UBER atauGrab Car . Situasi ini telah memberi satu lagi  kelebihan persaingan kepada pemandu UBER dan Grab Car berbanding pemandu  teksi. 

Walaupun kadar tambang yang dikenakan oleh pemandu UBER dan Grab Car ini lebih rendah berbanding tambang teksi, pendapatan yang mereka perolehi adalah lebih lumayan berbanding pemandu teksi.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak kerajaan berbuat  sesuatu untuk menjaga kepentingan  pemandu teksi ini. Mungkin  undang-undang dan peraturan yang dikenakan kepada pemandu teksi juga perlu dipatuhi oleh  pemandu UBER dan Grab Car. 

Adalah  tidak adil jika hanya pemandu teksi saja yang perlu membayar insuran penumpang, mempunyai lesen membawa penumpang (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan setiap kali ingin memperbaharui lesen PSV  sedangkan peraturan atau undang-undang tersebut tidak dikenakan kepada pemandu UBER dan Grab Car. Jika undang-undang atau peraturan ini turut dikenakan kepada pemandu UBER atau Grab Car, ia akan menghasilkan suasana persaingan yang lebih seimbang.

Di samping itu,  aktiviti  perang harga juga perlu dikawal dan  diseragamkan. Tambang minimum  perlu ditetapkan supaya perbezaan harga tidak begitu ketara di antara tambang teksi dengan tambang Uber atau Grab Car. Dengan ini penumpang mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakan perkhidmatan teksi atau UBER dan Grab Car.

Jika golongan nelayan layak mendapat elaun atau atau insentif bulanan, mungkin elaun atau insentif baru yang hampir sama dengan apa yang diperolehi oleh golongan nelayan ini juga boleh dipertimbangkan   untuk  diagihkan kepada pemandu teksi.   Begitu juga dengan subsidi petrol. Ia juga wajar dipertimbangkan kepada pemandu teksi agar kos operasi mereka dapat dikurangkan. 

Manakala untuk  pemandu teksi pula,mereka juga  perlu berubah mengikut situasi semasa. Seperti mana yang sering ditulis atau ditekankan di dalam blog ini, untuk bersaing di dalam apa jua bidang memerlukan strategi.  Dan strategi itu mesti  sesuai dengan situasi semasa. 

Contohnya, sekarang ini, ramai penumpang suka menggunakan platform e- hailing sekiranya mereka ingin mendapatkan perkhidmatan pengangkutan  jika  ingin ke mana-mana. Oleh itu pemadu teksi  juga perlu  berada atau menggunakan  platform e-hailing  untuk  mencari  bakal penumpang mereka.   Sebagaimana yang ditulis oleh Harper (2003) untuk berjaya dalam sesuatu perniagaan, anda sepatutnya berada di mana bakal pelanggan anda berada, bukannya berniaga di tempat yang anda suka berniaga. 

Begitu juga dengan pemandu teksi. Mereka tidak boleh lagi bergantung kepada cara konvensional iaitu dengan menunggu di perhentian teksi atau hentian bas semata-mata. Mereka mesti berada di tempat di mana bakal penumpang mereka berada. Iaitu di laman sosial dan platform e-hailing. Barulah mereka boleh bersaing dengan pemandu Grab atau Uber.  

Akhir kata semoga  Persatuan Teksi  dapat mempunyai satu  sistem yang serupa dengan sistem yang diguna pakai oleh UBER dan Grab car ini jika mereka ingin bersaing pada masa akan datang sekiranya mereka tidak mahu  menerima nasib seperti  yang dialami oleh pengusaha kedai runcit dan golongan peniaga kecil yang membuka kiosk di pasaraya yang dinyatakan  pada permulaan entri  blog ini  tadi.

2 comments:

Abam Kie said...

semoga ada penambahbaikan kpd perkhidmatan teksi di Malaysia.

usry said...

Kesian juga nasib mereka. Satu mekanisma menang-menang perlu dicari untuk membantu mereka.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...